Khamis, 14 November 2013

Evolusi Ukiran Kayu Merentasi Zaman



DUA pengunjung ini kelihatan teruja menyaksikan pelbagai koleksi ukiran kayu yang unik dan penuh kreativiti.




SEBAGAI anak seorang pengukir, kecintaan Mohd. Aidil Mohd. Diah, 27, terhadap seni ukiran kayu terlalu tinggi. Apatah lagi, sejak kecil dia sering melihat ketekunan dan kegigihan ayahnya, Mohd. Diah Arifin menyiapkan ukiran pada alat muzik gambus yang popular di Johor.

Setiap hari, dia pasti akan meluangkan masa di bengkel yang terletak bersebelahan rumahnya selepas pulang dari sekolah untuk membantu sekadar yang perlu.

Dari situlah berputiknya minat Mohd. Aidil mempelajari seni ukiran kayu sehingga memilih untuk melanjutkan pelajaran di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Selangor.

"Saya merupakan anak tunggal lelaki daripada enam adik-beradik. Jadi, saya tidak mahu legasi kemahiran mengukir ayah lenyap begitu sahaja selepas beliau tiada nanti.

"Jujurnya saya dapat rasakan seni mengukir ini begitu serasi dengan jiwa saya. Justeru, pengajian di IKN membolehkan saya mendalami dunia ukiran secara serius selepas menimba ilmu mengukir dengan ayah secara tidak formal," ujar Mohd. Aidil yang berasal dari Batu Pahat, Johor ketika ditemui sewaktu Pameran Nuansa Ukiran Melayu di Muzium Etnografi Melayu, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Melihat keindahan seni ukiran kayu yang dipamerkan pada pameran tersebut, jelas membuktikan ketelitian dan kehalusan kerja tangan masyarakat Melayu yang tiada tandingan.

Hakikatnya, seni ukiran kayu Melayu telah melewati satu sejarah yang panjang. Ia melalui zaman daripada keperluan khidmat pandai ukir untuk membina rumah kampung orang Melayu, masjid-masjid, pengangkutan seperti perahu dan pelbagai peralatan seperti keris, cepu dan serunai sehinggalah ke pembinaan istana-istana Melayu.

Seiring peredaran zaman, seni ukir Melayu terus dilestarikan dengan wadah dan wajah yang berbeza. Ukiran Melayu telah masuk sebagai penghias di dalam bangunan-bangunan pentadbiran mahupun premis-premis perniagaan.

Malah produk-produk yang dihasilkan oleh para pengukir juga pelbagai mengikut selera orang zaman ini.




RUMAH Melayu tradisi banyak menyelitkan elemen ukiran dalam pembinaannya.




Sumber ilham
Berbicara mengenainya, mantan Naib Canselor UM, Prof. Mohd. Taib Osman pernah mengingatkan bahawa unsur budaya tradisional termasuklah ukiran kayu Melayu merupakan unsur yang terkandung dalam ciri-ciri persambungan budaya Melayu. Ia mesti menjadi tali ikatan, baik dari segi masa mahupun ruang dengan entiti yang dinamakan Malaysia.

Perkara itu diakui oleh Konsultan Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina UM, Profesor Emeritus Ezrin Arbi yang merupakan pakar dalam warisan seni bina Melayu.

Menurutnya, sebelum kedatangan Islam, nenek moyang kita telah mengamalkan cara hidup seni ukir mereka sendiri sebagai pernyataan terhadap kecintaan dan keindahan.

"Mereka menjadikan alam sekeliling yang penuh dengan pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan sebagai sumber ilham yang tiada batasnya.

"Bagaimanapun, selepas Islam tersebar di Nusantara yang mengaitkan keindahan dengan sifat Tuhan telah memurnikan dan meningkatkan lagi mutu seni ukir mereka.

"Islam telah memberi kebebasan berkarya dalam ruang-ruang tertentu dan menggalakkan umatnya mencipta pelbagai karya seni selagi ciptaan itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai dan etika agama," jelasnya.

Tambah Ezrin, dalam seni ukiran, larangan menunjukkan makhluk bernyawa telah ditanggapi dengan sangat bijaksana oleh nenek moyang kita melalui penyamaran atau pengabstrak bentuk seperti yang dilihat dalam motif itik pulang petang dan badar mudik yang banyak digunakan sebagai ukiran bingkai di Semenanjung dan pulau Sumatera.

"Malah, di seberang Selat Melaka orang Minang masih menggunakan nama-nama seperti kuda menendang, tupai tertegun, kelawar bergantung dan kucing tidur untuk karya-karya ukiran dengan motif tertentu," katanya.


MOHD. AIDIL menunjukkan karya ukiran gambus yang dihasilkan dalam tempoh dua minggu.



Larangan
Jelas Ezrin lagi, ada empat peranan hiasan ukiran kayu dalam kehidupan sehari-hari. Di samping melahirkan keindahan dalam sesebuah rumah atau bangunan, ia juga boleh dimanfaatkan untuk memudahkan pengaliran udara, peneduhan dan keselamatan.

Secara keseluruhan, terdapat lebih 100 karya dan artifak ukiran kayu Melayu aliran tradisional dan kontemporari dipamerkan pada pameran tersebut. Ini termasuklah hasil kerja tangan pengukir handalan tanah air seperti Latiff Long, Wanpo, Norhaiza Noordin, A. Muhaimin Hasbollah, Mohd. Abdah Hassan dan Zarir Abdullah.

Karya tokoh seni ukiran Allahyarham Wan Su Othman dan Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein turut menyerikan pameran berkenaan di samping hasil kerja pelajar IKN.

Seminar
Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM), UM, Prof. Dr. Zahir Ahmad berkata, pameran tersebut diadakan sejak 2 September lalu sehingga 31 Oktober 2013.

Sempena pameran itu juga, pihaknya turut menganjurkan program Seminar Ukiran Kayu Melayu pada 18 September lalu bertempat di Dewan Semarak, APM.

Ia menyaksikan sembilan orang pembentang kertas kerja yang terdiri daripada ahli akademik dan penggiat seni berhimpun untuk membincangkan pelbagai aspek berkaitan ukiran Melayu.

"Pameran dan seminar ini bertujuan untuk melestarikan dan mendokumentasi pelbagai karya seni ukiran Melayu tradisi dan kontemporari sekali gus menghasilkan bahan rujukan tentang perkembangan terkini mengenainya," ujar Zahir.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com
Hakcipta terpelihara

Adzhar Mahir Ukir Mimbar

Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar izham jaafar

Kerja-kerja pemasangan dilakukan apabila segala proses ukiran siap dibentuk.

UKIRAN merupakan karya yang dihasilkan menerusi kerja yang halus dan berseni. Ia bukan sahaja memerlukan ketelitian tetapi sebenarnya merupakan satu hasil kerja seni yang perlu dilakukan dengan sepenuh jiwa dan kecintaan.

Kesabaran dan ketelitian amat dituntut agar ukiran yang dihasilkan memuaskan hati setiap mata yang memandang.

Kerja-kerja mengukir memerlukan kombinasi beberapa kemahiran kepada tukangnya seperti melukis, memahat, mencungkil dan menoreh bagi menghasilkan bahan yang mahu diukir terutama kayu memberikan hasil yang sempurna.

Motif ukiran pula selalunya berasaskan kepada alam semulajadi terutama tumbuhan.

Di kalangan masyarakat Melayu, seni ukiran memang terkenal sejak berzaman dahulu. Seni ini merupakan simbol ketinggian tamadun dan budaya bangsa.

Kelaziman di negara ini ukiran dibuar atas kayu sama ada untuk menghiasi rumah-rumah, hulu senjata seperti keris dan parang serta mimbar masjid.

Kerja-kerja ini ada yang diwarisi turun temurun. Ada pula yang mempelajari kerana minat dan mahu memastikan seni tradisi itu terus terpelihara.

Yang pasti, ia menuntut kemahiran dan kesabaran yang tinggi. Bukan calang-calang orang dapat menghasilkan ukiran-ukiran yang bermutu dan cantik.

Bagi Adzhar Mat, 43, kemahiran yang dimilikii adalah susulan daripada minatnya yang mendalam dalam bidang seni ukiran.

Dia bukan sahaja seorang pengukir tetapi turut bertanggungjawab menghasilkan mimbar kebanyakan masjid di sekitar Lembah Klang.

Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, kebanyakan ukiran yang dihasilkan adalah mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.

Kemahirannya tidak dapat dipertaikaikan lagi kerana dia sudah 20 tahung terlibat secara langsung di dalam bidang itu.

"Saya memang meminati bidang ukiran ini sejak muda lagi. Untuk mendalami ilmunya saya mengambil jurusan kraftangan di Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Pahang dalam bidang ukiran kayu.

"Alhamdulillah, pasaran untuk ukiran terutama ukiran kayu sentiasa ada.Tambahan pula hari ini ia tidak hanya terhad untuk kayu malah telah dipelbagaikan.

"Selain mimbar, saya turut membuat ukiran untuk kabinet dapur, almari pakaian, siling, gazebo dan banyak lagi," ujarnya ketika ditemui di bengkel ukirannya yang terletak di Medan Kraftangan Air Panas, Jalan Usahawan, Setapak, Kuala Lumpur.

Tambahnya, untuk mimbar, dia lebih suka menggunakan kayu tempatan kerana lebih berkualiti di samping harganya yang tidak terlalu mahal.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada permintaan pelanggan. Sekiranya mereka berkehendakkan jenis kayu lain, dia akan mendapatkannya.

Terang Adzhar lagi, terdapat banyak saiz untuk mimbar. Ia juga bergantung kepada permintaan pelanggan yang menempah.

Dalam masa yang sama, selain mempunyai banyak saiz, mimbar mempunyai dua jenis iaitu satu yang terletak di atas lantai dan bertangga manakala satu lagi bercantum di bahagian dinding.

Berbicara lanjut mengenai ukiran yang sering digunakan, menurut anak jati Alor Setar itu, segala ukiran yang diterjemahkan kebanyakan dirujuk dari majalah ataupun Internet.

Ini kerana selain mengikut cita rasa para pelanggan, rujukan luar amat penting dalam usaha memberi bentuk ukiran yang terkini.

Begitupun, kebanyakan ukiran yang dihasilkan juga merupakan ilham Adzhar sendiri. Sudah pasti ia lebih kepada ukiran berbentuk geometri bercirikan Islam.

Kebanyakan bentuk-bentuk geometri yang bercirikan Islam adalah hasil gabungan dari Turki, Maghribi dan negara-negara Islam lain.

Selain itu, Adzhar turut mempelbagaikan ukiran dengan bentuk-bentuk bunga Melayu seperti ketumbit, bunga raya, sulur kacang, pucuk rebung dan banyak lagi.

Yang penting, Adzhar amat menitik beratkan nilai-nilai seni klasik yang digabungkan bersama konsep moden bagi menghasilkan sesuatu yang unik dan segar dalam setiap hasil kerjanya.

Untuk menghasilkan satu mimbar, jelas Adzhar semuanya bergantung kepada saiz dan bentuk yang dikehendaki pelanggan.

Lazimnya, dia dan rakan-rakannya mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk menyiapkan satu mimbar termasuk pasang.

Tetapi tempoh tersebut tidak termasuk waktu pemilihan kayu, corak dan persetujuan daripada pelanggan.

"Untuk menghasilkan satu mimbar, ia tidaklah mengambil masa yang begitu lama.

"Apa yang menjadikannya lama dan mengambil masa berbulan-bulan ialah penghasilan reka bentuk, pemilihan kayu dan persetujuan daripada pelanggan.

"Sekiranya pelanggan sendiri sudah mempunyai reka bentuk dan jenis kayu yang diingini, segala kerja menjadi mudah.

"Ini bukan hanya untuk mimbar, ia juga termasuk untuk kerja-kerja ukiran lain seperti syiling, almari, gazebo dan sebagainya," katanya.

Daripada seorang yang tidak mengetahui tentang ukiran, dia sangat bersyukur kerana bakatnya bukan sahaja dapat memberi rezeki kepadanya dan keluarga tetapi juga empat pekerja yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Malah, untuk mengukuhkan lagi tapaknya dalam bidang pertukangan kayu ini, Adzhar telah membuka sebuah syarikat yang diberi nama Jitu Art Resources.

Kini permintaan bukan sahaja datang dari orang perseorangan termasuk para kenamaan, malah beberapa syarikat produksi filem dan juga pemilik-pemilik resort.

Adzhar juga mengutamakan kesabaran dan ketelitian dalam menghasilkan karyanya.

Menurutnya, untuk mengukir seseorang itu perlu ada jiwa yang bersih agar ukiran yang dihasilkan dapat memukau sesiapa sahaja selain keindahan ukiran itu dapat bertahan lama.

"Insya-Allah, ukiran yang dihasilkan pastinya bermutu dan sudah pasti kekemasan yang terhasil adalah hasil kerja yang terbaik dari kami.

"Kesemua pengukir yang bekerja di bawah seliaan saya merupakan orang yang berpengalaman agar segala tempahan yang diterima dapat disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan," katanya.

Antara hasil kerja Adzhar yang boleh dilihat ialah di mimbar Masjid Rasak Jaya, Negeri Sembilan; mimbar surau Dewan Bahasa dan Pustaka; mimbar Masjid Batu Muda, Gombak; mimbar Masjid Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Air Panas; mimbar Masjid Setapak; Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bangi; Koperasi Peladang Setiawangsa dan membuat prop untuk set Puteri Gunung Ledang (tandu dan keris).

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan Jitu Art Resources atau untuk pertanyaan lanjut, bolehlah hubungi talian 012-6436883 (Mieza).


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keris Pak El Boleh Berdiri

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my

Pak El menyiapkan keris panjang di bengkelnya di Kampung Ladang Titian. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 24 Mei - Zulkifli Yusof, 42, dari Kampung Ladang Titian di sini bukan hanya mempunyai koleksi pelbagai barangan antik, tetapi beliau juga mahir dalam seni pembuatan keris dan pelbagai senjata lama.

Walaupun hanya mempunyai sebuah bengkel bersebelahan dengan rumahnya dan mengusahakannya sendiri tanpa sebarang teknologi canggih, namun kehalusan seni hasil kerja tangannya tiada tandingan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak El mengusahakan seni pertukangan itu sejak kecil, mewarisi kemahiran ayahnya, Yusof Long yang juga pengusaha pembuatan keris di Terengganu.
Selepas ayahnya meninggal dunia, seni pertukangan itu diwarisinya secara serius kerana sedar tanpa penglibatannya sudah tentu warisan turun temurun itu akan pupus ditelan zaman.

Kesedaran itu lahir apabila tiada orang lain yang sanggup meneruskan pekerjaan itu menyebabkan di kampungnya sekarang hanya tinggal tiga orang termasuk dirinya mengusahakan seni itu.
''Minat untuk terbabit dalam pertukangan keris dan pelbagai peralatan besi dipupuk sejak kecil sewaktu arwah ayah masih ada.

''Saya sentiasa mendampingi ayah dan mempelajari segala selok belok seni pertukangan sejak awal hingga akhir bagi sesuatu produk yang dihasilkan," katanya.

Bengkel pembuatan sarung keris didirikan di sebelah rumahnya dengan dibantu oleh Muhamad Awang, 70, Rosli Salleh, 35, Yassin Muda, 44 dan Razali Abu Seman, 30.

Walaupun bengkelnya kelihatan bersahaja dan terperosok di celah deretan rumah usang di kampung tradisional yang melahirkan ramai tukang seni tradisional, namun setiap produk yang dihasilkan mengagumkan semua pihak.

Menurut Pak El, bengkel penempaan keris dan pelbagai barangan besi lain ditempatkan di Rhu Rendang dan Kedai Buluh, Marang.

Beliau mengakui kerja sebagai tukang keris dan barangan besi lain bukan mudah kerana ia tidak boleh dipelajari menerusi kuliah atau bengkel di mana-mana universiti, sebaliknya ia lahir menerusi pengalaman, kemahiran, minat dan ketekunan bertahun lamanya.

''Minat untuk menghasilkan keris datang secara semula jadi dan saya dapat menghasilkan sebilah keris yang lengkap bersarung dalam masa beberapa hari dan dalam sebulan saya dapat menghasilkan antara 100 hingga 200 bilah keris.

''Kadang-kala tidak cukup tangan berikutan terdapat ramai pelanggan membuat tempahan sedangkan bilangan tukang besi di sini hanya tinggal tiga orang sahaja," katanya.

Zulkifli memberitahu, beliau akan mencanai sendiri setiap keris tersebut di bengkelnya dan keris buatannya itu juga mampu 'berdiri' untuk tempoh yang agak lama tanpa sebarang alat sokongan dan agak misteri apabila ia boleh bergoyang-goyang dengan sendiri.

"Tiada unsur mistik di sini kerana saya menghasilkannya mengikut keseimbangan yang betul," ujarnya.

Mengenai kayu untuk sarung keris, Pak El berkata, beliau memperoleh bekalan daripada mereka yang arif dalam perkayuan atau meredah sendiri hutan untuk mendapatkan kayu yang terbaik seperti pokok teras juar, ru dan sena.

Setiap keris yang dihasilkan lengkap bersarung dijual pada harga antara RM100 hingga RM1,000 sebilah.

Zulkifli mengakui, rezekinya bertambah berikutan kecenderungan orang ramai untuk memiliki barangan hiasan terutama sejak negeri ini dibanjiri pelancong dalam dan luar negara sejak kebelakangan ini.

Bapa kepada tujuh anak ini tidak menyangka kerja-kerja mengukir hulu, sarung parang dan pembuatan keris yang dilakukannya sejak dua puluh tahun lalu mendapat perhatian daripada orang ramai.

Ekoran sambutan menggalakkan terhadap hasil kerja tangannya, beliau berharap akan terbabit secara aktif dalam aktiviti mengukir kerana mampu memberi pulangan yang agak lumayan.

"Sarung parang berukir yang saya buat untuk kegunaan sendiri tidak lama dulu menarik perhatian rakan-rakan dan mereka berminat untuk membelinya dan sejak itu minat saya dalam kerja-kerja mengukir kayu menjadi lebih serius," katanya.

Menurutnya, beliau tidak mendapat pendidikan asas dalam seni ukiran dan pertukangan tetapi bakat semula jadi mendorongnya untuk mengukir pelbagai jenis kayu.

Menceritakan rahsia kebolehannya dalam seni ukiran katanya, beliau hanya bersandarkan kepada ilham dan berpegang kepada prinsip 'yakin boleh' untuk menghasilkan barangan yang diminta pelanggan.

Zulkifli memberitahu, dalam masa beliau mempertahankan seni warisan itu, tiada seorang pun daripada tujuh anaknya meminati bidang pekerjaan tradisi yang dilakukan.

Katanya, semua anaknya tidak meminati bidang itu kerana mereka dapat meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

''Saya bimbang seni warisan ini tidak mampu dipertahankan selepas ini, kemungkinan besar akan pupus kerana tiada pewaris. Saya mungkin generasi terakhir dalam keluarga yang mengusahakan seni pertukangan ini selepas diusahakan datuk nenek beratus tahun lalu," ujarnya.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ukiran Keris Rosman Dikagumi

 

Oleh torek sulong
utusankelantan@utusan.com.my
Rosman Talif menyiapkan tempahan ukiran pelanggan di bengkelnya di Kampung Pauh Dara, Raja Dagang Semerak, Pasir Puteh, baru-baru ini. – utusan / torek sulong

PASIR PUTEH 8 Mei – Sepasang keris yang diserlahkan dengan kehalusan dan ketinggian seni ukiran Melayu hasil kerja tangannya menjadi pilihan kerajaan Malaysia untuk dianugerahkan kepada Ratu England ketika menghadiri persidangan Komanwel di Kuala Lumpur 1998.

Bagi Rosman Talif, 45, ia suatu ‘kemuncak’ pengiktirafan terhadap kemahiran dan kerjayanya sebagai pengukir yang turut membantu dalam menghidup dan mengembangkan kesenian kraf tradisional sebagai warisan yang dibanggakan.

Ia menjadi perangsang buatnya untuk terus aktif dalam seni ukiran yang dicintainya dan menyebarluaskan pengetahuan serta kemahiran kepada anak bangsa selagi ada yang berminat.

Rosman mengagumi seni ukiran sejak kecil dan kecintaan itu bercambah semasa umur belasan tahun.

Ketika rakan-rakan mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di kolej dan universiti, beliau memilih haluan masa depannya di bengkel ukiran kayu kelolaan dua beradik, Abdul Rahman dan Abdul Latif Long.

Dia tidak kesal dengan pilihannya dengan belajar bertatih sebagai tukang ukir apabila diterima bekerja di Kelantan Woods Craft pada awal 1980-an dan pengalaman selama 10 tahun di syarikat berkenaan itu ternyata pantas mendewasakannya.

Pernah bertugas di Pusat Kraftangan Temerloh, Pahang, beliau kemudiannya tekad berhenti kerja untuk membuka bengkel ukiran sendiri dan hasil ukirannya kini tersebar termasuk di kediaman para pembesar dan istana.

‘‘Malah pada ruang waktu yang tertentu, saya diberi kepercayaan untuk melatih kakitangan penjara dan mengendalikan kursus intensif kayu anjuran Majlis Perkayuan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.

Rosman yang berasal dari Kampung Morten, Melaka kini menubuhkan syarikat Seni Ukir Teras dan membuka bengkel bersebelahan rumahnya di Kampung Pauh Dara, Raja Dagang Semerak, dekat sini
Syarikatnya menerima pelbagai tempahan ukiran yang melibatkan motif tradisional termasuk hulu senjata seperti keris, ukiran dinding, tiang seri, cokmar dan singgahsana.

Menurutnya, selain memperjuangkan seni warisan bangsa, kemahiran mengukir mampu memberi pulangan yang lumayan yang sepatutnya dipelajari generasi muda zaman ini.

Katanya, usaha untuk memupuk minat generasi baru terhadap seni ukiran perlu diterapkan sebagai bahan pelajaran sama ada dalam Pendidikan Seni atau Kemahiran Hidup di sekolah dengan penyediaan tenaga pengajar yang mahir dan peralatan yang mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, kesan ketiadaan pendedahan kepada pelajar mengenai keunikan dunia ukiran menyebabkan generasi masa kini tidak begitu berminat untuk mempelajarinya secara lebih mendalam.

‘‘Sedangkan warisan ini memerlukan kumpulan pelapis muda untuk mempusakainya. Ia perlu disemai untuk dicintai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menyentuh mengenai ukirannya, beliau masih berpegang kepada hasil kerja secara tradisional kerana dengan kaedah buatan tangan, ia dianggap eksklusif, khas untuk pelanggan, biarpun ia mengambil masa agak lama untuk menyiapkannya.

‘‘Ukiran halus paling susah, penuh ketelitian dan mahal ialah menggunakan gading gajah. Biasanya ia khas untuk membuat hulu dan sarung keris diraja,” kata beliau.

Bagi menghasilkan ukiran yang baik, Rosman menjelaskan ia perlu menjiwai peranan setiap ukiran dengan memberi contoh sepasang keris siap bersarung ukir umpama seseorang yang lengkap berpakaian.

Baginya, bagaimana seseorang perlu kelihatan cantik melalui cara berpakaian, hiasan diri dan kekemasan, sepasang keris bersarung perlu digubah dan dihias cantik kerana ia mencerminkan identiti pembuat dan pemiliknya.

‘‘Bidang ini perlu dijiwai dengan sabar dan tenang kerana ukiran sebenarnya adalah luahan hati pengukir ketika bekerja.

‘‘Pengukir, seperti juga pelukis, mempunyai identiti sendiri, cuma nama pengukir tidak tertera sebagaimana kelaziman nama pelukis di kanvas,” katanya.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rumah 70 Tingkap

pix_gal0

Oleh Baharom Bakar

Kediaman Haji Su simbol kehebatan pertukangan Melayu era 1800, ilham pedagang tersohor gabung seni bina Nusantara termasuk Jaipur, India


RAMAI terfikir apa agaknya rahsia di sebalik gahnya sebuah rumah agam Melayu yang tampak usang di Kampung Losong Haji Su di Kuala Terengganu, Terengganu, hingga Lembaga Muzium Terengganu melabur RM3.2 juta membeli kediaman itu. Sekalipun usang dan buruk, rumah agam ini damai dikelilingi pokok buluh cina.

 
Aura kediaman mewah zaman silam itu tetap menyerlah, hinggakan rumah itu sering dibanjiri pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Mesir, Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS). Tidak ketinggalan, kalangan arkitek tersohor antarabangsa termasuk dari Filipina dan Korea Selatan yang mahu mengkaji kehalusan seni bina rumah agam ini.

 
Selain arkitek, pengkaji sejarah juga tidak ketinggalan merakamkan gambar rumah agam ini, biarpun mereka tidak dibenarkan memasuki harta peninggalan jutawan Melayu Terengganu tersohor iaitu Su Mohammed Salleh Mohammed. Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Haji Su di kalangan masyarakat tempatan, cukup terkenal di Terengganu pada era 1800-an. Ketokohan Haji Su terserlah hinggakan namanya terpahat pada nama Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu.


Selepas beberapa kali tertangguh, hasrat menjejaki rumah agam Melayu yang dibina pada 1850 ini akhirnya tercapai selepas Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusof Abdullah sedia meluangkan masa dari kesibukan jadualnya untuk bersama penulis, baru-baru ini untuk melihat sendiri keunikan Rumah Haji Su.


Rumah Haji Su adalah manifestasi kekayaan usahawan Melayu lama dan cita rasa tinggi mereka selayak taraf martabat bangsa. Seperti yang diakui Mohd Yusof, Rumah Haji Su bercirikan keunikan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional Terengganu dibeli untuk dipulihara dalam usaha mengekalkan martabat kesenian Melayu.


Kali pertama memasuki rumah itu, diakui meremang bula roma dan rasa takut mula menular ke peroman. Perasaan terus menerjah dibawa ke zaman silam pada era kegemilangan rumah agam ini, di mana sudah pasti, ruang tamu tersergam besar seperti balairong seri istana itu meriah dengan pelbagai aktiviti - namun kini dimamah sepi. Rumah agam kayu cengal itu pernah didiami semua anak Haji Su sehinggalah anak bongsunya meninggal dunia pada 2008, rumah itu tidak berpenghuni serta terbiar begitu saja.


Begitupun, keunikan dan keindahan seni reka rumah yang dibina secara pasak tanpa sebarang paku itu cepat menyulam kembali rasa teruja ketika meneroka ruang tamu seluas 4.8 meter x 18 meter tanpa disokong tiang seri, selain keindahan siling rumah. Keseluruhan rumah itu diperbuat daripada kayu cengal dan mempunyai 70 tingkap serta 12 pintu besar yang diukir indah oleh adiguru ukir tempatan. Keseluruhan rumah dihias indah dengan seni ukir menarik dengan pelbagai motif yang padan dengan kehidupan istina zaman silam.


Tidak mahu rumah yang merakam sejarah silam teknokrat Terengganu zaman silam, Lembaga Muzium Terengganu (LMT) mengambil masa lebih dua tahun menjejak waris rumah itu yang tiba-tiba seperti terputus 'rahmat' dan terbiar sepi hingga membingungkan ramai yang kagum dan memuja keindahannya.


"LMT mengambil inisiatif menjejak pemilik rumah itu bertujuan mengambil alih dan mempertahankan rumah itu yang sarat dengan warisan seni bina dan ketukangan masyarakat Melayu tradisional. Rumah itu perlu dipulihara serta dijadikan antara aset penting dalam sektor pelancongan di negeri ini," kata Mohd Yusof.


Lebih jauh meneroka rumah agam yang turut menempatkan 10 rumah warga lain ketika itu, rumah yang kini sudah berusia 162 tahun di tapak seluar 0.4851 hektar terus mengujakan sesiapa saja. Justeru, apabila kerja baik pulih disempurnakan nanti, pasti teratak mewah lambang keusahawanan Melayu silam akan menjadi aset penting menyemarakkan kegiatan pelancongan Terengganu.


Berdasarkan beberapa catatan dan riwayat soheh, rumah agam itu mula dibina pada 1840 dan siap 10 tahun kemudian oleh sekumpulan tukang Melayu yang sangat hebat sehinggakan tiang di dalam rumah itu tidak kelihatan. Tiang itu dikatakan semuanya disembunyikan di sebalik dinding. Binaannya bercirikan rekaan rumah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga yang menjadi ciri utama rekaan rumah Melayu negeri ini.


Ada juga penerapan seni bina dari luar kerana Haji Su seorang pedagang yang belayar di seluruh Asia serta memperoleh ilham untuk diterapkan dalam seni bina kediamannya. Sebagai contoh, ukiran di dinding bahagian atas rumah itu menyamai ukiran istana dan kota lama di Jaipur, India.


Dindingnya daripada papan kesek dihiasi dengan bendul berlorek yang memisahkan bahagian atas dan bawah rumah serta berfungsi mengukuhkan setiap sambungan dinding. Kiri dan kanan bahagian bumbung pula dikemaskan dengan kayu peleh, manakala puncak setiap bumbung diletakkan kayu berukiran sebagai hiasan. Ada tiga bahagian dalam rumah itu, ruang beranda agak kecil, tetapi sebaik melangkah ke ruang tamu, keluasannya cukup menyenangkan dengan ukuran 4.8 meter x 18 meter dan dibahagikan kepada dua sudut.


Penyelidikan LMT mendapati, pembinaan dua sudut itu bertujuan memisahkan tetamu lelaki dan wanita sebagai mematuhi peraturan dan adat serta agama. Manakala bahagian rumah ibu atau ruang makan seluas kira-kira 2 meter x 4 meter dan dilengkapi meja makan klasik untuk meraikan tetamu dalam pelbagai majlis yang diadakan.


"Seni ukiran menarik memenuhi bahagian dalam rumah bagi memastikan dinding tidak kelihatan kosong. Manakala kawasan luar rumah direka untuk mempunyai halaman luas dan dipagari dengan pokok buluh cina," kata Mohd Yusof lagi.


Ciri lain yang menarik bagi rumah itu ialah 70 tingkap dan 12 pintu besar yang dibina bagi membolehkan sistem pengudaraan memasuki setiap ruang, manakala bahagian atas tingkap dipasang cermin bagi memberi laluan cahaya semula jadi. Ini penting supaya setiap ruang dan sudut mendapat pencahayaan yang cukup, manakala lantainya yang menggunakan papan cengal kelihatan sentiasa kemas walaupun tidak dibersihkan.


Mengulas kejayaan pembelian rumah itu, Mohd Yusof berkata, ia adalah sebahagian usaha kerajaan mengekalkan monumen atau artifak warisan bangsa agar tidak lenyap begitu saja.


"Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa membelanjakan wang membeli rumah usang. Ia bukan sekadar soal rumah atau tapak warisan, tetapi kita sebenarnya turut membeli dan mengekalkan bersama ilmu mengenai seni bina Melayu, yang melambangkan intipati kemajuan teknologi, ketinggian nilai seni serta acuan corak budaya.


"Apa yang pernah menjadi lambang kebanggaan dalam kehidupan silam bangsa dan kini hampir lenyap perlu terus dipertahankan untuk diwarisi," katanya.


INFO
  • Rumah Haji Su siap dibina pada 1850 oleh usahawan Melayu, Su Mohammed Salleh Mohammed atau Haji Su

  • Konsep rekaan ialah Limas Belanda dan Bujang Berpeleh Kembar Tiga berpasak tanpa paku

  • Diambilalih LMT pada 2010 dengan kos RM3.2 juta (termasuk kos tanah)

  • Terletak di Kampung Losong Haji Su, Losong, Kuala Terengganu

  • Ciri-ciri unik antaranya memiliki 70 tingkap dan 12 pintu masuk

Sumber Artikel : bminggu@bharian.com.my

Selasa, 12 November 2013

Menyerlahkan Seni Reka Melayu Islam

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
Foto ABD. RAHMAN SALEH



SINGGAHSANA tempat persemayaman Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mempunyai ukiran bermotifkan pucuk rebung, sulur dan daun serta ukiran 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.


PADA Disember ini, dijadual diadakan acara rasmi pertama di Kompleks Istana Negara baharu, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Acara berkenaan adalah jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Para tetamu yang bakal menghadiri jamuan negara berkenaan sudah pasti akan teruja dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada kompleks yang terletak di kawasan seluas 96.52 hektar.

Istimewa
Pembinaan itu merupakan sesuatu yang istimewa kerana ia merupakan kali pertama kerajaan mendirikan kompleks istana buat Yang di-Pertuan Agong bersemayam.

Kompleks yang menjadi mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia turut memaparkan ciri-ciri estetika khusus dan hiasan dalaman yang boleh menjadi khazanah kebanggaan negara.

Arkitek terkenal yang mereka bentuk kompleks berkenaan adalah Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. Syarikat berkenaan pernah terlibat dalam reka bentuk Dataran Putra, Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Darul Ehsan di Putrajaya.

Keunikan
Projek lain adalah Planetarium Negara, Muzium Kesenian Islam dan bangunan Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur serta kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Kontraktor reka dan bina kompleks berkenaan pula adalah Maya Maju (M) Sdn. Bhd.

Baru-baru ini, wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia berpeluang secara eksklusif meninjau kerja-kerja akhir menyiapkan kompleks berkenaan sebelum ia diserahkan kepada kerajaan pada bulan depan. Antara keunikan yang dapat dilihat adalah bilangan kubah iaitu 21 buah.

Cahaya
Pada kubah berkenaan terdapat reka bentuk seperti sisik sebagai tapak untuk dipasang lampu. Pada waktu malam, cahaya yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi seolah-olah seperti buah nanas. Cahaya yang boleh bertukar warna mengikut acara rasmi diadakan dapat dilihat secara jelas daripada dua bangunan tertinggi negara iaitu Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, melangkah masuk ke lobi utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan candelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan sebuah kilang di Kuala Selangor.

Sayap
Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang memaparkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat.

Dari lobi utama, tetamu boleh memilih kawasan-kawasan khusus yang hendak dituju sama ada Sayap Formal, Sayap Diraja, Sayap Pentadbiran dan Sayap Fasiliti Sokongan.

Komponen Sayap Formal menempatkan balai rong seri, bilik-bilik menunggu sebelum upacara menghadap, dewan bankuet, bilik mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bilik penyerahan watikah pelantikan duta-duta.

Sayap Diraja pula menempatkan bilik peraduan, persiraman, rehat dan santapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda serta bilik tetamu diraja.

Ukiran
Berbeza dengan Istana Negara lama di Bukit Petaling, Kuala Lumpur yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar, kompleks istana baharu yang lebih luas membolehkan setiap bilik dan dewan dibina khusus untuk fungsi tertentu sahaja.

Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu dengan corak-corak seperti awan larat, bunga raya, bunga cengkih dan tumbuh-tumbuhan.

Corak sedemikian tidak banyak dilihat pada istana lama yang sebelum ini merupakan sebuah vila milik jutawan Cina bernama Chan Wing dibina pada 1928.

Ciri-ciri Islam termasuk corak geometri tiga dimensi atau muqarnas, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman Khalifah Uthmaniah di Turki juga turut kelihatan terutama pada binaan surau.

Dalam pada itu, tulisan ayat-ayat al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh penulis khat profesional tanah air, Abdul Baki Abu Bakar.

Pensyarah Seni Khat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu sebelum ini turut terlibat melakarkan ayat-ayat al-Quran di Istana Darul Ehsan, Putrajaya; Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan surau Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

Seni Khat
Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Mohamed Yusof Abu Bakar menggunakan khat jenis thuluth dan nasakh bagi menulis sebahagian ayat-ayat daripada surah al-Furqan dan at-Taubah.

Bahan yang digunakan untuk membuat tulisan ayat-ayat berkenaan adalah aluminium warna emas dan dipadankan dengan latar belakang kayu.

Seperti binaan surau, hiasan dalaman keseluruhan kompleks berkenaan juga banyak menggunakan kayu daripada jenis mahogani.

Selain kayu, turut digunakan secara meluas adalah keluli tahan karat dan anti kulat termasuk untuk bahagian bumbung yang dikenali dengan nama komersial Clean Colorbond.

Keluli yang amat sesuai dengan cuaca panas dan lembab di negara ini turut digunakan dalam pembinaan hangar pesawat A380 Malaysia Airline System Bhd. (MAS), Pangkalan TUDM Sungai
Besi dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Singgahsana yang menjadi tempat persemayaman Seri Paduka di Balai Rong Seri mempunyai ukiran tradisional Melayu, 99 nama Allah dan ayat-ayat al-Quran.

Kemudahan
Ukiran berkenaan dilakukan oleh beberapa tukang ukir terkenal dari Terengganu yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi.

Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada kompleks berkenaan adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya.

Ini berikutan hanya 28 hektar yang digunakan bagi pembinaan kompleks dan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan untuk keselamatan.

Kemudahan lain yang turut dibina di kompleks berkenaan adalah bangunan sokongan, rumah kediaman kakitangan istana dan polis, pejabat keselamatan, kem mini tentera, jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta dan tempat meletak kenderaan bawah tanah.

Turut disediakan kemudahan lif, eskalator , tanjakan (ramp), klinik, tapak pendaratan helikopter, gelanggang untuk bersukan, kolam renang dan taman permainan kanak-kanak.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Parang Sinonim Bajau Kota Belud

Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN
utusansabah@utusan.com.my

ANTARA parang dan sarung yang dihasilkan oleh perusahaan Sakti Halim dan adik-adiknya di Kota Belud, Sabah.
 
KOTA BELUD 31 Okt. - Seni pertukangan besi terutama parang tidak asing lagi bagi masyarakat Bajau di sini.

Sungguhpun demikian, pembuatan parang banyak tertumpu di Kampung Siasai Jaya, sebuah perkampungan tradisi Bajau.

Fakta di atas sukar dinafikan kerana terdapat keluarga yang turun temurun mengusahakan pembuatan parang di sini yang kini diteruskan oleh generasi mereka iaitu empat beradik, Sakti Halim, 65; Japari, 63; Majad, 54, dan Baidin, 45.

Bercerita lebih lanjut mengenai parang, Majad memberitahu, dalam kehidupan masyarakatnya terdapat tiga jenis parang yang selalu menjadi kebanggaan mereka iaitu Beladau, Pida' (barung) dan Kegayan.

"Harga parang bergantung kepada saiz, bentuk, jenis dan mutu besi dan dijual serendah RM50 sehinggalah RM300 sebilah. Tapi sayang kebanyakan parang hasil kami tidak sampai ke pekan, kerana pelanggan sudah menempah melalui Facebook," katanya.

Seni pertukangan parang di sini, terus mengalami evolusi apabila pelbagai jenis parang dihasilkan menurut permintaan ramai, contohnya pedang Samurai dan pisau Kukri yang diambil reka bentuk daripada pisau Kukri Gurkha.

Katanya, tuntutan semasa membuatkan reka bentuk parang dipelbagaikan daripada reka bentuk tradisional yang menggunakan motif bunga halus, moden yang menggunakan motif bunga dan geometri serta kreatif yang memperlihatkan bentuk parang yang lain daripada yang lain namun masih menarik.

"Saya telah menceburkan diri dalam seni pembuatan parang sejak berumur 17 tahun, dan saya telah menyekolahkan semua anak saya dengan hasil pembuatan parang," katanya.

Dewasa ini, besi untuk dibuat parang biasanya dibeli di pusat-pusat pengumpulan besi buruk. Besi seperti 'spring' kereta, besi gandar dan besi gergaji mesin telah menggantikan besi rel keretapi yang begitu mudah didapati pada suatu waktu dahulu.

"Dahulu, peralatan membuat parang sangat sukar, tetapi kini semuanya telah dipermodenkan," katanya.

Sementara itu, menurut Sakti, sebelum ada mesin kikir seperti ketika ini, orang dahulu mengasah parang dengan cara 'kigkid' iaitu menggeselkan parang dengan parang sebelum di asah dengan batu sungai.

"Kini tidak lagi kerana semua peralatan dimodenkan seiring dengan kemajuan teknologi. Pembuatan parang yang dahulu memakan masa seminggu kini menjadi sehari," ujarnya.

Sakti memberi contoh, jika dahulu besi dibakar di dalam relau menggunakan tenaga manusia untuk mengepamnya, namun kini tenaga elektrik menggantikan serba-serbi peralatan di bengkel keluarga mereka.

MAJAD Halim menunjukkan besi kereta yang digunakan untuk membuat parang yang menjadi tradisi kebanggaan keluarganya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sentuhan Parang Omar

Oleh Maznah Mohd. Arsad
utusanjohor@utusan.com.my


Omar Mohamad menunjukkan sebahagian pisau dan parang yang siap untuk dijual ketika ditemubual di Johor Bahru, baru-baru ini. - utusan/Nasirruddin Yazid

JOHOR BAHRU 20 Ogos - Pisau dan parang merupakan salah satu alat yang cukup penting bagi setiap isi rumah kerana ia merupakan pelengkap keperluan dapur.

Menyedari kepentingan kedua-dua alat berkenaan, seorang usawahan, Omar Mohamad, 53, berani menceburi perusahaan itu secara komersial.

Apa yang membanggakan, hasil sentuhannya bukan sekadar mendapat permintaan dan terkenal di negeri ini malah di seluruh negara kerana berjaya menghasilkan pisau dan parang yang kreatif dan bermutu.

Kakitangan Jabatan Kastam itu memberitahu, bagi memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan, dia mula menceburi bidang itu secara komersial sejak 2004 dengan menubuhkan Nouvo Craft Enterprise.

Syarikatnya itu kini beroperasi di Kompleks Kraftangan Malaysia cawangan Johor di Jalan Cenderasari.

Menceritakan bagaimana dia boleh melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan itu, Omar memberitahu, pada mulanya dia telah menempah sebilah parang daripada seorang pengusaha bagi keperluan berkebun.

"Berdasarkan pengamatan, rupa-rupanya tidaklah sukar untuk membuatnya. Sebelum ini pun saya pernah melihat kaedah membuat mata parang ketika berumur 13 tahun di Kampung Pandan, di sini.

"Maka timbul minat untuk mengusahakannya secara komersial, lagipun ia mendapat permintaan tinggi," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Justeru, pada 2004 dia dan anaknya, Khairil Armizal, 28, mula membeli mesin pemotong kayu, gerudi dan mesin pencanai dengan kos kira-kira 1,000.

Omar berkata, dia membeli mata pisau dan parang yang diperoleh dari Terengganu berikutan kualitinya yang baik.

Menurutnya, bagi mendalami ilmu dan kemahiran membuat kedua-dua alat tersebut, dia kerap diajak oleh rakannya dari Terengganu untuk menyertai Hari Kraftangan yang diadakan setiap tahun di Jalan Conlay, Kuala Lumpur bagi menjual produk yang dihasilkan.

"Pada 2005 saya telah mencuba dengan membawa 48 bilah parang dan pisau siap sarung. Apa yang mengejutkan saya, daripada jumlah itu sebanyak 46 bilah terjual.

"Selepas itu saya menerima banyak maklumat dan pesanan untuk membuat pisau dan parang," katanya.

Omar memberitahu, bagi mengembangkan rangkaian perniagaan, dia telah menjalin kerjasama dengan Kraftangan Malaysia cawangan Johor bagi membolehkannya mengikuti program kraf tangan yang dianjurkan.

Berikutan kejayaannya, dia turut ditawarkan tapak bengkel sedia ada untuk membuat pisau dan parang.

"Bertapak dari situ, saya jadikan bengkel berkenaan bukan sekadar menghasilkan pisau dan parang, malah saya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Kalau zaman datuk nenek kita buat parang menggunakan kaedah tradisional atau manual, tapi saya buat kajian dan penyelidikan dengan menghasilkan peralatan moden bagi menghasilkan barang yang sama.

"Contohnya mesin pencanai, daripada alat itu saya berjaya menghasilkan 15 fungsi dan ia tidak ada dijual di pasaran," katanya.

Omar berkata, dengan kaedah itu ia mempercepatkan kerja iaitu sebilah pisau atau parang boleh disiapkan dalam masa satu hingga tiga jam berbanding kaedah manual sebilah parang mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk disiapkan.

Mengenai jenis besi yang digunakan, Omar berkata, lazimnya dia menggunakan besi spring dan besi putih kerana ia lebih baik dan tidak berkarat.

Setakat ini pisau yang paling laris adalah pisau dapur yang berharga antara RM25 hingga RM40 sebilah dan tempahan termasuk dari Kelantan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Pahang selain Johor.

"Selain mata pisau dan parang, hulu serta sarung turut memainkan peranan kerana saya memilih kayu bermutu termasuk kayu ciku, duku, cempedak, nangka dan longan kerana coraknya yang cukup menarik serta kukuh.

"Saya turut memilih kayu hutan seperti kemuning, mentigi, penawar hitam, bueh, akasia dan paling mahal adalah kayu surian yang saya pernah menjual pada harga RM600 sebilah kerana seni yang terdapat pada sarung pisau berkenaan," katanya.

Omar berkata, sejak melibatkan diri dalam industri itu, terdapat beberapa pengalaman menarik dialaminya termasuk empat bilah pisau yang terdapat kalimah Allah pada sarungnya.

Orang ramai yang berminat untuk membeli produknya atau berkongsi pengalaman membuat pisau dan parang boleh menghubungi talian 019-7635512 atau 012-7575903.

Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keunggulan Parang Limbang


SARUNG parang bercorak dam daripada tukang parang bernama Kamarul dari Limbang, Sarawak dianggap unik.


BAGI pengumpul parang, kecantikan dan identiti memainkan memainkan peranan besar dalam pemilihan koleksinya.

Bagi seorang peminat dan pengumpul parang, Zaki Ahmad, kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan tukangannya termasuk pemilihan besi dan kayu serta reka bentuk mata parang.

"Saya percaya keseimbangan elemen ini akan membentuk parang yang cantik," katanya yang menetap di Limbang, Sarawak.

Menurut Zaki, di Sarawak, ada sesetengah parang merupakan hasil tukangan unik dan identiti sesuatu kaum, contohnya parang ilang yang sinonim dengan suku kaum Iban atau parang pakayun bagi suku kaum Murut.

"Tidak dinafikan juga, ada di kalangan peminat yang memilih koleksinya berdasarkan fungsi parang tersebut. Fungsi akan mempengaruhi bentuk mata parang, contohnya parang untuk menebas, selalunya panjang dan nipis.

"Parang untuk memotong daging pula saiznya lebar, tebal dan berat manakala parang untuk menyembelih, selalunya bermata bengkok ke hadapan dengan panjangnya melebihi 31 sentimeter (sm), dan pelbagai lagi mengikut kesesuaian fungsinya," katanya yang mempunyai 20 parang dalam simpanannya.

Selain meminati parang yang berukir, Zaki juga suka mengumpul parang yang unik contohnya parang dam atau parang yang sarungnya diperbuat daripada kayu yang sukar diperolehi.

"Saya memiliki sebilah pisau lapah buatan Pak Wahid dari Seremban, dan satu lagi masih dalam tempahan dari tukang di Johor, selebihnya buatan tukang dari Sarawak, terutama sekitar Limbang, Lawas, Miri dan Sri Aman.

Apa beza antara parang Semenanjung dengan di Sarawak?

"Parang buatan tukang di Limbang saya anggap lebih unik dan kreatif.

"Motif corak sarung parang selalunya berlekuk-lekuk dan berombak-ombak dengan hulunya agak lurus.

"Kebelakangan ini pula, mata parangnya akan dikilat seperti cermin. Satu daripada parang unik buatan Limbang ialah parang dam. Ia mempunyai hulu dan sarung yang dibuat daripada cantuman kayu yang disusun bercorak-corak.

"Difahamkan, pembuatannya agak rumit dan perlukan kemahiran tinggi. Jika tidak, sarung parang akan mudah patah," katanya yang seminggu sekali akan mengeluarkan parang dari sarungnya untuk dibersihkan.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 12 Ogos 2013

Hebatnya Parang Pak Akob

FOUZIAH AMIR
  • Hebatnya parang Pak Akob
  • Parang Pak Akob yang mendapat tempahan pelanggan.
  • Hebatnya parang Pak Akob
  • Proses menyepuh besi adalah penting dalam menentukan kekerasan besi itu.
  • Yaacob Ismail,
  • Yaacob Ismail,
 
“KALAU nak sembelih haiwan, gunalah parang yang dibeli dari orang Islam. Sekurang-kurangnya waktu sepuh parang tu, dia dah bacakan Bismillah…”

Itulah kata-kata Yaacob Ismail, 48, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Akob ketika berkongsi pengalamannya dengan Sinar Harian dalam seni pembuatan parang lebih 30 tahun lalu.

“Parang tajam senang diguna untuk sembelih haiwan. Daging tak lekat pada mata parang.

“Kalau dagingnya dimasak, rasanya lembut dan tak berbau hamis,” ujarnya.

Beliau menambah, ini berbeza dengan haiwan yang disembelih menggunakan parang yang kurang tajam. Rasa sakit haiwan itu menyebabkan ototnya kejang dan dagingnya jadi liat serta berbau hamis.

Oleh itu, Islam menyarankan sembelihan haiwan dengan memutuskan urat halkum dan urat marih hendaklah menggunakan alat yang tajam dengan niat kerana ALLAH.

 Seni pembuatan parang Pak Akob mendapat permintaan ramai terutama golongan orang kenduri, tukang sembelih haiwan mahupun peminat parang yang datang dari merata tempat termasuk Singapura dan Sarawak. Pak Akob selalu menitipkan kepada para pelanggannya petua penyembelihan haiwan.

“Ilmu parang ini mengikut tuannya yang juga dipanggil pandai besi atau orang pandai mencampurkan besi dalam mata parang.”

Keistimewaan parang Pak Akob, adalah pada mata parang, hulu hinggalah sarungnya yang dibuat secara tradisional menggunakan alat kikir dan pahat. Pak Akob mengutamakan bahan besi dan kayu yang berkualiti.

“Saya guna besi DC53 (jenis pemotong besi) yang diimport dari Jerman. Biasanya saya minta tolong kawan, jurutera besi untuk kenal pasti kualiti besi yang diimport itu.

“Besi DC53 atau besi sejuk ini jenis kuat dan sesuai dijadikan mata parang. Dia tak sumbing kalau kita gunakan untuk kerja kasar seperti berkebun atau takik benda keras,” ujarnya.

Utamakan kualiti bahan
Kata Pak Akob berkata, membuat mata parang sepanjang 30 sm hingga 33 sm itu berdasarkan tuan yang menempah. Contohnya, jika si empunya inginkan parang untuk kegunaan berkebun, maka besi disepuh mengikut niat tersebut.

Si tukang biasanya mahir dalam campuran besi yang digunakan dan besi mentah boleh dibeli daripada pembekal besi. Kemahiran tukang dalam memilih adunan dan menyepuh besi itulah kelebihan masing-masing.

Menurut Pak Akob, proses menyepuh besi adalah penting dalam menentukan kekerasan besi itu. Jika terlebih sepuh atau bakar, besi akan patah, kalau kurang disepuh, besi jadi lembut.

“Kalau nak buat sarung dan hulu parang, saya gunakan lebih 20 jenis kayu. Antaranya kayu seribu bunga, kemuning emas, raja kayu atau damak minyak, serian batu, kedondong hutan, cempa gunung, sena berdarah dan saga merah,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor.

Untuk mendapat kayu ini, Pak Akob pergi ke merata tempat dan sanggup membeli sepokok yang mencecah hingga RM2,000 daripada pemiliknya.

“Dalam sebatang pokok boleh pilih mana-mana bahagian kerana tak semua kayunya cantik untuk dijadikan hulu dan sarung parang. Apa yang penting kayu tu ada kualiti,” ujarnya.

Pak Akob menambah, setiap tukang parang ada cara buatan dan reka bentuknya tersendiri sebagai identiti masing-masing. Pak Akob pernah bekerja dengan beberapa orang pandai besi termasuk Pak Long Husin, Pak Man, Tok Ki yang mahir dalam pembuatan golok Langkasuka dan Adiguru Kraf Pandai Besi, Pak Lah atau nama sebenarnya Abdullah bin Daud.

“Masa kecil, hidup saya susah dan pernah bergelandangan. Bila merantau dan mengaji pondok di Kedah dan Kelantan, saya kerja dengan mereka yang pandai buat parang.

“Biar jadi hamba pun tak apa, asalkan dapat tolong buat parang. Dapat upah makan sepinggan sehari pun cukup, asalkan boleh menggosok sarung parang. Ilmu dan pengalaman daripada tok guru itu yang lebih berharga,” kata Pak Akob yang suka berkawan dengan orang tua ketika zaman remajanya.

Berpindah ke Dungun
Untuk membuat parang berserta sarungnya, Pak Akob mengambil masa dua hari. Ini melibatkan dengan kerja meleburkan besi, tempa, sepuh untuk mata parang, sehinggalah menyiapkan hulu dan sarung parang. Antara amalan yang dilakukan untuk memulakan kerjanya itu, Pak Akob bersolat hajat dan witir.

“Besi itu hidup dan sentiasa bertasbih kepada ALLAH SWT. Jadi untuk buat besi, biarlah berguna kepada kita.

“Contohnya, jika masuk hutan terserempak haiwan buas, parang tak terlepas daripada tangan sebagai alat pertahanan diri,” katanya.

Beliau akui tukang parang Melayu kini tidak ramai. Mereka yang mengetahui hasil kerja Pak Akob datang untuk menempah. Antara keunikan Pak Akob sarung yang berkilat dan hulunya berbentuk tapak kuda, tapak kijang, buah jering, kepala burung serindit dan kepala ayam.

“Untuk beli terus parang di sini, memang tak ada. Sebab semua telah ditempah pelanggan. Parang saya sendiri dibeli orang,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my

Lima Dekad Hidup Dengan Bertukang

 




LELAKI yang hampir mencecah usia satu abad itu khusyuk menggergaji beberapa bilah kayu. Selepas beberapa kali memberi salam, barulah dia tersentak lalu tersenyum-simpul di pondok usangnya.

Urat kaki dan tangannya jelas kelihatan dengan pandangan mata kasar. Mata yang cengkung, wajahnya penuh dengan seribu kedutan dan tubuh badan yang kurus langsung tidak menterjemahkan kekuatan dan kegigihannya untuk terus bertukang.

Ali Jamuk yang kini meniti umur 95 tahun memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan kesihatan, pendengaran dan penglihatan yang baik sehingga sekarang.

Berbicara mengenai pekerjaannya, Ali dengan nada perlahan berkata: “Walau sehari pun, saya tidak mampu meninggalkan kerja membuat sarung parang kerana kerja dan pondok inilah yang banyak berjasa membantu saya menyara keluarga sejak tahun 1965.”

Ali atau mesra dengan panggilan Tok Ali segera meninggalkan gergajinya lalu mencapai rokok paipnya. Katanya, dia mahu bersembang lanjut dalam keadaan santai.

“Nak buat kerja ini perlukan ketelitian dan kena banyak sabar, tak boleh terburu-buru, hanya orang yang betul-betul minat saja mampu melakukannya.

“Kalau nak ikutkan memang dah hampir lima dekad Tok Ali buat benda ini, kalau makan gaji dengan kerajaan, dah dua kali Tok Ali pencen rasanya,” selorohnya sambil sesekali memicit betisnya yang barangkali lenguh disebabkan terlalu lama duduk bersila.

Warga emas ini mendongak ke langit seketika. Sambil tersenyum dia berkongsi cerita tentang zaman kegemilangannya.

Ujarnya, sewaktu zaman remaja ketika otot masih kental dan tenaga masih kuat, dia berupaya menghasilkan 20 bilah sarung parang sekali gus dalam sehari.

Harga sarung parang pada ketika itu antara RM80 hingga RM350 bergantung kepada bentuk dan saiz.
Bercerita tentang harga, Tok Ali memberitahu, sekitar tahun 1960-an, dia hanya diberi sekotak rokok dan setin susu cair sebagai upah. Namun, itu sudah cukup untuknya. Bagi lelaki itu paling penting ialah pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja tangannya.

“Itu cerita dulu, tapi sekarang dah berubah, ada yang bayar Tok Ali sampai RM500 untuk satu sarung parang.

“Sesuailah dengan umur Tok Ali yang mampu buat antara tiga hingga lima bilah sarung sehari saja. Namun Tok Ali bersyukur kerana mendapat tempahan tidak putus-putus dari Johor, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu termasuk Indonesia,” katanya.

Warisi bakat datuk
Namun, memori paling manis sepanjang menjadi tukang membuat sarung parang ini ialah apabila dia menerima tempahan dari Majlis Daerah Labis untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar sewaktu program Kembara Mahkota Johor beberapa tahun lalu.

Kepakaran Tok Ali membuat sarung parang sebenarnya diwarisi daripada arwah datuk dan bapanya.
Bezanya pembuatan zaman dahulu dan kini ialah gam yang digunakan.

KERJA-KERJA membuat lubang pada kayu hulu parang dilakukan oleh Tok Ali menggunakan pengerudi tangan.

“Dulu, kami guna beras pulut yang ditanak selama enam jam atas dapur kayu. Gam yang diperbuat daripada pulut itu pula hanya bertahan selama sebulan sebelum basi, menjadi keras dan tidak lagi melekat pada kayu,” imbaunya yang juga mahir membuat perahu kolek dan mata parang.

Pada hari ini, Tok Ali lebih selesa mengguna gam kayu yang dijual di pasaran.

Sedang rancak berbual, bekas peneroka itu meminta izin untuk meneruskan kerjanya dan sekali-sekala berbual mengenai pembuatan sarung parang.

Prosesnya amat rumit. Ia bermula dengan mencari pelbagai jenis kayu seperti sepetir, kayu arang, penaga, sena, ciku, kemuning atau limau.

Kemudian, kayu-kayu itu dibelah dengan saiz dua inci tebal, empat inci lebar dan 24 inci panjang setiap satu.

Kayu-kayu berkenaan kemudiannya disimpan di bawah teduhan matahari selama beberapa bulan untuk mengeringkannya dan mengelakkan kayu daripada pecah dan bengkok.

“Selepas itu, barulah kita membuat kerja-kerja membentuk bahagian hulu, pemegang dan badan.
“Bila hulu dah siap, tanduk atau tembaga yang berbentuk cincin dipanggil temin disarungkan di pangkalnya,” jelas Tok Ali sambil memberitahu, gergaji yang digunakan merupakan hasil ciptaannya sendiri.

Kemudian ia disusuli dengan kerja-kerja mengukir dan mengilat sebelum sarung parang tersebut disapu minyak supaya urat-urat kayu jelas kelihatan.

Kata Tok Ali, dalam banyak jenis kayu, kayu arang dan kayu sepetir antara kayu yang paling disukai pelanggan kerana warna dan coraknya yang cantik.

Seperti sedang merenung masa depan, warga emas yang sudah selayaknya berehat sepenuh masa itu hiba kerana tiada seorang pun generasi muda termasuk cahaya mata dan cucu-cicitnya mahu mewarisi pekerjaannya.

“Demi kelangsungan pekerjaan sebagai seorang pembuat sarung parang, saya sanggup mengajar sesiapa sahaja yang berminat asalkan dia ikhlas,” luah Tok Ali.

Sementara itu, Talib Yaacob, 54, menantu Tok Ali mengakui dia tidak sanggup melihat bapa mertuanya, bersendirian melakukan kerja-kerja berat.

Justeru, Talib bertanggungjawab untuk membantu bapa mertuanya menghasilkan mata parang yang memerlukan seseorang menempa dan membentuk besi di dapur yang mencecah kepanasan melebihi 100 darjah Celcius.

Bantu bapa mertua
Di samping mempelajari ilmu membuat mata parang daripada Tok Ali, lelaki ini memberitahu, dia berusaha ke sana ke mari untuk mempelajari membuat mata parang daripada tukang besi di sekitar Labis.


TOK ALI pernah menerima tempahan sarung parang untuk dihadiahkan kepada Sultan Ibrahim ketika baginda membuat lawatan di sekitar Johor sempena program Kembara Mahkota Johor beberapa tahun lalu.


“Sebenarnya saya memang tak minat buat kerja-kerja ini sebab saya merupakan peneroka yang mengusahakan kebun getah, tapi sedar tak sedar sudah 15 tahun saya menolong bapa mertua,” katanya ketika ditemui di dapur pembakaran yang terletak berdekatan dengan pondok Tok Ali bertukang.

Bercerita serba sedikit tentang mata parang buatannya, Talib menjelaskan, dia menggunakan besi spring lori sebagai bahan asas.

“Parang yang diperbuat daripada besi spring lori lebih keras berbanding besi lain.

“Selain itu, ia lebih tajam dan tahan lasak untuk kerja-kerja seperti berkebun,” jelas Talib yang boleh menyiapkan tiga bilah parang dalam masa sehari.

Talib mengakui, meskipun mampu membuat mata parang, tetapi sehingga ke hari ini, dia masih belum menguasai cara membuat sarung parang.

“Memang sukar tapi saya mesti menggagahkan diri mempelajarinya kerana tidak ada sesiapa yang minat mewarisinya kecuali saya,” kata Talib.

Menurut Talib, mereka sekeluarga sering menasihati Tok Ali supaya berehat di rumah. Bagaimanapun, keghairahan bapa mertuanya menghasilkan sarung parang sentiasa membara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Khamis, 1 Ogos 2013

Tenun Nenda, kain warisan


Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Zaharah Ibrahim sanggup bersusah payah untuk memperkenalkan semula kain tenun.
 

TENUNAN adalah jalinan benang pakan dan loseng yang disusun mengikut aturan tertentu dengan menggunakan alat menenun atau dipanggil kek.

Benang sutera atau benang kapas digunakan bagi membuat tenunan. Kadang-kala benang emas diselitkan untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil dan ini memperlihatkan keindahan tenunan bercorak.

Kain tenunan bercorak biasanya bercorak melintang, memanjang, beragi, corak Bugis dan corak Muar. Corak ini terdapat di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Seni tenunan tekstil giat diusahakan di negara ini sejak 200 tahun yang lalu. Pada awalnya, kain tenun menjadi pakaian larangan yang hanya boleh dipakai oleh kerabat dan pembesar istana sahaja.

Namun kini, kain tenun telah diberi sentuhan inovasi dan sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat.

Selasa, 16 April 2013

Sulaman kelingkan seni lama

 

Kerja-kerja sulaman kelingkan memerlukan pemerhatian yang khusus.
 
SENI sulaman kelingkan atau keringkam mungkin satu nama baru bagi mereka yang tidak pernah mengenali sulaman ini. Namun seni kemahiran tangan ini hakikatnya telah lama wujud dan begitu dikenali dalam kalangan wanita yang begitu komited dengan hiasan sulaman seperti di hujung selendang, pakaian, barangan hantaran dan sebagainya.

Begitu juga Robitah Hashim, yang mewarisi seni kemahiran tangan ini dan seterusnya mendapat kepercayaan daripada pihak kraf Malaysia membuka bengkelnya sendiri bagi mengembangkan lagi seni warisan yang begitu sinonim dengan golongan wanita pada satu ketika dahulu.

Wanita berusia 49 tahun ini mempunyai kemahiran dalam seni kemahiran sulaman berkenaan yang diperturunkan oleh gurunya yang dikenali sebagai Nik Rahimah Nik Idris sewaktu dihantar untuk mempelajari seni kemahiran ini oleh pihak Kraf Malaysia.

Ahad, 14 April 2013

Taming Sari - Antara Mitos dan Realiti

Foto 

Taming Sari bersama keris Seri Gading sebagai 'peneman'
 
Foto
Hulu Taming Sari
 
Oleh : Rohaniza Idris
Keris tersohor di alam Melayu lambang kebesaran Diraja Kesultanan Perak

KERIS iaitu sejenis senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan diri sejak lebih 600 tahun dulu tidak dapat dipisahkan daripada warisan galur bangsa.
 
Senjata unik di dunia Melayu ini boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Thailand; Mindanao, Filipina serta Brunei dengan nama yang digunakan untuk senjata ini berbeza mengikut daerah.
Misalnya, di Mindanao ia dikenali sebagai sundang manakala di Bali dipanggil kedutan, Jawa Barat menggelarkannya kujang serta penduduk Sumatera merujuk keris sebagai kareh.

Dipercayai perkataan keris berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Selain digunakan untuk mempertahankan diri ketika bersilat, keris juga menjadi alat kebesaran diraja atau lambang kedaulatan Melayu. Dalam ratusan jenis senjata ini, keris tersohor yang paling dikenali ramai pastinya Taming Sari.

Sebut saja Taming Sari, rata-rata semua orang teringat kepada pahlawan Melayu Melaka, Hang Tuah, begitulah sebaliknya. Gabungan Taming Sari dengan Hang Tuah sangat sinonim dengan sejarah dan kebudayaan Melayu.

Apabila timbul isu bahawa pahlawan Melayu, Hang Tuah sebenarnya tidak wujud seperti yang dipertikaikan sesetengah pihak, maka timbul persoalan sama mengenai kewujudan keris Taming Sari.

Benarkah keris Taming Sari itu wujud atau sekadar mitos untuk mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah? Rona minggu ini mendapatkan pandangan sejarahwan yang juga pakar keris dan Muzium Perak bagi merungkai persoalan itu.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Mohd Ramli Raman berkata, keris Taming Sari banyak diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu serta beberapa manuskrip alam Melayu yang lain.

Mohd Ramli berkata, apa yang jelas, keris Taming Sari memang wujud dan menjadi alat kebesaran Kesultanan Perak. Malah, berdasarkan rupa dan ciri yang ada pada keris Di Raja itu, senjata ini memang asli dan berasal dari abad ke-14 kerajaan Majapahit.

Malah, beliau berkata, beberapa manuskrip lama yang ditemui juga menceritakan mengenai keris berkenaan dan terbukti senjata itu memang wujud serta masih terus terpelihara sebagai peralatan Diraja Perak.

“Keris Taming Sari mendapat nama daripada hulu balang Jawa pada pemerintahan kerajaan Majapahit seperti yang ditulis dalam Sejarah Melayu mahupun Hikayat Hang Tuah serta manuskrip lain. Tidak kiralah sama ada benar wujudnya pendekar Taming Sari itu atau tidak, namun keris itu memang ada.

“Mengenai keaslian pula, mengapa perlu dipertikaikan kerana senjata berkenaan adalah alat kebesaran Diraja Perak. Ia benar wujud dan asli kerana ciri yang ada termasuk jenis logam yang digunakan memang terbukti sejak lebih 600 tahun dulu,” katanya.

Mohd Ramli berkata, banyak mitos dikaitkan dengan keris berkenaan, namun mitos itu adalah kepercayaan. Jadi, soalnya, mengapa perlu diketepikan kepercayaan itu.

Menceritakan sejarah keris tersohor itu, beliau berkata, mengikut Hikayat Hang Tuah, keris berkenaan mendapat nama daripada nama pemilik keris itu, hulubalang Majapahit, Taming Sari.

“Selepas pertarungan antara Majapahit dengan Hang Tuah, yang mana kemenangan berpihak kepada Hang Tuah, keris itu dihadiahkan Ratu Majapahit dengan Sultan Melaka dan kemudian diserahkan kepada Hang Tuah.

“Selepas kegagalan Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang, beliau menyerahkan keris itu kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada Paduka Raja.

“Namun, yang pastinya saya melihat keris Taming Sari adalah lambang kewibawaan, kekuasaan, darjat, rezeki dan mempunyai pengisian serta spiritual di dalamnya,” katanya.

Mohd Ramli berkata, selepas keris Taming Sari diserahkan kepada Hang Tuah, kerajaan Majapahit tumbang manakala Melaka menjadi lebih maju dan terkenal di mata dunia.

“Selepas keris diserahkan kepada Sultan Melaka tetapi dibawa Tun Mamat ke Riau, maka berlaku kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan apabila ia dibawa ke Perak, ‘roh’ atau spiritual Taming Sari melonjakkan Kesultanan Perak sehingga hari ini,” katanya.


Pantang larang Taming Sari

RIWAYAT dan kisah pertarungan hebat antara lagenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah dengan pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, Taming Sari akhirnya menzahirkan kewujudan keris teragung dalam sejarah ketamadunan Melayu iaitu Keris Taming Sari.

Mengambil nama sempena pahlawan hebat kerajaan Majapahit itu, Taming Sari dianggap keris sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam. Malah, cerita silam mengisahkan pemilik asal keris itu, Taming Sari akhirnya mati di tangan Hang Tuah selepas ditikam keris berkenaan.

Kehebatan senjata itu tidak pernah terhenti diperkatakan sehingga kini, apatah lagi ia sering dikaitkan dengan Hang Tuah iaitu laksamana Melayu yang terkenal dengan ketaatan serta kesetiaannya kepada raja.

Namun, kebelakangan ini ada pula yang seakan menolak kewujudan Hang Tuah dan pada saat itu, Taming Sari yang tersimpan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, menjadi bukti kewujudan pahlawan Melayu tersohor itu. Masakan tidak, Hang Tuah dan Taming Sari begitu sebati dalam sejarah Melayu.

Sumber dari laman rasmi Pejabat Sultan Perak menyatakan keris berkenaan diselaputi dedaun emas manakala sarung atau hulunya juga diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya adalah serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Pemiliknya bukan saja tidak lut senjata lawan, senjata dipercayai berusia lebih 500 tahun itu dikatakan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Taming Sari juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Kelebihan dan keistimewaan keris itu turut dibuktikan dengan kajian Muzium Perak yang mendapati keris Taming Sari memang wujud kerana senjata itu menepati ciri-ciri yang diperlukan, termasuk gambar rajah pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno mengandungi zikir dan amalan perang amalan Tariqat al-Shazilliah yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

Walaupun wujud pertikaian mengenai keaslian Keris Taming Sari yang kini tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu Rona bahawa keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Keris Taming Sari yang sebelum ini pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah simpanan dan warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.

"Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak, tetapi Muzium Perak mempertahankan Keris Taming Sari itu adalah asli dan menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

"Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

"Disebabkan itu, muzium negeri secara berterusan akan mengadakan pameran berkaitan peralatan bersejarah seumpama itu untuk memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.

Biarpun pelbagai dakwaan dan pandangan dikemukakan mengenai kewujudan keris sakti ini, Taming Sari yang juga keris kuasa atau bawar menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak kini disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain dalam sebuah peti besi khas di istana berkenaan.

Berikutan senjata itu mempunyai 'kuasanya' tersendiri, beberapa 'penjaga' alat kebesaran Perak mendakwa ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang mengendalikan atau membawa Taming Sari.

Antaranya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

Kesimpulan, walaupun ada pelbagai versi mengenai Taming Sari, rakyat Malaysia harus berbangga dengan memiliki seni warisan yang penuh dengan sejarah bahkan apa yang diwarisi adalah setanding dan diiktiraf negara luar.
 
Sumber Artikel : http://www.bharian.com.my

‘Pandai besi’ tiada pengganti

 

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
DULU, titisan keringat mereka dihargai berikutan kemahiran yang ada menentukan kualiti senjata dihasilkan. Jika diimbau sejarah sejak bertapaknya Tanah Melayu, mereka antara individu paling penting dan dicari semua orang. Lebih hebat hasil kerja tangan dilakukan, lebih ramai datang mendapatkan khidmat mereka.

Malah, bukti hebatnya kerja tangan dihasilkan apabila mereka dipilih oleh pihak istana dan tidak kurang juga pendekar handalan bagi menghasilkan senjata paling ampuh melawan musuh dan sebagai lambang serta status pihak berkenaan.
Itu antara keistimewaan individu yang berkemahiran membuat senjata atau pembuat keris pada zaman dulu.

Buktinya, sehingga kini nama keris seperti Taming Sari terus kekal menjadi simbolik kegagahan legenda Hang Tuah dan kemegahan orang Melayu.
Foto

Bagaimanapun, itu dulu. Kini, pembuat keris atau turut dikenali sebagai orang ‘pandai besi’ semakin dilupakan.

Pekerjaan yang satu ketika dulu sungguh hebat dan paling dicari orang ramai kini umpama ‘hidup segan, mati tidak mahu’.

Bukan tiada sambutan atau permintaan untuk menghasilkan senjata tangan versi klasik ini, sebaliknya kerana tidak ada lagi pelapis yang berkemahiran dan mampu menghasilkannya mengikut cara dulu.

Yang tinggal menghasilkannya hanya membabitkan generasi lama berusia 40 tahun ke atas dan itupun boleh dihitung dengan jari.

Malah, dalam tempoh 20 tahun akan datang, pekerjaan ini juga dikhuatiri bakal lenyap dan bukti halus seni pertukangan senjata masyarakat Melayu ini mungkin hanya bakal dilihat di dalam simpanan arkib atau muzium mahupun sebagai koleksi peribadi individu tertentu.

Ketiadaan pelapis dan pewaris dalam seni yang terpahat sebagai khazanah negara ini berikutan remaja masa kini melihatnya sebagai pekerjaan yang tiada masa depan, tidak popular, susah, berbahaya dan tidak menguntungkan.

Wajah Kehidupan yang menyelami proses pembuatan senjata ini mendapati pekerjaan ini sememangnya memerlukan minat dan kemahiran sebagai elemen utama menghasilkan senjata berkualiti dan terbaik.

Tanpa dua elemen ini, senjata dihasilkan ‘kaku’ dan hanya kelihatan sebagai senjata biasa di mata individu yang mengenali kualiti serta keindahan khazanah warisan bangsa ini.

Walaupun menggunakan teknologi moden sekalipun, ada antara teknik yang memerlukan kehalusan seni tangan berkenaan tidak akan mampu ditiru.

Ini sama seperti teknik asas mencampur besi bagi membuat bilah keris, iaitu bahagian utama senjata yang akan rosak tanpa teknik yang betul.

Teknik asas mencampur besi bagi menghasilkan bilah ini perlu dilakukan sendiri oleh tukang besi yang mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan.

Malah, terdetik di hati penulis betapa sukar dan mencabarnya pekerjaan berkenaan.

Mana tidaknya, pada peringkat awal lagi pekerjaan itu memang sukar berikutan pembuat keris perlu bermain dengan api dan besi panas.

Jika tidak kena dengan teknik betul, besi yang ingin dicanai boleh patah dan serpihan besi yang membara itu pasti akan ‘terbang’ ke muka, sekali gus mendatangkan kecederaan.

Setiap campuran pula mesti mengikut sukatan betul, di mana bahan asas besi pertama perlu dicanai dan diperkukuhkan terlebih dulu. Kemudian, campuran besi kedua dilakukan dan perlu dicanai berulang kali.

Apabila siap, bilah senjata berkenaan tidak terus diasah atau ditajamkan. Sebaliknya, tiba masa untuk mencari bahan utama untuk menghasilkan hulu keris.

Bahan untuk membuat hulu keris ini juga tidak dipilih sembarangan kerana bagi pemilik keris yang akan bertindak menggunakannya, bahagian hulu keris adalah penentu kebolehan, kecekapan dan kekuatan keris, selain simbol status pemiliknya.

Kerana itu juga, ada antara hulu keris berkenaan bukan saja diperbuat daripada kayu bermutu tinggi, sebaliknya diukir daripada bahan khas seperti gading,
tulang atau gigi gajah, tulang ikan paus, batu bulan dan batu tahi bintang.

Nilai barangan ini pula ada antaranya boleh mencecah puluhan ribu ringgit berikutan kesukaran mendapatkannya selain membentuk dan mengukirnya.

Tempoh menyiapkannya memakan masa sekitar dua minggu dan sebaik siap, baru bilah keris dipertajamkan dan dilekatkan bersama.

Namun, sebagai pelengkap keris, jangka masa hampir seminggu pula diambil untuk membuat sarung keris berserta ‘pamur’.

Keseluruhannya, tempoh masa hampir empat minggu diambil untuk menghasilkan sebuah keris yang sempurna. Memang cukup lama bagi menghasilkan sebilah senjata itu.

Sebagaimana pekerjaan berkenaan yang sukar, ramai tidak tahu ia membawa hasil lumayan. Sebilah keris lengkap yang hanya menggunakan besi biasa tanpa lok boleh dijual sekitar RM400 hingga RM600.

Keris yang menggunakan campuran besi seperti besi hitam dan dilengkapi sekurang-kurangnya tanduk atau gading haiwan pula mampu dijual antara RM1,000 hingga RM2,000 sebilah.

Malah, berdasarkan maklumat diterima, ada pembuat keris kadangkala memperoleh pendapatan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan dengan hanya menjual dan menghasilkan senjata, sekali gus menepis persepsi ia tidak menjamin masa depan.

Ini kerana ia bukan saja dijual kepada peminat senjata di negara ini semata-mata, sebaliknya turut diminati pengumpul koleksi senjata dari luar negara.

Sejujurnya, perlu ada usaha bagi melatih golongan remaja dalam bidang ini berikutan ia khazanah negara yang hanya ditemui di nusantara saja.

Jika hilang seni ini, pastinya ia satu kerugian kepada negara.

Sumber Artikel : http://www.hmetro.com.my

Seni warisan tekstil berhias emas

 

PELBAGAI jenis tekstil Melayu di dalam pameran Tradisi dan Kesinambungan.
 
TELEPUK ialah nama lain yang digunakan untuk bunga teratai, namun kain telepuk mungkin agak asing bagi kebanyakan daripada kita terutamanya generasi muda. Kain telepuk ialah salah satu kain yang terhasil daripada teknik menghias kain menggunakan kertas emas.

Kegunaan kain telepuk telah lama menjadi busana diraja Kesultanan Melayu seperti yang dicatatkan di dalam Hikayat Acheh (Teuku Iskandar 1958) seperti di bawah: "Maka sultan pun memakai kain sungkit pelangi bertelapuk berpusuk rebung bertepi mas permata, berselua(r) dzardzari bertepi tenunan Istambuli dan bertali mas dandan 'Iraki berbuah ru bepermata pudi dan berikat pinggang."

Mengikut kajian yang dilakukan oleh pengkaji tekstil, teknik telepuk menghasilkan pakaian istiadat yang mewah dan elegan bersesuaian dengan status pemakai dan majlis yang dihadiri.

Teknik hiasan kertas emas ini bukan sahaja digunakan di alam Melayu malah ia merupakan salah satu teknik yang digunakan untuk menghias pakaian golongan atasan di wilayah-wilayah Asia yang lain seperti Jepun dan Korea terutamanya China.

Di Indonesia dan Malaysia, teknik yang digunakan mungkin terdapat sedikit perbezaan di mana, di Indonesia kain berhias emas ini dipanggil kain perada yang merujuk kepada bahan yang digunakan iaitu serbuk perada atau air emas yang digunakan untuk melukis corak yang diinginkan oleh pembuat kain.

Tetapi di Malaysia, kain telepuk menggunakan teknik mengecap. Beberapa persiapan dan bahan asas diperlukan bagi menghasilkan kain telepuk.

Dua jenis kain yang sering menjadi pilihan di dalam menghasilkan kain telepuk ialah kain kapas dan kain sutera. Kain kapas sering digunakan bagi pakaian lelaki kerana Islam melarang golongan lelaki memakai sutera.

Kain ini selalunya berwarna tetapi kosong tanpa sebarang corak. Ia kemudian akan digerus iaitu proses melicinkan kain dengan menggunakan lilin lebah dan digosok dengan kulit siput geweng sehingga permukaan kain menjadi licin dan berkilat.

Selepas permukaan kain siap digerus cap kayu dalam pelbagai corak seperti pucuk rebung, bunga pecah empat dan teluk berantai akan disapu dengan gam dan dicap di atas kain mengikut susunan atau gubahan seseorang pembuat kain.

Selepas kedudukan corak yang bergam ditentukan, sekeping kertas emas akan dilekatkan di atasnya dan dibiarkan kering. Setelah kering lebihan kertas emas yang tidak melekat akan diberus untuk mengeluarkan corak yang dikehendaki.

Corak dan susunannya di atas kain diadaptasi daripada corak dan susunan hiasan kain songket seperti bahagian badan, kaki dan kepala kain.

Bagi pakaian lelaki, corak telepuk boleh digunakan di atas destar, baju, seluar dan kain samping. Manakala bagi wanita, corak telepuk boleh digunakan pada kain tudung atau selendang, baju dan kain.

Namun begitu, penggunaan kain telepuk amat jarang ditemui pada hari ini. Ini mungkin disebabkan oleh faktor kerumitan proses penghasilannya dan ini menyukarkan untuk pengeluaran yang banyak.

Kain telepuk merupakan salah satu tekstil Melayu yang sedang dipamerkan dalam Pameran Tradisi dan Kesinambungan: Tekstil bertenun dan berhias Semenanjung Tanah Melayu di Muzium Kesenian Islam Malaysia sehingga Julai ini.


Sumber Artikel : http://www.utusan.com.my/
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keris warisan Melayu

 


ABDUL Mazin bersama dua bilah keris yang ditempah oleh pelancong Amerika dan Jepun di bengkelnya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.



KUALA KANGSAR 11 Mac - Keris merupakan warisan atau lambang keberanian dan perjuangan masyarakat Melayu yang telah wujud sejak zaman berzaman.

Hakikatnya, kehebatan pahlawan Melaka, Hang Tuah juga dikenali berikutan kesaktian keris bernama Taming Sari.

Biarpun kini kedudukan keris tidak lagi terlalu istimewa dalam masyarakat Melayu, namun ia masih menjadi simbol paling penting.

Fungsinya bukan sebagai senjata bagi mempertahankan diri, tetapi lambang adat dan budaya dalam masyarakat itu sendiri.

Di sebalik sejarah kehebatannya, tidak ramai mengenali golongan yang bertanggungjawab menghasilkan keris.

Salah seorang pembuat keris, Abdul Mazin Abdul Jamil, 58, berkata, untuk menghasilkan keris yang menarik, seseorang itu harus mempunyai jiwa seni tersendiri.

Mula berkecimpung dalam bidang itu sejak lebih 40 tahun lalu, Abdul Mazin bangga dengan usaha yang dilakukannya.

''Antara keris yang pernah saya hasilkan termasuklah keris Panca Warisan yang menjadi lambang perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO," katanya di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Menurut Abdul Mazin, membuat keris sememangnya merupakan antara kerja yang agak rumit malah jauh lebih sukar daripada menghasilkan golok atau parang.

Ini kerana katanya, untuk mendapatkan keris yang bermutu tinggi, seseorang itu mesti pandai melebur besi dan mencampurkannya dengan bahan-bahan lain.

''Saya belajar membuat keris daripada bapa saya setelah jemu membuat parang dan golok sahaja," katanya.

Bapa kepada l2 anak itu berkata, untuk menyiapkan sebilah keris mengikut saiz termasuk ulu dan sarungnya, ia memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga minggu.

Selain menempa keris Panca Warisan, Abdul Mazin juga terlibat menghasilkan keris untuk pihak istana. Antara negeri yang mendapatkan khidmatnya selain Perak ialah Kedah dan Selangor.
Malah Sultan Brunei dan beberapa pembesar negara lain turut tertarik dengan keaslian keris yang dihasilkannya.

''Saya juga menjadi rujukan kepada siswazah dari universiti tempatan yang mengikuti kursus seni warisan yang ingin mendalami pelajarannya. Bengkel saya sering menjadi tumpuan ramai khususnya pada musim cuti persekolahan.

''Saya bersyukur dengan segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan dan semua pihak terbabit, saya dapat meneruskan kerja dalam pembuatan keris dan bidang pandai besi," ujarnya.

Abdul Mazin turut melahirkan harapannya untuk membimbing golongan muda yang berminat mendalami kemahiran membuat keris bagi memastikan ada generasi pewaris pada masa akan datang.


Sumber Artikel : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Keris Warisan Melayu Tak Lapuk Dek Zaman



SENI WARISAN - Abdullah Daud sedang membentuk keris di bangkelnya di Kampung Manan, Bunut Susu. Keris buatannya digunakan sebagai barangan perhiasan dan Abdullah menerima banyak tempahan daripada orang ramai dan kerabat diraja. Foto: Zahari Razak
Oleh Hazelen Liana Kamarudin

PASIR MAS, 16 Okt (Bernama) -- Keris, warisan Melayu yang unik dan istimewa, terus mendapat sambutan daripada penggemar yang menjadikan senjata itu sebagai barang hiasan.

Menurut seorang pembuat keris terkenal di sini, Abdullah Daud, 64, beliau masih lagi menerima banyak tempahan keris daripada orang ramai dari dalam atau luar Kelantan.

Paling istimewa Abdullah pernah membuat keris yang ditempah oleh beberapa kerabat diraja dari beberapa negeri.

"Pelanggan pakcik bukan sahaja orang biasa, tetapi golongan diraja juga ada menempah keris dengan pakcik seperti kerabat diraja Kelantan dan Perlis," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manan, Bunut Susu di sini.

Abdullah, generasi keempat pembuat keris berkata beliau mula belajar membuat keris ketika berumur 18 tahun.

Pembuatan keris tidak begitu rumit cuma ketelitian dan kehalusan ukiran yang perlu dititikberatkan bagi menjaga kualiti dan nilainya, katanya.



Kerana kerumitan membuatnya, Abdullah hanya mampu menyiapkan dua bilah keris sahaja dalam sebulan.

Abdullah berkata setiap bilah keris mengambil masa selama 15 hari untuk disiapkan dan dijual pada harga sehingga RM2,000.

Katanya untuk membuat ulu dan sarung keris terbaik, beliau menggunakan kayu kemuning yang mempunyai urat kayu yang cantik dan hanya boleh didapati di kawasan pergunungan dan bukit.

Menurutnya, selain kayu kemuning, kayu bongor juga sesuai untuk dibuat ulu dan sarung keris.

Abdullah berkata beliau menggunakan lima jenis besi bagi menghasilkan keris berkualiti tinggi.

Selain keris, beliau turut mengambil tempahan membuat parang, pedang, pisau, kelewang, lembing, kapak dan senjata lain untuk dijadikan cenderamata.

Sumber Artiket :
http://www.bernama.com