Isnin, 17 Februari 2014

Pengeluar alat muzik warisan silam



ALUNAN merdu yang terhasil daripada tiupan serunai yang dimainkan Muhammad Zulhalmizan Mustafa, 18, menjadi halwa telinga yang amat mengasyikkan.
Diiringi ketukan gendang ibu dan anak serta paluan gong oleh tiga individu berbeza menjadikan ia satu persembahan yang cukup harmoni.
Pada awalnya, minda meneka-neka, apakah lagu yang dimainkan oleh kumpulan pemuzik tersebut kerana iramanya seakan-akan pernah didengar sebelum ini?
Sebaik diamati dengan penuh rasa minat, persoalan itu akhirnya terjawab jua. Irama tersebut merupakan lagu Penawar Rindu ciptaan Atan Ahmad yang didendangkan oleh penyanyi Orchid Abdullah.
Ia sebuah lagu berentak ghazal yang dirakam pada tahun 1970 dengan iringan kumpulan Orkes Sri Kenangan Batu Pahat dan menjadi antara lagu ghazal paling popular dalam sejarah muzik Melayu.
Ironinya, semua peralatan muzik tradisional yang dimainkan tersebut dihasilkan sendiri oleh pengusaha kraf rimba, Hamid Abdullah atau lebih mesra disapa Pak Teh.
Lelaki berusia 52 tahun itu mula berkecimpung dalam dunia pembuatan gendang sejak empat dekad lalu sekali gus boleh dianggap sifu dalam bidangnya.
Menurut beliau, kemahiran tersebut diwarisi daripada bapanya, Abdullah Saad yang merupakan pembuat gendang tersohor di negeri Jelapang Padi itu.
"Saya mula belajar membuat gendang pada usia 11 tahun. Sebelum itu, pada usia tujuh tahun, saya sudah berminat dengan muzik yang terhasil daripada gendang buatan ayah. Sebab itulah, saya bersemangat untuk membuat gendang sendiri," terang Hamid ketika ditemui di rumahnya di Pendang, Kedah baru-baru ini.
Pasangan
Beliau memberitahu gendang yang dimainkan apabila menyambut rombongan media bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu adalah gendang silat.
SELAIN pandai bermain gendang, Hamid juga mempunyai kemahiran meniup serunai.


"Secara umum, terdapat pelbagai jenis gendang yang dihasilkan. Antaranya gendang kompang, gendang joget, gendang dikir, gendang peribumi, gendang panjang Siam, gendang Cina dan gendang India.
"Setiap gendang pasti ada pasangannya atau dipanggil gendang ibu dan anak. Ia dibuat menggunakan kayu nangka, merbau ataupun sertang. Tetapi, ada juga gendang yang dibuat daripada kayu jelutong kerana teksturnya yang lembut dan senang diukir," ujar Hamid yang mewarisi sebuah gendang India yang berbentuk seperti tanduk sejak lahir daripada arwah bapanya.
Untuk membuat gendang, selain memerlukan kayu sebagai bahan utama, ia turut menggunakan kulit haiwan sama ada lembu, kambing atau kerbau.
Rotan pula berfungsi untuk mengikat kulit haiwan dengan kayu yang sudah ditebuk di bahagian dalamnya menggunakan mesin khas. Ia juga akan dililit dalam gendang bagi tujuan menyekang gendang tersebut.
Tambah Hamid, gendang dibuat dalam saiz yang berbeza bagi tujuan menghasilkan bunyi yang harmoni dan pelbagai untuk didengari.

KULIT haiwan seperti kambing, lembu atau kerbau perlu dibersihkan dan dijemur terlebih dahulu dalam satu tempoh yang lama untuk mendapatkan bunyi gendang terbaik.


"Jika gendang tidak berbunyi apabila diketuk, ini bermakna ada kesilapan ketika proses penghasilannya. Sebagai contoh, mungkin ikatan rotan yang tidak ketat atau dibuat secara sambil lewa.
"Dulu, masa mula-mula belajar, tiga bulan gendang yang dibuat tidak siap-siap. Kalau siap pun pasti tidak mengeluarkan bunyi yang bagus. Sekarang, saya hanya ambil masa dua minggu untuk siapkan sepasang gendang. Memang ia agak lambat tetapi kualiti gendang yang dihasilkan adalah yang terbaik," kata Hamid yang mempunyai enam pekerja di bengkelnya.
Pantang larang
Tambah Hamid, dalam membuat gendang ia turut mempunyai pantang larang selain memerlukan penghayatan dan lemah-lembut.
"Paling utama, gendang yang telah siap tidak boleh dilangkah. Petua orang lama ini mungkin diambil kerana adab orang Melayu, sesuatu barang yang digunakan tidak manis sekiranya dilangkah.
"Apatah lagi, gendang merupakan salah satu alat muzik warisan yang perlu dipertahankan oleh generasi masa kini," terang Hamid yang mempunyai 13 orang anak termasuk anak tiri dan anak angkat.
Dalam pada itu, kemahiran Hamid membuat gendang turut diwarisi tiga orang anak lelakinya. Salah seorang daripada mereka ialah Mohd. Sobri, 30.
Merupakan anak kedua dalam keluarga, Mohd. Sobri mengakui mahu meneruskan legasi membuat gendang yang diwarisi daripada datuk dan ayahnya.
"Sewaktu kecil saya pernah duduk dengan Tokwan dan sering melihatnya membuat gendang. Selepas Tokwan meninggal dunia, saya sedar menjadi tanggungjawab saya pula untuk membantu ayah," ujar Mohd. Sobri.
Kawalan nafas
Sementara itu, anak angkat Hamid, Zulhalmizan memberitahu, dia seronok apabila dipelawa untuk bekerja dengan ayah angkatnya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia.
"Sebenarnya, saya mula belajar meniup serunai dengan ayah angkat pada usia 13 tahun. Ia mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk menguasainya. Paling penting, kita perlu mempunyai kawalan nafas yang baik untuk menjadi seorang peniup serunai yang hebat.

BATANG pokok nangka dikikis menggunakan mesin untuk dibentuk menjadi gendang.


"Sekarang, saya sudah pandai membuat serunai yang boleh disiapkan dalam tempoh hanya sehari," ujar Zulhalmizan yang turut membuat persembahan bersama kumpulan muzik Hamid yang dinamakan Sri Pusaka Pak Teh.
Perkara itu diakui bapa kandung Zulhalmizan, Mustafa Abdullah, 50. Sebagai jiran sekampung juga, Mustafa tidak melepaskan peluang belajar membuat alat muzik dengan Hamid di samping mempelajari cara bermain gong.
Ini kerana, bagi setiap set alatan muzik yang dibuat Hamid, ia terdiri daripada dua gendang (ibu dan anak), gong dan serunai.
"Selain bermain lagu atau irama tradisional, kami juga boleh memainkan lagu-lagu bersifat ketuhanan atau nasyid. Namun, untuk mahir memainkan alat muzik tradisional ini, kita perlu belajar tiun atau irama pada awalnya," ungkap Mustafa yang berharap lebih ramai anak muda mendalami bidang muzik tradisional agar ia tidak hilang ditelan zaman.
Untuk maklumat lanjut mengenai kraf gendang atau ingin menjemput kumpulan Sri Pusaka Pak Teh membuat persembahan, hubungi Hamid di talian 012-461 0785.


Sumber Artikel Dari : http://kosmo.com.my 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan