Isnin, 24 Februari 2014

Hobi kumpul barang antik


Razali Ahmad menunjukkan sebahagian koleksi barangan antik miliknya dan merancang untuk membina sebuah galeri kecil di Lenggong.


LENGGONG 14 April - Bermula dengan hobi mengumpul barang lama sewaktu kecil, minat itu kemudiannya berkembang sehingga ke dewasa.

Menurut seorang pesara, Razali Ahmad, 56, pada awalnya, usaha mengumpul itu dilakukan lebih kepada matlamat untuk memastikan barang milik datuknya dipelihara dan tidak dibuang begitu sahaja.

"Saya sebenarnya tidak tahu hendak melihat nilai sesuatu barangan tersebut. Bagaimanapun, didorong oleh minat mendalam, ilmu itu dipelajari sedikit demi sedikit dan dengan ilmu tersebut ia menyemarakkan lagi semangat mengumpul barang lama atau antik," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam

Beliau menambah, banyak barangan lama yang asalnya merupakan barang yang hanya untuk disimpan, kini menjadi sebahagian daripada koleksi peribadi barang antik miliknya.

Antara koleksi simpanan peribadi yang paling berharga adalah gobek api yang dianggarkan sudah berusia sejak 100 tahun lalu.

"Ia sebenarnya peninggalan arwah datuk dan saya sendiri tidak mengetahui dari mana ia berasal," katanya.
Menurutnya, dua gobek tersebut yang masing-masing diperbuat daripada kayu dan tanduk binatang itu dipercayai pernah menjadi milik golongan bangsawan dahulu berdasarkan fakta peralatan tersebut tidak digunakan masyarakat biasa ketika itu.

"Saya difahamkan untuk menggunakan alat ini, pengguna akan memasukkan sabut nibong ke dalam gobek dan menghentak dengan alat pencucuh bagi menghasilkan tindak balas yang kemudiannya akan membakarkan sabut nibong tersebut," katanya.

Razali berkata, dia menganggap dirinya amat bertuah kerana mewarisi barangan yang memang sukar dicari masa kini.

Tambahnya, walaupun sudah tidak boleh digunakan lagi, dia akan menyimpan gobek berkenaan sebagai warisan keluarga.

Selain gobek api, barangan antik lain yang menjadi koleksi kebanggaan Razali adalah barangan tembaga berusia lebih 100 tahun, wang kertas dan syiling lama, setem lama dan peti nyanyi 1940-an.

Terdapat juga botol susu 1930-an, basikal lama tahun 1950-an dan pelbagai koleksi surat rasmi mengguna bahasa Melayu lama yang berbunga-bunga dipercayai pada tahun 1930-an.

"Koleksi surat cinta dari zaman 1930-an juga menarik untuk dilihat dan dianalisis bagi mengetahui pemikiran golongan muda pada masa itu," katanya.

Menurut Razali, apa yang menariknya, pernah juga satu ketika dahulu koleksi pakaian pengantin golongan bangsawan era 1930-an miliknya dipinjam oleh Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur untuk dipamerkan di muzium tersebut.

"Koleksi pakaian pengantin golongan bangsawan ini memang sukar dicari kerana ia di tempah dari Indonesia. Kelebihannya ia diperbuat daripada tangan dan menggunakan cat emas," katanya.

Pesara kerajaan itu berkata, dia merancang untuk membina sebuah galeri kecil di kampungnya sebagai tatapan penduduk setempat dan pelancong luar yang berkunjung ke daerah itu.

"Khazanah ini harus dipelihara untuk generasi akan datang supaya mereka lebih mengenali serta menghargai barangan lama yang wujud sebelum adanya barangan ciptaan moden hari ini," katanya.


Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 ulasan: