Selasa, 12 November 2013

Parang Sinonim Bajau Kota Belud

Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN
utusansabah@utusan.com.my

ANTARA parang dan sarung yang dihasilkan oleh perusahaan Sakti Halim dan adik-adiknya di Kota Belud, Sabah.
 
KOTA BELUD 31 Okt. - Seni pertukangan besi terutama parang tidak asing lagi bagi masyarakat Bajau di sini.

Sungguhpun demikian, pembuatan parang banyak tertumpu di Kampung Siasai Jaya, sebuah perkampungan tradisi Bajau.

Fakta di atas sukar dinafikan kerana terdapat keluarga yang turun temurun mengusahakan pembuatan parang di sini yang kini diteruskan oleh generasi mereka iaitu empat beradik, Sakti Halim, 65; Japari, 63; Majad, 54, dan Baidin, 45.

Bercerita lebih lanjut mengenai parang, Majad memberitahu, dalam kehidupan masyarakatnya terdapat tiga jenis parang yang selalu menjadi kebanggaan mereka iaitu Beladau, Pida' (barung) dan Kegayan.

"Harga parang bergantung kepada saiz, bentuk, jenis dan mutu besi dan dijual serendah RM50 sehinggalah RM300 sebilah. Tapi sayang kebanyakan parang hasil kami tidak sampai ke pekan, kerana pelanggan sudah menempah melalui Facebook," katanya.

Seni pertukangan parang di sini, terus mengalami evolusi apabila pelbagai jenis parang dihasilkan menurut permintaan ramai, contohnya pedang Samurai dan pisau Kukri yang diambil reka bentuk daripada pisau Kukri Gurkha.

Katanya, tuntutan semasa membuatkan reka bentuk parang dipelbagaikan daripada reka bentuk tradisional yang menggunakan motif bunga halus, moden yang menggunakan motif bunga dan geometri serta kreatif yang memperlihatkan bentuk parang yang lain daripada yang lain namun masih menarik.

"Saya telah menceburkan diri dalam seni pembuatan parang sejak berumur 17 tahun, dan saya telah menyekolahkan semua anak saya dengan hasil pembuatan parang," katanya.

Dewasa ini, besi untuk dibuat parang biasanya dibeli di pusat-pusat pengumpulan besi buruk. Besi seperti 'spring' kereta, besi gandar dan besi gergaji mesin telah menggantikan besi rel keretapi yang begitu mudah didapati pada suatu waktu dahulu.

"Dahulu, peralatan membuat parang sangat sukar, tetapi kini semuanya telah dipermodenkan," katanya.

Sementara itu, menurut Sakti, sebelum ada mesin kikir seperti ketika ini, orang dahulu mengasah parang dengan cara 'kigkid' iaitu menggeselkan parang dengan parang sebelum di asah dengan batu sungai.

"Kini tidak lagi kerana semua peralatan dimodenkan seiring dengan kemajuan teknologi. Pembuatan parang yang dahulu memakan masa seminggu kini menjadi sehari," ujarnya.

Sakti memberi contoh, jika dahulu besi dibakar di dalam relau menggunakan tenaga manusia untuk mengepamnya, namun kini tenaga elektrik menggantikan serba-serbi peralatan di bengkel keluarga mereka.

MAJAD Halim menunjukkan besi kereta yang digunakan untuk membuat parang yang menjadi tradisi kebanggaan keluarganya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan