Khamis, 14 November 2013

Keris Pak El Boleh Berdiri

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my

Pak El menyiapkan keris panjang di bengkelnya di Kampung Ladang Titian. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 24 Mei - Zulkifli Yusof, 42, dari Kampung Ladang Titian di sini bukan hanya mempunyai koleksi pelbagai barangan antik, tetapi beliau juga mahir dalam seni pembuatan keris dan pelbagai senjata lama.

Walaupun hanya mempunyai sebuah bengkel bersebelahan dengan rumahnya dan mengusahakannya sendiri tanpa sebarang teknologi canggih, namun kehalusan seni hasil kerja tangannya tiada tandingan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak El mengusahakan seni pertukangan itu sejak kecil, mewarisi kemahiran ayahnya, Yusof Long yang juga pengusaha pembuatan keris di Terengganu.
Selepas ayahnya meninggal dunia, seni pertukangan itu diwarisinya secara serius kerana sedar tanpa penglibatannya sudah tentu warisan turun temurun itu akan pupus ditelan zaman.

Kesedaran itu lahir apabila tiada orang lain yang sanggup meneruskan pekerjaan itu menyebabkan di kampungnya sekarang hanya tinggal tiga orang termasuk dirinya mengusahakan seni itu.
''Minat untuk terbabit dalam pertukangan keris dan pelbagai peralatan besi dipupuk sejak kecil sewaktu arwah ayah masih ada.

''Saya sentiasa mendampingi ayah dan mempelajari segala selok belok seni pertukangan sejak awal hingga akhir bagi sesuatu produk yang dihasilkan," katanya.

Bengkel pembuatan sarung keris didirikan di sebelah rumahnya dengan dibantu oleh Muhamad Awang, 70, Rosli Salleh, 35, Yassin Muda, 44 dan Razali Abu Seman, 30.

Walaupun bengkelnya kelihatan bersahaja dan terperosok di celah deretan rumah usang di kampung tradisional yang melahirkan ramai tukang seni tradisional, namun setiap produk yang dihasilkan mengagumkan semua pihak.

Menurut Pak El, bengkel penempaan keris dan pelbagai barangan besi lain ditempatkan di Rhu Rendang dan Kedai Buluh, Marang.

Beliau mengakui kerja sebagai tukang keris dan barangan besi lain bukan mudah kerana ia tidak boleh dipelajari menerusi kuliah atau bengkel di mana-mana universiti, sebaliknya ia lahir menerusi pengalaman, kemahiran, minat dan ketekunan bertahun lamanya.

''Minat untuk menghasilkan keris datang secara semula jadi dan saya dapat menghasilkan sebilah keris yang lengkap bersarung dalam masa beberapa hari dan dalam sebulan saya dapat menghasilkan antara 100 hingga 200 bilah keris.

''Kadang-kala tidak cukup tangan berikutan terdapat ramai pelanggan membuat tempahan sedangkan bilangan tukang besi di sini hanya tinggal tiga orang sahaja," katanya.

Zulkifli memberitahu, beliau akan mencanai sendiri setiap keris tersebut di bengkelnya dan keris buatannya itu juga mampu 'berdiri' untuk tempoh yang agak lama tanpa sebarang alat sokongan dan agak misteri apabila ia boleh bergoyang-goyang dengan sendiri.

"Tiada unsur mistik di sini kerana saya menghasilkannya mengikut keseimbangan yang betul," ujarnya.

Mengenai kayu untuk sarung keris, Pak El berkata, beliau memperoleh bekalan daripada mereka yang arif dalam perkayuan atau meredah sendiri hutan untuk mendapatkan kayu yang terbaik seperti pokok teras juar, ru dan sena.

Setiap keris yang dihasilkan lengkap bersarung dijual pada harga antara RM100 hingga RM1,000 sebilah.

Zulkifli mengakui, rezekinya bertambah berikutan kecenderungan orang ramai untuk memiliki barangan hiasan terutama sejak negeri ini dibanjiri pelancong dalam dan luar negara sejak kebelakangan ini.

Bapa kepada tujuh anak ini tidak menyangka kerja-kerja mengukir hulu, sarung parang dan pembuatan keris yang dilakukannya sejak dua puluh tahun lalu mendapat perhatian daripada orang ramai.

Ekoran sambutan menggalakkan terhadap hasil kerja tangannya, beliau berharap akan terbabit secara aktif dalam aktiviti mengukir kerana mampu memberi pulangan yang agak lumayan.

"Sarung parang berukir yang saya buat untuk kegunaan sendiri tidak lama dulu menarik perhatian rakan-rakan dan mereka berminat untuk membelinya dan sejak itu minat saya dalam kerja-kerja mengukir kayu menjadi lebih serius," katanya.

Menurutnya, beliau tidak mendapat pendidikan asas dalam seni ukiran dan pertukangan tetapi bakat semula jadi mendorongnya untuk mengukir pelbagai jenis kayu.

Menceritakan rahsia kebolehannya dalam seni ukiran katanya, beliau hanya bersandarkan kepada ilham dan berpegang kepada prinsip 'yakin boleh' untuk menghasilkan barangan yang diminta pelanggan.

Zulkifli memberitahu, dalam masa beliau mempertahankan seni warisan itu, tiada seorang pun daripada tujuh anaknya meminati bidang pekerjaan tradisi yang dilakukan.

Katanya, semua anaknya tidak meminati bidang itu kerana mereka dapat meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

''Saya bimbang seni warisan ini tidak mampu dipertahankan selepas ini, kemungkinan besar akan pupus kerana tiada pewaris. Saya mungkin generasi terakhir dalam keluarga yang mengusahakan seni pertukangan ini selepas diusahakan datuk nenek beratus tahun lalu," ujarnya.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ukiran Keris Rosman Dikagumi

 

Oleh torek sulong
utusankelantan@utusan.com.my
Rosman Talif menyiapkan tempahan ukiran pelanggan di bengkelnya di Kampung Pauh Dara, Raja Dagang Semerak, Pasir Puteh, baru-baru ini. – utusan / torek sulong

PASIR PUTEH 8 Mei – Sepasang keris yang diserlahkan dengan kehalusan dan ketinggian seni ukiran Melayu hasil kerja tangannya menjadi pilihan kerajaan Malaysia untuk dianugerahkan kepada Ratu England ketika menghadiri persidangan Komanwel di Kuala Lumpur 1998.

Bagi Rosman Talif, 45, ia suatu ‘kemuncak’ pengiktirafan terhadap kemahiran dan kerjayanya sebagai pengukir yang turut membantu dalam menghidup dan mengembangkan kesenian kraf tradisional sebagai warisan yang dibanggakan.

Ia menjadi perangsang buatnya untuk terus aktif dalam seni ukiran yang dicintainya dan menyebarluaskan pengetahuan serta kemahiran kepada anak bangsa selagi ada yang berminat.

Rosman mengagumi seni ukiran sejak kecil dan kecintaan itu bercambah semasa umur belasan tahun.

Ketika rakan-rakan mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di kolej dan universiti, beliau memilih haluan masa depannya di bengkel ukiran kayu kelolaan dua beradik, Abdul Rahman dan Abdul Latif Long.

Dia tidak kesal dengan pilihannya dengan belajar bertatih sebagai tukang ukir apabila diterima bekerja di Kelantan Woods Craft pada awal 1980-an dan pengalaman selama 10 tahun di syarikat berkenaan itu ternyata pantas mendewasakannya.

Pernah bertugas di Pusat Kraftangan Temerloh, Pahang, beliau kemudiannya tekad berhenti kerja untuk membuka bengkel ukiran sendiri dan hasil ukirannya kini tersebar termasuk di kediaman para pembesar dan istana.

‘‘Malah pada ruang waktu yang tertentu, saya diberi kepercayaan untuk melatih kakitangan penjara dan mengendalikan kursus intensif kayu anjuran Majlis Perkayuan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.

Rosman yang berasal dari Kampung Morten, Melaka kini menubuhkan syarikat Seni Ukir Teras dan membuka bengkel bersebelahan rumahnya di Kampung Pauh Dara, Raja Dagang Semerak, dekat sini
Syarikatnya menerima pelbagai tempahan ukiran yang melibatkan motif tradisional termasuk hulu senjata seperti keris, ukiran dinding, tiang seri, cokmar dan singgahsana.

Menurutnya, selain memperjuangkan seni warisan bangsa, kemahiran mengukir mampu memberi pulangan yang lumayan yang sepatutnya dipelajari generasi muda zaman ini.

Katanya, usaha untuk memupuk minat generasi baru terhadap seni ukiran perlu diterapkan sebagai bahan pelajaran sama ada dalam Pendidikan Seni atau Kemahiran Hidup di sekolah dengan penyediaan tenaga pengajar yang mahir dan peralatan yang mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, kesan ketiadaan pendedahan kepada pelajar mengenai keunikan dunia ukiran menyebabkan generasi masa kini tidak begitu berminat untuk mempelajarinya secara lebih mendalam.

‘‘Sedangkan warisan ini memerlukan kumpulan pelapis muda untuk mempusakainya. Ia perlu disemai untuk dicintai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menyentuh mengenai ukirannya, beliau masih berpegang kepada hasil kerja secara tradisional kerana dengan kaedah buatan tangan, ia dianggap eksklusif, khas untuk pelanggan, biarpun ia mengambil masa agak lama untuk menyiapkannya.

‘‘Ukiran halus paling susah, penuh ketelitian dan mahal ialah menggunakan gading gajah. Biasanya ia khas untuk membuat hulu dan sarung keris diraja,” kata beliau.

Bagi menghasilkan ukiran yang baik, Rosman menjelaskan ia perlu menjiwai peranan setiap ukiran dengan memberi contoh sepasang keris siap bersarung ukir umpama seseorang yang lengkap berpakaian.

Baginya, bagaimana seseorang perlu kelihatan cantik melalui cara berpakaian, hiasan diri dan kekemasan, sepasang keris bersarung perlu digubah dan dihias cantik kerana ia mencerminkan identiti pembuat dan pemiliknya.

‘‘Bidang ini perlu dijiwai dengan sabar dan tenang kerana ukiran sebenarnya adalah luahan hati pengukir ketika bekerja.

‘‘Pengukir, seperti juga pelukis, mempunyai identiti sendiri, cuma nama pengukir tidak tertera sebagaimana kelaziman nama pelukis di kanvas,” katanya.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rumah 70 Tingkap

pix_gal0

Oleh Baharom Bakar

Kediaman Haji Su simbol kehebatan pertukangan Melayu era 1800, ilham pedagang tersohor gabung seni bina Nusantara termasuk Jaipur, India


RAMAI terfikir apa agaknya rahsia di sebalik gahnya sebuah rumah agam Melayu yang tampak usang di Kampung Losong Haji Su di Kuala Terengganu, Terengganu, hingga Lembaga Muzium Terengganu melabur RM3.2 juta membeli kediaman itu. Sekalipun usang dan buruk, rumah agam ini damai dikelilingi pokok buluh cina.

 
Aura kediaman mewah zaman silam itu tetap menyerlah, hinggakan rumah itu sering dibanjiri pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Mesir, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Tidak ketinggalan, kalangan arkitek tersohor antarabangsa termasuk dari Filipina dan Korea Selatan yang mahu mengkaji kehalusan seni bina rumah agam ini.

 
Selain arkitek, pengkaji sejarah juga tidak ketinggalan merakamkan gambar rumah agam ini, biarpun mereka tidak dibenarkan memasuki harta peninggalan jutawan Melayu Terengganu tersohor iaitu Su Mohammed Salleh Mohammed. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Haji Su di kalangan masyarakat tempatan, cukup terkenal di Terengganu pada era 1800-an. Ketokohan Haji Su terserlah hinggakan namanya terpahat pada nama Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.


Selepas beberapa kali tertangguh, hasrat menjejaki rumah agam Melayu yang dibina pada 1850 ini akhirnya tercapai selepas Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah sedia meluangkan masa dari kesibukan jadualnya untuk bersama penulis, baru-baru ini untuk melihat sendiri keunikan Rumah Haji Su.


Rumah Haji Su adalah manifestasi kekayaan usahawan Melayu lama dan cita rasa tinggi mereka selayak taraf martabat bangsa. Seperti yang diakui Mohd Yusof, Rumah Haji Su bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional Terengganu dibeli untuk dipulihara dalam usaha mengekalkan martabat kesenian Melayu.


Kali pertama memasuki rumah itu, diakui meremang bula roma dan rasa takut mula menular ke peroman. Perasaan terus menerjah dibawa ke zaman silam pada era kegemilangan rumah agam ini, di mana sudah pasti, ruang tamu tersergam besar seperti balairong seri istana itu meriah dengan pelbagai aktiviti - namun kini dimamah sepi. Rumah agam kayu cengal itu pernah didiami semua anak Haji Su sehinggalah anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu saja.


Begitupun, keunikan dan keindahan seni reka rumah yang dibina secara pasak tanpa sebarang paku itu cepat menyulam kembali rasa teruja ketika meneroka ruang tamu seluas 4.8 meter x 18 meter tanpa disokong tiang seri, selain keindahan siling rumah. Keseluruhan rumah itu diperbuat daripada kayu cengal dan mempunyai 70 tingkap serta 12 pintu besar yang diukir indah oleh adiguru ukir tempatan. Keseluruhan rumah dihias indah dengan seni ukir menarik dengan pelbagai motif yang padan dengan kehidupan istina zaman silam.


Tidak mahu rumah yang merakam sejarah silam teknokrat Terengganu zaman silam, Lembaga Muzium Terengganu (LMT) mengambil masa lebih dua tahun menjejak waris rumah itu yang tiba-tiba seperti terputus 'rahmat' dan terbiar sepi hingga membingungkan ramai yang kagum dan memuja keindahannya.


"LMT mengambil inisiatif menjejak pemilik rumah itu bertujuan mengambil alih dan mempertahankan rumah itu yang sarat dengan warisan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional. Rumah itu perlu dipulihara serta dijadikan antara aset penting dalam sektor pelancongan di negeri ini," kata Mohd Yusof.


Lebih jauh meneroka rumah agam yang turut menempatkan 10 rumah warga lain ketika itu, rumah yang kini sudah berusia 162 tahun di tapak seluar 0.4851 hektar terus mengujakan sesiapa saja. Justeru, apabila kerja baik pulih disempurnakan nanti, pasti teratak mewah lambang keusahawanan Melayu silam akan menjadi aset penting menyemarakkan kegiatan pelancongan Terengganu.


Berdasarkan beberapa catatan dan riwayat soheh, rumah agam itu mula dibina pada 1840 dan siap 10 tahun kemudian oleh sekumpulan tukang Melayu yang sangat hebat sehinggakan tiang di dalam rumah itu tidak kelihatan. Tiang itu dikatakan semuanya disembunyikan di sebalik dinding. Binaannya bercirikan rekaan rumah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga yang menjadi ciri utama rekaan rumah Melayu negeri ini.


Ada juga penerapan seni bina dari luar kerana Haji Su seorang pedagang yang belayar di seluruh Asia serta memperoleh ilham untuk diterapkan dalam seni bina kediamannya. Sebagai contoh, ukiran di dinding bahagian atas rumah itu menyamai ukiran istana dan kota lama di Jaipur, India.


Dindingnya daripada papan kesek dihiasi dengan bendul berlorek yang memisahkan bahagian atas dan bawah rumah serta berfungsi mengukuhkan setiap sambungan dinding. Kiri dan kanan bahagian bumbung pula dikemaskan dengan kayu peleh, manakala puncak setiap bumbung diletakkan kayu berukiran sebagai hiasan. Ada tiga bahagian dalam rumah itu, ruang beranda agak kecil, tetapi sebaik melangkah ke ruang tamu, keluasannya cukup menyenangkan dengan ukuran 4.8 meter x 18 meter dan dibahagikan kepada dua sudut.


Penyelidikan LMT mendapati, pembinaan dua sudut itu bertujuan memisahkan tetamu lelaki dan wanita sebagai mematuhi peraturan dan adat serta agama. Manakala bahagian rumah ibu atau ruang makan seluas kira-kira 2 meter x 4 meter dan dilengkapi meja makan klasik untuk meraikan tetamu dalam pelbagai majlis yang diadakan.


"Seni ukiran menarik memenuhi bahagian dalam rumah bagi memastikan dinding tidak kelihatan kosong. Manakala kawasan luar rumah direka untuk mempunyai halaman luas dan dipagari dengan pokok buluh cina," kata Mohd Yusof lagi.


Ciri lain yang menarik bagi rumah itu ialah 70 tingkap dan 12 pintu besar yang dibina bagi membolehkan sistem pengudaraan memasuki setiap ruang, manakala bahagian atas tingkap dipasang cermin bagi memberi laluan cahaya semula jadi. Ini penting supaya setiap ruang dan sudut mendapat pencahayaan yang cukup, manakala lantainya yang menggunakan papan cengal kelihatan sentiasa kemas walaupun tidak dibersihkan.


Mengulas kejayaan pembelian rumah itu, Mohd Yusof berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agar tidak lenyap begitu saja.


"Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa membelanjakan wang membeli rumah usang. Ia bukan sekadar soal rumah atau tapak warisan, tetapi kita sebenarnya turut membeli dan mengekalkan bersama ilmu mengenai seni bina Melayu, yang melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya.


"Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi," katanya.


INFO
  • Rumah Haji Su siap dibina pada 1850 oleh usahawan Melayu, Su Mohammed Salleh Mohammed atau Haji Su

  • Konsep rekaan ialah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga berpasak tanpa paku

  • Diambilalih LMT pada 2010 dengan kos RM3.2 juta (termasuk kos tanah)

  • Terletak di Kampung Losong Haji Su, Losong, Kuala Terengganu

  • Ciri-ciri unik antaranya memiliki 70 tingkap dan 12 pintu masuk

Sumber Artikel : bminggu@bharian.com.my

Selasa, 12 November 2013

Menyerlahkan Seni Reka Melayu Islam

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
Foto ABD. RAHMAN SALEH



SINGGAHSANA tempat persemayaman Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mempunyai ukiran bermotifkan pucuk rebung, sulur dan daun serta ukiran 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.


PADA Disember ini, dijadual diadakan acara rasmi pertama di Kompleks Istana Negara baharu, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Acara berkenaan adalah jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Para tetamu yang bakal menghadiri jamuan negara berkenaan sudah pasti akan teruja dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada kompleks yang terletak di kawasan seluas 96.52 hektar.

Istimewa
Pembinaan itu merupakan sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan kali pertama kerajaan mendirikan kompleks istana buat Yang di-Pertuan Agong bersemayam.

Kompleks yang menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia turut memaparkan ciri-ciri estetika khusus dan hiasan dalaman yang boleh menjadi khazanah kebanggaan negara.

Arkitek terkenal yang mereka bentuk kompleks berkenaan adalah Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. Syarikat berkenaan pernah terlibat dalam reka bentuk Dataran Putra, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Darul Ehsan di Putrajaya.

Keunikan
Projek lain adalah Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam dan bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur serta kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Kontraktor reka dan bina kompleks berkenaan pula adalah Maya Maju (M) Sdn. Bhd.

Baru-baru ini, wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia berpeluang secara eksklusif meninjau kerja-kerja akhir menyiapkan kompleks berkenaan sebelum ia diserahkan kepada kerajaan pada bulan depan. Antara keunikan yang dapat dilihat adalah bilangan kubah iaitu 21 buah.

Cahaya
Pada kubah berkenaan terdapat reka bentuk seperti sisik sebagai tapak untuk dipasang lampu. Pada waktu malam, cahaya yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi seolah-olah seperti buah nanas. Cahaya yang boleh bertukar warna mengikut acara rasmi diadakan dapat dilihat secara jelas daripada dua bangunan tertinggi negara iaitu Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, melangkah masuk ke lobi utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan candelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan sebuah kilang di Kuala Selangor.

Sayap
Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat.

Dari lobi utama, tetamu boleh memilih kawasan-kawasan khusus yang hendak dituju sama ada Sayap Formal, Sayap Diraja, Sayap Pentadbiran dan Sayap Fasiliti Sokongan.

Komponen Sayap Formal menempatkan balai rong seri, bilik-bilik menunggu sebelum upacara menghadap, dewan bankuet, bilik mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bilik penyerahan watikah pelantikan duta-duta.

Sayap Diraja pula menempatkan bilik peraduan, persiraman, rehat dan santapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda serta bilik tetamu diraja.

Ukiran
Berbeza dengan Istana Negara lama di Bukit Petaling, Kuala Lumpur yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar, kompleks istana baharu yang lebih luas membolehkan setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja.

Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu dengan corak-corak seperti awan larat, bunga raya, bunga cengkih dan tumbuh-tumbuhan.

Corak sedemikian tidak banyak dilihat pada istana lama yang sebelum ini merupakan sebuah vila milik jutawan Cina bernama Chan Wing dibina pada 1928.

Ciri-ciri Islam termasuk corak geometri tiga dimensi atau muqarnas, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman Khalifah Uthmaniah di Turki juga turut kelihatan terutama pada binaan surau.

Dalam pada itu, tulisan ayat-ayat al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh penulis khat profesional tanah air, Abdul Baki Abu Bakar.

Pensyarah Seni Khat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sebelum ini turut terlibat melakarkan ayat-ayat al-Quran di Istana Darul Ehsan, Putrajaya; Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surau Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Seni Khat
Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohamed Yusof Abu Bakar menggunakan khat jenis thuluth dan nasakh bagi menulis sebahagian ayat-ayat daripada surah al-Furqan dan at-Taubah.

Bahan yang digunakan untuk membuat tulisan ayat-ayat berkenaan adalah aluminium warna emas dan dipadankan dengan latar belakang kayu.

Seperti binaan surau, hiasan dalaman keseluruhan kompleks berkenaan juga banyak menggunakan kayu daripada jenis mahogani.

Selain kayu, turut digunakan secara meluas adalah keluli tahan karat dan anti kulat termasuk untuk bahagian bumbung yang dikenali dengan nama komersial Clean Colorbond.

Keluli yang amat sesuai dengan cuaca panas dan lembab di negara ini turut digunakan dalam pembinaan hangar pesawat A380 Malaysia Airline System Bhd. (MAS), Pangkalan TUDM Sungai
Besi dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Singgahsana yang menjadi tempat persemayaman Seri Paduka di Balai Rong Seri mempunyai ukiran tradisional Melayu, 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.

Kemudahan
Ukiran berkenaan dilakukan oleh beberapa tukang ukir terkenal dari Terengganu yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi.

Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada kompleks berkenaan adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya.

Ini berikutan hanya 28 hektar yang digunakan bagi pembinaan kompleks dan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan untuk keselamatan.

Kemudahan lain yang turut dibina di kompleks berkenaan adalah bangunan sokongan, rumah kediaman kakitangan istana dan polis, pejabat keselamatan, kem mini tentera, jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta dan tempat meletak kenderaan bawah tanah.

Turut disediakan kemudahan lif, eskalator , tanjakan (ramp), klinik, tapak pendaratan helikopter, gelanggang untuk bersukan, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Parang Sinonim Bajau Kota Belud

Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN
utusansabah@utusan.com.my

ANTARA parang dan sarung yang dihasilkan oleh perusahaan Sakti Halim dan adik-adiknya di Kota Belud, Sabah.
 
KOTA BELUD 31 Okt. - Seni pertukangan besi terutama parang tidak asing lagi bagi masyarakat Bajau di sini.

Sungguhpun demikian, pembuatan parang banyak tertumpu di Kampung Siasai Jaya, sebuah perkampungan tradisi Bajau.

Fakta di atas sukar dinafikan kerana terdapat keluarga yang turun temurun mengusahakan pembuatan parang di sini yang kini diteruskan oleh generasi mereka iaitu empat beradik, Sakti Halim, 65; Japari, 63; Majad, 54, dan Baidin, 45.

Bercerita lebih lanjut mengenai parang, Majad memberitahu, dalam kehidupan masyarakatnya terdapat tiga jenis parang yang selalu menjadi kebanggaan mereka iaitu Beladau, Pida' (barung) dan Kegayan.

"Harga parang bergantung kepada saiz, bentuk, jenis dan mutu besi dan dijual serendah RM50 sehinggalah RM300 sebilah. Tapi sayang kebanyakan parang hasil kami tidak sampai ke pekan, kerana pelanggan sudah menempah melalui Facebook," katanya.

Seni pertukangan parang di sini, terus mengalami evolusi apabila pelbagai jenis parang dihasilkan menurut permintaan ramai, contohnya pedang Samurai dan pisau Kukri yang diambil reka bentuk daripada pisau Kukri Gurkha.

Katanya, tuntutan semasa membuatkan reka bentuk parang dipelbagaikan daripada reka bentuk tradisional yang menggunakan motif bunga halus, moden yang menggunakan motif bunga dan geometri serta kreatif yang memperlihatkan bentuk parang yang lain daripada yang lain namun masih menarik.

"Saya telah menceburkan diri dalam seni pembuatan parang sejak berumur 17 tahun, dan saya telah menyekolahkan semua anak saya dengan hasil pembuatan parang," katanya.

Dewasa ini, besi untuk dibuat parang biasanya dibeli di pusat-pusat pengumpulan besi buruk. Besi seperti 'spring' kereta, besi gandar dan besi gergaji mesin telah menggantikan besi rel keretapi yang begitu mudah didapati pada suatu waktu dahulu.

"Dahulu, peralatan membuat parang sangat sukar, tetapi kini semuanya telah dipermodenkan," katanya.

Sementara itu, menurut Sakti, sebelum ada mesin kikir seperti ketika ini, orang dahulu mengasah parang dengan cara 'kigkid' iaitu menggeselkan parang dengan parang sebelum di asah dengan batu sungai.

"Kini tidak lagi kerana semua peralatan dimodenkan seiring dengan kemajuan teknologi. Pembuatan parang yang dahulu memakan masa seminggu kini menjadi sehari," ujarnya.

Sakti memberi contoh, jika dahulu besi dibakar di dalam relau menggunakan tenaga manusia untuk mengepamnya, namun kini tenaga elektrik menggantikan serba-serbi peralatan di bengkel keluarga mereka.

MAJAD Halim menunjukkan besi kereta yang digunakan untuk membuat parang yang menjadi tradisi kebanggaan keluarganya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sentuhan Parang Omar

Oleh Maznah Mohd. Arsad
utusanjohor@utusan.com.my


Omar Mohamad menunjukkan sebahagian pisau dan parang yang siap untuk dijual ketika ditemubual di Johor Bahru, baru-baru ini. - utusan/Nasirruddin Yazid

JOHOR BAHRU 20 Ogos - Pisau dan parang merupakan salah satu alat yang cukup penting bagi setiap isi rumah kerana ia merupakan pelengkap keperluan dapur.

Menyedari kepentingan kedua-dua alat berkenaan, seorang usawahan, Omar Mohamad, 53, berani menceburi perusahaan itu secara komersial.

Apa yang membanggakan, hasil sentuhannya bukan sekadar mendapat permintaan dan terkenal di negeri ini malah di seluruh negara kerana berjaya menghasilkan pisau dan parang yang kreatif dan bermutu.

Kakitangan Jabatan Kastam itu memberitahu, bagi memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan, dia mula menceburi bidang itu secara komersial sejak 2004 dengan menubuhkan Nouvo Craft Enterprise.

Syarikatnya itu kini beroperasi di Kompleks Kraftangan Malaysia cawangan Johor di Jalan Cenderasari.

Menceritakan bagaimana dia boleh melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan itu, Omar memberitahu, pada mulanya dia telah menempah sebilah parang daripada seorang pengusaha bagi keperluan berkebun.

"Berdasarkan pengamatan, rupa-rupanya tidaklah sukar untuk membuatnya. Sebelum ini pun saya pernah melihat kaedah membuat mata parang ketika berumur 13 tahun di Kampung Pandan, di sini.

"Maka timbul minat untuk mengusahakannya secara komersial, lagipun ia mendapat permintaan tinggi," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Justeru, pada 2004 dia dan anaknya, Khairil Armizal, 28, mula membeli mesin pemotong kayu, gerudi dan mesin pencanai dengan kos kira-kira 1,000.

Omar berkata, dia membeli mata pisau dan parang yang diperoleh dari Terengganu berikutan kualitinya yang baik.

Menurutnya, bagi mendalami ilmu dan kemahiran membuat kedua-dua alat tersebut, dia kerap diajak oleh rakannya dari Terengganu untuk menyertai Hari Kraftangan yang diadakan setiap tahun di Jalan Conlay, Kuala Lumpur bagi menjual produk yang dihasilkan.

"Pada 2005 saya telah mencuba dengan membawa 48 bilah parang dan pisau siap sarung. Apa yang mengejutkan saya, daripada jumlah itu sebanyak 46 bilah terjual.

"Selepas itu saya menerima banyak maklumat dan pesanan untuk membuat pisau dan parang," katanya.

Omar memberitahu, bagi mengembangkan rangkaian perniagaan, dia telah menjalin kerjasama dengan Kraftangan Malaysia cawangan Johor bagi membolehkannya mengikuti program kraf tangan yang dianjurkan.

Berikutan kejayaannya, dia turut ditawarkan tapak bengkel sedia ada untuk membuat pisau dan parang.

"Bertapak dari situ, saya jadikan bengkel berkenaan bukan sekadar menghasilkan pisau dan parang, malah saya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Kalau zaman datuk nenek kita buat parang menggunakan kaedah tradisional atau manual, tapi saya buat kajian dan penyelidikan dengan menghasilkan peralatan moden bagi menghasilkan barang yang sama.

"Contohnya mesin pencanai, daripada alat itu saya berjaya menghasilkan 15 fungsi dan ia tidak ada dijual di pasaran," katanya.

Omar berkata, dengan kaedah itu ia mempercepatkan kerja iaitu sebilah pisau atau parang boleh disiapkan dalam masa satu hingga tiga jam berbanding kaedah manual sebilah parang mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk disiapkan.

Mengenai jenis besi yang digunakan, Omar berkata, lazimnya dia menggunakan besi spring dan besi putih kerana ia lebih baik dan tidak berkarat.

Setakat ini pisau yang paling laris adalah pisau dapur yang berharga antara RM25 hingga RM40 sebilah dan tempahan termasuk dari Kelantan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Pahang selain Johor.

"Selain mata pisau dan parang, hulu serta sarung turut memainkan peranan kerana saya memilih kayu bermutu termasuk kayu ciku, duku, cempedak, nangka dan longan kerana coraknya yang cukup menarik serta kukuh.

"Saya turut memilih kayu hutan seperti kemuning, mentigi, penawar hitam, bueh, akasia dan paling mahal adalah kayu surian yang saya pernah menjual pada harga RM600 sebilah kerana seni yang terdapat pada sarung pisau berkenaan," katanya.

Omar berkata, sejak melibatkan diri dalam industri itu, terdapat beberapa pengalaman menarik dialaminya termasuk empat bilah pisau yang terdapat kalimah Allah pada sarungnya.

Orang ramai yang berminat untuk membeli produknya atau berkongsi pengalaman membuat pisau dan parang boleh menghubungi talian 019-7635512 atau 012-7575903.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keunggulan Parang Limbang


SARUNG parang bercorak dam daripada tukang parang bernama Kamarul dari Limbang, Sarawak dianggap unik.


BAGI pengumpul parang, kecantikan dan identiti memainkan memainkan peranan besar dalam pemilihan koleksinya.

Bagi seorang peminat dan pengumpul parang, Zaki Ahmad, kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan tukangannya termasuk pemilihan besi dan kayu serta reka bentuk mata parang.

"Saya percaya keseimbangan elemen ini akan membentuk parang yang cantik," katanya yang menetap di Limbang, Sarawak.

Menurut Zaki, di Sarawak, ada sesetengah parang merupakan hasil tukangan unik dan identiti sesuatu kaum, contohnya parang ilang yang sinonim dengan suku kaum Iban atau parang pakayun bagi suku kaum Murut.

"Tidak dinafikan juga, ada di kalangan peminat yang memilih koleksinya berdasarkan fungsi parang tersebut. Fungsi akan mempengaruhi bentuk mata parang, contohnya parang untuk menebas, selalunya panjang dan nipis.

"Parang untuk memotong daging pula saiznya lebar, tebal dan berat manakala parang untuk menyembelih, selalunya bermata bengkok ke hadapan dengan panjangnya melebihi 31 sentimeter (sm), dan pelbagai lagi mengikut kesesuaian fungsinya," katanya yang mempunyai 20 parang dalam simpanannya.

Selain meminati parang yang berukir, Zaki juga suka mengumpul parang yang unik contohnya parang dam atau parang yang sarungnya diperbuat daripada kayu yang sukar diperolehi.

"Saya memiliki sebilah pisau lapah buatan Pak Wahid dari Seremban, dan satu lagi masih dalam tempahan dari tukang di Johor, selebihnya buatan tukang dari Sarawak, terutama sekitar Limbang, Lawas, Miri dan Sri Aman.

Apa beza antara parang Semenanjung dengan di Sarawak?

"Parang buatan tukang di Limbang saya anggap lebih unik dan kreatif.

"Motif corak sarung parang selalunya berlekuk-lekuk dan berombak-ombak dengan hulunya agak lurus.

"Kebelakangan ini pula, mata parangnya akan dikilat seperti cermin. Satu daripada parang unik buatan Limbang ialah parang dam. Ia mempunyai hulu dan sarung yang dibuat daripada cantuman kayu yang disusun bercorak-corak.

"Difahamkan, pembuatannya agak rumit dan perlukan kemahiran tinggi. Jika tidak, sarung parang akan mudah patah," katanya yang seminggu sekali akan mengeluarkan parang dari sarungnya untuk dibersihkan.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my