Ahad, 19 Januari 2014

Bakar semangat pengukir muda

PEKERJA di bengkel Wan Mustafa Wan Su menyiapkan tempahan ukiran kayu di Balai Seni Wan Mustafa, Besut, Terengganu, baru-baru ini.


BESUT 10 Feb. - Seorang pengukir terkenal di Alor Lintang, Wan Mustafa Wan Su mengabadikan alam dalam karyanya menerusi hasil kerja yang halus dan berseni.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan 'Wan Po' mewarisi bakat dan kemahiran bapanya di dalam bidang ukiran.

Slogan 'keunikan tersimpan dalam tatapan' menjadi prinsip Wan Po dalam berkarya. Beliau juga mengutamakan kesabaran dan ketelitian dalam menghasilkan karyanya.

Pertama kali menjejakkan kaki ke laman Balai Seni Wan Mustafa yang terletak di Kampung Alor Lintang di Besut, perhatian mula tertumpu kepada dekorasi pintu masuk premis menggunakan struktur kayu lama sebuah istana.

Berdiri di hadapan balai seni itu seolah-olah berada di hadapan sebuah istana lama yang masih mengekalkan ciri-ciri ukiran Melayu dengan daun pintu tinggi serta diindahkan dengan ukiran awan larat.

Melangkah masuk ke pekarangan balai seni itu pastinya berbeza daripada tempat mengukir lain apabila pemandangan ditenangkan lagi dengan pohon-pohon di sekelilingnya selain pelbagai paparan karya yang dihasilkan oleh beliau dan anak-anak didiknya.

Wan Po sangat menitikberatkan keselesaan dalam bengkel ukirannya yang kini turut dijadikan pusat latihan untuk lima pelatih daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) apabila menyediakan ruang mengukir yang selesa dan sunyi daripada bunyi bising.

Jika kita ke tempat mengukir lain, pastinya sisa kayu atau habuk menyambut ketibaan. Namun, berada di sini seolah-olah mengembalikan waktu silam dengan hiasan ukiran-ukiran lama milik Wan Po dan bapanya seperti replika wau, buaian, kerusi serta beberapa ukiran unik lagi.

Pengukir berusia 72 tahun ini mahu meletakkan kerjayanya sebagai seorang pengukir di satu tahap yang lebih tinggi supaya kerjaya ini lebih menarik minat generasi muda pada masa kini.

Jelasnya, jika itu berlaku, generasi muda tidak lagi malu untuk menceburi bidang ini sebagai kerjaya utama mereka walaupun memiliki segulung ijazah.

"Kalau kita mengukir dalam keadaan tertutup dan penuh habuk ia akan membuatkan kita kurang selesa dan menghasilkan karya yang tidak menarik," katanya.

Wan Po memberikan kebebasan kepada pelatih-pelatih muda di bengkel latihannya untuk berkarya dan menginterpretasikan kreativiti mereka dalam ukiran yang dihasilkan.

Menurutnya, mereka perlu mengekalkan keaslian dalam karya seperti ukiran awan larat yang banyak menjadi elemen penting dalam sesebuah ukiran Melayu.

"Untuk mengukir kita perlu ada jiwa yang bersih agar ukiran yang dihasilkan dapat memukau sesiapa sahaja selain keindahan ukiran itu dapat bertahan lama," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini dalam lawatan anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, beliau sering membakar semangat pengukir-pengukir muda agar berusaha memberi imej lebih baik kepada kerjaya pengukir yang selama ini hanya dikenali sebagai kerjaya kotor, berhabuk serta sukar.

"Saya ingin meletakkan kerjaya seni ini setaraf dengan kerjaya-kerjaya lain seperti guru, doktor dan ahli perniagaan kerana bidang ini amat berkait rapat dengan kerjaya sukar seperti itu.

"Sebab itu saya galakkan mereka datang ke bengkel ini dengan pakaian yang kemas, cantik selain turut menyediakan apron agar mereka lebih bersemangat," katanya.

Bakat Wan Po diasah oleh bapanya, Wan Su, yang hasil ukirannya banyak digunakan sebagai hiasan di masjid, rumah-rumah pembesar, gedung ternama dan istana.

Antara hasil kerja Wan Su yang boleh dilihat ialah di mimbar Masjid Kampung Alur Lintang, pintu besar Istana Badariah, pentas panca persada Istana Maziah di Terengganu dan pentas santapan Istana Abu Bakar di Pahang.

Bapanya yang diiktiraf sebagai Adiguru Kraf oleh kerajaan, pernah menerima anugerah Tokoh Seni Negara dan tokoh Budaya Asean di samping bintang-bintang kebesaran.

Bakat mengukir bapanya diwarisi oleh Wan Po walaupun ketika kanak-kanak beliau dilarang untuk mendekati bangsal yang menjadi ruang bapanya berkarya.

Wan Po meminati ukiran kayu sejak kecil. Namun, beliau lebih gemar mengutip tunggul kayu dan mengukir di atas kayu tersebut secara sembunyi kerana bimbang diketahui bapanya.

Hasil ukirannya yang dianggap jauh lebih 'hidup' dan 'lembut' berbanding pengukir lain termasuk bapanya menyebabkan nama beliau semakin dikenali. Wan Po kemudian ditawarkan mengikuti kursus Daya Usaha Tangan (Duta) anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau yang sebelum ini pernah bekerja sebagai guru, pemain muzik dan penjual kuih meneruskan usahanya dalam bidang ukiran dengan mengukir di rumah-rumah orang kenamaan sehingga semakin dikenali selain turut mendapat permintaan daripada masyarakat di Jepun, China, Kanada dan Denmark.

Menurut Wan Po, untuk merasai sebenar cabaran dalam seni ukiran kayu, pengukir perlu mencuba mengukir ukiran berbentuk patung.

Ujarnya, cabaran terhebat dalam seni ukiran dapat diatasi sekiranya mampu mengukir sesebuah patung dengan baik.

"Nak ukir patung ini perlu ketelitian dan ukiran itu perlu nampak hidup. Jika tidak kita bukan seorang pengukir yang bagus.

"Sebab itu saya menerapkan latihan mengukir dari jiwa dan bukan sekadar ingin membuat duit sahaja," jelasnya.

Wan Po kini mempunyai 30 orang pekerja di bengkelnya dan turut dilantik menjadi Adiguru Kraf Ukiran Kayu Tradisonal oleh Kraftangan Malaysia.


Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan