Rabu, 9 Januari 2013

Populariti Ukiran Kayu

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



KEPALA bekas permainan congkak dengan ukiran unik.



TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Itu perumpamaan yang paling tepat apabila kita bercakap mengenai seni ukiran kayu.

Jika pada zaman dahulu seni ukiran kayu hanya menghiasi rumah-rumah di kampung dan istana, hari ini senarionya berbeza apabila ia semakin mendapat sambutan dalam kalangan penduduk di bandar dan luar negara.

Masyarakat kini lebih suka memilih kelengkapan rumah yang dihasilkan daripada kayu yang diukir, malah ada yang mengambil keputusan membina rumah yang diperbuat daripada kayu walaupun hidup di bandar, dikelilingi hutan batu.

Perubahan selera masyarakat kini terhadap seni ukiran kayu menjadikan seni itu semakin mendapat tempat di pasaran.

Pelbagai jenis kayu digunakan untuk menghasilkan seni ukiran kayu yang berkualiti tinggi.

Antaranya merbau, jati, jelutong, cengal dan banyak lagi. Kebanyakan reka bentuk sesuatu seni ukiran itu pula dipengaruhi motif alam semula jadi iaitu flora dan fauna.

Seni ukiran kayu bukanlah sekadar unsur hiasan semata-mata dalam pembinaan rumah-rumah tradisional, malah mempunyai fungsi tersendiri. Sebagai contoh hiasan seperti ukiran tebuk digunakan di tempat-tempat pengaliran udara selain menjadi pemisah antara ruang.

Motif-motif ukiran di Malaysia lebih cenderung kepada motif yang berteraskan prinsip keislaman, geometri, tumbuh-tumbuhan dan kaligrafi.

Namun, seiring dengan peredaran zaman dan bagi memenuhi selera moden pelanggan, ramai pengusaha memasukkan elemen moden dalam ukiran mereka tanpa terikat dengan ukiran bermotif tradisional.

Antara hasil karya seni ukir kayu yang mendapat sambutan ramai ialah pintu gerbang, panel dan skrin dinding, sesiku keluang, pintu laman, kepala katil, pagar musang, sisir angin, alat permainan seperti congkak, perabot, katil, kerusi, meja, hiasan rumah dan banyak lagi.

Pulangan lumayan
AZIZUL lebih gemarkan motif kontemporari kerana ia lebih segar.

Menurut seorang pengukir, Azizul Ahmad yang sudah lebih sedekad berkecimpung dalam industri seni ukiran kayu, beliau lebih gemarkan motif kontemporari kerana ia lebih segar.

"Kebanyakan ukiran saya lebih kepada panel skrin dan dinding bermotifkan daun serta helliconia.

"Saya mahu lari daripada konsep tradisional dan mahu mencuba idea baru lain daripada yang lain. Saya inginkan kelainan dalam berkarya kerana motif ukiran tradisional kita sama seperti di Thailand dan Indonesia," katanya yang menyertai Pameran Seni

Ukiran Kayu Dalam Seni Bina sempena Hari Kraf Kebangsaan 2010 yang berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, dengan memberikan nafas baru dalam seni ukiran, ternyata ia mendatangkan pulangan lumayan apabila beliau dapat menembusi pasaran antarabangsa seperti Jepun, United Kingdom dan Perancis.

Ketika melawat ke tapak pameran, antara ukiran kayu yang menarik perhatian ialah dinding janda berhias yang bermotifkan bunga kangkung dan bunga ketumbit yang menghiasi pintu ambang pintu. Ia dilengkapkan dengan panel kerawang dan sisir angin yang bermotifkan bayam paraksi.

Beberapa pintu gerbang turut dipamerkan dengan masing-masing diukir halus dengan motif bunga alamanda dan daun kipas.

Bagi mereka ingin melengkapkan hiasan rumah dengan perhiasan daripada seni ukiran kayu tetapi tidak mahu berbelanja lebih, mungkin hiasan sesiku keluang dan panel dinding atau skrin dinding boleh menjadi pilihan kerana ia tidak terlalu mahal. Harga produk berasaskan kayu boleh bermula dari RM3 sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.
ELEMEN tumbuh-tumbuhan moden diserapkan dalam ukiran kayu.

Sementara itu, Pengurus Mega Ukir Craft, Mohd. Abdah Hassan mengakui produk ukiran kayu sememangnya mahal berbanding produk lain kerana kesukaran untuk menghasilkannya.

"Walaupun ia mahal, kita masih memberikan alternatif kepada pelanggan. Jika bajet yang diperuntukkan sederhana, kita cadangkan kepada mereka memilih sampel dan jenis kayu yang murah.

"Harga bagi sesuatu produk ditentukan berdasarkan jenis kayu yang digunakan, reka bentuk serta kesukaran untuk membuatnya. Kebiasaannya sesuatu ukiran yang menggunakan kayu cengal lebih mahal berbanding kayu jelutong yang lebih murah dan ringan," ujarnya.

Beliau yang mendapat pendedahan mengenai seni ukiran melalui Kursus Seni Ukiran Kayu anjuran Kraftangan Malaysia di Temerloh, Pahang memberitahu, seseorang boleh menguasai asas ukiran dalam tempoh enam bulan manakala untuk menjadi pengukir yang mahir ia mengambil masa dua tahun.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Dilema Pengusaha Tembaga Terengganu

NURUL HUDA HUSAIN
Dilema pengusaha tembaga Terengganu
Barang tembaga sedang dibakar.
 
Awang tekun melakukan kerja mengukir barangan tembaga.

Dilema pengusaha tembaga TerengganuTidak keterlaluan dikatakan bahawa industri pembuatan tembaga di negeri ini berada pada tahap kronik dan hampir mati berikutan tiada pewaris muda yang berminat untuk meneruskan legasi yang suatu ketika dahulu meletakkan Terengganu sebagai pengeluar barangan berasaskan tembaga yang cukup dikenali.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi itu, Sinar Harian menemui pengusaha tunggal barangan berasaskan tembaga di negeri ini yang juga pemilik Wanisma Craft & Trading, Wan Mahadi Wan Ismail, 44.

Wan Mahadi mengakui, industri pembuatan tembaga kini meniti kepupusan berikutan tiada bekalan profesional dalam pasaran hari ini, di samping sikap ‘menutup’ mata sesetengah pihak untuk terus memajukan industri yang sememangnya cukup tersohor ini kerana ia melambangkan identiti masyarakat Terengganu.

“Kebimbangan ini (industri tembaga yang semakin pupus) telah saya suarakansejak beberapa tahun sebelum ini," kata generasi keenam dalam industri pembuatan tembaga ini.

Kelongsong peluru mahal Wan Mahadi berkata, keadaan bertambah kritikal apabila menghadapi kekurangan bekalan bahan mentah terutamanya bekalan kelongsong peluru yang menjadi keperluan utama kepada industri berkenaan.

“Sejak Kementerian Pertahanan tidak membekalkannya lagi secara terus kepada pengusaha, ramai yang terpaksa menutup perusahaan kerana tidak mampu menanggung kos pembelian yang agak tinggi.

“Justeru, kita berharap Kementerian (Pertahanan) memberi sedikit kuota kepada kami (pengusaha tembaga) kerana sebelum ini kami membeli bahan mentah itu dengan harga kurang RM10 sekilogram mengikut harga subsidi.

“Bagaimanapun, kini setelah ia dihentikan (subsidi), kami terpaksa berunding dengan pembekal bahan sisa itu dengan harga RM15 sekilogram dan ia nyata membebankan hingga ramai pengusaha terpaksa menutup perusahaan masing-masing,” kata bekas pendidik ini.

Sehubungan itu, Wan Mahadi menaruh harapan terhadap kerajaan terutamanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menangani masalah malapnya industri serta penderitaan yang ditanggung pengusaha tembaga dengan menyediakan kembali bahan mentah yang diperlukan itu.

Risau masa depan Awang Ali, 60, turut berkongsi rasa mengenai suramnya industri tembaga di Terengganu yang menjadi sumber rezekinya sejak dahulu.

Pengalaman yang dipungut lebih 30 tahun dalam bidang berkenaan turut meletakkan kepakaran dan kebolehan yang dimiliki Awang berada di kelas tersendiri, terutamanya dari segi ukiran atau bahagian melarik.

“Saya mula terlibat dalam seni pembuatan tembaga ini sejak muda lagi dan saya teruskan hingga sekarang. Walaupun ada kalanya tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya berikutan masalah kesihatan dan kudrat yang tidak lagi kuat, namun saya sayangkan kerja ini, industri ini.

“Selagi terdaya saya akan tetap akan meneruskan kerja-kerja ini (pembuatan tembaga) kerana tiada lagi generasi baru yang terlibat dalam bidang yang memerlukan minat dan kesungguhan yang tinggi ini,” katanya ketika ditemui di Wanisma Crafts & Trading.

Sumber Artikel: http://www.sinarharian.com.my

Selasa, 8 Januari 2013

Legasi Kampung Morten

Kampung tradisional Melayu ini seperti muzium hidup.




RAMAI pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup.

Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk kampung itu masih mengamalkan cara hidup lama, di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka.

Kampung Morten yang diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka.

Morten dipercayai memainkan peranan penting bagi membina kampung itu pada tahun 1920-an, sementara pengasasnya dikenali sebagai Allahyarham Othman Mohd Noh.

Kampung itu terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka.

Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung Melayu di bandar bersejarah Melaka yang masih memiliki identiti tersendiri. Antaranya reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.

Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.

Tangga batu merupakan ciri-ciri utama, di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik.

Halaman rumah tradisional tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu Melaka.

Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen
Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.

Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri.

Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, berpeluang menyusuri kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut.

Villa Sentosa
Sekali imbas jika melihat deretan rumah tradisional Melayu Melaka di kampung itu, tiada siapa menyangka terdapat sebuah rumah yang masih menyimpan khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah abad.


ORANG RAMAI dan pelancong menyusuri Sungai Melaka dengan bot River Cruise.


Khazanah itu tersimpan di Villa Sentosa, dan tidak lengkap lawatan pelancong ke kampung ini, jika tidak singgah di Villa Sentosa.

Villa Sentosa yang terletak di pinggir Sungai Melaka dibina oleh Othman ketika beliau membuka kampung berkenaan pada tahun 1920.

Kini, setelah sembilan generasinya menduduki kediaman tersebut, ia masih lagi mengekalkan tradisi yang ditinggalkan dan penghuninya terus menjaga warisan berkenaan.

Villa Sentosa juga dikenali sebagai The Living Museum. Rumah itu diubahsuai menjadi muzium peribadi dan dirasmikan pembukaannya pada 11 Disember 1991. Villa Sentosa kini diuruskan oleh waris generasi itu, Abdul Rahim Hashim, 58.

Abdul Rahim berkata, Villa Sentosa memiliki reka bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik.

Pengunjung juga berpeluang mengenali generasi Hashim Abdul Ghani iaitu bapa Abdul Rahim melalui gambar keluarga yang digantung di dalam bilik pengantin.

Menurut Abdul Rahim, bilik berkenaan digunakan untuk majlis perkahwinan oleh waris keluarganya. Di ruang hadapan Villa Sentosa tergantung sebuah lakaran carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.

Selain itu, 14 tingkap di dalam villa berkenaan membolehkan udara segar sentiasa masuk sehingga kipas angin atau pendingin hawa tidak diperlukan.


RUMAH milik Abdul Rahim Hashim di Kampung Morten dijadikan muzium.


Villa tersebut juga menyajikan himpunan piring hitam era 50-an, selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.

"Dalam usaha mempromosi Villa Sentosa, kami turut mengadakan persembahan kebudayaan, nyanyian dondang sayang dan joget lambak.

"Persembahan ini diadakan sekali setiap bulan," kata Abdul Rahim. Beliau berkata, pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran dan anggota keluarganya juga bersedia memberi penerangan kepada pengunjung.

"Kami tidak mengenakan apa-apa bayaran, memadai dengan menderma untuk tabung keluarga ini bagi membantu kami membaiki dan menaik taraf Villa Sentosa," katanya.

Villa Sentosa dibuka kepada pengunjung pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali Jumaat dibuka pada pukul 2 hingga 6 petang. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Rumah Melayu Asli Penghulu Natar

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my



TANGGA di rumah ini dihiasi dengan jubin yang diimport dari negara China.


RUMAH Penghulu Natar yang terletak di Merlimau, Melaka sudah berusia hampir dua abad. Namun, ia masih tegap dan gah di tapak asalnya. Sesungguhnya, ia kekal tersergam atas titik peluh dan kemahiran tukang kayu pada zaman dulu sangat mengagumkan.

Pewaris rumah bersejarah itu, Md. Ramli Md. Natar, 66, berasa bertuah. Dia telah mewarisi satu hasil seni bina yang dikatakan melampaui zaman dan warisan budaya.

Rumah persis Istana Melaka itu mula dibina pada tahun 1895 sebelum menjalani siri proses ubah suai dan siap sepenuhnya pada tahun 1918. Sesetengah penduduk Merlimau memberi jolokan rumah itu sebagai Istana Merlimau atau Rumah Merlimau.

“Datuk saya, Datuk Demang Haji Abdul Ghani Haji Abdul Majid dan ayah saya, Penghulu Natar berjaya melahirkan nilai-nilai estetika dan kehalusan pada rumah yang kami anggap sebagai satu yang luar biasa,” kata Md. Ramli. Ketika kedatangan Kosmo!, anaknya, Rizal, 37, yang merupakan pewaris seterusnya turut serta.

Mahkamah rakyat
Md. Ramli dengan rela hati membawa penulis meninjau isi dalam rumah yang penuh nostalgia itu. Rumah yang mempunyai pengaruh Palembang, Kemboja, Champa dan Filipina itu boleh disimpulkan sebagai unik.

Bentuk rumah itu mempunyai ciri Melayu tetapi anjungnya berbumbung limas. Rumahnya besar dua sebandung dengan dapur masaknya berbumbung lintang dan ruangnya juga sangat luas. Rumah besar dan dapurnya dipisahkan oleh sebuah pelantar simen, tiga buah anjung, serambi, dapur memasak dan perigi.

Perkara yang menarik dalam rumah itu ialah tiang serinya. Ia mempunyai tiang asas tetapi tiang tersebut telah dilapik dengan papan berlorek yang hiasi kelopak bunga. Tangga di hadapan rumah pula dihiasi dengan jubin yang diimport dari China.

Rumah Penghulu Natar mematuhi prinsip rumah Melayu asli yang mengekalkan tradisi seni bina alam Melayu. Rumah itu cukup luas tetapi tidak berbilik. Kata Md. Ramli, jika ia berbilik, rumah itu akan bertentangan dengan elemen rumah Melayu tulen.

Pada era dahulu, rumah tradisional bukan semata-mata dijadikan kawasan kediaman tetapi fungsinya umpama istana.



RUANG luas serambi rumah dijadikan sebagai Mahkamah Rakyat yang membicarakan kes-kes jenayah di Melaka pada zaman dulu.


Antara peranan penting ialah rumah itu juga bertindak sebagai Mahkamah Rakyat. Demang Abd. Ghani ketika itu telah diberi kuasa oleh pihak British untuk menyelesaikan dan membicarakan masalah sosial rakyat. Antara kes yang dibicarakan mengikut pertimbangan ialah kes mencuri, melarikan anak dara dan masalah tanah.

Lazimnya, Mahkamah Rakyat akan bersidang pada sebelah malam. Di belakang rumah itu juga, terdapat lokap untuk penahanan sementara, sebelum pesalah dihantar kepada pihak polis.

Pelamin kekal dan loteng
Md. Ramli menambah, rumah tersebut juga pernah dijadikan sebagai Pejabat Daerah dan Pejabat Memungut Cukai.

“Mesyuarat rasmi kerajaan selalu diadakan di sini. Pegawai British biasanya akan menaiki kuda untuk datang ke sini dan selalu akan bermalam di rumah ini,” katanya.

Perang Naning (1831-1832) dan Perang Rokam (1887) yang meletus di Serkam, Melaka telah menyebabkan British memaksa orang Melaka membayar cukai. Cukai yang dibayar dalam bentuk tunai atau hasil tanaman seperti padi dan kelapa turut berpusat di rumah bersejarah itu. Setiap hari ada saja cukai yang dihantar melalui kereta lembu ke rumah itu.

Sepanjang tinjauan Kosmo! di kawasan rumah tradisional itu, tumpuan jadi terarah ke kawasan tengah rumah.

“Itulah pelamin yang dibina secara kekal. Ia digunakan ketika masyarakat Merlimau melangsungkan perkahwinan,” terang Md. Ramli.

Pelamin itu mempunyai dua aras dan lengkap dengan pagarnya sekali. Ukirannya begitu menarik dan teliti. Pada masa dulu, di kiri kanan pelamin itu terdapat ukiran dua ekor naga yang dicat dengan warna emas.

Satu lagi ciri rumah Melayu yang terdapat di rumah Penghulu Natar ialah loteng.

PELAMIN kekal disediakan untuk upacara berinai mempelai wanita.

Lotengnya sangat luas. Untuk naik ke loteng berkenaan, sebuah tangga kayu disediakan.

Menurut Md. Ramli, biasanya ruang loteng itu menempatkan anak-anak gadis ketika majlis perkahwinan.

Inap desa
Baru-baru ini, Kerajaan negeri Melaka berhasrat menjadikan rumah tradisional Penghulu Natar menjadi produk pelancongan inap desa. Memetik kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, keunikan dan populariti rumah tersebut wajar dikomersialkan.

Menurutnya, usaha itu selain meningkatkan pencapaian industri pelancongan negeri, turut menyumbang kepada pendapatan negeri dalam sektor berkenaan.

“Amat wajar keunikan dan keistimewaan rumah ini diketengahkan kepada masyarakat luar terutama pelancong asing yang belum pernah melihat sendiri rumah kampung tradisional,” kata beliau.

Mohd. Ali sendiri terpesona dengan keunikan jubin lama dan saiz rumah itu yang boleh menampung kehadiran pelancong, termasuk mereka yang ingin bermalam.

Sementara itu, tokoh sejarah Melaka, Baharam Azit, 69, berkata, rumah itu perlu diawasi dan dijaga sebaik-baiknya supaya tidak lenyap ditelan zaman.

“Sejarah rumah ini harus dipelihara supaya terus menjadi kenangan bangsa dan kebanggaan negara,” katanya.

Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Sebulan Untuk Siap Sulaman Kerawang

 



MELIHAT wajah Omi Kalthom Che Ngah Ibrahim, siapa sangka wanita itu sudah menjangkau usia 71 tahun. Pada usia itu, dia masih lagi mengerah kudrat menjahit baju kurung sulam walaupun tenunan itu kini agak sepi dalam kalangan pelanggannya.

Begitupun, perkara itu tidak mematahkan semangat wanita berkenaan untuk meneruskan perniagaannya yang sudah beroperasi hampir 20 tahun di Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Omi Kalthom yang merupakan satu-satunya tukang jahit sulam yang masih berdiri teguh dengan hasil sulamannya mengakui dia masih menerima tempahan daripada pelanggan tetap namun, kuantitinya tidak banyak seperti dahulu kerana kebanyakan pelanggan beralih kepada sulaman manik.

Sambil memasukkan benang hijau beberapa kali ke jarum mesin jahit gara-gara penglihatan semakin kurang jelas, Omi Kalthom atau lebih mesra dipanggil Omi, memberitahu, sebenarnya minat dalam bidang sulaman timbul sejak sekolah rendah lagi.

Ketika itu, cerita anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu, dia melihat hasil jahitan ibu saudaranya yang sentiasa menjahit sulaman pada bantal, tuala dan baju kurung.

Bertitik tolak daripada situ, minat terhadap jahitan semakin mekar dalam dirinya sehinggakan dia memilih subjek Domestik Sains semasa belajar pada tahun empat.

Begitupun, minatnya tidak terhenti di situ sahaja. Sebaik tamat Senior Cambridge atau kini lebih dikenali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa kini, anak kelima daripada enam adik-beradik itu
menjadi guru sementara menunggu keputusannya.

Dengan menerima kelulusan yang memuaskan, dia mula bekerja sebagai jururawat di Hospital Lady Tampler, Cheras. Begitupun, setahun kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Hospital Eastham Memorial, London dan terus berkhidmat di hospital yang sama.
Omi pada usia 71 masih mampu menjahit pelbagai jenis sulaman di kedai miliknya Omika Sulaman di Medan Mara.

Cinta Omi pada sulaman
Hampir 13 tahun berada di negara orang, Omi tidak melupakan minat dalam bidang jahitan dan sulaman. Di sana, dia turut mengikuti kelas jahitan yang mengandungi pelbagai jenis jahitan.

"Saya hanya mengikuti kelas jahitan asas. Tiada banyak beza jahitan di sana," ujarnya.

Dengan mengenakan kemeja kain batik bersama seluar panjang hitam semasa sesi temu bual, Omi memberitahu, dia akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke tanah air.

Sebaik pulang ke Malaysia, dia memohon bekerja di Agensi Chia Nursing, Petaling Jaya selama setahun. Namun, lama-kelamaan minat terhadap kerjaya tersebut semakin pudar lalu memohon pula pekerjaan di Agensi Pelancongan di Majlis
Amanah Rakyat (Mara).

"Walau bagaimanapun, di situ pun saya tidak lama dan dari situ, barulah saya mengetahui minat saya sebenarnya lebih ke arah jahitan.

"Bagaimanapun di Mara, terdapat juga kedai jahit baju, lalu tanpa melengahkan masa saya mula mengintai peluang membuka perniagaan di sana," ujar Omi ketika ditemui di kedainya Omika Sulaman yang terletak di Medan Mara baru-baru ini.

Demi hobinya itu, wanita tersebut turut mengikuti kelas belajar jahitan asas di Mara, Kuala Lumpur sekitar tahun 1981 sebelum bekerja sebagai tukang jahit sepenuh masa.

Berbicara lanjut mengenai perniagaan itu, pada mulanya dia mengambil tempahan menjahit baju kurung dan baju kebaya dari rumah kerana khuatir tidak ramai pelanggan.

Dengan mengenakan caj bayaran sebanyak RM35 bagi setiap pasang, rezeki daripada bidang itu dilihat semakin meningkat apabila para pelanggan yang tinggal di kawasan berhampiran rumahnya memuji hasil jahitan dan sulamannya.
MARA antara institusi yang banyak melahirkan tenaga mahir termasuk dalam bidang jahitan dan sulaman.

"Alhamdullilah, rezeki saya dalam bidang ini semakin berkembang jadi, saya juga mula belajar pelbagai jenis sulaman untuk memberi kelainan kepada pelanggan," katanya sambil memberitahu sulaman kerawang popular pada zaman dahulu.

Menyentuh mengenai sulaman, wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui, bukan mudah untuk menyulam benang dengan menggunakan mesin jahit khas berserta pemateri kerana ia menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Dia yang pernah ditegur oleh salah seorang pelanggannya kerana hasil sulaman yang tidak kemas menyebabkan dia lebih berhati-hati selepas itu.

"Masa itu bentuk-bentuk lubang pada baju kebaya yang ditempahnya tidak sama. Memang tidak sangka, sampai ke situ pelanggan tersebut akan melihatnya," sambil menunjukkan contoh sulaman biku, kerawang, teluk dan sulaman highlight.

Bagaimanapun, peristiwa itu dijadikan sebagai teladan supaya tidak mengulangi perkara yang sama.

Mengulas mengenai jahitan sulaman, dia mengakui di Kuala Lumpur sangat susah mencari tukang jahit sulaman kerana ia melibatkan kerja yang remeh dan kesabaran yang tinggi terutamanya sulaman yang berlubang-lubang.

Sulaman itu perlu ditenun dengan menggunakan stroller dan sekiranya tidak melihat saiznya ia akan mencacatkan tenunan.

Malahan, tempoh masa untuk menyiapkan baju juga menjadi faktor kebanyakan tukang jahit enggan mengambil upah jahit sulam.

Omi yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun juga mengakui dia akan mengambil masa seminggu hingga satu bulan untuk menyiapkan sepasang baju kurung.

"Ia bergantung kepada jenis sulaman. Pada kebiasaan, sulaman kerawang yang mengambil masa yang lama untuk siap," katanya yang turut mengadakan bengkel jahitan sulaman di kedainya.

Apapun, pengalaman yang begitu lama dalam bidang jahitan tidak mahu dipersia-sia begitu sahaja sebaliknya mengambil inisiatif untuk mengajar cara-cara menjahit sulaman.

Tidak lokek ilmu
NURASHIKIN menunjukkan kebaya sulam yang dijual di kedai miliknya Isra Collection.

Sejak 12 tahun yang lalu, Omi mula mengadakan bengkel kepada mereka yang berminat untuk mempelajari selok-belok mengenai jahitan sulaman.

"Sayang jika jahitan sulam dilupakan tanpa ada yang mewarisinya," ungkap Omi yang memberitahu upah jahitan sulaman antara RM35 hingga RM300 mengikut jenis sulaman.

Menyentuh mengenai modul yang diajar, Omi memberitahu, dia akan mengajar 18 modul mengenai jahitan dengan mengenakan bayaran sebanyak RM1,000 bagi tempoh tiga bulan.

"Sepanjang bengkel itu, saya akan mengajar cara-cara jahitan sulaman yang asas sehinggalah ke tahap akhir," katanya.

Gemar sulaman kerawang
Bagi, Zarena Bakhtiar, 25, dia amat meminati baju kurung jenis kerawang untuk digayakan pada majlis perkahwinan rakan-rakan dan saudara-mara.

Menurut kakitangan swasta itu, jika mahu menempah baju kurung sulaman bayarannya agak mahal. Oleh itu, dia lebih gemar membeli baju kebaya kerawang yang berharga antara harga RM100 hingga RM130.

"Selalunya saya akan beli baju kebaya kerawang yang sudah siap bukannya secara tempah. Lagipun, banyak pilihan, corak dan warna," ujarnya yang sanggup datang dari Putrajaya ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Sementara itu, seorang pengusaha pakaian, Nurashikin Abdullah, 40, berkata, selama 10 tahun berniaga jualan baju kebaya kerawang dan baju kebaya sulaman jenis goyang, busana itu sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.

Dia yang membuka perniagaan di Jalan TAR memberitahu, masih ramai pelanggan yang berminat terhadap baju jenis sulaman tersebut terutama menjelang Hari Raya.

Selain mengimport pakaian dari Bandung, Indonesia, anak jati Kelantan itu turut mempunyai 10 orang tukang jahit baju kebaya kerawang di Klang.

"Apa yang boleh dikatakan, baju jenis goyang sangat diminati pelbagai bangsa," katanya sambil memberitahu, dia menjual baju kurung jenis sulaman itu pada kadar RM159.

Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Rumah Busu Dolah Tiada Pendua

 

TANGGA rumah Melayu Melaka seakan-akan wajib dihias dengan jubin warna-warni dengan motif flora.

FALSAFAH reka bentuk rumah tradisi Melayu Melaka sememangnya sangat unik. Ia adalah garapan apresiasi pemiliknya terhadap budaya Melayu, keindahan alam dan kehidupan bermasyarakat yang diterjemahkan melalui ilham seni bina.

Justeru, identiti rumah Melayu Melaka begitu mudah dikenali. Bumbungnya panjang memayungi bahagian serambi rumah dan binaan tangga batunya pula seakan-akan wajib diberi kemasan jubin bermotif flora.

Bagi Yaakob Buang, 54, jendela yang dipasang rendah dan ukiran kayu turut dijadikan tanda pengenalan.

Lebih dikenali sebagai Busu Dolah, penjawat awam ini merupakan pemilik satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka yang ada di negara ini.

Kukuh
Kemewahan rumah yang diwarisi daripada datuknya, Hitam Buntal ini bukan dilihat pada perabot atau hiasan dalaman sebaliknya dinilai berdasarkan kehalusan ukiran dan seni binanya.

Tersergam indah di Jalan Bukit Godek, Kampung Semabok Dalam, Melaka, rumah warisan tersebut sudah berusia 103 tahun.

“Menurut arwah bapa, rumah ini mula dibina pada tahun 1909 oleh tukang rumah tempatan.




TERDAPAT 12 jendela kayu lengkap dengan kayu ram yang mengawal kemasukan cahaya dan udara di serambi rumah.



“Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya memakai pasak dan tanggam sahaja,” kata Busu Dolah.

Mewah dengan ukiran kerawang jenis tebuk tembus dan tebuk timbul di keseluruhan serambi dan rumah ibu, ternyata ia melahirkan rasa kagum yang bukan sedikit.

Biarpun sudah didiami selama empat generasi, keunggulan seni binanya yang masih kukuh sekali gus membuktikan seni bina budaya Melayu suatu masa dahulu benar-benar berkualiti.

Menurut Busu Dolah, rumahnya itu sering menjadi tumpuan pelancong, arkitek, jurutera dan penuntut universiti tempatan.

Malah, ia juga menjadi pilihan pelbagai syarikat produksi serta stesen penyiaran dari dalam mahupun luar negara untuk dijadikan lokasi penggambaran.

“Selain seni bina rumah, ukiran kerawang turut menggamit pengunjung bertandang ke mari.
“Daripada kajian yang dijalankan, semuanya berpendapat ukiran yang ada di rumah ini tiada penduanya di tempat lain.

“Rumah ini juga dianggap sebagai satu-satunya rumah warisan Melayu Melaka yang masih ada,” katanya.

Upah 10 sen sehari
Bercerita lanjut tentang ukiran yang menjadi penyeri kediamannya, Busu Dolah memberitahu, sekeping ukiran kayu mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan.

“Arwah datuk mengupah orang kampung untuk mengukir kerawang dengan motif flora dan geometri dengan upah 10 sen sehari.

“Diukir menggunakan pahat dan penukul, hasil kerja tangan ini memang halus buatannya,” ujarnya.
KEMEWAHAN rumah Busu Dolah dilihat dari aspek seni bina tradisional dan ukiran kerawang yang halus buatannya.

Selain untuk tujuan hiasan, kepelbagaian ukiran berlubang di atas jendela, muka pintu dan dinding turut menggalakkan kemaskan udara dan cahaya ke dalam rumah.

Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah.

“Boleh jadi juga,” pintas Busu Dolah. Suatu masa dahulu, arwah datuknya merupakan peniaga yang cukup disegani.

“Selain mempunyai tanah bendang yang luas, beliau turut dikenali sebagai pengeksport telur ikan terubuk Melaka ke Thailand.

“Beliau juga menghasilkan baja sawah daripada tulang lembu yang dibakar dan ditumbuk sebelum dijual kepada penduduk kampung,” ujar Busu Dolah lagi.

Meneliti reka bentuk rumah yang berusia lebih seabad ini, identiti rustik, canggih dan bistari yang diserap melalui teknik pembinaannya nyata masih relevan untuk dipraktikkan dalam seni bina masa kini.

Selain berfungsi sebagai tempat berlindung, binaannya tidak lari daripada perincian khusus bagi memastikan keselesaan penghuni tanpa melupakan pengaruh adat dan alam.

“Serambi adalah bahagian hadapan rumah di mana tuan rumah menyambut kedatangan tetamu.




KEUNGGULAN seni bina dan rekaan rumah Melayu tradisi Melaka ini masih kekal biarpun ia telah didiami selama empat generasi.




“Jika ada yang bermalam di sini, kaum lelaki akan tidur beramai-ramai di serambi sementara anak dara akan berehat dan tidur di loteng atas rumah,” ujar isteri Busu Dolah, Zainab Mat Yasin, 51.

Rumah ini pada asalnya memanjang ke belakang dan tidak mempunyai rumah bawah.

Namun, selepas lebih 70 tahun digunakan, bahagian dapurnya dibuka dan diganti dengan rumah bawah yang dibina menggunakan batu.

“Kos untuk membaiki rumah kayu sangat tinggi, lagipun rumah asal mempunyai sebuah bilik sahaja,” tambah Busu Dolah.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Rumah Tradisional Bukit Palah

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID


RUMAH Tradisional Bukit Palah kini menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara yang ingin melihat keunikan rumah tradisional Melaka.
- Gambar ABDUL RAZAK LATIF

MELAKA 26 Nov. - Selain tempat bersejarah di Banda Hilir yang menjadi destinasi mesti lawat bagi pelancong ke Melaka, rumah-rumah kampung tradisional Melayu yang indah dan unik di negeri ini juga merupakan produk pelancongan yang menarik untuk dilawati.

Kebersihan dan keindahan rumah tradisional yang mempunyai landskap yang menarik menjadikannya tarikan kepada pelancong, khususnya bagi mereka yang cintakan keindahan seni bina Melayu lama.

Salah satunya yang lebih menyerlah adalah rumah tradisional Melayu Bukit Palah yang menjangkau usia 90 tahun, kini dihuni oleh pewaris yang terdiri daripada anak-anak pemilik asalnya, Hamid Sidek dan Hasnah Hasan.

Selain landskapnya yang menarik dan bersih, keunikan rumah tradisional Melayu Bukit Palah ini ialah kerana ia masih mengekalkan ciri-ciri seni bina rumah tradisional dengan atapnya yang tinggi dan bertangga batu.

Menurut salah seorang anak pasangan itu, A. Rahman Hamid, 55, biarpun masa telah berubah dan kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia, namun kesemua mereka sembilan beradik telah diberi amanat agar sentiasa memelihara nilai asli rumah pusaka mereka itu.

''Arwah bapa yang bersungguh-sungguh ingin menjadikan rumah ini sebagai rumah tradisional, anda boleh lihat sendiri, dia mengukir hampir semua bahagian rumah dengan corak asli Melayu pada tingkap dan bumbung rumah.

''Ada yang selebihnya, kami usahakan bersama-sama adik-beradik lain demi mematuhi pesanan arwah bapa selepas dia meninggal beberapa tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, selain ukiran dan seni bina tradisional, rumah tersebut juga dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang dikumpul oleh bapa mereka dan kini diwarisi oleh anak-anaknya yang lain.

''Bagi menambah koleksi barangan antik milik bapa, saya akan mencari ke merata-rata tempat untuk membeli barang antik semata-mata mahu meningkatkan keistimewaan rumah pusaka ini," katanya.

Kata A. Rahman, bapanya mendapat idea untuk menjadikan rumah itu sebagai rumah tradisional Melayu bermula sekitar tahun 2001 apabila ia sering mendapat kunjungan dan lawatan pelancong asing yang tertarik dengan kebersihan serta keindahan lanskap rumah di situ.

Ujarnya, akibat ketiadaan sumber kewangan yang cukup, bapanya menyatakan hasrat tersebut kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang kemudiannya tanpa berlengah lagi mengarahkan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menjalankan kerja-kerja pemugaran rumah tersebut agar menjadi lebih menarik.

''Setelah beberapa tahun dijadikan sebagai rumah tradisional Melayu dan selepas menjalani beberapa kerja-kerja pemugaran, keaslian rumah ini tetap terpelihara, jika anda lihat bangunan rumah ini berwarna kuning, begitulah keadaannya sejak lebih 90 tahun lalu," katanya.

Dia turut melahirkan harapan agar pihak berkuasa terbabit dapat menyediakan kawasan tempat letak bas pelancong yang lebih sesuai di kawasan itu berbanding pada masa ini, pemandu terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan sehingga kadang kala membahayakan keselamatan pelancong.

Sementara itu, menurut adik perempuannya yang juga penjaga rumah itu, Zainab Hamid, 50, hampir setiap hari rumahnya itu didatangi pelancong asing dari pelbagai negara semata-mata ingin melihat keindahan dan keunikan seni bina rumah tradisonal Melayu.

''Bagi memastikan landskap dan kawasan rumah sentiasa bersih, saya perlu membersih dan memastikan keadaan rumah sentiasa terjaga, lagi pun, inilah pesan arwah bapa buat kami adik beradik.

''Bapa mahu rumah pusaka ini terus kekal menjadi rumah tradisional dan tidak sesekali kami mengubahnya menjadi rumah biasa atau rumah moden, agar keasliannya terus terpelihara sehingga satu generasi ke generasi berikutnya," katanya.

Rumah pusaka itu, kata Zainab, selain menjadi tumpuan pelajar universiti menjalankan kajian mengenai seni bina rumah tradisi, ia juga pernah dijadikan lokasi penggambaran untuk video klip beberapa artis terkenal tanah air termasuk Siti Nurhaliza untuk album Cindai.

Sumber Artikel http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rosli Si Pengukir Ukiran Kayu

Rosli si pengukir ukiran kayu

Oleh: Wartawan Sinar Harian

CHENOR - Bermula dengan ukiran kayu sebuah congkak dan dibeli seorang teman dengan harga RM300 akhirnya membawa kejayaan kepada seorang anak kampung dalam bidang perusahaan ukiran kayu yang diceburi sejak 10 tahun lalu.

Bapa kepada dua anak itu, Mohd Rosli Abdul Rahman, 37, tidak menyangka, ukiran tangan congkak yang dihasilkan hanya sekadar suka-suka rupanya boleh mendatangkan hasil dan menjadi permulaan untuk dia bergelar pengusaha ukiran kayu sebagai pekerjaan tetap.

Menurutnya, setapak demi setapak dilangkahi bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan mengutamakan kualiti ukiran agar nampak ‘hidup’ dan unik.

“Saya amat meminati seni ukir ini dan dalam menyiapkan sesuatu tempahan, saya menghasilkannya dengan sepenuh jiwa biarpun terpaksa bersengkang mata dan bekerja sendirian.

"Saya tidak mempunyai pembantu kerana belum ada mereka yang sesuai dan mahir ditemui," katanya.

Menurut Mohd Rosli, selain ukiran kayu untuk barang perhiasan, dia juga membuat ukiran dinding rumah dan barangan kegunaan harian seperti kukur kelapa.

“Harga mengikut jenis kayu dan kesukaran bentuk ukiran tetapi semuanya mengikut kehendak pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Rosli berkata, bantuan sebanyak RM10,000 diterima daripada Risda untuk peralatan dan kelengkapan bengkel perusahaan yang dibina bersebelahan rumahnya di Kampung Sekara dekat sini.

Menurutnya, sesuatu ukiran kayu yang menggunakan pemahat sepenuhnya itu mampu disiapkan dalam kurang seminggu bergantung kepada bentuk ukiran dan saiz.

“Jika dibuat daripada kayu jenis merbau dan cengal, ukiran itu mampu bertahan lebih 100 tahun," katanya.

Katanya, produk yang dihasilkan itu mempunyai nilai tersendiri dan sudah dipelbagaikan dengan konsep moden tanpa meninggalkan seni klasik.

Sumber Artikel: http://www.sinarharian.com.my

Seni Bina Gazebo Menarik

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
utusanN9@utusan.com.my

Lokman Atan (kiri) sentiasa mementingkan ketahanan dan kualiti ukiran pada setiap gazebo yang direka di Senawang Home Decor, Seremban, baru-baru ini. - UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 9 Ogos - Unik, eksklusif dan kaya dengan warisan seni bina ukir nusantara yang tinggi.

Hakikat itu sudah cukup menceritakan keindahan seni bina gazebo dalam mencorakkan keindahan landskap di kediaman mahupun di tempat awam ketika ini.

Biarpun masih dianggap sebagai seni bina yang memerlukan perbelanjaan tinggi, namun masih ada yang mempunyai hasrat dan telah pun memiliki gazebo sebagai penyeri kawasan perumahan.

Pada masa sama, ada juga golongan berkemampuan sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit hanya untuk memastikan kawasan landskap kediaman mereka tampak eksklusif dan lebih menarik dengan membina gazebo.

Isnin, 7 Januari 2013

Katil Tradisional Masih Digemari

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Katil tradisional masih digemari
PULAU KERENGGA - Penggunaan katil kayu yang mempunyai corak ukiran awan larat masih menjadi pilihan sesetengah orang walaupun wujud pelbagai jenis katil moden biasanya diperbuat daripada pelbagai jenis logam ketika ini.

Seorang pengukir, Ismail Yunus, 48, berkata, permintaan tinggi terhadapnya menjadikan perusahaan membuat katil ukiran kayu itu masih dilaksanakan sebilangan penduduk, meskipun aktiviti itu semakin malap kerana saingan katil rekaan moden.

“Saya terpaksa melakukan kerja-kerja ini kerana permintaannya masih ada. Lagipun orang muda masa kini tidak mahir dan enggan bergiat dalam kerja-kerja sebegini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di bengkel ukirannya di Pulau Kerengga di sini.

Malah, bagi bapa enam anak ini, katil kayu seperti itu mempunyai nilai komersial tersendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Ismail adalah antara pengusaha kecil-kecilan di negeri ini yang masih betah membuat katil tradisional Melayu lama itu di bengkel berdekatan rumahnya di Kampung Pulau Kerengga, Marang di sini.

Katanya, pada waktu dahulu, bagaikan satu kelaziman dan kebanggaan bagi masyarakat Melayu untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah katil di bilik utama yang mempunyai corak ukiran pelbagai motif seperti awan larat, bunga-bungaan dan geometri.

“Namun disebabkan harganya tinggi, permintaan jadi semakin berkurang walaupun masih ada yang berhajat untuk memilikinya. Ditambah pula kerja-kerja membuat perabot tersebut bukanlah mudah kerana kayu perlu dipotong dengan cermat.

“Kayu jenis tembusu, cengal dan pelbagai jenis kayu lain yang digunakan itu juga perlu diketam dengan teliti tetapi jika peralatan mencukupi, kerja-kerja menyiapkan sebuah katil bersaiz ‘double bed’ hanya mengambil masa selama seminggu,” katanya.

Menurutnya, dia menjual sebuah katil dengan harga antara RM1,800 hingga RM4,000 bergantung kepada saiz dan mutu pembuatan termasuk jenis kayu yang digunakan untuk membuat perabot itu.

Sumber Artikel : http://www.sinarharian.com.my

Ahad, 6 Januari 2013

Minat ukir kayu jadi kerjaya

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Minat ukir kayu jadi kerjaya
TELOSAN - Ketika berusia 11 tahun, Elias Shafie, 32, gemar mengukir kayu yang ada di sekitar rumahnya di Kampung Gong Anak Nyor di sini, untuk dijadikan sarung keris.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, pada awalnya dia hanya gemar membuat ukiran yang terlintas di fikirannya.

“Tetapi hari ke hari setiap ukiran sarung keris yang dibuat mendapat pujian daripada rakan-rakan sehingga selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mengambil keputusan untuk menjadikan minat itu sebagai sumber pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya yang sudah berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang membuat sarung keris, golok dan pedang itu, dia tidak pernah mengikuti atau mempelajari seni ukiran berkenaan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Elias berkata, kemahiran yang ada adalah anugerah daripada Allah SWT dan bersyukur kerana dengan bakat itu dia dapat mencari rezeki halal untuk menyara keluarganya.

Menurutnya, kerja berkenaan dilakukan di sebuah pondok khas yang dibina di hadapan rumahnya.

“Saya hanya bekerja pada sebelah malam sahaja kerana pada waktu itu dengan suasana sunyi dan saya mendapat ilham untuk mengukir serta membuat sarung keris yang cantik serta unik.

“Tambahan pula, semasa mengukir saya tidak suka diganggu,” katanya.

Elias berkata, tempahan yang diterima tidak pernah putus dan sehingga kini harga ukiran sarung yang paling murah dijualnya ialah RM50 dan paling mahal RM300.

"Jenis kayu yang digunakan untuk membuat sarung ialah kayu halban, pokok setar, kemuning dan sena.

“Tetapi kebanyakan pelanggan saya membawa kayu mereka sendiri kerana setiap daripada mereka mempunyai citarasa masing-masing dan boleh dikatakan kesemua mereka adalah pencinta seni ukiran dan barangan antik,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah bertahun mengusahakan kerjanya itu di rumah, sehingga kini dia tidak pernah terfikir untuk membuka kedai mahupun keluar dari kampungnya.

“Apa yang saya ada sekarang sudah cukup dan kebanyakan mereka mengenali saya melalui promosi yang dilakukan oleh pelanggan sebelum ini,” katanya.

Sumber Artikel: http://www.sinarharian.com.my

Jumaat, 4 Januari 2013

Penerus Tradisi Kompang

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
editjohor@utusangroup.com.my


Abdul Rahim Kasiman (kiri) dibantu pekerjanya, Mahsun Jumsah melakukan kerja-kerja menghasilkan kompang di bengkelnya di Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di Jalan Chenderasari, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 16 Julai - Sebut sahaja kompang, ia sering dikaitkan dengan seni tradisional yang menyeri dan memeriahkan majlis keramaian terutama majlis perkahwinan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, tanpa paluan kompang dalam majlis persandingan, terasa semacam tidak sah atau majlis itu dianggap seolah-olah sunyi dan sepi.

Selain itu, kompang juga sering menjadi penyeri majlis seperti acara perasmian, pertunjukan, kebudayaan dan acara keraian termasuk sambutan Maulidur Rasul.

Seorang usahawan yang bergiat khusus dalam pembuatan kompang, Abdul Rahim Kasiman, 65, telah mengusahakan seni membuat kompang secara serius, sejak 18 tahun lalu.

Berasal dari Ayer Hitam, Muar, Abdul Rahim, kini menjadi pembuat kompang terkenal bukan sahaja di selatan tanah air malah di seluruh Semenanjung.

Beliau menjadikan Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di Jalan Chenderasari berdekatan Jalan Datin Halimah sebagai pangkalan untuk mengusahakan pembuatan kompang secara tradisional bersama anaknya Mohd. Ismail Abdul Rahim, 32.

Abdul Rahim yang aktif bermain kompang sejak zaman kanak-kanak lagi berkata, dia telah lama menyedari tentang keperluan dan permintaan terhadap kompang.

Maka pada 1992 dengan sokongan kawan-kawan dan pihak yang mempunyai kaitan dengan industri kraf, beliau membuat keputusan untuk mengusahakan pembuatan kompang secara komersial.

Dengan menamakan 'Wandrisnor Kompang Baldu' sebagai syarikat untuk menggerakkan perusahaan itu, syarikat tersebut berupaya menghasilkan kira-kira 33 jenis alat muzik tradisional.
Katanya, antaranya jidur, gendang, maruas, kentung kempelingan, gong, gambus, duk, rebana, beduk, angklung dan kompang.

"Mengenai kompang, bahan-bahan seperti kulit kambing selain kulit kambing tempatan, kami turut mengimport dari Indonesia dan Pakistan.

"Jenis kulit kambing yang paling sesuai adalah kambing kampung dan dari jenis Jamnapari kerana kulitnya tidak berminyak berbanding biri-biri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada

Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bahan-bahan lain seperti kayu-kayan dan rotan dicari di hutan-hutan berhampiran.
Abdul Rahim berkata, keunikan sentuhan kompang buatannya adalah kerana masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dan dibuat secara manual.

Katanya, di samping membuat kompang, pihaknya turut memberi perkhidmatan memperbaiki semua alat muzik tradisional.

"Sebagai contoh, macam orang jual alat sukan reket badminton, sudah pasti mereka akan menyediakan perkhidmatan untuk memperbaiki tali dan meluruskan batang reket berkenaan.

"Begitu juga dengan kompang, kami berkeupayaan dan berkemahiran memperbaiki bahagian paluan yang koyak atau retak, begitu juga dengan alat-alat permainan lain.

"Perkhidmatan selepas jualan merupakan sumber kekuatan kami, yang menyebabkan ramai pelanggan memberikan sokongan yang cukup baik hingga perusahaan ini terus berkembang sesuai dengan keperluan semasa," jelasnya.

Dari segi membuat kompang, Abdul Rahim memberitahu, bahagian yang paling cerewet dan perlu ketelitian 100 peratus adalah kerja-kerja kemasan.

"Semasa nak paku kulit kambing di balur yang dilapik kain baldu, kita kena buat dengan cermat dan hati-hati. Kalau silap cara kulit kambing dan balong boleh retak.

"Jadi paluan kompang yang baik terletak pada kerja-kerja kemasan, baru boleh menghasilkan paluan bunyi yang nyaring dan gemersik didengar," katanya.

Katanya, syarikatnya yang mempunyai enam pekerja kini berkebolehan menghasilkan tiga jenis kompang iaitu bersaiz 30 sentimeter, 33 sentimeter dan 35 sentimeter yang berharga antara RM75 hingga RM95 sebuah, di samping kompang kecil untuk hiasan dan cenderahati.

Mengenai pasaran Abdul Rahim menjelaskan, syarikatnya tidak punya masalah untuk memasarkannya, kerana pasaran utama bagi memenuhi keperluan di sekolah-sekolah.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus daripada produk kompang yang dihasilkan adalah bagi memenuhi permintaan persatuan kompang di sekolah-sekolah menengah dan rendah di daerah ini.

Selain itu, katanya, para pelanggannya terdiri daripada kumpulan-kumpulan seni di taman perumahan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kumpulan nasyid.

Tambah Abdul Rahim, memenuhi pasaran global, beliau kerap mengikuti aktiviti promosi anjuran Kraftangan Malaysia seperti Hari Kraftangan Kebangsaan (HKK), yang diadakan di Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur di samping promosi di peringkat daerah atau negeri.

Sebagai penggiat seni kraf, beliau turut mahu berkongsi sama pengetahuan, pengalaman dan kemahiran membuat alat-alat seni tradisional dengan generasi muda dan mereka yang berminat boleh menghubungi 012-7961005 (Mohd. Ismail) atau 07-2381005 (Abdul Rahim).

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pakar Replika Rumah Tradisional Melaka

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my


BASER Ali menyiapkan rumah tradisional Johor yang hampir 60 peratus siap di Kampung Morten.

MELAKA 3 Feb. - Lain padang lain belalang, lain orang lain pula kemahirannya. Manusia sememangnya mempunyai pelbagai ragam dan kerenah, begitu juga minat serta kemahiran.

Bagi Baser Ali, 47, kemahiran yang dimiliki bukan calang-calang dan sukar pula untuk ditandingi. Dia mahir dalam membina replika rumah tradisional.

Kemahiran yang diwarisi daripada bapa saudaranya, Kassim Mahmud dan abangnya, Mohd. Nor, 48, sememangnya tidak disia-siakan oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, Bachang untuk meneruskan legasi membuat replika rumah tradisional.

Walaupun baru setahun menceburkan diri secara serius dalam pembikinan replika rumah tradisional Melayu, Baser kini mampu menghasilkan enam buah replika rumah tradisional yang lengkap dengan pelbagai jenis perabot di dalamnya.

Lebih menarik, setiap ukiran pada replika rumah tradisional dihasilkan menggunakan kreativiti tersendiri.

Hanya mengambil masa selama dua bulan bergantung kepada keluasan sesebuah replika rumah, dia mampu tersenyum kerana ciptaannya mendapat perhatian daripada masyarakat.

Kebanyakan replika rumah tradisional ciptaannya digunakan sebagai penyeri landskap di halaman rumah atau pejabat.

Anak kelahiran Kampung Morten itu berjaya menyiapkan pelbagai bentuk replika rumah tradisional Melaka.

Semasa dikunjungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini, Baser sedang menyiapkan replika sebuah rumah tradisional Melayu Johor.

Walaupun belum ada pembeli, namun Baser berusaha menyiapkan rumah tradisonal Johor itu yang ilham membinanya diperoleh sewaktu kunjungannya ke Johor untuk mengajar peserta di Pusat Kraftangan Larkin.

Selain itu, dua lagi replika rumah tradisonal Melayu Melaka yang diletak tersergam indah di hadapan rumah pusaka milik keluarganya itu menjadi tarikan setiap pengunjung yang lalu di hadapan rumah Baser.

Salah sebuah replika rumah tradisional Melayu Melaka yang berukuran lima kaki panjang, 60 inci lebar dan mempunyai ketinggian 14 inci itu pernah dipamerkan semasa kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Kampung Morten baru-baru ini.

Oleh kerana masih awal dalam bidang itu, Baser bercita-cita untuk membina replika rumah yang lebih besar berukuran empat kaki panjang, tiga kaki lebar dengan ketinggian empat kaki untuk diletakan di halaman rumah bagi mencantikkan suasana.

Menurut Baser, mereka cipta replika rumah tradisional bukan satu pekerjaan yang mudah sebaliknya seseorang itu memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Ia perlu dilakukan secara teliti dan cermat. Jika tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, replika ini pasti tidak akan dapat disiapkan dengan sempurna," katanya.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, dia mula berminat untuk meneruskan legasi keluarganya setelah abangnya jatuh sakit dan tidak mampu lagi menghasilkan replika rumah.

Menurut bekas juru kimpal di salah sebuah kilang di sini, dia yang hanya bermula suka-suka kini mula serius walaupun terpaksa menggunakan modal sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi.

Katanya, penghasilan replika rumah berbeza dengan pembinaan rumah sebenar kerana kerja-kerja menyiapkannya amat rumit kerana saiznya yang kecil.

"Bahan yang digunakan pula perlu yang bermutu tinggi dan ia mampu bertahan daripada dirosakkan oleh anai-anai.

"Selain itu, saya juga akan menggunakan aluminium dan kadang-kadang atap nipah bagi mengekalkan keaslian replika rumah tradisional ini," katanya.

Menurut Baser, setiap replika rumah itu dijual pada harga antara RM900 hingga RM3,500 sebuah berdasarkan saiz.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi beliau menerusi talian 017-6759336.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nilai Ukiran Kayu Melayu

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my


nasir Ismail tekun dan teliti ketika membuat ukiran kayu bagi mendapatkan hasil berkualiti.

MARANG 7 Okt. - Negeri Terengganu sememangnya terkenal dengan pelbagai produk kraf tangan seperti batik, songket, ukiran tembaga dan ukiran kayu. Hampir kesemua produk dari negeri itu telah melangkau ke seluruh dunia di mana ia membuktikan produk dari Malaysia turut diminati masyarakat negara luar.

Beberapa tahun dahulu kita turut berasa bangga apabila seni ukiran kayu Melayu dipilih menjadi penghias dalaman untuk sebuah auditorium di Universiti Oxford, antara universiti berprestij di dunia.

Ukiran daripada kayu bermotifkan awan larat itu akan menghiasi tingkap anjung, pintu utama, birai tangga dan dinding auditorium utama dan galeri di Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) yang pembinaannya dibiayai oleh kerajaan Malaysia.

Bak kata pepatah tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Begitulah hebatnya seni ukiran kayu Melayu yang dahulunya hanya menjadi penghias istana lama namun kini telah mencapai tahap bertaraf dunia meneroka jauh ke negara luar.

Masyarakat kini juga dilihat lebih gemar memilih kelengkapan rumah yang diperbuat daripada seni ukiran kayu malah ada juga lebih selesa membina rumah yang diperbuat daripada kayu di tengah-tengah bandar.

Perubahan kehendak masyarakat kini yang lebih obses terhadap seni ukiran kayu menjadikan seni ini semakin mendapat tempat di pasaran.

Baru-baru ini wartawan Utusan Malaysia berkesempatan mengunjungi sebuah perusahaan adik-beradik seni ukiran kayu ini di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung, Marang.

Menjengah sahaja ke pekarangan rumah pengukir ini, kelihatan pelbagai produk ukiran kayu hasil seni tangannya dapat dilihat seperti katil, gerbang, almari, kerusi, meja dan hiasan lampu yang sungguh halus ukirannya.

Maka tidak hairanlah jika ukiran perusahaan ini turut menjadi penghias di beberapa tempat bersejarah seperti di Muzium Negara dan istana.

Syarikat yang diberi nama Warisan Seni Ukiran Kayu ini beroperasi sejak tahun 1991, bermula dengan hanya sebuah bengkel kecil yang dibina bersebelahan rumah mereka.

Namun bermula tahun 2000, tiga daripada lapan adik-beradik ini telah mula mengembangkan perusahaannya sehingga dikenali serata negara.

Menurut Nasir Ismail, 32, perusahaan ini dimulakan oleh abangnya, Amran, 39, yang pada awalnya belajar mengukir hanya sekadar minat kerana melihat rakan-rakannya juga mahir mengukir.

Katanya, abangnya mula belajar di peringkat awal di Kampung Raja, Besut ketika umurnya 19 tahun dan ukiran pertamanya ialah 'cembung pintu' (hiasan ukiran yang diletakkan di pintu).

"Dia amat meminati seni ukiran kayu dan berusaha untuk mempelajari seni itu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya kini.

"Kemudian dia pula mengajar kami adik-beradik agar dapat membantu dia untuk mengukir jika menerima banyak tempahan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjai Bongkok baru-baru ini.

Apa yang menarik perhatian, walaupun seni pembuatan ukiran ini amat rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi namun tidak sedikit pun riak wajah Nasir bosan dengan kerjayanya itu.

Menceritakan pengalamannya dalam bidang tersebut, ujar Nasir, dia mengambil masa selama setahun untuk mahir dalam seni ukiran berkenaan.

Jelasnya, cabaran yang paling besar untuk menghasilkan sesebuah ukiran kayu ialah mengawal kekuatan mental dan fizikal.

Ujarnya, apabila seseorang mula mengukir, cuaca panas, habuk, badan letih menjadi faktor utama sesebuah ukiran tidak dapat dibuat dengan baik.

"Biasanya untuk menyiapkan cembung pintu akan mengambil masa selama seharian dan sekiranya dilakukan tanpa henti tangan akan menjadi kebas dan menyukarkan ukiran dibuat.

"Selain itu, ukiran berbentuk bunga empat dimensi yang memerlukan ketelitian juga memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Kadang-kadang jika terlalu banyak permintaan, kami juga terpaksa menolak tempahan kerana tidak cukup kakitangan memandangkan kami hanya mempunyai sembilan orang tukang dan hanya dua pengukir," ujarnya.

Tambah Nasir, dia mengakui produk ukiran kayu sememangnya mempunyai harga yang mahal berbanding produk lain kerana kesukaran untuk membuatnya.

Namun, jelasnya, ia tidak menjadi penghalang untuk masyarakat semakin menggemari produk tersebut.

Katanya, ketahanan produk yang diperbuat daripada kayu menjadi sebab utama ia kian diminati.

"Bagi menghasilkan produk ukiran kayu, hanya beberapa jenis kayu sahaja yang boleh digunakan seperti cengal, seraya dan berawang.

"Kayu-kayu ini jenis yang tahan lasak dan sukar di makan anai-anai.

"Bagi mereka yang berminat, di sini mereka boleh menempah produk ukiran kayu dari serendah RM5 sekeping dan lazimnya harga sesebuah ukiran ialah RM120 untuk sekaki serta mengikut jenis ukiran ," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Istana Masa Kecil

Oleh MANIRAH OTHMAN


Pengukir kayu tersohor negara, Norhaiza Noordin membeli tiga buah rumah Melayu Terengganu berusia lebih 100 tahun semata-mata ingin membina ‘istana impiannya’ semasa kecil.





SEMASA kecil, Norhaiza Noordin asyik memerhati sebuah istana lama di kampungnya, Kampung Raja di Besut, Terengganu.

Istana Tengku Long, binaan klasik tahun 1875, begitu menarik minat Norhaiza sehingga beliau bercita-cita untuk memiliki kediaman seperti istana itu apabila dewasa kelak.

Kini pada usia 46 tahun, pengukir kayu terkenal ini boleh tersenyum lebar kerana impiannya hampir tercapai.



TIDAK mustahil Norhaiza akan menjadikan 'istananya' ini sebagai pusat rujukan suatu hari nanti.




Usahanya bermula pada tahun 1995 apabila beliau membeli sebuah rumah Melayu tradisional di Kuala Terengganu pada harga kira-kira RM6,000.

Bangunan itu kemudian dipindahkan dan dibina semula berhampiran rumah ibu Norhaiza di Pasir Raja, Besut.

Norhaiza turut membeli dua buah lagi rumah Melayu lama sebagai tambahan kepada rumah sedia ada. Kediaman yang telah dibaik pulih itu dinamakan Seri Bakawali.



RUMAH Melayu lama bukan saja selesa malah sentiasa mengingatkan Norhaiza kepada kekayaan warisan Melayu.





Menurut Norhaiza, rumah itu bukan sahaja selesa untuk beliau sekeluarga, bahkan ia sentiasa mengingatkan beliau kepada kekayaan warisan Melayu. Rumah itu sangat elegan dan klasik, begitu hampir dengan bentuk ‘istana’ yang diimpikan Norhaiza semasa kecil.

“Semua rumah itu berusia lebih 100 tahun. Rumah Terengganu unik ialah kerana ia dibina menggunakan pasak. Jadi ia senang untuk dipindahkan dan dipasang semula di tempat lain.

“Namun saya mengambil masa hampir 10 tahun untuk menyiapkan kediaman ini kerana kosnya yang tinggi,” katanya yang pakar dalam ukiran kayu termasuk tingkap, bingkai tingkap, dinding, bumbung berdekorasi dan pintu gerbang.



PRODUK ukiran kayu mahal kerana kualiti seni ukirnya dan ia menuntut ketelitian, kemahiran kerja halus dan memakan masa untuk disiapkan.



Bercerita mengenai Seri Bakawali, Norhaiza memilih konsep istana lama itu kerana inginkan suasana seperti zaman kegemilangan Melayu kira-kira 300 tahun dahulu.

Kediaman itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu rumah tamu, rumah ibu dan dapur.

Keunikan rumah yang disifatkan seperti rumah golongan bangsawan Melayu itu diserikan dengan pintu pagar yang dibina Norhaiza sendiri pada tahun 2003.



INILAH hasil kerja keras Norhaiza mempelajari seni ukiran kayu selama 15 tahun.


Halaman rumahnya berada di tengah-tengah antara tiga buah rumah tersebut. Di situ terdapat sebuah pondok kecil yang asalnya merupakan sebuah tempat simpanan padi.

Di kanan halaman terletak rumah tamu manakala di tengah ialah rumah ibu. Di kiri pula merupakan dapur yang bersambung dengan bahagian sisi rumah ibu dan pintu masuk utama ruang tamu.



ISTANA impian Norhaiza bermula dengan sebuah rumah lama yang dibeli di Kuala Terengganu pada 1995.


Bagaimanapun, jelas Norhaiza, pintu pagar rumahnya sentiasa ditutup disebabkan ramai orang datang kerana menyangkakan kediaman itu sebuah muzium.

Kata Norhaiza, beliau dan keluarga kurang selesa menerima kunjungan orang luar yang tidak dikenali kerana mereka tinggal di situ.

“Tunggulah bila tiba masanya saya akan jadikan kediaman ini sebagai tempat rujukan,” katanya.



BERSANTAI di pangkin yang diletakkan di tengah laman.





Menurut Norhaiza, seni ukir berkualiti memerlukan ketelitian dan kemahiran kerja halus yang memakan masa untuk disiapkan. Kerana itulah produk ukiran selalunya mahal.

“Faktor harga menyebabkan kebanyakan orang lebih suka memilih hasil ukiran yang lebih murah walaupun kualitinya rendah.

“Sekiranya trend ini berterusan, tidak mustahil orang seperti saya terpaksa mengikut kehendak pasaran dan mengeluarkan produk kurang berkualiti untuk meneruskan hidup,” katanya.

Beliau juga berpendapat tidak ramai pengukir yang benar-benar masih mengekalkan identiti Melayu kerana telah diresapi seni ukiran kontemporari.

“Untuk memudahkan orang ramai membuat pilihan, kerajaan juga boleh memberikan gred terhadap pengukir berdasarkan kualiti dan pengalaman pengukir itu sendiri,” katanya.

Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Ketinggian Seni Ukiran Kayu

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
Gambar Azlan Bahrum


Burhan Ashaari menunjukkan perabot ukiran yang dihasilkannya di Seni Kayu Warisan, Pulau Rusa.

SENI ukiran kayu kini bukan sekadar perusahaan di belakang rumah tetapi menjadi industri yang berpotensi berkembang mengikut peredaran masa apatah lagi menerusi ukiran yang disesuaikan dengan pelbagai cita rasa dan keperluan semasa.

Salah satu medan terbesar bagi para pengusaha memaparkan hasil kerja mereka dan meluaskan pasaran adalah melalui Hari Kraf Kebangsaan dan buat kali kesembilan ia bakal berlangsung selama 13 hari bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac ini.

Lokasinya di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Program tahunan itu amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh usahawan yang terbabit namun pengunjung dari dalam dan luar negara.

Penganjuran pada tahun ini bakal memberi peluang kepada kira-kira 500 usahawan dalam pelbagai bidang dan 150 daripadanya adalah usahawan bidang hasil rimba untuk mempromosi produk mereka sekali gus menjana pendapatan.

Salah seorang pengukir kayu ternama, Wan Mustafa Mustafa Wan Su di Alor Lintang Besut akan mengambil bahagian pada hari tersebut untuk mengabadikan simbol-simbol alam dalam karyanya yang diterjemahkan secara halus dan berseni.

Wan Mustafa atau lebih dikenali sebagai Wan Po merupakan Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003 dan pemilik Balai Seni Wan Po. Beliau merupakan anak kepada pengukir yang mempunyai warisan tersendiri, Wan Su Othman seorang Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan pernah dinobatkan Tokoh Seni Negara 1997.

Menerapkan prinsip tidak mahu karya-karyanya sama seperti orang lain bahkan bapanya sendiri, Wan Po berusaha membawa identiti sendiri dengan mengetengahkan ukiran seumpama lukisan hidup atau lebih mudah dipanggil lukisan tiga dimensi namun masih mengekalkan penggunaan awan larat yang sinonim dengan ukiran Melayu.

Beliau kini boleh berbangga kerana hasil-hasilnya gah digunakan seperti di Panca Persada Istana Maziah di Kuala Terengganu, Terengganu, Hiasan dalam Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang dan hiasan dalaman di Muzium Negeri Terengganu.

Beliau yang turut mengakui industri seni ukiran kayu pada masa kini perlu memberi kebebasan generasi muda dalam mengintepretasi karya mereka tanpa melupakan lenggok seni sesuatu ukiran.

Seorang lagi pengukir kayu, Norhaiza Nordin, 48, yang juga Pengarah Urusan Bengkel Seni Ukir Bakawali mengakui amat sukar mencari generasi muda yang berminat dan mempunyai 'roh' dalam seni ukiran itu.

Berguru
Beliau yang pernah berguru dengan enam pengukir tersohor negara meminta masyarakat lebih menghargai seni yang sering dimomokkan dengan nilai tinggi dan tidak mampu dimiliki.

"Jangan berbicara tentang harga yang mahal jika anda buta menilai seni ukiran kayu. Hanya mereka yang mempunyai maruah sahaja mengerti seindah mana seni ukiran kayu itu dipandang," jelasnya.

Melihat puluhan hasil ukiran kayu di ruang pameran di pejabatnya, memberi satu perspektif bahawa beliau mengangkat maruah bangsa Melayu di tempat tertinggi melalui ukiran tersebut.

Beliau yang turut dilantik sebagai Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia 2008 itu cuba membawa identitinya sendiri dengan menggabungkan keenam-enam ajaran gurunya bagi menghasilkan ukiran kayu yang amat indah.

Nama Norhaiza bukanlah asing dalam industri seni ukiran kayu apabila kemuncak hasil karyanya menjadi penghias di Muzium Negeri Terengganu Taman Lagenda Langkawi, Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, Masjid Mukah di Sarawak dan Istana Melawati Putrajaya selain turut ditempatkan di Auditorium dan Galeri Oxford Centre of islamic School di Universiti Oxford, United Kingdom.

Burhan Ashaari, 56, Pengarah Urusan SeniKayu Warisan yang mengusahakan perniagaan perabot berasaskan seni ukiran kayu di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, mengakui HKK banyak membantu mempromosikan perabot buatan syarikatnya.

Biarpun baru enam tahun bertapak di dalam bidang ini yang lalu namun sambutan pengguna terhadap perabot keluarannya amat menggalakkan dan ini mendorongnya untuk terus melangkah jauh. "Setiap kali menyertai HKK, saya mendapat pelbagai tempahan dari seluruh negara dan yang paling penting dapat berkongsi idea dengan peminat industri ini," katanya.

Menceritakan bagaimana beliau bermula, ujarnya minat mendalam terhadap seni ukiran kayu mendorongnya mengusahakan perniagaan tersebut dengan menampilkan pelbagai koleksi perabot bermotifkan seni ukiran kayu yang lebih moden.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

12 Tahun Membuat Parang

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


Baharom Husin, pembuat parang tradisional di Kampung Bukit Chengal, Mukim Rambai, Pendang, Kedah. - UTUSAN/ismail kamadin

PENDANG 12 Mac - Sebut saja parang atau golok di kawasan utara tanah air terbayang senjata panjang dan tajam yang diperbuat daripada besi.

Senjata seperti parang pada masa dahulu digeruni kerana dengan sekali tetakan sahaja ia boleh membawa maut.

Kini kegunaan parang di dalam masyarakat semakin berkurangan kerana banyak kerja diambil alih oleh mesin.

Bagi pembuat parang secara tradisional, Baharom Husin, 58, kerja-kerja tersebut sudah sebati di dalam hidupnya.

''Bukan mudah untuk menghasilkan sebilah parang kerana ia melalui proses yang berperingkat-peringkat serta memerlukan kesabaran.

''Saya sudah 12 tahun membuat parang ini dan kini anak lelaki saya sudah menunjukkan minat untuk mewarisi kepakaran membuat parang daripada saya,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bukit Chengal, Mukim Rambai, di sini baru-baru ini.

Katanya, kerja membuat parang dimulakan dengan proses melembutkan besi menggunakan kepanasan api kira-kira 100 darjah selcius.

''Besi yang digunakan adalah daripada besi terpakai dan saya membentuk parang dengan menggunakan tukul besi.

''Proses pembentukan parang agak mencabar kerana saya terpaksa bekerja pantas di dalam keadaan panas api yang membahang,'' katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai jenis parang yang mampu dibuat antaranya seperti golok perak, golok kedah, slundak udang, belati, wali, tumbuk lada dan pisau badik.

Namun katanya, golok perak yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kerana ia sesuai digunakan untuk melapah daging.

''Parang jenis lain seperti belati hanya ditempah untuk dijadikan perhiasan oleh pelanggan.

''Tempahan pula datang daripada sekitar negeri ini serta seluruh negara,'' katanya.

Menurutnya, kadang-kadang dia menyertai pameran-pameran yang dianjurkan oleh Kraftangan Cawangan Kedah dan dari situ parang buatan tangannya mula dikenali.

''Saya pernah membuat parang yang ditempah dari seorang pelanggan yang tinggal di Pahang.

''Saya juga terkejut kerana dia sanggup datang ke sini hanya untuk menempah sebilah parang saya," katanya.

Baharom memberitahu, sebilah parang yang panjangnya kira-kira lapan inci dijual pada harga RM80 manakala parang sepanjang 10 inci boleh dijual dengan harga RM100 lengkap dengan sarungnya.

''Saya juga menjual parang yang telah siap di pasar-pasar minggu di sekitar kawasan Pendang dan bagi mereka yang meminatinya boleh terus menempah daripada saya,'' katanya.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my/
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rahsia Parang Zamri Tajam

 

Cicit Mat Tukang, seorang pandai besi di Negeri Sembilan, menggunakan paku landasan kereta api untuk membuat parang.







"KALAU nak uji ketajaman parang, jangan rasa dengan jari. Itu pantang kerana mata parang akan cepat tumpul dan berkarat.

"Seelok-eloknya lelas mata parang pada kuku, jika rasa kesat dan ada kesan takik, maknanya mata parang sudah tajam," ujar Ahmad Basri Mukmin, 54.

Dia yang juga seorang penyembelih lembu adakalanya memperuntukkan masa hampir sejam untuk mengasah parang terutama ketika musim Hari Raya Korban dan cuti sekolah.

"Penyembelihan binatang korban memerlukan mata parang yang benar-benar tajam. Saya sendiri menggunakan empat jenis batu asah berlainan gred dalam proses mengasah.

"Selain memastikan ketajaman, teknik mengasah yang betul juga dapat menjamin mata parang agar sentiasa berkilat dan tidak mudah tumpul," katanya yang sudah lebih 10 tahun diberi tanggungjawab menyembelih binatang korban di kawasan kejiranannya di Kuala Langat, Selangor.

Ahmad Basri memberitahu, bukan sembarangan parang boleh digunakan untuk menyembelih binatang.

"Besi yang digunakan untuk dijadikan mata parang juga perlu dipilih daripada jenis yang sesuai.

"Bagi tujuan sembelihan, saya hanya akan memilih mata parang yang ditempa daripada besi paku landasan kereta api kerana sifatnya yang tahan lasak dan tidak mudah patah atau sompek," ujarnya yang menempah parang khusus untuk kerja-kerja penyembelihan, melapah dan memotong tulang daripada tukang besi dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Menjejaki pembuat parang yang dimaksudkannya, Jurnal pergi ke Jelebu untuk melihat sendiri proses pembikinan pelbagai jenis senjata besi, terutama parang.

Kunjungan ke Kampung Mentaus yang terletak dalam mukim Sungai Durian, Jelebu, menemukan kami dengan seorang tukang besi dan tukang sarung parang yang cukup terkenal iaitu Zamri Wahid, 42.

Dianggap sebagai tukang besi tersohor di Negeri Sembilan, kepakaran Zamri menghasilkan mata parang yang licin dan halus serta kreativitinya membuat sarung parang lengkap dengan ukiran daripada tema flora seakan sudah menjadi tanda dagangan perniagaannya yang sudah mencecah usia 16 tahun itu.

Cicit Mat Tukang
ATAS: Pembakaran sempurna besi hingga terbit warna kemerah-merahan penting dalam menghasilkan mata parang yang bermutu tinggi.

"Mungkin darah tukang parang yang mengalir di tubuh saya masih kuat. Sebab itu orang di sekitar kampung ini tidak hairan jika saya pulang ke kampung dan menyambung legasi keturunan Mat Tukang," ujarnya ketika ditemui di bengkel parangnya baru-baru ini.

Menyingkap susur galur anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, Zamri merupakan cicit kepada Mat Tukang yang merupakan tukang sarung parang dan keris yang disegani bukan sahaja di sekitar Jelebu, bahkan seluruh Negeri Sembilan.

"Menurut cerita orang tua-tua, banyak hasil kerja moyang saya dibeli oleh Yamtuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Luak Jelebu.

"Saya tidak sempat berjumpa dengannya, tetapi masih dapat melihat hasil kerjanya yang saya anggap begitu halus dan berseni.

"Datuk saudara saya, anak Mat Tukang juga seorang tukang sarung parang tetapi tidak begitu aktif, namanya Tok Empat Adnan.

"Selepas Tok Empat, bapa saudara saya, iaitu cucu Mat Tukang, juga dikenali ramai dengan kepandaiannya membuat sarung parang, namanya Yusof tetapi lebih dikenali sebagai Hashim.

"Dia aktif membuat parang sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an. Orangnya masih hidup tetapi sudah tidak aktif membuat sarung parang.

"Kini, saya, generasi keempat Mat Tukang yang masih meneruskan warisan tukang besi dan pembuat sarung parang.

"Bakat turun-temurun ini nampaknya akan terus disambung oleh anak sulung saya yang juga ciut Mat Tukang iaitu Muhammad Abqari, 17," ceritanya.

Sungguhpun mewarisi darah tukang parang, Zamri tidak pernah belajar menempa besi atau mengukir sarung parang daripada generasi terdahulu.

Sebaliknya dia mempelajarinya daripada tukang parang dari Jawa dan Kelantan.
Zamri turut belajar teknik menghasilkan besi berkualiti tinggi daripada seorang penyelia warganegara Jepun ketika bekerja di kilang besi di Seremban dahulu.
TEKNIK mengasah mata parang sehingga permukaannya licin, halus dan berkilat adalah kelebihan di bengkel Zamri.

Kini Zamri menggaji lima pekerja di bawah jenama Mentaus Craft. Bermula secara kecil-kecilan, kini perniagaan parang Zamri dianggap antara yang paling berkembang di negara ini.

Selain kehalusan mata parang, keunikan hulu serta sarung parang, perusahaan yang dimulakan di belakang rumah kini sudah bertaraf komersial apabila berupaya mengeluarkan hampir 200 bilah parang sebulan.

Menjelang cuti sekolah atau Hari Raya Korban, tempahan yang diterima pula mampu mencecah dua kali ganda.

"Walaupun pengeluaran kita besar, Mentaus Craft tidak berkompromi dalam soal kualiti. Malah setiap senjata besi, tidak kira pisau, parang atau kerambit, mesti sampai ke tangan saya dahulu untuk diberi sentuhan akhir.

"Dalam proses menyepuh besi misalnya, hanya saya yang boleh melakukannya. Begitu juga dengan ukiran pada hulu dan sarung.

"Bukan tidak percaya dengan keupayaan pekerja, tetapi untuk proses paling penting ini, saya masih mahu mengekalkan sentuhan peribadi supaya pelanggan tidak keliru dengan kualiti Mentaus Craft," ujarnya yang sering dipilih untuk mewakili Negeri Sembilan dalam pameran kraf senjata di peringkat kebangsaan.

Turut berkongsi pelbagai tip penjagaan parang dalam blognya, Zamri percaya ilmu yang kerap diamalkan akan membongkar lebih banyak rahsia dan kelebihan.

"Memang penting tahu dan pandai mengasah parang, sebab satu alat yang masih dalam bentuknya, digunakan dari zaman kuno sampai sekarang ialah jenis keluarga parang," katanya.

Jelas Zamri lagi, tidak kira apa gelarannya, lembing, lading, parang, kelewang, badik, belati, pisau, kerambit, lawi ayam ataupun tumbuk lada, kegunaan besi tajam dianggap terpenting bagi orang Islam untuk menyembelih haiwan dan tidak boleh ditukar ganti.

"Bertitik-tolak daripada itu saya melihat parang mempunyai potensi untuk dijadikan produk perniagaan," jelasnya yang menjual pisau dari harga RM60 hingga RM120 manakala parang di antara RM100 ke RM500 sebilah.

Rahsia
MAN Misai adalah tukang asah parang berpengalaman di Mentaus Craft.

Melihat ketekunan Muhammad Abqari menempa mata besi di bengkel milik bapanya, nyata minat anak muda ini terhadap pembuatan parang bukan sedikit.

"Saya rasa puas bila besi yang bengkok dapat diluruskan, yang tebal dinipiskan dan yang karat dapat dilicinkan.

"Lebih menyeronokkan apabila besi yang berkarat dan tumpul dapat ditajamkan sehingga mampu memotong tulang mahupun paku tebal," katanya.

Gemarkan kerja di bahagian mata parang, Abqari bersama Abdul Rahman Samsudin atau Man Misai, 54, merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran mata parang, daripada proses membakar, mengetuk hingga mengasah.

"Proses membuat parang bermula dengan membakar besi hingga warnanya merah menyala. Bagi tujuan membuat parang beberapa jenis besi boleh digunakan antaranya besi bearing, papan chain saw, paku rel kereta api. Lain jenis besi, lain pula jenis kemerahannya.

"Sesudah itu, besi dikeluarkan dari dapur bara sebelum ditempa atau diketuk dengan tukul bagi mendapatkan bentuk parang yang diinginkan sebelum permukaannya diratakan menggunakan mesin pengasah pisau atau grinder.

"Selepas diketuk, mata parang akan melalui proses sepuh bertujuan mengeraskannya. Mata besi yang panas akan dimasukkan ke dalam air tanah liat," ujar Abqari.

Sambungnya lagi, untuk menghasilkan sarung dan hulu parang pula, bapanya akan menggunakan kayu yang berkualiti yang diambil di sekitar kampung.

"Ada juga pelanggan inginkan kayu tertentu. Jika sukar diperolehi, kita akan beli.

"Kayu-kayu tersebut kemudian dikorek di bahagian dalamnya mengikut saiz mata parang dan kemudian dua lapisan kayu tersebut akan dicantum menggunakan gam bagi membentuk sarung.

"Selepas itu, bahagian luarnya akan diukir mengikut motif atau idea tertentu sebelum digosok dengan kertas pasir dan disapu dengan bahan pengilat.

"Setelah sarungnya siap, besi parang akan dimasukkan ke dalam kayu yang telah dibentuk sebagai hulu dan akhir sekali mata parang itu akan diasah menggunakan batu asah sehingga ia tajam," jelas Abqari.

Tidak hanya dijual untuk kegunaan harian, parang keluaran Mentaus Craft juga dijual sebagai cenderahati.

"Jangan terkejut kerana ramai juga yang menempah parang untuk dijadikan hantaran perkahwinan," ujar Zamri.

Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Parang Hiasan Lebih Susah

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my


Bermula dengan hanya melihat jirannya membuat parang, Anizam akhirnya kini menjadi seorang pembuat parang terkenal di Kuala Pilah.



ANIZAM melihat parang yang sudah siap sebelum diberikan kepada pelanggannya.




KEMODENAN yang dikecapi negara ini tidak pernah menghalang masyarakat Melayu untuk terus menggunakan parang melakukan pelbagai kerja seharian terutama di kawasan desa.

Kegunaan parang banyak membantu masyarakat Melayu melakukan kerja seharian seperti memotong kayu, membelah kelapa, melapah daging sewaktu majlis kenduri dan pelbagai lagi kerja seharian.

Tampak senang digunakan tetapi pembuatannya bukan satu perkara mudah lebih-lebih lagi ia dibuat secara tradisional.

Paling cepat membuat sebilah parang yang lengkap dengan sarung dan hulunya mengambil masa selama sehari.

Malah, pembikinnya juga harus mempunyai sikap penyabar untuk menghasilkan parang bermutu tinggi dan cantik selain mempunyai pengalaman serta daya kreativiti tinggi.



TEKUN membuat ulu parang agar kemas dan cantik.




Kelebihan ini dimiliki seorang pembikin parang di Rumah Rakyat Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Anizam Mohd Deris, 38, kerana kemampuannya menghasilkan parang bermutu tinggi.

Menurut Anizam, beliau mula menunjuk minat dalam seni pembuatan parang pada tahun 2000 apabila melihat pembikin parang yang tersohor berdekatan kawasan rumahnya begitu mahir serta penyabar dalam menghasilkan sebilah parang.

"Saya banyak memerhatikan seni pembuatan parang sebelum mula berjinak-jinak membuat parang untuk kegunaan sendiri serta ahli keluarga yang lain.

"Pada waktu itu, saya tidak mempunyai masa kerana terikat dengan tugas sebagai pemandu lori dan menjadikan pembuatan parang sebagai hobi pada masa lapang," katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau nekad berhenti daripada menjadi pemandu lori pada tahun 2006 untuk meneruskan minatnya dalam pembuatan parang dengan lebih serius agar khazanah tradisional itu tidak luput ditelan dek zaman.

"Semua orang boleh membuat parang tetapi membuat parang yang baik dan
tahan lama adalah tugas yang memerlukan kesabaran, minat mendalam serta kemahiran tinggi kerana jika tidak memiliki ciri-ciri ini kita akan cepat bosan sehingga melakukan kerja dengan sambil lewa.

"Untuk menghasilkan sebilah parang yang berkualiti, saya bekerja tanpa menentu masa di bengkel setiap hari apabila menerima tempahan daripada pelanggan," katanya.
SENI membuat parang memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi.


Katanya, terdapat kira-kira 20 hingga 30 tempahan bilah parang yang diperoleh dalam masa sebulan dan ia akan meningkat setiap kali menjelang musim perayaan terutama pada Hari Raya dan juga Hari Raya Korban.

Namun begitu, katanya, disebabkan kekurangan masa dan hanya membuat parang seorang diri beliau hanya mampu menyiapkan 20 bilah parang dalam masa sebulan.

"Walaupun mempunyai pengalaman membuat parang tetapi saya tidak mampu menyiapkan lebih sebilah sehari kerana banyak perkara rumit lain terpaksa dilakukan seperti membuat sarung dan hulunya.

"Caj yang dikenakan pula berbeza-beza antara RM70 hingga RM150 mengikut kualiti kayu serta hasil rekaan dikehendaki oleh pelanggan-pelanggan," katanya.

Ujarnya lagi, untuk membuat hulu dan sarung parang, beliau akan menggunakan kayu kemuning, kemuning hitam, sepetir, angsana dan pokok rhu.

Katanya, pelanggan-pelanggan yang menempah bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi ada juga yang datang dari Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Selain daripada membuat parang sembelih dan melapah daging, beliau turut mendapat tempahan parang hiasan daripada pelanggan-pelanggannya.

Tambah beliau, membuat parang hiasan lebih rumit kerana memerlukan daya kreativiti yang tinggi serta kesabaran kerana untuk menyiapkannya ia mengambil masa dalam dua hari bergantung kepada kehalusan seni ukiran dikehendaki.

Katanya, pemilihan kayu juga memerlukan pemerhatian yang baik untuk melihat 'bunga' kayu berkenaan sesuai dijadikan sebilah parang cantik serta berkualiti tinggi.

"Paling merumitkan dalam pembikinan sebilah parang adalah semasa hendak menghaluskan hulu dan sarung parang berkenaan kerana mengambil masa yang lama untuk melakukannya.

"Kadangkala saya terpaksa juga berjaga malam untuk menyiapkan parang hiasan kerana kekangan masa," katanya.

Walaupun, membuat parang mengambil masa, beliau tidak pernah jemu dengan kerja itu kerana ia adalah mata pencariannya untuk menyara isteri serta dua anak.

"Saya minat serta seronok dengan pekerjaan yang dilakukan ditambah pula dengan sokongan keluarga, apatah lagi apabila dapat menyiapkan tempahan mengikut tarikh dijanjikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap suatu hari nanti dapat mengembangkan lagi perniagaan membuat parang yang selama ini menjadi sumber rezeki kepada keluarganya.

"Selagi terdaya saya akan terus melakukan pekerjaan yang diminati ini kerana tidak ramai generasi muda ingin menceburi bidang pembuatan parang.

"Saya juga berharap kerajaan akan membantu serta memberi sokongan kepada pembuat-pembuat parang di negara ini agar generasi baru tidak terlupa tentang keindahan seni pembuatan parang," katanya.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara