Jumaat, 4 Januari 2013

Zolsani Warisi Seni Alat Besi

Oleh SITI AISAH HABIRIN
rencana@kosmo.com.my


Hari ini jumlah pembuat keris boleh dibilang dengan jari. Namun Zolsani yang lebih dikenali sebagai Zol Parang antara yang terus setia menukul besi membentuk pelbagai peralatan termasuklah keris.



ZOLSANI menunjukkan sebahagian keris dan parang yang telah siap sepenuhnya.




SELAGI ada Melayu, selagi itulah martabat keseniannya akan terbela. Namun kepakaran si tukang besi dan seni pembuatan keris semakin lupus.

Malah ada generasi muda kini yang hanya mengenalinya melalui gambar dan belum pernah menyaksikannya dengan lebih dekat.
BESI perlu dibakar pada suhu yang tinggi selama 20 minit sebelum diketuk dengan penukul.



Keris sebagai contoh, memiliki kesenian, keunikan dan ciri-ciri kemelayuan yang diabadikan pada seni pertukangannya.

Biarpun kekurangan pelapis berwibawa menghasilkan keris yang merupakan lambang kedaulatan orang Melayu, bagi pencintanya, Zolsani Busu, 40, kemahiran penghasilan senjata pada zaman lampau itu perlu dipelihara dan dikembangkan agar ia tidak lupus dek zaman.
DALAM sebulan Zolsani biasanya menerima tempahan sekurang-kurangnya enam bilah keris daripada individu atau persatuan silat.



Zolsani yang dikenali sebagai Zol Parang mula menceburkan diri dalam industri itu sejak 17 tahun lalu. Dia aktif sebagai tukang besi sepenuh masa sejak 1999 setelah berpindah ke Felda Penggeli Timur, Kota Tinggi, Johor.
 


Legasi alat-alat besi
Menurut Zolsani, dia mula mempelajari ilmu membuat keris dan peralatan lain berasaskan besi seperti parang, sabit, cangkul dan lain-lain daripada gurunya, Abd. Hamid Abd. Halim semasa bekerja sebagai pegawai keselamatan di Ladang Tabung Haji, Kluang, Johor.
SEJENIS kayu yang digunakan untuk membuat sarung keris dan parang.

Ilmu yang dituntut selama tiga tahun itu menimbulkan minatnya untuk meneruskan legasi seni penciptaan alat-alat besi terutama keris yang merupakan antara senjata terpenting kaum Melayu suatu ketika dahulu.

Kata Zolsani, minat dan usaha gigihnya itu nyata berbaloi kerana dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM3,500 sebulan.

Jelas beliau, dalam sebulan dia biasanya menerima tempahan sekurang-kurangnya enam bilah keris daripada individu atau persatuan silat.

Tambahnya, proses membuat keris mengambil masa lebih enam jam kerana ia menuntut kesabaran dan ketelitian bagi menghasilkan corak yang diingini pelanggan.

"Keris bukan barang mudah luput malah ia boleh dijadikan sebagai barang pusaka yang boleh tahan sehingga beratus tahun lamanya.


"Ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata keris, ulu dan sarungnya. Untuk membuat mata keris, proses pertama yang dinamakan kahwin besi perlu dilakukan dan melibatkan beberapa jenis besi bergantung kepada kemahuan pelanggan," katanya.
ANTARA keris hasil kerja tangan Zolsani.


Menurut bapa kepada enam orang anak itu, antara jenis besi yang selalu digunakan termasuk besi mentah, aluminium, tembaga, besi waja, suasa, perak, emas dan lain-lain.

"Besi kemudian disatukan dan dibakar pada suhu yang tinggi selama 20 minit sebelum diketuk dengan penukul untuk membentuknya.

"Corak yang terbentuk daripada proses tersebut merupakan bahagian penting yang menunjukkan keunikan mata keris," ujarnya.

Kemudian, untuk proses membuat ulu dan sarungnya kayu seperti kemuning, kentang, sena, jati emas, penawar hitam dan sebagainya menjadi pilihan kerana masing-masing mempunyai keunikan tersendiri pada corak semula jadinya.

"Saya amat mengalu-alukan mereka yang berminat dan ilmu yang ada ini boleh dikongsi bersama. Setakat ini seramai 14 orang datang untuk belajar dan rata-ratanya dari Kuala Lumpur, Kedah, Perak dan Johor sendiri," kata Zolsani

Kepada sesiapa yang berminat membuat tempahan atau belajar membuat keris dan peralatan besi lain boleh datang terus ke bengkel bersebelahan rumah yang beralamat di 23 G, Jalan Merah 4, Felda Pengeli Timur, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan