Isnin, 17 Februari 2014

Songket Melaka uji kreativiti peserta FFKL

Songket Melaka uji kreativiti peserta FFKLNOOR AZLINA menyerahkan tajaan 10 helai songket Melaka kepada Nurhasyimah sempena FFKL 2011 yang bakal diadakan pada bulan depan di Melaka, semalam.
Sesuai konsep pertandingan terap sentuhan tenunan hasil pakaian 

MELAKA: Festival Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) 2011, anjuran Berita Harian pada 4 Julai hingga 6 Julai ini dimeriahkan lagi dengan tajaan kerajaan Melaka, termasuk songket Melaka. 


Songket Melaka akan digunakan peserta pertandingan Anugerah Pesona Tenun Berita Harian (APTBH) yang diadakan sempena FFKL 2011, dalam cabaran menghasilkan pakaian dengan sentuhan tenun, seiring objektif penganjuran FFKL memartabatkan fabrik warisan itu. 

Songket diserahkan Pengurus Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Noor Azlina Yunus kepada wakil Berita Harian, Nurhasyima Hasim, di sini, semalam. Turut hadir, juri pertandingan yang juga Pengurus Imej Primeworks Studios Sdn Bhd, Zaihani Mohd Zain serta Perunding dan Pengurus Acara FFKL 2011 yang juga Pengarah Urusan Tradisi Busana P R Sdn Bhd, Dodi Mohasdi Mohammad. 

Noor Azlina berkata, tajaan songket Melaka adalah bagi memperkenalkan identiti terbaru negeri itu yang menghasilkan sendiri rekaan corak tenunan eksklusif bagi fabrik berkenaan sejak dua tahun lalu. 

“Motif utama tenunan songket negeri ini adalah bunga kesidang yang mempunyai lima kelopak dan menjadi bunga rasmi kerajaan negeri. Penghasilan songket Melaka dicetuskan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bagi memberikan identiti terbaru kepada negeri ini. 

“Justeru, tajaan ini diharap memberikan pendedahan kepada pelbagai pihak khususnya pemain industri fesyen tanah air. Ia juga wajar dimanfaatkan pereka fesyen yang menyertai FFKL kali ini terutama menghasilkan rekaan menggunakan songket jenis ini,” katanya. 

Noor Azlina berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih dan berbangga dapat bekerjasama menjayakan FFKL di samping berharap ia dapat diteruskan pada masa depan. 

FFKL 2011 yang akan berlangsung di The Actors Studio, Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, dijadual dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, bukan saja dipenuhi pertunjukan fesyen oleh pereka terkemuka, malah memberi peluang kepada pereka muda dan penuntut kolej serta institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mempamerkan bakat. 

Dua pertandingan diadakan sempena FFKL 2011, iaitu APTBH, pertandingan membabitkan pereka fesyen muda dengan sekurang-kurangnya setahun pengalaman dalam industri dan Anugerah Perantis Muda Berita Harian (APMBH), bagi penuntut kolej dan universiti tempatan. 

Pemenang APTBH yang dinobatkan Pereka Fesyen Terbaik akan menerima wang tunai RM10,000 dan peluang menjalani penggambaran fesyen di London, manakala Perantis Muda Terbaik menerima wang tunai RM3,000 dan latihan kerja bersama pereka fesyen terkemuka negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan