Khamis, 14 November 2013

Keris Pak El Boleh Berdiri

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my

Pak El menyiapkan keris panjang di bengkelnya di Kampung Ladang Titian. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 24 Mei - Zulkifli Yusof, 42, dari Kampung Ladang Titian di sini bukan hanya mempunyai koleksi pelbagai barangan antik, tetapi beliau juga mahir dalam seni pembuatan keris dan pelbagai senjata lama.

Walaupun hanya mempunyai sebuah bengkel bersebelahan dengan rumahnya dan mengusahakannya sendiri tanpa sebarang teknologi canggih, namun kehalusan seni hasil kerja tangannya tiada tandingan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak El mengusahakan seni pertukangan itu sejak kecil, mewarisi kemahiran ayahnya, Yusof Long yang juga pengusaha pembuatan keris di Terengganu.
Selepas ayahnya meninggal dunia, seni pertukangan itu diwarisinya secara serius kerana sedar tanpa penglibatannya sudah tentu warisan turun temurun itu akan pupus ditelan zaman.

Kesedaran itu lahir apabila tiada orang lain yang sanggup meneruskan pekerjaan itu menyebabkan di kampungnya sekarang hanya tinggal tiga orang termasuk dirinya mengusahakan seni itu.
''Minat untuk terbabit dalam pertukangan keris dan pelbagai peralatan besi dipupuk sejak kecil sewaktu arwah ayah masih ada.

''Saya sentiasa mendampingi ayah dan mempelajari segala selok belok seni pertukangan sejak awal hingga akhir bagi sesuatu produk yang dihasilkan," katanya.

Bengkel pembuatan sarung keris didirikan di sebelah rumahnya dengan dibantu oleh Muhamad Awang, 70, Rosli Salleh, 35, Yassin Muda, 44 dan Razali Abu Seman, 30.

Walaupun bengkelnya kelihatan bersahaja dan terperosok di celah deretan rumah usang di kampung tradisional yang melahirkan ramai tukang seni tradisional, namun setiap produk yang dihasilkan mengagumkan semua pihak.

Menurut Pak El, bengkel penempaan keris dan pelbagai barangan besi lain ditempatkan di Rhu Rendang dan Kedai Buluh, Marang.

Beliau mengakui kerja sebagai tukang keris dan barangan besi lain bukan mudah kerana ia tidak boleh dipelajari menerusi kuliah atau bengkel di mana-mana universiti, sebaliknya ia lahir menerusi pengalaman, kemahiran, minat dan ketekunan bertahun lamanya.

''Minat untuk menghasilkan keris datang secara semula jadi dan saya dapat menghasilkan sebilah keris yang lengkap bersarung dalam masa beberapa hari dan dalam sebulan saya dapat menghasilkan antara 100 hingga 200 bilah keris.

''Kadang-kala tidak cukup tangan berikutan terdapat ramai pelanggan membuat tempahan sedangkan bilangan tukang besi di sini hanya tinggal tiga orang sahaja," katanya.

Zulkifli memberitahu, beliau akan mencanai sendiri setiap keris tersebut di bengkelnya dan keris buatannya itu juga mampu 'berdiri' untuk tempoh yang agak lama tanpa sebarang alat sokongan dan agak misteri apabila ia boleh bergoyang-goyang dengan sendiri.

"Tiada unsur mistik di sini kerana saya menghasilkannya mengikut keseimbangan yang betul," ujarnya.

Mengenai kayu untuk sarung keris, Pak El berkata, beliau memperoleh bekalan daripada mereka yang arif dalam perkayuan atau meredah sendiri hutan untuk mendapatkan kayu yang terbaik seperti pokok teras juar, ru dan sena.

Setiap keris yang dihasilkan lengkap bersarung dijual pada harga antara RM100 hingga RM1,000 sebilah.

Zulkifli mengakui, rezekinya bertambah berikutan kecenderungan orang ramai untuk memiliki barangan hiasan terutama sejak negeri ini dibanjiri pelancong dalam dan luar negara sejak kebelakangan ini.

Bapa kepada tujuh anak ini tidak menyangka kerja-kerja mengukir hulu, sarung parang dan pembuatan keris yang dilakukannya sejak dua puluh tahun lalu mendapat perhatian daripada orang ramai.

Ekoran sambutan menggalakkan terhadap hasil kerja tangannya, beliau berharap akan terbabit secara aktif dalam aktiviti mengukir kerana mampu memberi pulangan yang agak lumayan.

"Sarung parang berukir yang saya buat untuk kegunaan sendiri tidak lama dulu menarik perhatian rakan-rakan dan mereka berminat untuk membelinya dan sejak itu minat saya dalam kerja-kerja mengukir kayu menjadi lebih serius," katanya.

Menurutnya, beliau tidak mendapat pendidikan asas dalam seni ukiran dan pertukangan tetapi bakat semula jadi mendorongnya untuk mengukir pelbagai jenis kayu.

Menceritakan rahsia kebolehannya dalam seni ukiran katanya, beliau hanya bersandarkan kepada ilham dan berpegang kepada prinsip 'yakin boleh' untuk menghasilkan barangan yang diminta pelanggan.

Zulkifli memberitahu, dalam masa beliau mempertahankan seni warisan itu, tiada seorang pun daripada tujuh anaknya meminati bidang pekerjaan tradisi yang dilakukan.

Katanya, semua anaknya tidak meminati bidang itu kerana mereka dapat meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

''Saya bimbang seni warisan ini tidak mampu dipertahankan selepas ini, kemungkinan besar akan pupus kerana tiada pewaris. Saya mungkin generasi terakhir dalam keluarga yang mengusahakan seni pertukangan ini selepas diusahakan datuk nenek beratus tahun lalu," ujarnya.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan