Selasa, 8 Januari 2013

Rumah Tradisional Bukit Palah

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID


RUMAH Tradisional Bukit Palah kini menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara yang ingin melihat keunikan rumah tradisional Melaka.
- Gambar ABDUL RAZAK LATIF

MELAKA 26 Nov. - Selain tempat bersejarah di Banda Hilir yang menjadi destinasi mesti lawat bagi pelancong ke Melaka, rumah-rumah kampung tradisional Melayu yang indah dan unik di negeri ini juga merupakan produk pelancongan yang menarik untuk dilawati.

Kebersihan dan keindahan rumah tradisional yang mempunyai landskap yang menarik menjadikannya tarikan kepada pelancong, khususnya bagi mereka yang cintakan keindahan seni bina Melayu lama.

Salah satunya yang lebih menyerlah adalah rumah tradisional Melayu Bukit Palah yang menjangkau usia 90 tahun, kini dihuni oleh pewaris yang terdiri daripada anak-anak pemilik asalnya, Hamid Sidek dan Hasnah Hasan.

Selain landskapnya yang menarik dan bersih, keunikan rumah tradisional Melayu Bukit Palah ini ialah kerana ia masih mengekalkan ciri-ciri seni bina rumah tradisional dengan atapnya yang tinggi dan bertangga batu.

Menurut salah seorang anak pasangan itu, A. Rahman Hamid, 55, biarpun masa telah berubah dan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia, namun kesemua mereka sembilan beradik telah diberi amanat agar sentiasa memelihara nilai asli rumah pusaka mereka itu.

''Arwah bapa yang bersungguh-sungguh ingin menjadikan rumah ini sebagai rumah tradisional, anda boleh lihat sendiri, dia mengukir hampir semua bahagian rumah dengan corak asli Melayu pada tingkap dan bumbung rumah.

''Ada yang selebihnya, kami usahakan bersama-sama adik-beradik lain demi mematuhi pesanan arwah bapa selepas dia meninggal beberapa tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, selain ukiran dan seni bina tradisional, rumah tersebut juga dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang dikumpul oleh bapa mereka dan kini diwarisi oleh anak-anaknya yang lain.

''Bagi menambah koleksi barangan antik milik bapa, saya akan mencari ke merata-rata tempat untuk membeli barang antik semata-mata mahu meningkatkan keistimewaan rumah pusaka ini," katanya.

Kata A. Rahman, bapanya mendapat idea untuk menjadikan rumah itu sebagai rumah tradisional Melayu bermula sekitar tahun 2001 apabila ia sering mendapat kunjungan dan lawatan pelancong asing yang tertarik dengan kebersihan serta keindahan lanskap rumah di situ.

Ujarnya, akibat ketiadaan sumber kewangan yang cukup, bapanya menyatakan hasrat tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang kemudiannya tanpa berlengah lagi mengarahkan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menjalankan kerja-kerja pemugaran rumah tersebut agar menjadi lebih menarik.

''Setelah beberapa tahun dijadikan sebagai rumah tradisional Melayu dan selepas menjalani beberapa kerja-kerja pemugaran, keaslian rumah ini tetap terpelihara, jika anda lihat bangunan rumah ini berwarna kuning, begitulah keadaannya sejak lebih 90 tahun lalu," katanya.

Dia turut melahirkan harapan agar pihak berkuasa terbabit dapat menyediakan kawasan tempat letak bas pelancong yang lebih sesuai di kawasan itu berbanding pada masa ini, pemandu terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan sehingga kadang kala membahayakan keselamatan pelancong.

Sementara itu, menurut adik perempuannya yang juga penjaga rumah itu, Zainab Hamid, 50, hampir setiap hari rumahnya itu didatangi pelancong asing dari pelbagai negara semata-mata ingin melihat keindahan dan keunikan seni bina rumah tradisonal Melayu.

''Bagi memastikan landskap dan kawasan rumah sentiasa bersih, saya perlu membersih dan memastikan keadaan rumah sentiasa terjaga, lagi pun, inilah pesan arwah bapa buat kami adik beradik.

''Bapa mahu rumah pusaka ini terus kekal menjadi rumah tradisional dan tidak sesekali kami mengubahnya menjadi rumah biasa atau rumah moden, agar keasliannya terus terpelihara sehingga satu generasi ke generasi berikutnya," katanya.

Rumah pusaka itu, kata Zainab, selain menjadi tumpuan pelajar universiti menjalankan kajian mengenai seni bina rumah tradisi, ia juga pernah dijadikan lokasi penggambaran untuk video klip beberapa artis terkenal tanah air termasuk Siti Nurhaliza untuk album Cindai.

Sumber Artikel http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan