Khamis, 14 November 2013

Ukiran Keris Rosman Dikagumi

 

Oleh torek sulong
utusankelantan@utusan.com.my
Rosman Talif menyiapkan tempahan ukiran pelanggan di bengkelnya di Kampung Pauh Dara, Raja Dagang Semerak, Pasir Puteh, baru-baru ini. – utusan / torek sulong

PASIR PUTEH 8 Mei – Sepasang keris yang diserlahkan dengan kehalusan dan ketinggian seni ukiran Melayu hasil kerja tangannya menjadi pilihan kerajaan Malaysia untuk dianugerahkan kepada Ratu England ketika menghadiri persidangan Komanwel di Kuala Lumpur 1998.

Bagi Rosman Talif, 45, ia suatu ‘kemuncak’ pengiktirafan terhadap kemahiran dan kerjayanya sebagai pengukir yang turut membantu dalam menghidup dan mengembangkan kesenian kraf tradisional sebagai warisan yang dibanggakan.

Ia menjadi perangsang buatnya untuk terus aktif dalam seni ukiran yang dicintainya dan menyebarluaskan pengetahuan serta kemahiran kepada anak bangsa selagi ada yang berminat.

Rosman mengagumi seni ukiran sejak kecil dan kecintaan itu bercambah semasa umur belasan tahun.

Ketika rakan-rakan mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di kolej dan universiti, beliau memilih haluan masa depannya di bengkel ukiran kayu kelolaan dua beradik, Abdul Rahman dan Abdul Latif Long.

Dia tidak kesal dengan pilihannya dengan belajar bertatih sebagai tukang ukir apabila diterima bekerja di Kelantan Woods Craft pada awal 1980-an dan pengalaman selama 10 tahun di syarikat berkenaan itu ternyata pantas mendewasakannya.

Pernah bertugas di Pusat Kraftangan Temerloh, Pahang, beliau kemudiannya tekad berhenti kerja untuk membuka bengkel ukiran sendiri dan hasil ukirannya kini tersebar termasuk di kediaman para pembesar dan istana.

‘‘Malah pada ruang waktu yang tertentu, saya diberi kepercayaan untuk melatih kakitangan penjara dan mengendalikan kursus intensif kayu anjuran Majlis Perkayuan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.

Rosman yang berasal dari Kampung Morten, Melaka kini menubuhkan syarikat Seni Ukir Teras dan membuka bengkel bersebelahan rumahnya di Kampung Pauh Dara, Raja Dagang Semerak, dekat sini
Syarikatnya menerima pelbagai tempahan ukiran yang melibatkan motif tradisional termasuk hulu senjata seperti keris, ukiran dinding, tiang seri, cokmar dan singgahsana.

Menurutnya, selain memperjuangkan seni warisan bangsa, kemahiran mengukir mampu memberi pulangan yang lumayan yang sepatutnya dipelajari generasi muda zaman ini.

Katanya, usaha untuk memupuk minat generasi baru terhadap seni ukiran perlu diterapkan sebagai bahan pelajaran sama ada dalam Pendidikan Seni atau Kemahiran Hidup di sekolah dengan penyediaan tenaga pengajar yang mahir dan peralatan yang mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, kesan ketiadaan pendedahan kepada pelajar mengenai keunikan dunia ukiran menyebabkan generasi masa kini tidak begitu berminat untuk mempelajarinya secara lebih mendalam.

‘‘Sedangkan warisan ini memerlukan kumpulan pelapis muda untuk mempusakainya. Ia perlu disemai untuk dicintai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menyentuh mengenai ukirannya, beliau masih berpegang kepada hasil kerja secara tradisional kerana dengan kaedah buatan tangan, ia dianggap eksklusif, khas untuk pelanggan, biarpun ia mengambil masa agak lama untuk menyiapkannya.

‘‘Ukiran halus paling susah, penuh ketelitian dan mahal ialah menggunakan gading gajah. Biasanya ia khas untuk membuat hulu dan sarung keris diraja,” kata beliau.

Bagi menghasilkan ukiran yang baik, Rosman menjelaskan ia perlu menjiwai peranan setiap ukiran dengan memberi contoh sepasang keris siap bersarung ukir umpama seseorang yang lengkap berpakaian.

Baginya, bagaimana seseorang perlu kelihatan cantik melalui cara berpakaian, hiasan diri dan kekemasan, sepasang keris bersarung perlu digubah dan dihias cantik kerana ia mencerminkan identiti pembuat dan pemiliknya.

‘‘Bidang ini perlu dijiwai dengan sabar dan tenang kerana ukiran sebenarnya adalah luahan hati pengukir ketika bekerja.

‘‘Pengukir, seperti juga pelukis, mempunyai identiti sendiri, cuma nama pengukir tidak tertera sebagaimana kelaziman nama pelukis di kanvas,” katanya.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan