Rabu, 2 Januari 2013

Sulaman Kelingkan

Oleh Ros Mahwati Ahmad Zakaria (Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia)


DI dunia Melayu terdapat beberapa jenis sulaman hiasan tekstil yang menarik. Salah satu daripadanya ialah sulaman kelingkan. Ia merupakan gaya sulaman yang menggunakan kepingan logam emas dan perak yang dipanggil kelingkan.
 
Sulaman ini dikatakan telah dihasilkan di dunia Melayu seawal abad ke-14 Masihi sewaktu wilayah Tanah Melayu terkenal dengan kesibukan urusan perdagangan.
 
Pada waktu itu tekstil dari India dan China yang berhias sulaman telah mempengaruhi perkembangan sulaman kelingkan di dunia Melayu.
 
Antara istana kerajaan Melayu yang mewarisi seni sulaman kelingkan ini ialah Melaka, Jambi, Siak, Langkat, Riau, Bentan, Brunei, Sulu dan Sulawesi.
 
Pakaian Melayu yang sering mendapat sentuhan sulaman kelingkan ialah selendang, manto , pakaian tradisi atau persalinan raja sehari.
 
Hari ini, walaupun seni sulaman kelingkan kurang dikenali, namun ia dihasilkan secara kecil-kecilan sebagai hiasan pakaian wanita terutamanya di Sabah, Sarawak dan Selangor.
 
Di Selangor, ia merupakan seni yang diwarisi oleh golongan kerabat wanita diraja. Antara tokoh utama yang memiliki kemahiran dan minat ke atas seni sulaman kelingkan ialah Allahyarhamah Tengku Ampuan Jameah dan Allahyarhamah Tengku Ampuan Rahimah.
 
Baginda berdua dikatakan mempunyai kemahiran menyulam kelingkan dan juga menghidupkan kembali penggunaan seni sulaman kelingkan sebagai hiasan tekstil di istana.
 
Sulaman kelingkan dikatakan dipelajari oleh golongan wanita di istana sejak mereka berumur 11 tahun.
 
Ia melambangkan kecantikan sifat seseorang wanita yang menghasilkannya seperti kesabaran, ketelitian, ketekunan dan kreativiti mereka dan melakukan sesuatu perkara.
 
Bahan yang digunakan dalam menghasilkan sulaman kelingkan ialah kepingan logam kelingkan, jarum bermata dua dan kain yang ingin disulam.
 
Corak yang ingin disulam di atas kain akan dilukis di atas kertas dan diletakkan di bawah kain bagi tujuan menyulam.
 
Teknik jahitan sulaman dikenali sebagai tikam tembus. Motif-motif sulaman kelingkan yang dihasilkan ialah seperti bunga mawar, bunga cengkih, bunga bintang, susun pucuk rebung, jalur mata air, dan sisik kelah.
 
Warna kain latar yang sesuai dengan kepingan logam emas dan perak ialah seperti warna hitam, hijau dan merah. Kadangkala warna putih juga turut digunakan mengikut cita rasa penyulam.
 
Pada hari ini, pakaian yang dihiasi seni sulaman kelingkan bukan sahaja sesuai dipakai oleh raja sehari, malah ia juga menarik untuk digayakan di majlis-majlis rasmi dan hari perayaan seperti Hari raya Aidilfitri.
 
Di Muzium Kesenian Islam Malaysia, keindahan seni sulaman kelingkan boleh dilihat di galeri Dunia Melayu yang mempamerkan sehelai baju kebaya labuh berwarna merah hati yang disulam dengan kelingkan, selendang kelingkan dan juga kain sarung wanita yang menggabungkan teknik sulaman kelingkan dan sulaman benang sutera berwarna.


Sumber Artikel: http://utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan