Jumaat, 4 Januari 2013

Ketinggian Seni Ukiran Kayu

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
Gambar Azlan Bahrum


Burhan Ashaari menunjukkan perabot ukiran yang dihasilkannya di Seni Kayu Warisan, Pulau Rusa.

SENI ukiran kayu kini bukan sekadar perusahaan di belakang rumah tetapi menjadi industri yang berpotensi berkembang mengikut peredaran masa apatah lagi menerusi ukiran yang disesuaikan dengan pelbagai cita rasa dan keperluan semasa.

Salah satu medan terbesar bagi para pengusaha memaparkan hasil kerja mereka dan meluaskan pasaran adalah melalui Hari Kraf Kebangsaan dan buat kali kesembilan ia bakal berlangsung selama 13 hari bermula pada 23 Februari hingga 7 Mac ini.

Lokasinya di Kompleks Kraf Kuala Lumpur. Program tahunan itu amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh usahawan yang terbabit namun pengunjung dari dalam dan luar negara.

Penganjuran pada tahun ini bakal memberi peluang kepada kira-kira 500 usahawan dalam pelbagai bidang dan 150 daripadanya adalah usahawan bidang hasil rimba untuk mempromosi produk mereka sekali gus menjana pendapatan.

Salah seorang pengukir kayu ternama, Wan Mustafa Mustafa Wan Su di Alor Lintang Besut akan mengambil bahagian pada hari tersebut untuk mengabadikan simbol-simbol alam dalam karyanya yang diterjemahkan secara halus dan berseni.

Wan Mustafa atau lebih dikenali sebagai Wan Po merupakan Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003 dan pemilik Balai Seni Wan Po. Beliau merupakan anak kepada pengukir yang mempunyai warisan tersendiri, Wan Su Othman seorang Adiguru Kraf Ukiran Kayu dan pernah dinobatkan Tokoh Seni Negara 1997.

Menerapkan prinsip tidak mahu karya-karyanya sama seperti orang lain bahkan bapanya sendiri, Wan Po berusaha membawa identiti sendiri dengan mengetengahkan ukiran seumpama lukisan hidup atau lebih mudah dipanggil lukisan tiga dimensi namun masih mengekalkan penggunaan awan larat yang sinonim dengan ukiran Melayu.

Beliau kini boleh berbangga kerana hasil-hasilnya gah digunakan seperti di Panca Persada Istana Maziah di Kuala Terengganu, Terengganu, Hiasan dalam Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang dan hiasan dalaman di Muzium Negeri Terengganu.

Beliau yang turut mengakui industri seni ukiran kayu pada masa kini perlu memberi kebebasan generasi muda dalam mengintepretasi karya mereka tanpa melupakan lenggok seni sesuatu ukiran.

Seorang lagi pengukir kayu, Norhaiza Nordin, 48, yang juga Pengarah Urusan Bengkel Seni Ukir Bakawali mengakui amat sukar mencari generasi muda yang berminat dan mempunyai 'roh' dalam seni ukiran itu.

Berguru
Beliau yang pernah berguru dengan enam pengukir tersohor negara meminta masyarakat lebih menghargai seni yang sering dimomokkan dengan nilai tinggi dan tidak mampu dimiliki.

"Jangan berbicara tentang harga yang mahal jika anda buta menilai seni ukiran kayu. Hanya mereka yang mempunyai maruah sahaja mengerti seindah mana seni ukiran kayu itu dipandang," jelasnya.

Melihat puluhan hasil ukiran kayu di ruang pameran di pejabatnya, memberi satu perspektif bahawa beliau mengangkat maruah bangsa Melayu di tempat tertinggi melalui ukiran tersebut.

Beliau yang turut dilantik sebagai Karyawan Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia 2008 itu cuba membawa identitinya sendiri dengan menggabungkan keenam-enam ajaran gurunya bagi menghasilkan ukiran kayu yang amat indah.

Nama Norhaiza bukanlah asing dalam industri seni ukiran kayu apabila kemuncak hasil karyanya menjadi penghias di Muzium Negeri Terengganu Taman Lagenda Langkawi, Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, Masjid Mukah di Sarawak dan Istana Melawati Putrajaya selain turut ditempatkan di Auditorium dan Galeri Oxford Centre of islamic School di Universiti Oxford, United Kingdom.

Burhan Ashaari, 56, Pengarah Urusan SeniKayu Warisan yang mengusahakan perniagaan perabot berasaskan seni ukiran kayu di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, mengakui HKK banyak membantu mempromosikan perabot buatan syarikatnya.

Biarpun baru enam tahun bertapak di dalam bidang ini yang lalu namun sambutan pengguna terhadap perabot keluarannya amat menggalakkan dan ini mendorongnya untuk terus melangkah jauh. "Setiap kali menyertai HKK, saya mendapat pelbagai tempahan dari seluruh negara dan yang paling penting dapat berkongsi idea dengan peminat industri ini," katanya.

Menceritakan bagaimana beliau bermula, ujarnya minat mendalam terhadap seni ukiran kayu mendorongnya mengusahakan perniagaan tersebut dengan menampilkan pelbagai koleksi perabot bermotifkan seni ukiran kayu yang lebih moden.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan