Khamis, 13 Februari 2014

OKU buat kompang sara diri


Kecacatan tidak menghalang Itam Abu Bakar untuk gigih bekerja membuat kompang bagi memenuhi tempahan pelanggan di Kuala Kangsar.

KUALA KANGSAR 21 April - Hilang salah satu anggota badan akibat kemalangan 33 tahun lalu hampir melunturkan semangat Itam Abu Bakar, 64, untuk meneruskan hidup.

Apatah lagi anggota badan yang hilang itu adalah kaki kanan yang menjadi alat penting untuk bergerak.

Namun, enggan menyerah kepada takdir, dia yang kini tinggal di Kampong Sayong Hulu dekat sini, bangkit dan berusaha meneruskan kehidupan meskipun dalam keadaan kekurangan anggota badan.

Kini, selepas 33 tahun kejadian malang menimpa dirinya, warga emas itu bersyukur kerana dia bukan sahaja mampu menempuh kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU), tetapi boleh menyara lapan anaknya tanpa perlu mengemis atau menagih simpati masyarakat.

Selain melakukan kerja-kerja kampung, datuk kepada empat orang cucu itu menjadikan kemahiran membuat kompang sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarganya.

"Saya berehat empat tahun di rumah selepas kemalangan. 

Sesudah itu saya cuba bekerja sedikit demi sedikit sebelum boleh melakukan kerja berat.

"Kerja-kerja berat yang dimaksudkan itu termasuk menebang kayu, memanjat pokok menggunakan tali sebelum ditebang dan sebagainya," katanya memulakan bicara.

Beliau berkata, di peringkat awal, kerja-kerja itu dilakukan bagi mengambil upah, tetapi kini ia dibuat untuk mencari bahan mentah bagi membuat kompang.

Menurutnya, kemahiran membuat kompang dan baluh (bingkai gendang) dipelajari daripada rakannya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya, Zainuddin Andika.

"Selepas yakin dengan kemampuan diri, saya usahakan secara sendirian. Itupun selepas membeli mesin yang telah diubah suai berharga RM1,200 dan mesin gergaji berharga RM875," katanya.

Usahawan itu memberitahu, dalam sehari, dia boleh menyiapkan lima 'baloh' dan dua kompang yang dijual pada harga antara RM80 hingga RM120 bergantung kepada saiz.

Katanya, kayu yang digunakan ialah batang nangka, rambutan dan bongor.

"Semua itu dilakukan sendiri dan dibawa menggunakan motosikal yang telah diubah suai sesuai dengan kecacatan diri," katanya

Menurut Itam, tempahan kompang bukan sahaja diterima daripada penduduk daerah ini tetapi seluruh negara.

Mengimbas mengenai kejadian malang itu, Itam berkata, kemalangan tersebut berlaku pada l9 April l978 di Kampong Raja di Parit.

"Motosikal yang saya naiki berlanggar dengan sebuah lori balak. Rakan saya yang menunggang motosikal tersebut maut dalam kejadian itu.

"Saya terlantar selama dua bulan 15 hari di Hospital Ipoh merawat kecederaan yang menyebabkan kaki kanan terpaksa dipotong hingga ke paras paha," katanya.

Itam berkata, kemalangan itu bukan pengalaman cemas pertama dan terakhir yang dialami sepanjang hidupnya.

Menurutnya, ketika berusia l5 tahun, dia hampir lemas di Sungai Perak dan pernah jatuh dari pokok getah setinggi 12 meter.

Dia menambah, kali terakhir dugaan menimpanya apabila pada 5 Januari 1999, pukul 11.30 pagi dia ditimpa pokok kelapa.

Kejadian tersebut katanya, berlaku di Kampung Kepala Bendang dekat sini, apabila tangga untuk memanjat batang pokok berkenaan patah.

Katanya, ia kemudiannya diikuti oleh batang kelapa berkenaan sepanjang 20 meter yang tumbang lalu menimpa dadanya.

Akibat daripada kemalangan itu, lima tulang dada sebelah kanan dan dua di kiri patah dan sekali lagi dia terpaksa menghabiskan masa lama di hospital bagi merawat kecederaan itu.

Itam berkata, segala dugaan yang dialaminya selama ini memberikan satu pengajaran dan kekuatan untuknya meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan cacat anggota badan.

Katanya, bantuan kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap nasib OKU meringankan beban dalam mengharungi kehidupan setiap hari.

Selain bantuan rumah tiga bilik berharga RM33,000, dia turut menerima bantuan RM200 sebulan daripada 
Felcra dan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya belum berputus asa untuk hidup seperti orang lain yang mempunyai anggota sempurna dan saya berazam selagi ada upaya akan terus membuat kompang sebagai cara mendapatkan wang bagi menyara keluarga," katanya.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan