Selasa, 8 Januari 2013

Legasi Kampung Morten

Kampung tradisional Melayu ini seperti muzium hidup.




RAMAI pelancong yang melawat Kampung Morten menganggap kampung tradisional Melayu ini sebagai muzium hidup.

Ini tidak menghairankan kerana ramai penduduk kampung itu masih mengamalkan cara hidup lama, di samping mempamerkan keunikan reka bentuk rumah mereka.

Kampung Morten yang diambil sempena nama seorang Pesuruhjaya Tanah Inggeris, Frederick Joseph Morten, mempunyai 85 buah rumah termasuk 52 rumah tradisional Melaka.

Morten dipercayai memainkan peranan penting bagi membina kampung itu pada tahun 1920-an, sementara pengasasnya dikenali sebagai Allahyarham Othman Mohd Noh.

Kampung itu terletak di kawasan paya yang diliputi hutan pokok nipah di pinggir Sungai Melaka.

Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung Melayu di bandar bersejarah Melaka yang masih memiliki identiti tersendiri. Antaranya reka bentuk rumah, cara menghias rumah dan landskapnya.

Rumah tradisional Melaka dibina dengan reka bentuk warisan masyarakat Melayu bercirikan bumbung atap yang panjang dan tangga batu bersalut jubin.

Tangga batu merupakan ciri-ciri utama, di samping ukiran kayu di bahagian serambi yang unik.

Halaman rumah tradisional tersebut biasanya dihiasi dengan pelbagai jenis pokok bunga.

Ini menjadikan Kampung Morten begitu istimewa dan berupaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengunjung berpeluang melihat kesemua deretan rumah tradisional yang tersusun dari segi bentuk bumbung, tangga dan hiasan dalaman. Ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke zaman kerajaan Melayu Melaka.

Kampung Morten mendapat perhatian penuh kerajaan Melaka dan diwartakan di bawah Enakmen
Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya pada tahun 1988 sebagai kawasan perkampungan tradisional Melayu dan pusat tarikan pelancong.

Kini, perkampungan itu dikelilingi bangunan moden dan aliran air Sungai Melaka yang bersih dengan kedua-dua tebing sungai diperindah oleh kerajaan negeri.

Mereka yang menaiki Melaka River Cruise, berpeluang menyusuri kira-kira empat kilometer di sungai berkenaan, tentunya terpegun melihat rumah tradisional Melayu yang terdapat di kampung tersebut.

Villa Sentosa
Sekali imbas jika melihat deretan rumah tradisional Melayu Melaka di kampung itu, tiada siapa menyangka terdapat sebuah rumah yang masih menyimpan khazanah Melayu Melaka yang berusia lebih setengah abad.


ORANG RAMAI dan pelancong menyusuri Sungai Melaka dengan bot River Cruise.


Khazanah itu tersimpan di Villa Sentosa, dan tidak lengkap lawatan pelancong ke kampung ini, jika tidak singgah di Villa Sentosa.

Villa Sentosa yang terletak di pinggir Sungai Melaka dibina oleh Othman ketika beliau membuka kampung berkenaan pada tahun 1920.

Kini, setelah sembilan generasinya menduduki kediaman tersebut, ia masih lagi mengekalkan tradisi yang ditinggalkan dan penghuninya terus menjaga warisan berkenaan.

Villa Sentosa juga dikenali sebagai The Living Museum. Rumah itu diubahsuai menjadi muzium peribadi dan dirasmikan pembukaannya pada 11 Disember 1991. Villa Sentosa kini diuruskan oleh waris generasi itu, Abdul Rahim Hashim, 58.

Abdul Rahim berkata, Villa Sentosa memiliki reka bentuk rumah yang unik dan menghimpunkan pelbagai bahan sejarah seperti pakaian tradisional Melayu, alat muzik tradisional serta perabot antik.

Pengunjung juga berpeluang mengenali generasi Hashim Abdul Ghani iaitu bapa Abdul Rahim melalui gambar keluarga yang digantung di dalam bilik pengantin.

Menurut Abdul Rahim, bilik berkenaan digunakan untuk majlis perkahwinan oleh waris keluarganya. Di ruang hadapan Villa Sentosa tergantung sebuah lakaran carta salasilah keluarga sembilan generasi itu.

Selain itu, 14 tingkap di dalam villa berkenaan membolehkan udara segar sentiasa masuk sehingga kipas angin atau pendingin hawa tidak diperlukan.


RUMAH milik Abdul Rahim Hashim di Kampung Morten dijadikan muzium.


Villa tersebut juga menyajikan himpunan piring hitam era 50-an, selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.

"Dalam usaha mempromosi Villa Sentosa, kami turut mengadakan persembahan kebudayaan, nyanyian dondang sayang dan joget lambak.

"Persembahan ini diadakan sekali setiap bulan," kata Abdul Rahim. Beliau berkata, pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran dan anggota keluarganya juga bersedia memberi penerangan kepada pengunjung.

"Kami tidak mengenakan apa-apa bayaran, memadai dengan menderma untuk tabung keluarga ini bagi membantu kami membaiki dan menaik taraf Villa Sentosa," katanya.

Villa Sentosa dibuka kepada pengunjung pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali Jumaat dibuka pada pukul 2 hingga 6 petang. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan