Ahad, 23 Februari 2014

Tradisi popular zaman-berzaman





PERBANDINGAN secara lahiriah sudah memadai untuk dijadikan ukuran terhadap ketinggian nilai klasik sepasang baju Melayu berbanding pakaian tradisional lain. Bukan cuba bersikap etnosentrik iaitu semangat patriotik dan bangga, namun siapa pun pasti terpesona dengan lelaki yang menyarung persalinan tradisi itu.
Menyingkap titik permulaan baju Melayu, sejarah menyatakan bahawa ia diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah yang merupakan sultan ketiga memerintah empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1424 hingga 1444.
Sejarah Melayu turut mendedahkan bahawa pada asalnya baju Melayu direka dengan potongan sendat dan singkat. Usaha seorang pembesar memanjang dan membesarkan pesak baju Melayu akhirnya kekal menjadi ikutan hingga ke hari ini.
Selepas hampir 600 tahun menjadi persalinan kebanggaan kaum Adam berdarah Melayu, pakaian tradisi itu telah melalui pengolahan fungsi dan ciri praktikal sejajar arus semasa.
Bermula sebagai busana golongan diraja, ia kemudiannya menjadi pakaian harian ringkas orang kebanyakan. Tidak lama kemudian golongan lelaki menjadikan baju Melayu untuk ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat. Pengaruh besar pakaian tradisional itu akhirnya menjadikan ia persalinan rasmi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Jika dahulu, rekaan baju Melayu lebih ringkas dan bersifat ala kadar, hari ini prinsip itu telah mengalami anjakan drastik. Baju Melayu pelbagai motif, warna dengan menggunakan material berbeza mula menjadi pilihan lelaki-lelaki Melayu di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Fabrik kapas atau kapas campuran yang menjadi material asli pakaian itu kini ditukar kepada satin, organza dan pelbagai seleksi fabrik moden. Rekaan polos tanpa cantuman motif atau corak pula ditambah dengan jalur atau cetakan sederhana bagi memberi suntikan moden.
“Konsep baju Melayu sekarang masih mengekalkan ciri tradisional. Bagi membentuk elemen moden, saya tambahkan lapisan pada bahagian lengan dengan corak berjalur.
“Seluar direka polos dan ditambah perincian pada poket dari segi alur. Potongan baju dan seluar pula lebih langsing agar tampak melekap cantik pada tubuh si pemakai,” luah pereka fesyen busana lelaki tempatan, Fairuz Ramdan, ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Cita rasa
Menurut Fairuz, kapas satin menjadi pilihan untuk koleksi baju Melayu Bespoke cekak musang. Bagaimanapun pelanggan masih boleh memilih material mengikut cita rasa masing-masing. Beliau menawarkan 22 pilihan warna untuk baju Melayu ini termasuk merah pic, merah tembikai, hijau dan kuning.
Berbeza daripada kebiasaan, kemeja kasual berilhamkan baju Melayu turut disediakan kepada mereka yang mahukan gaya santai pada pagi Syawal. Elemen tradisional masih dikekalkan Fairuz pada bahagian potongan kolar.

FAIRUZ (kiri) menawarkan 22 pilihan rona menarik untuk koleksi baju Melayu Bespoke.



“Ia menggunakan kolar Mandarin dan bagi menyesuaikan dengan tema raya, rekaan asasnya diambil daripada baju Melayu manakala perinciannya dipinjam daripada kemeja,” tambah Fairuz.
Menggunakan kain kapas dan linen, kemeja tersebut sempurna dipadankan bersama seluar panjang fabrik kapas twil. Agar tidak kekok, Fairuz menyarankan ia disatukan dengan seluar khaki agar gaya santai itu dapat diselaraskan.
“Jean perlu dielakkan kerana ia boleh mengubah penampilan menjadi kasar dan tidak sesuai untuk hari raya. Tamat musim perayaan, barulah anda boleh memadankan kemeja ini dengan seluar pendek bagi membentuk gaya resort.
“Kelebihan kemeja ini, ia boleh mengalami transisi musim dan kekal relevan sepanjang masa,” jelas Fairuz.
Pilih kolar
Pemilihan kolar baju Melayu pula antara pertimbangan dangkal yang sering dibuat lelaki. Rata-rata kaum Adam tidak tahu perbezaan antara cekak musang dan teluk belanga. Bagi mereka, kedua-duanya sama dan tidak mendatangkan sebarang perubahan kepada penampilan.
Tanggapan itu perlu dikikis jika mahu kelihatan bijak dan segak dalam baju Melayu. Baju Melayu cekak musang menceritakan bahawa ia menjadi pakaian rasmi raja dan golongan bangsawan.
Bilangan butang juga dikisahkan mengandungi tafsiran tertentu. Baju Melayu tujuh butang khas untuk kerabat diraja dan baju berbutang lima pula dikaitkan segelintir ulama sebagai perlambangan rukun Islam.

CONTOH lakaran baju rekaan Fairuz.


Bilangan poket
Baju Melayu teluk belanga kebanggaan negeri Johor pula hadir dengan satu kancing sahaja. Berpandukan ceritera asal, ia mula diperkenalkan Almarhum Sultan Abu Bakar (Sultan Johor ke-21) ketika pusat pemerintahan Johor di Teluk Belanga, Singapura berpindah ke Tanjung Puteri, Johor Bahru pada tahun 1866.
Begitu juga dengan bilangan poket. Baju Melayu teluk belanga dua kocek kemudiannya ditambah menjadi tiga pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Johor ke-22) atas cadangan Menteri Besar Johor pertama, Allahyarham Jaafar Muhammad.
Disebabkan itu, baju Melayu pada masa kini dihasilkan dengan tiga poket. Dua pada bahagian bawah dan satu di dada kiri.
Seorang lagi pereka pakaian lelaki negara, Waridi Hamdan tampil berbeza dengan baju Melayu teluk belanga berpoket satu. Katanya: “Saya hapuskan dua poket pada bahagian bawah kerana pada pandangan saya, ia membuatkan penampilan tampak serabut apabila dikenakan dengan samping.
“Apabila baju dimasukkan ke dalam samping, dua poket bawah sering terkeluar. Jadi tidak salah ia dibuang untuk kesempurnaan gaya malah ia lebih praktikal untuk kaum Adam moden yang gemar mengisi barang keperluan di dalam beg kepit.
“Poket atas pula saya sembunyikan agar selaras dengan keseluruhan baju.”
Menyentuh koleksi baju Melayu rekaan Waridi, moden kontemporari menjadi pilihan pereka berusia 33 tahun itu sempena Aidilfitri tahun ini. Biarpun moden, potongannya masih kekal tradisional lengkap dengan pesaknya.
Penggunaan rona-rona terang dengan gabungan polos dan motif berjalur menghidupkan penampilan kreatif si pemakai. Gaya menjadi sempurna apabila dipadankan bersama seluar berjalur dan polos pada bahagian bawah.
“Saya menggunakan material kapas Pakistan kerana ia ringan dan sesuai dengan cuaca Malaysia. Ia sedikit jarang dan pemakai disarankan menyarungkan singlet atau baju T kosong pada bahagian dalam.
“Kaki seluar yang polos pula saya terapkan fabrik kapas sutera dan dipadankan samping sama jenis fabrik dan tona. Untuk baju Melayu ini, hanya samping polos sesuai dikenakan agar penampilan dapat diseimbangkan dengan baju Melayu yang berat motifnya,”


Sumber Artikel Dari : http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan