Ahad, 19 Januari 2014

Koleksi tembaga kukuhkan hubungan

HASHIM Ismail bersama isterinya, Kalsoom Abu Bakar menunjukkan koleksi barangan tembaga di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 4 Nov. - Barangan tembaga yang mungkin masih kelihatan dalam sebilangan rumah kalangan pendudukan tempatan lazimnya peninggalan warisan dan tidak lagi menjadi bahan untuk pelbagai kegunaan harian.

Barangan ini tidak mudah untuk dijaga, lazimnya cepat pudar dan tidak banyak orang yang masih memberi nilaian berharga terhadap bahan logam itu sehinggakan ada yang menjual sebagai bahan lusuh atau memerapkan sahaja di dalam setor.

Arwah Puteh Mohammad yang meninggal dunia 10 tahun lalu turut mempunyai pelbagai barangan tembaga namun warisannya masih terjaga rapi dengan minat dan kecintaan menantunya Hashim Ismail, 69, terhadap barangan lama.

Isteri Hashim, Kalsoom Abu Bakar, 57, awalnya mahu terus membiarkan perkakas dapur tembaga seperti kuali besar, periuk, senduk dan sudip, dulang hantaran serta pelbagai perkakas membuat kuih milik ibunya terperuk dalam bilik simpanan.

Tambahan pula, katanya, barangan berkenaan sudah tidak digunakan lagi setelah kali terakhir menjadi kegunaan harian ibunya ketika dia masih kanak-kanak iaitu sekitar tahun 1950-an namun mengakui ia sebahagian daripada kenangan berharga dan sejarah kehidupan keluarga.

"Suami saya kata mahu jaga tinggalan arwah mak dan saya amat terharu dengan usahanya itu kerana perkakas ini banyak mengingatkan saya kepada masa lalu bersama arwah ibu," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Pulau Rusa, di sini baru-baru ini.

Bagi Kalsoom, alatan itu yang terjaga rapi dan menghiasi ruang tamu rumah di bahagian bawah dan tingkat atas rumah mereka menguatkan lagi cintanya pada lelaki yang berkongsi hidup dengannya sejak 1977 dan menjadi bapa kepada lapan anak mereka.

Bagi Hashim, koleksi tembaga berkenaan hanyalah sebahagian daripada kesinambungan minatnya kepada barangan lama sejak zaman bujangnya apabila turut turut mengumpul cawan dan gelas daripada pelbagai negara ketika melancong.

Set gelas kaca pertama dibeli oleh bekas kontraktor itu adalah dari Itali ketika berusia 28 tahun, dengan kebanyakan koleksi adalah dari negara-negara Eropah dan Asia Barat.

Turut dimiliki adalah pemegang lilin, tepak sirih, pinggan, set teh, ukiran cermin dan bekas abu rokok daripada tembaga, perak dan piuter, di samping tong air seramik Inggeris.

"Ini bukan tentang kos, tetapi nilai sentimental dan sejarah, apatah lagi jika berkait dengan warisan sendiri. Lagipun, bukan senang nak cari barangan macam ini sekarang," katanya.

Akuinya, selain berbeza kualiti dengan rekaan moden, barangan lama mempunyai ukiran yang indah dengan garapan kisah tersendiri seperti perjuangan rakyat atau peristiwa bersejarah lain.


Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan