Isnin, 17 Februari 2014

Motif tenun ikat loseng


NORTIPAH ABDUL KADIR salah seorang pakar tenun di Kampung Keladi, Pekan, Pahang yang banyak mengilhamkan rekaan-rekaan baru seni ikat loseng.


Kain tenunan ikat loseng biasanya ditenun dengan benang kapas dan sutera.
DI negeri-negeri pantai Timur Semenanjung seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang, terdapat juga kain yang teknik ikat loseng yang dikenali sebagai kain tenun ikat loseng.
Kain ini telah diusahakan sejak zaman sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu.
Apabila membincangkan hal tenun ikat loseng, akan terbayang kain tenun yang menghasilkan motif-motif yang tidak jelas bentuknya.
Kain tenun ikat loseng berbeza daripada kain pua. Benang kain pua menggunakan benang kapas yang tebal sedikit berbanding benang sutera dan kapas halus yang digunakan pada kain tenun ikat loseng.

GAMBAR rajah menunjukkan corak-corak yang boleh didapati pada kain ikat loseng.


Penghasilan kain tenun ini telah lama diusahakan dan kini hampir dilupakan. Bagaimanapun, detik sejarah hidup semula pada tahun 1981, apabila Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) mengadakan bengkel tenunan ikat loseng di Kuala Terengganu.
Pengajar tenunan ini adalah seorang wanita warga emas bernama Minah Ismail dari Kampung Banggol, Terengganu.
Pada ketika itu usianya sudah mencecah 90 tahun. Beliau memaklumkan, beliau mempelajari ilmu tersebut daripada rakannya, Che Hawa dari Kampung Paya Keladi, Terengganu.
Corak-corak yang dapat dipelajari daripada Minah adalah corak merpati sekawan, corak giling kacang, corak perahu rosak, corak hujan lebat, corak Jepun dan corak tikar rhu.
Dengan adanya bengkel ini sebahagian penenun-penenun dari PKKM, Pahang dan Sarawak dapat belajar menenun ikat loseng yang lebih halus buatannya.
Corak ikat yang lazim terdapat pada kain sarung ialah corak hujan lebat yang ditenun dengan corak berpetak dan berjalur lebar. Corak hujan lebat juga dikenali dengan nama corak batang nibung atau selumbar nibung.
MINAH Ismail tekun mengajar tenunan ikat loseng agar ia tidak hilang dimamah zaman.


Pada zaman silam, kebanyakan kain samping dari tenunan ikat loseng ditenun dengan corak perahu rosak, iaitu motifnya berbentuk 'v' yang disusun berulangan mengikut turutan benang loseng.
Selain kain sarung; corak perahu rosak boleh juga diperoleh pada kain lepas atau kain punca potong iaitu kain tenun yang tidak berjahit cantum pada bahagian kedua puncanya. Kain-kain ini dipakai oleh golongan kebanyakan dan juga bangsawan.
Kini kain tenun ikat loseng banyak dikeluarkan oleh penenun dari Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang. Tenunan ini bermula dengan tempahan kain tenun oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) pada tahun 1990, semasa saya berkhidmat sebagai pereka dan terlibat dalam rekaan ikat loseng.
Rekaan ikat loseng telah diberi kepada Nortipah Abdul Kadir iaitu seorang pakar tenun di Pulau Keladi, Pekan untuk ditenunkan tetapi pada masa itu beliau tidak dapat membuatnya.
Setelah rekaan itu diubah dan diringkaskan, maka beliau cuba membuatnya hingga dapat menguasai teknik ikat loseng itu.
Nortipah menceritakan, dalam usaha mendapatkan kemahiran ikat loseng, beliau telah bermimpi cara-cara membuat ikat loseng. Sejak itu, beliau banyak mengilhamkan rekaan-rekaan baru untuk terus ditenun di Pulau Keladi.
KAIN ikat loseng penulis.


Kain tenunan ikat loseng biasanya ditenun dengan benang kapas dan sutera. Bunga atau motif baru direkakan (semasa di PKKM) bagi tenunan ikat loseng ini merupakan motif siku keluang atau bentuk zig-zag, motif kuih ladu berbentuk daiman; segi empat bujur dan hujan lebat berpetak.
Pada tahun 1998, Nortipah juga turut menghasilkan corak baru beliau yang dinamakan corak bersilang selapis, corak pucuk rebung berlapis dan corak akar lilit batang.
Kebanyakan kain tenunan ikat loseng ini digunakan sebagai pakaian wanita seperti kain baju sepasang dan kain samping lelaki.
Kain tenun ini juga boleh dijadikan hiasan dalaman seperti hiasan dinding, kusyen, alas pinggan, alas meja dan sebagainya. Usaha yang diberikan oleh PKKM telah memajukan tenunan ikat loseng di Terengganu dan Pahang.
Kini, jelas kelihatan songket samping sekarang telah banyak menggunakan teknik ikat loseng pada latar belakang kainnya. Masyarakat hari ini mahukan kelainan pada kain tenun yang biasa dihasilkan di Malaysia.
Nyatalah bahawa kain tenun masih boleh dikembangkan untuk pasaran tempatan sehingga ke luar negara.


Sumber Artikel Dari : http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan