Jumaat, 4 Januari 2013

Pakar Replika Rumah Tradisional Melaka

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my


BASER Ali menyiapkan rumah tradisional Johor yang hampir 60 peratus siap di Kampung Morten.

MELAKA 3 Feb. - Lain padang lain belalang, lain orang lain pula kemahirannya. Manusia sememangnya mempunyai pelbagai ragam dan kerenah, begitu juga minat serta kemahiran.

Bagi Baser Ali, 47, kemahiran yang dimiliki bukan calang-calang dan sukar pula untuk ditandingi. Dia mahir dalam membina replika rumah tradisional.

Kemahiran yang diwarisi daripada bapa saudaranya, Kassim Mahmud dan abangnya, Mohd. Nor, 48, sememangnya tidak disia-siakan oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah, Bachang untuk meneruskan legasi membuat replika rumah tradisional.

Walaupun baru setahun menceburkan diri secara serius dalam pembikinan replika rumah tradisional Melayu, Baser kini mampu menghasilkan enam buah replika rumah tradisional yang lengkap dengan pelbagai jenis perabot di dalamnya.

Lebih menarik, setiap ukiran pada replika rumah tradisional dihasilkan menggunakan kreativiti tersendiri.

Hanya mengambil masa selama dua bulan bergantung kepada keluasan sesebuah replika rumah, dia mampu tersenyum kerana ciptaannya mendapat perhatian daripada masyarakat.

Kebanyakan replika rumah tradisional ciptaannya digunakan sebagai penyeri landskap di halaman rumah atau pejabat.

Anak kelahiran Kampung Morten itu berjaya menyiapkan pelbagai bentuk replika rumah tradisional Melaka.

Semasa dikunjungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini, Baser sedang menyiapkan replika sebuah rumah tradisional Melayu Johor.

Walaupun belum ada pembeli, namun Baser berusaha menyiapkan rumah tradisonal Johor itu yang ilham membinanya diperoleh sewaktu kunjungannya ke Johor untuk mengajar peserta di Pusat Kraftangan Larkin.

Selain itu, dua lagi replika rumah tradisonal Melayu Melaka yang diletak tersergam indah di hadapan rumah pusaka milik keluarganya itu menjadi tarikan setiap pengunjung yang lalu di hadapan rumah Baser.

Salah sebuah replika rumah tradisional Melayu Melaka yang berukuran lima kaki panjang, 60 inci lebar dan mempunyai ketinggian 14 inci itu pernah dipamerkan semasa kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Kampung Morten baru-baru ini.

Oleh kerana masih awal dalam bidang itu, Baser bercita-cita untuk membina replika rumah yang lebih besar berukuran empat kaki panjang, tiga kaki lebar dengan ketinggian empat kaki untuk diletakan di halaman rumah bagi mencantikkan suasana.

Menurut Baser, mereka cipta replika rumah tradisional bukan satu pekerjaan yang mudah sebaliknya seseorang itu memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Ia perlu dilakukan secara teliti dan cermat. Jika tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, replika ini pasti tidak akan dapat disiapkan dengan sempurna," katanya.

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, dia mula berminat untuk meneruskan legasi keluarganya setelah abangnya jatuh sakit dan tidak mampu lagi menghasilkan replika rumah.

Menurut bekas juru kimpal di salah sebuah kilang di sini, dia yang hanya bermula suka-suka kini mula serius walaupun terpaksa menggunakan modal sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi.

Katanya, penghasilan replika rumah berbeza dengan pembinaan rumah sebenar kerana kerja-kerja menyiapkannya amat rumit kerana saiznya yang kecil.

"Bahan yang digunakan pula perlu yang bermutu tinggi dan ia mampu bertahan daripada dirosakkan oleh anai-anai.

"Selain itu, saya juga akan menggunakan aluminium dan kadang-kadang atap nipah bagi mengekalkan keaslian replika rumah tradisional ini," katanya.

Menurut Baser, setiap replika rumah itu dijual pada harga antara RM900 hingga RM3,500 sebuah berdasarkan saiz.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi beliau menerusi talian 017-6759336.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan