Isnin, 17 Februari 2014

Waris pembuat gambus

Mohd. Diah kini boleh menarik nafas lega, apabila gambusnya akan terus berbunyi. Anak-anaknya kini meneruskan perjuangan mempertahankan alat muzik tradsional itu.

SEBAHAGIAN gambus yang dihasilkan oleh Pak Mat.



PAK MAT membuat gambus sambil dibantu oleh anaknya, Rohana.



BERSAMA anaknya, Mohd Azwan yang meneruskan perjuangan Mohd. Diah.


BUNYI petikan tali gambus pastinya mengasyikkan, apatah lagi jika mendendangkan lagu-lagu ghazal Melayu lama. Namun, di sebalik keasyikan itu, ada kesamaran yang mencetuskan persoalan sama ada irama warisan itu akan turut sepi selepas pemergian Raja Gambus Malaysia, Allahyarham Fadzil Ahmad.
Kesempatan mendekati pengusaha kraf gambus, Mohd Diah Ariffin, 67, dari Kampung Rahmat, Batu Pahat, menimbulkan nostalgia penulis pada saat kegemilangan pemuzik gambus hebat itu.
Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) melalui anak cawangannya di Melaka dan Johor, sebuah program Lawatan Media Turun Padang ke negeri Melaka dan Johor diadakan baru-baru ini telah menemukan penulis dengan pengusaha kraf alat-alat muzik tradisional yang senantiasa ada pewarisnya.
Mohd Diah atau lebih dikenali sebagai Pak Mat merupakan anak jati negeri Johor. Melangkah masuk ke rumahnya, penulis bersama rakan media yang lain dapat mengagak Pak Mat sememangnya menyanjungi khazanah muzik Melayu.
Gambus yang dikenali sebagai ganun di Timur Tengah adalah alat muzik bertali yang dimainkan dengan cara dipetik. Ia berasal dari Turki dan Mesir.
Lazimnya, ia menjadi pengiring tarian zapin, atau sebagai muzik latar belakang pada majlis keramaian seperti perkahwinan dan menyambut tetamu kehormat.
Hamdolok, tarian zapin Arab, mempunyai hubungan yang akrab dengan gambus. Gambus juga dianggap sebagai suatu kemestian dalam mengiringi nyanyian ghazal.
Menurut Pak Mat, asal usul kehadiran gambus dikatakan bermula daripada kedatangan pedagang dari Timur Tengah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Budaya masyarakat merekalah yang memperkenalkan gambus kepada masyarakat Melayu pada waktu itu.
Walaupun darah seni itu sememangnya lahir daripada bapa dan bapa saudara Pak Mat sendiri, namun beliau tidak pernah menyangka untuk menjadi pengusaha kraf alat muzik tradisional tersebut.
Dahulunya bekerja sebagai seorang penoreh getah, Pak Mat, mula bergiat secara serius dalam pembuatan gambus pada tahun 1999. Sejak itu, beliau mula menjadi pembuat dan pembekal alat muzik tradisional, bukan sahaja gambus, malah gedombak, dol, maruas, kompang dan angklung. Beliau turut menghasilkan paip untuk penggemar tembakau.
Siapa sangka pada zaman teknologi dan maklumat ini, anak bongsunya, Mohd Azwan, 21, penuntut jurusan Diploma Seni Ukiran Institut Kraf Negara (IKN) yang kini sedang menjalani latihan industri turut menunjuk minat dalam penghasilan gambus.
"Pada mulanya, saya hanya belajar kemahiran mengukir di IKN. Lama-kelamaan melihatkan ayah yang bersungguh-sungguh mengusahakan pembuatan gambus, saya mulai belajar dan akhirnya mahir dalam menghasilkannya," kata Mohd Azwan.
Tidak ketinggalan, anak perempuan Pak Mat, Rohana, 25, yang baru sahaja tamat pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), turut turun padang membantu ayahnya selepas mempelajarinya sendiri daripada adiknya, Mohd Azwan.
Menurut Pak Mat lagi, beliau merasa bertanggungjawab untuk mengekalkan seni warisan Melayu itu selepas seorang pengusaha kraf gambus berusia 86 tahun di Senggarang, Batu Pahat, yang uzur sudah tidak mampu untuk mengusahakannya lagi.
"Pengusaha gambus yang saya kenal di Senggarang kini sudah semakin uzur. Saya merasa terpanggil untuk menyambung apa yang telah dilakukannya, iaitu membuat gambus," jelasnya lagi.
Berbekalkan dorongan dan pengetahuan anak yang mempelajarinya secara formal di IKN, Pak Mat kini giat memenuhi permintaan yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Antaranya ialah Yayasan Warisan Johor yang kerap membeli alat-alat muzik tradisional untuk dipasarkan. Terbaru, Pak Mat turut memperoleh permintaan dari negara jiran, Brunei yang mahukan alat muzik tradisional tersebut sebagai koleksi cenderamata.
Dalam memenuhi permintaan, Pak Mat mengutamakan mutu gambus, lantas hasil kerjanya tampak begitu teliti dan mempunyai nilai seni yang tinggi.
Terdapat tiga komponen utama pada rekaan bentuk gambus iaitu kepala, tampuk belakang dan badan.
Bermula dengan proses memotong bahan mentah seperti kayu jati merah, nibung dan maruas mengikut ukuran yang ditentukan, mengetam sehinggalah kepada membuat manik (bahagian tepi pada badan gambus), kesemuanya dianggap penting bagi Pak Mat dalam mengekalkan keaslian seni pembuatan gambus itu.
Beliau menambah, "Pada saya, sebelum menerima tempahan, terlebih dahulu akan saya pastikan bekalan bahan mencukupi. Jika tidak, saya tidak akan terima tempahan hanya kerana ingin mengaut untung semata-mata. Seni pembuatan gambus harus dijaga dan tidak boleh diambil remeh."
Kerja-kerja membuat gambus kesemuanya diusahakan di bengkel yang terletak bersebelahan dengan rumah Pak Mat.
Seawal pukul 8 pagi lagi, Pak Mat bersama dua pekerja termasuk Mohd Azwan akan memulakan kerja-kerja di bengkel. Disiplin kerja amat diutamakan khususnya apabila banyak tempahan yang perlu disiapkan.
Beliau menekankan, aspek disiplin merupakan satu kemestian untuk setiap pekerja termasuk dirinya sendiri. Baginya, minat dan kesungguhan sahaja tidak mencukupi. Ia mesti disertai dengan disiplin kerja supaya kerja-kerja pertukangan tangan seperti membuat gambus ini dapat diikuti oleh generasi hari ini.
Dengan adanya pewaris yang terdiri daripada kalangan anak-anaknya sendiri ditambah pula dengan bantuan yang diberikan pihak Kraftangan Malaysia, kini Pak Mat sudah mampu menarik nafas lega. - Bernama


Sumber Artikel Dari : http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan