Isnin, 24 Februari 2014

Jual barang antik sumber pendapatan Abu Bakar



Abu Bakar Mahmud menunjukkan barang tembaga yang sering menjadi tumpuan pelanggan di Bazar Johor, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 4 Jun - Barang lama jangan terus dibuang kerana ia mungkin memberi pulangan lumayan jika disimpan.

Sekiranya tidak dijual kerana peminat barangan antik, mungkin pisau, cawan, produk kraf tangan boleh disimpan untuk kenangan.

Namun, jika anda seorang yang meminati pelbagai barangan lama, Pasar Karat, Johor Bharu destinasi 'wajib' untuk dikunjungi.

Seorang penggemar dan penjual barangan antik, Abu Bakar Mahmud, 58, berkata, dia mula menyimpan pelbagai jenis barangan lama sejak di bangku sekolah dan kini menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

"Saya meminati barang antik dan berusaha mendapatkannya di mana-mana sejak zaman persekolahan hinggalah telah beranak cucu sekarang," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, sejak dia bersara dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1993, dia mula menjual barangan antik di beberapa tempat.

Antara barang antik yang dijual adalah seterika lama yang dibuat pada 1800 dan dijual dengan harga antara RM380 dan RM650.

Selain itu, dulang tembaga bersaiz 31 cm hingga 51 cm pula dijual secara tawar-menawar.

Terdapat barang lain seperti wang kertas serta duit siling lama, kacip sireh, lampu kapal, loceng sekolah lama, kamera lama dan baju pengantin zaman dahulu dijual oleh Abu Bakar.

"Benda menarik yang sering menjadi tumpuan pelanggan adalah sebuah patung Mesir milik saya yang berharga RM240," katanya.

Menurutnya, para pelanggannya datang dari Muar, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Anak jati Johor Bahru yang dilahirkan pada 19 Disember 1992 ini akan keluar mencari barangan antik di sekitar daerah Kota Tinggi, Muar, Batu Pahat dan Melaka pada setiap tiga minggu sekali.

Dia yang menetap di Taman Seri Pulai memulakan perniagaannya di Bazar Johor setiap hari mulai pukul 5 petang hingga 2 pagi.

Abu Bakar memberitahu cara-cara atau petua untuk memelihara keindahan barangan antik seperti tembaga yang telah pudar adalah dengan merendam barang itu ke dalam air asam jawa semalaman dan kemudian dicuci dengan air bersih dan dikilatkan.

Justeru, mereka yang ingin memiliki pelbagai barangan antik boleh menemuinya di Bazar Johor setiap hari.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan