Selasa, 8 Januari 2013

Rumah Busu Dolah Tiada Pendua

 

TANGGA rumah Melayu Melaka seakan-akan wajib dihias dengan jubin warna-warni dengan motif flora.

FALSAFAH reka bentuk rumah tradisi Melayu Melaka sememangnya sangat unik. Ia adalah garapan apresiasi pemiliknya terhadap budaya Melayu, keindahan alam dan kehidupan bermasyarakat yang diterjemahkan melalui ilham seni bina.

Justeru, identiti rumah Melayu Melaka begitu mudah dikenali. Bumbungnya panjang memayungi bahagian serambi rumah dan binaan tangga batunya pula seakan-akan wajib diberi kemasan jubin bermotif flora.

Bagi Yaakob Buang, 54, jendela yang dipasang rendah dan ukiran kayu turut dijadikan tanda pengenalan.

Lebih dikenali sebagai Busu Dolah, penjawat awam ini merupakan pemilik satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka yang ada di negara ini.

Kukuh
Kemewahan rumah yang diwarisi daripada datuknya, Hitam Buntal ini bukan dilihat pada perabot atau hiasan dalaman sebaliknya dinilai berdasarkan kehalusan ukiran dan seni binanya.

Tersergam indah di Jalan Bukit Godek, Kampung Semabok Dalam, Melaka, rumah warisan tersebut sudah berusia 103 tahun.

“Menurut arwah bapa, rumah ini mula dibina pada tahun 1909 oleh tukang rumah tempatan.




TERDAPAT 12 jendela kayu lengkap dengan kayu ram yang mengawal kemasukan cahaya dan udara di serambi rumah.



“Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya memakai pasak dan tanggam sahaja,” kata Busu Dolah.

Mewah dengan ukiran kerawang jenis tebuk tembus dan tebuk timbul di keseluruhan serambi dan rumah ibu, ternyata ia melahirkan rasa kagum yang bukan sedikit.

Biarpun sudah didiami selama empat generasi, keunggulan seni binanya yang masih kukuh sekali gus membuktikan seni bina budaya Melayu suatu masa dahulu benar-benar berkualiti.

Menurut Busu Dolah, rumahnya itu sering menjadi tumpuan pelancong, arkitek, jurutera dan penuntut universiti tempatan.

Malah, ia juga menjadi pilihan pelbagai syarikat produksi serta stesen penyiaran dari dalam mahupun luar negara untuk dijadikan lokasi penggambaran.

“Selain seni bina rumah, ukiran kerawang turut menggamit pengunjung bertandang ke mari.
“Daripada kajian yang dijalankan, semuanya berpendapat ukiran yang ada di rumah ini tiada penduanya di tempat lain.

“Rumah ini juga dianggap sebagai satu-satunya rumah warisan Melayu Melaka yang masih ada,” katanya.

Upah 10 sen sehari
Bercerita lanjut tentang ukiran yang menjadi penyeri kediamannya, Busu Dolah memberitahu, sekeping ukiran kayu mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan.

“Arwah datuk mengupah orang kampung untuk mengukir kerawang dengan motif flora dan geometri dengan upah 10 sen sehari.

“Diukir menggunakan pahat dan penukul, hasil kerja tangan ini memang halus buatannya,” ujarnya.
KEMEWAHAN rumah Busu Dolah dilihat dari aspek seni bina tradisional dan ukiran kerawang yang halus buatannya.

Selain untuk tujuan hiasan, kepelbagaian ukiran berlubang di atas jendela, muka pintu dan dinding turut menggalakkan kemaskan udara dan cahaya ke dalam rumah.

Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah.

“Boleh jadi juga,” pintas Busu Dolah. Suatu masa dahulu, arwah datuknya merupakan peniaga yang cukup disegani.

“Selain mempunyai tanah bendang yang luas, beliau turut dikenali sebagai pengeksport telur ikan terubuk Melaka ke Thailand.

“Beliau juga menghasilkan baja sawah daripada tulang lembu yang dibakar dan ditumbuk sebelum dijual kepada penduduk kampung,” ujar Busu Dolah lagi.

Meneliti reka bentuk rumah yang berusia lebih seabad ini, identiti rustik, canggih dan bistari yang diserap melalui teknik pembinaannya nyata masih relevan untuk dipraktikkan dalam seni bina masa kini.

Selain berfungsi sebagai tempat berlindung, binaannya tidak lari daripada perincian khusus bagi memastikan keselesaan penghuni tanpa melupakan pengaruh adat dan alam.

“Serambi adalah bahagian hadapan rumah di mana tuan rumah menyambut kedatangan tetamu.




KEUNGGULAN seni bina dan rekaan rumah Melayu tradisi Melaka ini masih kekal biarpun ia telah didiami selama empat generasi.




“Jika ada yang bermalam di sini, kaum lelaki akan tidur beramai-ramai di serambi sementara anak dara akan berehat dan tidur di loteng atas rumah,” ujar isteri Busu Dolah, Zainab Mat Yasin, 51.

Rumah ini pada asalnya memanjang ke belakang dan tidak mempunyai rumah bawah.

Namun, selepas lebih 70 tahun digunakan, bahagian dapurnya dibuka dan diganti dengan rumah bawah yang dibina menggunakan batu.

“Kos untuk membaiki rumah kayu sangat tinggi, lagipun rumah asal mempunyai sebuah bilik sahaja,” tambah Busu Dolah.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan