Isnin, 17 Februari 2014

Ismail ligat buat kompang

ROSHLAWATY RAIEH
28 Oktober 2013


Ismail ligat buat kompang
Ismail (kiri) memberi penerangan kepada pengunjung di tapak pameran kompang.


Ismail ligat buat kompang
Beberapa pelajar menemu ramah pekerja Ismail mengenai cara pembuatan komgpang di bengkel

BERUNTUNG benar jika seorang anak lelaki dapat mewarisi bakat dan kemahiran daripada si bapa. Apatah lagi jika bakat itu boleh dijadikan sumber pendapatan, tentu kehidupan akan menjadi sempurna kelak.

Mohd Ismail Abd Rahim, 36, dari Muar, Johor, ialah usahawan yang bergiat khusus dalam pembuatan kompang lebih 12 tahun lalu.

Kehebatan beliau sudah diakui ramai, malah hasil kerja tangannya itu pun telah diiktiraf oleh beberapa negeri.

Ujar Ismail, dia bersyukur dengan apa yang dianugerah ALLAH kepadanya dan berterima kasih kepada Allahyarham bapa, Abd Rahim Kasiman yang bersusah payah mencurahkan segala ilmu pembuatan kompang tidak mengira waktu.

"Allahyarham buka bengkel kompang ketika saya di bangku sekolah menengah.

"Ketika itu, saya selalu ke bengkel dan tolongnya buat kompang. Itu pun bantu sekadar yang mampu kerana tidak mahir lagi," katanya.

 Ismail mahir bermain kompang ketika berusia belasan tahun lagi. Setelah beberapa tahun jadi pembantu, Ismail melahirkan hasrat untuk berkecimpung dalam dunia kompang secara serius kepada ayahnya. Ini merupakan berita gembira buat ayah Ismail.

"Allahyarham masa itu menghidap kencing manis. Jadi, dia tidak boleh terlalu aktif. Permintaan membuat kompang pula terlalu banyak dan ini buatkan saya ambil keputusan untuk fokus siapkan tempahan pelanggan sambil jaga bapa.

"Alhamdulillah, semua tempahan siap pada waktu ditetapkan dan ayah adalah orang paling gembira pada waktu itu," ceritanya.

Oleh kerana Ismail mula ambil alih kemahiran si bapa, ramai individu mula melahirkan keinginan untuk dapatkan khidmat Ismail.

Tempahan demi tempahan diterima, bermula dari tadika, sekolah hinggalah ke universiti dan jabatan kerajaan serta swasta. Ismail bersyukur kerana rezekinya makin murah.

Buka bengkel

Bengkel pembuatan alat muzik tradisional, Wandarisnor Enterprise dicetuskan hasil usaha keras Ismail. Beroperasi di Kraftangan Malaysia cawangan Johor, bengkel ini menempatkan pelbagai mesin untuk membuat alat muzik, dijadikan pusat pameran dan juga jualan alat
muzik tradisional.

Dalam masa sama, bengkel juga menjual cenderamata berteraskan kebudayaan tempatan untuk pengunjung yang berminat.
Selain membuat kompang, bengkel Ismail turut menyediakan perkhidmatan membuat alat muzik tradisional Melayu seperti untuk dikir barat, silat, ghazal, angklung, caklempong dan gamelan.

Seramai tujuh pekerja sepenuh masa termasuk saya, mahir membuat semua itu dan kebanyakan kerja dilakukan mengikut permintaan pelanggan.

"Kami bekerja tidak tentu masa. Jika banyak tempahan, lewatlah kami pulang. Setakat ini tempahan kompang sudah menjangkau seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, Singapura dan Kepulauan Batam, Indonesia," katanya.

Dalam pada itu, menghasilkan kompang tidaklah terlalu sukar bagi orang yang sudah biasa seperti mereka, cuma prosesnya sangat rumit dan perlu berhati-hati dilakukan untuk mendapat produk berkualiti.

"Jangka masa yang panjang diperlukan untuk proses menyediakan bahan mentah seperti melarik atau membentuk kayu, proses pengeringan kulit yang mengambil masa seminggu dan pengeringan kayu tiga bulan," kata Ismail.

Tambahnya, sekiranya bahan mentah sudah sedia dan kering, proses menyiapkannya hanya ambil masa dua hingga tiga hari dan mereka boleh siapkan 30 biji kompang sekali gus.

Setiap kompang dihasilkan bermula dari saiz lima hingga 14 inci dan harganya bermula dari RM35 hingga RM95, manakala kompang yang biasa dimainkan bersaiz 12, 13 dan 14 yang harganya sekitar RM75, RM85 dan RM95 sebuah.

Sumber Artikel Dari : http://www.sinarharian.com.my/



Tiada ulasan:

Catat Ulasan