Rabu, 2 Januari 2013

Ukiran Kayu Bertahta Di Hati

ROSHLAWATY RAIEH

Ukiran kayu bertahta di hati
Mohd Aswadi menggunakan pahat dan pisau wali untuk membuat ukiran kayu.



Ukiran kayu bertahta di hati
Dalam usia muda, Mohd Aswadi berjaya menghasilkan ratusan ukiran kayu dan ini antara hasil kerjanya yang berkualiti.

 
Pertama kali bersua wajah dengan pemuda ini, penulis bagaikan kelu seribu bahasa. Dengan lontaran falsafah ukiran yang diucapkan, penulis cuba memahami apa yang ingin disampaikan Mohd Aswadi Zulkifli.

 Tumbuh berpunca
 Punca penuh rahsia
 Tajam tidak menikam lawan
 Memaut tidak merebah kawan
 Tetapi melingkar penuh mesra

Puas penulis amati namun gagal memahaminya. Ketika bertanyakan pada Mohd Aswadi, dia berkata, falsafah ukiran itu banyak maknanya. Pengisiannya lebih memfokuskan warisan Melayu tradisi (ukiran kayu) yang perlu dikekalkan. Pemahaman demi pemahaman diberikannya, dan barulah penulis faham mengapa dia begitu obses terhadap ukiran kayu.

Menurutnya, ukiran kayu adalah seni pertukangan tangan yang menjadi satu tradisi dalam masyarakat Melayu. Seni ukir akan memperkenalkan teknik dan motif bunga ukir yang menjadi identiti ukiran Melayu tradisi.

“Menghasilkan karya seni ukir memerlukan kemahiran memilih kayu, memproses kayu, memilih dan melukis motif ukiran hinggalah mengukir silat dengan menggunakan pemahat dan pisau wali,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Walaupun seni ukir dimonopoli golongan lama seperti Wan Su Wan Othman, Wan Mustafa Wan Su, Latif Long dan ramai lagi, namun Mohd Aswadi tidak kisah. Baginya menjadi seorang pengukir kayu bukan terletak pada usia sebaliknya terletak pada bakat, minat dan kesungguhan seseorang.

Dia mempunyai impian untuk menjadi pengukir muda tersohor tanah air sama seperti pengukir kayu hebat negara, Wan Su Othman dan Norhaiza Noordin. Namun begitu, untuk ke arah itu dia harus berusaha gigih kerana bukan mudah menempa nama jika tiada kesungguhan dan kepakaran.

Anak kelahiran Marang, Terengganu ini merupakan pelapis golongan muda yang mencintai ukiran kayu tradisional. Mewarisi bakat dari bapa saudaranya, Amran Ismail yang berasal daripada keluarga yang mempunyai keturunan tukang kayu berkebolehan.

Walaupun masih muda, Mohd Aswadi melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan ratusan ukiran kayu yang sarat dengan nilai estetika dan menjadi tarikan semula jadi. Lebih membanggakan, kebanyakan sentuhan penuh kreatifnya itu banyak menghiasi dinding beberapa jabatan kerajaan di negara ini untuk dijadikan hiasan.

Menariknya mengenai produk berasaskan kayu dihasilkan Mohd Aswadi adalah dari segi bentuk berbeza selari dengan kepakaran dan cita rasa semasa. Ukiran kayunya juga dimuatkan dengan nama ALLAH dan Muhammad bagi menambahkan seri ukiran tersebut.

Dek kelainan yang ditampilkan, maka tidak hairanlah produk ukiran kayunya itu sering mendapat sambutan kerana menampilkan kreativiti lain dari yang lain.

Belajar di IKN

Berkongsi pengalaman dirinya dalam bidang yang dicintai, Mohd Aswadi berkata, dia mula mengenali ukiran ketika di bangku sekolah rendah. Ketika itu, dia sentiasa berkunjung ke Warisan Seni Ukir Kayu, bengkel milik bapa saudaranya, Amran.

Disebabkan uniknya ukiran kayu dihasilkan Amran itu, lalu Mohd Aswadi menyuarakan hasrat hati untuk mempelajari seni ukiran dengan lebih mendalam.

Bagi mempertahankan bidang seni ukiran kayu negara agar tidak berkubur begitu sahaja, Amran mencadangkan anak saudaranya mengikuti pengajian di Institut Kraf Negara (IKN) selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2005.

Pada 2006, Mohd Aswadi menerima keputusan SPM dan dia mula memohon IKN. Dia cukup bertuah kerana ditawarkan mengikuti Program Sijil Seni Ukiran Kayu selama setahun setengah. Kemudian, dia menyambung pengajian ke peringkat diploma bagi jurusan yang sama selama dua tahun.

Sepanjang pengajian, anak muda itu banyak menimba ilmu dalam bidang kraf kayu. Dia menerima latihan dan bimbingan berterusan daripada tenaga pengajar IKN. Sebahagian besar ukiran kayu mendapat pujian ramai apatah lagi ukirannya halus, realistik dan unik.

Berkenaan corak ukiran tradisional, Mohd Aswadi lebih gemar memilih ukiran bermotifkan flora dan fauna.

“Motif bunga teratai, bunga ketumbit dan bunga tanjung menjadi kegemaran. Saya memilihnya kerana ia antara perlambangan keindahan alam semula jadi,” ujarnya.

Buka bengkel

Terdapat pengukir kayu yang suka mengukir motif lain mengikut cita rasa masing-masing. Ada yang memilih motif kosmos, motif geometri dan juga motif kaligrafi.

“Tak kisahlah motif yang bagaimana menjadi pilihan pengukir kayu, yang penting ukiran kayu dulu hingga kini tidak pernah lapuk ditelan zaman,” katanya.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang ukiran kayu, dia sering turun padang membuat demonstrasi di serata negeri. Sambutan cukup menggalakkan. Melalui demonstrasi itu juga, dia menerima banyak tempahan daripada orang ramai.

“Peserta yang menyertai demonstrasi ukiran kayu sangat ramai. Majoritinya kalangan pengukir kayu yang mahir dan berpengalaman. Namun saya bersyukur kerana saya dipilih oleh masyarakat untuk menghasilkan ukiran kayu buat mereka." katanya.

Dek ukirannya kian diterima ramai, Mohd Aswadi berjaya membuka sebuah bengkel, Maz Warisan Trading yang terletak di Marang, Terengganu. Bengkelnya itu berperanan menyiapkan tempahan orang ramai.

Tempahan yang diterimanya pula bukan calang-calang orang. Selain golongan sederhana, ada juga kalangan orang atasan seperti tan sri, datuk, datin dan Yang Berhormat membuat tempahan ukiran kayu tradisional dengannya.

“Rasa seperti tak percaya. Memang semuanya di luar jangkaan. Namun, saya berterima kasih kepada semua pihak kerana mempercayai kemampuan diri ini,” ujarnya yang bercita-cita mahu menghasilkan ukiran kayu untuk seni bina istana dan masjid suatu hari nanti.

Sumber Artikel:http://www.sinarharian.com.my

2 ulasan: