Ahad, 19 Januari 2014

Dari rimba ke peringkat global

Gazebo dengan ukiran menarik yang dihasilkan oleh Warisan Craft Wood.

KEASLIAN dan keunikan seni kraftangan kayu yang diwarisi sejak turun temurun adalah aset dalam memelihara identiti dan kreativiti negara untuk terus berada dalam wadah tersendiri.

Warisan seni ini sememangnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, justeru keunikan seni budaya ini menjadi hiasan 'terindah' dalam dan luar kediaman masing-masing.

Tanpa artifak atau bahan-bahan ukiran sebegini, kediaman seakan kosong tiada penyeri yang boleh mendatangkan sumber inspirasi penghuninya.

Hasil rimba berasaskan kayu ini menghasilkan bahan berkualiti dan tahan lasak. Tidak dinafikan juga kreativiti pengukir menjadi faktor utama dalam menghasilkan ukiran kayu yang mantap.

Usahawan kraf
Warisan Craft Wood adalah bengkel usahawan kraf di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Pahang.

Menerima sambutan yang menggalakkan, bengkel kraftangan ini terletak di Kampung Darat Sanggang, berhampiran plaza tol Temerloh dan menghasilkan pelbagai jenis ukiran yang eksklusif dan menarik.

Pemilik Warisan Craft Wood, Rohani Md Piah yang juga Penolong Pengurus bengkel berkenaan berjaya menjalankan perniagaan kraftangan berasaskan kayu rimba sejak 13 tahun yang lepas.

Bersama suaminya Mohamad Mat Nor, yang juga pengurus bengkel itu, mereka mengendalikan operasi harian bengkel berkenaan bersama-sama enam pekerja.

Pasangan ini dipilih oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosikan hasil ukiran 'Congkak' sempena pameran kraftangan di Gedung Harrods, London pada tahun 2006.

Bukan mudah
Bukan mudah menceburi bidang ukiran ini, ia perlu minat dan semangat yang tinggi di samping kemahiran si pengukir, jelas Rohani yang amat menitik beratkan ketelitian dalam setiap rekaan mengikut gaya dan penataan.

Bagi Rohani, kerjaya dalam bidang pendidikan menjadi impiannya sejak di bangku sekolah.

Setelah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia cawangan Pahang, di situlah minatnya timbul.

Di peringkat awal, Rohani mempergunakan kemahirannya dengan menerima tempahan membuat kerusi dan meja sekolah.

Berbekalkan semangat dan kesungguhan, beliau kemudian berjaya membuka bengkel sendiri pada tahun 2001 dengan modal sebanyak RM1,500 di samping bantuan mesin daripada Kraftangan Malaysia.

Kekayaan hutan rimba negeri Pahang, tidak menyukarkan Rohani mendapat bekalan kayu daripada pembekal di sekitar kawasan berhampiran.

Antara jenis kayu yang diperlukan untuk membuat ukiran di bengkelnya ialah cengal, balau, merbau, mempisang dan nyatoh.

Motif tradisional dan moden
Motif tradisional menjadi pilihan utama Rohani dalam mengekalkan ciri-ciri eksklusif dibengkelnya, yang antaranya motif bunga pekan, matahari, kenanga, ketam guri, ketumbit dan paku pakis.

Produk ukiran yang dihasilkan adalah hiasan seni bina rumah, hiasan taman, set kerusi kayu, panel, ukiran mimbar, gazebo, rostrum, pergola, pagar dan sebagainya berdasarkan permintaan pelanggan dan inisiatif sendiri.

Manakala motif kontemporari yang dihasilkan adalah bersesuaian dengan era moden seperti motif harlicornia, daun buluh dan tangkai padi.

Antara ukiran berasaskan motif moden ini ialah panel ukiran, set kerusi kayu, pemidang dan hiasan dinding mengikut tempahan yang diterima.

Pameran produk
Bagi mengelak pembaziran kayu lebihan, Rohani menggunakannya untuk menghasilkan kraftangan bersaiz kecil seperti rantai kunci, penanda buku, pelbagai cendera hati dan ukiran ayat-ayat bentuk kaligrafi.

Rohani turut menyertai pameran-pameran yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Kraftangan Malaysia, MARA dan Risda dalam memperkenalkan kraftangan berasaskan kayu hasil rimba dari bengkelnya sendiri.

Hasil ukiran beliau turut mendapat sambutan yang menggalakkan terutama penggemar kraftangan dari Singapura yang menggemari ukiran bekas telur untuk majlis perkahwinan, rehal Quran, dulang hantaran dan bakul hamper.

Sempena Hari Kraf Kebangsaan yang berlangsung mulai 27 Feb hingga 11 Mac ini telah memberi peluang kepada Rohani untuk mempamer dan menjual hasil kraf rimba kepada orang ramai.

Dalam usahanya memartabatkan warisan seni ukiran kayu hingga ke peringkat global, Rohani turut berkhidmat menjadi tenaga pengajar kraftangan di Kraftangan Malaysia cawangan Pahang, kerajaan negeri dan Lembaga Perkayuan Malaysia (MTIB), bagi melahirkan tenaga mahir generasi akan datang. — BERNAMA


Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan