Ahad, 26 Januari 2014

Batik digital Terengganu

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

Erra Fazira menandatangi helaian batik sambil diiringi Pengarah Urusan Desa Murni, Mohd. Suhaimi Embong (kiri) dan Sasaliza Mohd. Sirin (kanan) di majlis pembukaan Butik Desa Murni di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

TIDAK salah percaturan Desa Murni Batik Sdn. Bhd. (DMBSB) memilih pelakon dan selebriti terkenal Erra Fazira sebagai duta dan jurucakap butik mereka.

Dek kerana itu juga, nama Desa Murni Batik terus meniti dalam kalangan peminat batik sebaris dengan nama-nama besar perusahaan batik yang telah mencipta nama terlebih dahulu.

Terbaru DMBSB telah melancarkan pembukaan butik francais pertamanya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Pengurus butik, Sasaliza Mohd. Sirin berkata, sambutan yang menggalakkan khususnya dari golongan wanita mendorong pihaknya memilih perniagaan batik.

Tambahan lagi apabila pihak kerajaan mengadakan kempen pemakaian batik seminggu sekali di kalangan kaki tangan awam menjadikan permintaan terhadap batik tidak akan luput.

"Rekaan dan corak batik sentiasa berubah mengikut peredaran masa dan juga permintaan daripada orang ramai.

"Melalui rekaan terkini dan moden, kita dapati pasaran kian meningkat terutama di kalangan wanita yang memilih batik untuk fesyen kurung, kebaya, kurung moden dan terkini gaun labuh atau jubah.

"Walaupun butik ini baru beroperasi sebulan lalu, kami telah mendapat sambutan yang amat baik terutama daripada penduduk sekitar Lembah Klang.

"Uniknya, walaupun kesemua batik dihasilkan di Kuala Terengganu, rekaan, warna dan corak batik direka berdasarkan cita rasa masyarakat bandar yang tinggal di sini," ujar Sasaliza

Beliau mengakui memilih batik kerana mahu mengangkat balik warisan keluarga.

Walaupun bukan lukisan tangan, batik digital memang mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh duta DMBSB sendiri, Erra Fazira yang turut melahirkan rasa amat bangga kerana dapat menjadi duta produk tempatan.

Bagi Erra, batik adalah warisan tradisional yang bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di persada dunia.

"Saya sendiri bersama pereka fesyen saya menghasilkan pelbagai idea pakaian tradisional dan kasual daripada fabrik batik.

"Saya yakin kerjasama ini mengeratkan silaturrahim. Walaupun saya bukan bertudung, tapi saya telah mula berjinak memakai tudung dan mohon doakan saya memakai tudung secara berkekalan," kata Erra yang telah menjadi duta produk selama dua tahun.

Antara keluaran DMBSB ialah Batik Gangnam Style iaitu rekaan batik lukis melalui teknik canting.

Fabiola Batik Style yang menampilkan corak moden yang digabungkan dengan geometri dan Genovia Batik Style iaitu klasik moden dengan susunan bermotifkan flora dan abstrak.

Sementara Batik KL Style pula mengetengahkan corak abstrak dengan latar belakang kosong.

Selain batik sutera digital, DMBSB juga mengeluarkan helaian untuk kurung, kebaya dan tudung eksklusif Miffa yang menumpukan kepada tudung mudah sarung ke kepala.

"Terdapat juga tudung eksklusif Bawal Miffa yang dihasilkan dengan hiasan batu-batu kilauan yang menambah seri pemakai," katanya


Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan