Ahad, 26 Januari 2014

Empat rekaan baharu batik sutera moden diperkenalkan

Suhaimi Embong dan Erra Fazira (dua dari kiri) menunjukkan rekaan batik sutera terbaharu di Galeri Tudung dan Batik di Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 26 Jan. - Empat rekaan terbaharu batik sutera bakal menemui penggemar produk tersebut yang kini muncul dengan jenama Fabiola Batik Style, Genovia Batik Style, Batik Gangnam Style dan Batik KL Style.

Kesemua empat produk terbaharu itu yang dicipta dengan kelainan lebih menarik kini mula berada di pasaran dan merupakan produk keluaran syarikat pengeluar dan pengedar batik sutera digital terkenal, Desa Murni Batik Sdn. Bhd. (DMBSB).

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh duta DMBSB yang juga artis popular, Erra Fazira di cawangan pameran dan jualan syarikat itu di Galeri Tudung dan Batik di Kampung Pengadang Baru dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan DMBSB, Suhaimi Embong serta Pengurus syarikat berkenaan, Sikh Abdullah Sikh Ahmad.

Menurut Suhaimi, pihaknya menyiapkan rekaan terkini yang bersifat eksklusif, lebih sofistikated bagi memenuhi cita rasa penggemar batik khususnya batik digital yang diminati golongan wanita di luar Terengganu.

"Kesemua produk baharu yang kita hasilkan ini lebih unik, istimewanya adalah ia satu rekaan satu produk. Maknanya, ia direka khas hanya satu produk, tidak akan sama dengan yang lain," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Mengulas mengenai empat produk terbaharu itu, katanya, Fabiola Batik Syle menampilkan corak moden dengan rekaan geometri selain garis-garis yang membentuk corak lebih terserlah berlatar belakang polos atau bernada pelangi.

Begitu juga rekaan Genovia Batik Style iaitu corak klasik moden dengan susunan bermotifkan flora dan abstrak yang turut diadunkan corak membentuk titik besar dan kecil dengan latar belakang warna pelangi serta kesan khas yang tampil lebih segar.

Bagi Batik Gangnam Style, jelas Suhaimi, pihaknya masih mengekalkan rekaan bermotifkan kuntuman bunga segar yang nampak seolah-olah hidup dengan latar belakang nada polos putih atau berwarna.

Mengenai Batik KL Style pula, katanya, ia mengetengahkan corak abstrak dengan latar kosong tetapi tampil dengan flora yang terhad susunannya.

"Produk baharu ini dijual pada harga antara RM280 hingga RM380 dan bagi tudung seperti tudung bawal batik dijual RM49 sehelai," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, DMBSB yang kilang operasinya berpangkalan di Kampung Pulau Rusa dekat sini sudah memiliki enam cawangan premis perniagaannya iaitu tiga di Terengganu dan masing-masing sebuah di Kuala Lumpur, Perak dan Kelantan.

Menurut beliau, pihaknya merancang mengembangkan perniagaannya dengan membuka lima lagi cawangan iaitu masing-masing sebuah di Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kemaman, Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan