Isnin, 24 Februari 2014

Berhenti kerja kumpul barang antik





























ROM bersama sebahagian daripada koleksi mesin taip antik miliknya.

ASALNYA, jejaka berusia 27 tahun ini mencari barang-barang lama seperti mesin taip, kamera dan peti kayu lama bagi menghiasi rumahnya yang berkonsepkan gabungan vintaj dan moden.

Mendapat inspirasi dekorasi daripada rumah-rumah di luar negara seperti di England dan Amerika Syarikat melalui blog-blog yang diikutinya, barangan antik itu bukan sekadar dijadikan perhiasan malah diubah suai untuk pelbagai kegunaan seperti peti kayu lama diletakkan kusyen di atasnya lalu menjadi tempat duduk merangkap kotak menyimpan barang.

Keterujaan Mohd. Romaizie Muhammad Mustapha atau mesra disapa Rom membawanya hingga ke kawasan pedalaman demi memburu barang-barang lama.

Mesin-mesin taip lama diletakkan di penjuru rumah melengkapkan citarasanya dalam seni hiasan dalaman vintaj dan moden.

"Lama-kelamaan barang-barang yang saya dapatkan itu terlalu banyak lantas mencetuskan idea untuk menjadi 'orang tengah' dalam mendapatkan barang antik.

"Sekarang ini, semakin ramai orang muda yang mempunyai minat terhadap barang lama seperti saya kerana nilai seni serta sejarahnya

"Kenyataan kononnya barang antik hanya dikumpul oleh orang lama tidak boleh dipakai lagi kerana kini anak muda juga tahu menghargainya," kata Rom yang sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai pereka grafik untuk membuka kedai barang antik Outdated yang terletak di Publika, Solaris Dutamas.

Antara barang kegemarannya mesin taip antik yang berusia berpuluh-puluh tahun malah sehingga ratusan tahun kerana teknologi awalnya yang mencetus kepada peralatan wajib ada sekarang iaitu komputer.

Mesin taip Underwood Standard 5 yang berusia 111 tahun antara koleksi kesayangannya termasuk beberapa jenama lain yang terkenal iaitu Royal, Olympia, Remmington dan Adler.

Ceritanya, koleksi mesin taipnya itu berusia 60 hingga 100 tahun dan kebanyakannya boleh digunakan lagi.

Penjelajahannya bagi memburu barangan antik tersebut membawa Rom ke kawasan pedalaman di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, malah hingga ke Johor dan Kedah.

Selain koleksi mesin taip yang mengagumkan itu, Rom turut mengumpul pelbagai barangan antik lain daripada kamera TLR berusia 70 tahun hinggalah topi tentera ketika Perang Dunia Kedua.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 ulasan:

  1. Saya ada satu mesin taip antik. Kalau nak saya boleh jual

    BalasPadam
  2. Sy ade telefon antik berminat pm 0182847221

    BalasPadam