Jumaat, 4 Januari 2013

Penerus Tradisi Kompang

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
editjohor@utusangroup.com.my


Abdul Rahim Kasiman (kiri) dibantu pekerjanya, Mahsun Jumsah melakukan kerja-kerja menghasilkan kompang di bengkelnya di Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di Jalan Chenderasari, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 16 Julai - Sebut sahaja kompang, ia sering dikaitkan dengan seni tradisional yang menyeri dan memeriahkan majlis keramaian terutama majlis perkahwinan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, tanpa paluan kompang dalam majlis persandingan, terasa semacam tidak sah atau majlis itu dianggap seolah-olah sunyi dan sepi.

Selain itu, kompang juga sering menjadi penyeri majlis seperti acara perasmian, pertunjukan, kebudayaan dan acara keraian termasuk sambutan Maulidur Rasul.

Seorang usahawan yang bergiat khusus dalam pembuatan kompang, Abdul Rahim Kasiman, 65, telah mengusahakan seni membuat kompang secara serius, sejak 18 tahun lalu.

Berasal dari Ayer Hitam, Muar, Abdul Rahim, kini menjadi pembuat kompang terkenal bukan sahaja di selatan tanah air malah di seluruh Semenanjung.

Beliau menjadikan Kompleks Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di Jalan Chenderasari berdekatan Jalan Datin Halimah sebagai pangkalan untuk mengusahakan pembuatan kompang secara tradisional bersama anaknya Mohd. Ismail Abdul Rahim, 32.

Abdul Rahim yang aktif bermain kompang sejak zaman kanak-kanak lagi berkata, dia telah lama menyedari tentang keperluan dan permintaan terhadap kompang.

Maka pada 1992 dengan sokongan kawan-kawan dan pihak yang mempunyai kaitan dengan industri kraf, beliau membuat keputusan untuk mengusahakan pembuatan kompang secara komersial.

Dengan menamakan 'Wandrisnor Kompang Baldu' sebagai syarikat untuk menggerakkan perusahaan itu, syarikat tersebut berupaya menghasilkan kira-kira 33 jenis alat muzik tradisional.
Katanya, antaranya jidur, gendang, maruas, kentung kempelingan, gong, gambus, duk, rebana, beduk, angklung dan kompang.

"Mengenai kompang, bahan-bahan seperti kulit kambing selain kulit kambing tempatan, kami turut mengimport dari Indonesia dan Pakistan.

"Jenis kulit kambing yang paling sesuai adalah kambing kampung dan dari jenis Jamnapari kerana kulitnya tidak berminyak berbanding biri-biri," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada

Hari Bertemu Pelanggan Kraftangan Malaysia Cawangan Johor di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bahan-bahan lain seperti kayu-kayan dan rotan dicari di hutan-hutan berhampiran.
Abdul Rahim berkata, keunikan sentuhan kompang buatannya adalah kerana masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dan dibuat secara manual.

Katanya, di samping membuat kompang, pihaknya turut memberi perkhidmatan memperbaiki semua alat muzik tradisional.

"Sebagai contoh, macam orang jual alat sukan reket badminton, sudah pasti mereka akan menyediakan perkhidmatan untuk memperbaiki tali dan meluruskan batang reket berkenaan.

"Begitu juga dengan kompang, kami berkeupayaan dan berkemahiran memperbaiki bahagian paluan yang koyak atau retak, begitu juga dengan alat-alat permainan lain.

"Perkhidmatan selepas jualan merupakan sumber kekuatan kami, yang menyebabkan ramai pelanggan memberikan sokongan yang cukup baik hingga perusahaan ini terus berkembang sesuai dengan keperluan semasa," jelasnya.

Dari segi membuat kompang, Abdul Rahim memberitahu, bahagian yang paling cerewet dan perlu ketelitian 100 peratus adalah kerja-kerja kemasan.

"Semasa nak paku kulit kambing di balur yang dilapik kain baldu, kita kena buat dengan cermat dan hati-hati. Kalau silap cara kulit kambing dan balong boleh retak.

"Jadi paluan kompang yang baik terletak pada kerja-kerja kemasan, baru boleh menghasilkan paluan bunyi yang nyaring dan gemersik didengar," katanya.

Katanya, syarikatnya yang mempunyai enam pekerja kini berkebolehan menghasilkan tiga jenis kompang iaitu bersaiz 30 sentimeter, 33 sentimeter dan 35 sentimeter yang berharga antara RM75 hingga RM95 sebuah, di samping kompang kecil untuk hiasan dan cenderahati.

Mengenai pasaran Abdul Rahim menjelaskan, syarikatnya tidak punya masalah untuk memasarkannya, kerana pasaran utama bagi memenuhi keperluan di sekolah-sekolah.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus daripada produk kompang yang dihasilkan adalah bagi memenuhi permintaan persatuan kompang di sekolah-sekolah menengah dan rendah di daerah ini.

Selain itu, katanya, para pelanggannya terdiri daripada kumpulan-kumpulan seni di taman perumahan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti kumpulan nasyid.

Tambah Abdul Rahim, memenuhi pasaran global, beliau kerap mengikuti aktiviti promosi anjuran Kraftangan Malaysia seperti Hari Kraftangan Kebangsaan (HKK), yang diadakan di Kraftangan Malaysia, Jalan Conlay, Kuala Lumpur di samping promosi di peringkat daerah atau negeri.

Sebagai penggiat seni kraf, beliau turut mahu berkongsi sama pengetahuan, pengalaman dan kemahiran membuat alat-alat seni tradisional dengan generasi muda dan mereka yang berminat boleh menghubungi 012-7961005 (Mohd. Ismail) atau 07-2381005 (Abdul Rahim).

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan