Ahad, 19 Januari 2014

Garapan seni jadi perniagaan

Oleh : Oleh Hartini Mohd Nawi
Kaya de­ngan nilai estetika membuatkan ukiran kayu dilihat begitu dekat dengan gaya hidup masyarakat Melayu.
Dari motif ukiran hingga tekstur kayu itu, segalanya membabitkan perincian seni yang tinggi.
Seni ukir memperkenalkan teknik dan motif bu­nga ukir yang menjadi identiti ukiran Melayu tradisi.

Sejarah seni ukir di negara ini (Tanah Melayu) ba­nyak terdapat dalam catatan sejarah iaitu Sejarah Melayu dikatakan bermula lebih 500 tahun dulu kian popular sebagai pe­ngukir kayu yang mempu­nyai identiti luar biasa, Zolkipli Abas, 55, begitu teruja apabila memperkatakan berkenaan keunikan dunia ukiran kayu.
Foto
ANTARA kreativiti Zolkipli yang menghiasi ruang bengkelnya.
Foto
ZOLKIPLI begitu peka dengan hasil seninya.
Foto
ANTARA peralatan mengukir.
Foto
MOTIF dan peralatan mengukir saling berkaitan.

“Bagi saya setiap seni yang dihasilkan menerusi ukiran membawa perlambangan menarik dengan seribu satu nilai estetika.

“Keindahan itulah yang meletakkan ia antara produk kraf terunggul,” katanya.

Tiada yang paling penting ingin dikongsikan de­ngan masyarakat melainkan kecenderungan dan minat mendalam mengenai ukiran kayu berbeza.

Berdasarkan pengalamannya yang menggabung­kan minat dan kepakaran, anak kelahiran Umbai, Melaka ini akhirnya berbangga apabila kini bergelar usahawan kraf dengan menubuh­kan Zol Kraf Enterprise.

Sentuhan seni pada ukiran kayu juga memberi gambaran berbeza kerana ditampilkan dengan karakter tersendiri tanpa perlu menceduk idea orang lain.

“Dalam mempertahankan keindahan seni ukiran kayu, kita perlu mencipta identiti sendiri dan berani menzahirkan kelainan.

“Ukiran kayu yang menjadi tarikan dan menyimpan khazanah paling bernilai terletak pada ketulenan serta kehalusan seninya,” katanya.

Dari kelainan itu, perincian kerja tangan Zolkipli jelas kelihatan menerusi pelbagai motif pilihan yang dihasilkan mengikut permintaan pelanggan.

Di atas kayu berkualiti terutama cengal, nyatoh dan jelutong, garapan seni ukiran kayu ditonjolkan menerusi motif alam khususnya bunga ketumbit dan bunga raya.

Berlatarkan pilihan itulah Zolkipli cuba mengukir seindah mungkin tanpa menggabungkannya dengan motif lain dalam setiap panel atau hiasan dinding.

“Bagi motif bunga raya umpamanya, seni ukiran dapat diserlahkan sepenuhnya apabila tidak membabitkan tambahan bunga lain.

“Suasana ‘kehidupan’ bunga raya itu dapat diukir dengan sempurna tanpa diganggu motif lain yang dikhuatiri menghilangkan kelainan.

“Pendekatan ini juga membuatkan saya lebih bebas dan tidak terikut-ikut dengan gaya ukiran orang lain,” katanya ketika ditemui sempena program Media Turun Padang Ke Negeri Sembilan dan Melaka anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini.

Lantas Zolkipli kini ba­nyak menghabiskan masa­nya di Bengkel Teknologi Desa untuk memenuhi pelbagai permintaan pelanggan.

Ukiran yang sudah siap kelihatan menghiasi segenap penjuru bengkel berkenaan sebagai pembakar semangat dan percambahan idea.

Bagaimanapun, usahawan yang tidak pernah mengenal erti putus asa ini mula melalui beberapa proses mengukir apabila idea timbul.

“Idea tidak tentu masa. Apabila mendapat idea saya terus lakar supaya tidak mudah lupa dan hilang begitu saja.

“Berbekalkan kira-kira 15 bilah pahat, ukiran dihasil­kan penuh teliti supaya hasilnya mampu memberikan nilai seni luar biasa” katanya yang selesa dengan ukiran rata dan tebuk tembus.

Penghasilan ukiran pada kayu cengal umpamanya diketam terlebih dulu me­ngikut ukuran saiz. Kerja melakar motif pilihan dilakukan mengikut permintaan.

Hasil pertama ditunjukkan kepada pelanggan terlebih dulu dan apabila menepati cita rasa, proses me­ngukir diteruskan.

Menyingkap pembabitan awal dalam dunia ukiran kayu sejak 1983, pelbagai usaha dilakukan termasuk menyertai kursus anjuran Kraftangan Malaysia.

Berminat sila kunjungi Zol Kraf Enterprise yang terletak di Batu 27, Bengkel Teknologi Desa, Kampung Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka.

Sumber Artikel Dari: http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan