Rabu, 2 Januari 2013

Che Nor Minat Seni Ukir Sarung Keris



CHE Nor Che Mat menunjukkan keris dan sarung yang siap di bengkelnya
di Kampung Sungai Damar, Benta, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 10 Sept. - Adalah sesuatu yang cukup membanggakan apabila masih ada individu yang mencintai seni ukiran membuat sarung parang, keris dan pelbagai jenis peralatan senjata lain ketika kemahiran itu semakin dijauhi generasi muda hari ini.

Seorang pengusaha sarung senjata yang menghiasi Ruangan Keringat iaitu Che Nor Che Mat, 47, masih mengekalkan warisan turun temurun kraftangan itu di rumahnya di Kampung Sungai Damar Benta, dekat sini.

Kegemaran pelanggan mengumpul senjata lama berasaskan ukiran tradisional Melayu menyebabkan Che Nor tidak 'menang tangan' menyiapkan sarung dengan ukiran tertentu untuk dijadikan koleksi peribadi atau hadiah di kalangan pemilik senjata berkenaan.

"Bukan mudah menghasilkan sarung parang dan keris berasaskan kehendak pelanggan kerana ia memerlukan daya imaginasi yang kreatif dan ketulenan mutu ukiran selain berbekalkan kesabaran," katanya kepada Utusan Malaysia di bengkel kraf tangan miliknya, di sini baru-baru ini.

Katanya, dia mula membuat sarung senjata sejak 22 tahun lalu apabila memperoleh kemahiran daripada gurunya yang dikenali sebagai Pak Hen dan Pak Awang di Kelantan.

"Kebiasaannya pelanggan lebih gemar membawa kayu sendiri untuk membuat sarung seperti kayu kemuning emas, sepetir, bacang, rengas dan surian.

"Saya berbincang reka bentuk dan ukiran sehingga pelanggan benar-benar berpuas hati dan membuat kerja menyudahkan sarung dalam tempoh tertentu," katanya.

Upah yang diperoleh katanya, berasaskan mutu ukiran dan tempoh kerja menyiapkannya termasuk mengambil kira jenis kayu, bentuk ukiran dan saiz sarung.

Tambahnya, selain sarung dia juga mampu menempa besi untuk dijadikan parang, keris dan peralatan tajam lain untuk kegunaan harian dan perhiasan di rumah atau di pejabat.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan