Isnin, 24 Februari 2014

Hobi kumpul barang antik


Razali Ahmad menunjukkan sebahagian koleksi barangan antik miliknya dan merancang untuk membina sebuah galeri kecil di Lenggong.


LENGGONG 14 April - Bermula dengan hobi mengumpul barang lama sewaktu kecil, minat itu kemudiannya berkembang sehingga ke dewasa.

Menurut seorang pesara, Razali Ahmad, 56, pada awalnya, usaha mengumpul itu dilakukan lebih kepada matlamat untuk memastikan barang milik datuknya dipelihara dan tidak dibuang begitu sahaja.

"Saya sebenarnya tidak tahu hendak melihat nilai sesuatu barangan tersebut. Bagaimanapun, didorong oleh minat mendalam, ilmu itu dipelajari sedikit demi sedikit dan dengan ilmu tersebut ia menyemarakkan lagi semangat mengumpul barang lama atau antik," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam

Beliau menambah, banyak barangan lama yang asalnya merupakan barang yang hanya untuk disimpan, kini menjadi sebahagian daripada koleksi peribadi barang antik miliknya.

Antara koleksi simpanan peribadi yang paling berharga adalah gobek api yang dianggarkan sudah berusia sejak 100 tahun lalu.

"Ia sebenarnya peninggalan arwah datuk dan saya sendiri tidak mengetahui dari mana ia berasal," katanya.
Menurutnya, dua gobek tersebut yang masing-masing diperbuat daripada kayu dan tanduk binatang itu dipercayai pernah menjadi milik golongan bangsawan dahulu berdasarkan fakta peralatan tersebut tidak digunakan masyarakat biasa ketika itu.

"Saya difahamkan untuk menggunakan alat ini, pengguna akan memasukkan sabut nibong ke dalam gobek dan menghentak dengan alat pencucuh bagi menghasilkan tindak balas yang kemudiannya akan membakarkan sabut nibong tersebut," katanya.

Razali berkata, dia menganggap dirinya amat bertuah kerana mewarisi barangan yang memang sukar dicari masa kini.

Tambahnya, walaupun sudah tidak boleh digunakan lagi, dia akan menyimpan gobek berkenaan sebagai warisan keluarga.

Selain gobek api, barangan antik lain yang menjadi koleksi kebanggaan Razali adalah barangan tembaga berusia lebih 100 tahun, wang kertas dan syiling lama, setem lama dan peti nyanyi 1940-an.

Terdapat juga botol susu 1930-an, basikal lama tahun 1950-an dan pelbagai koleksi surat rasmi mengguna bahasa Melayu lama yang berbunga-bunga dipercayai pada tahun 1930-an.

"Koleksi surat cinta dari zaman 1930-an juga menarik untuk dilihat dan dianalisis bagi mengetahui pemikiran golongan muda pada masa itu," katanya.

Menurut Razali, apa yang menariknya, pernah juga satu ketika dahulu koleksi pakaian pengantin golongan bangsawan era 1930-an miliknya dipinjam oleh Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur untuk dipamerkan di muzium tersebut.

"Koleksi pakaian pengantin golongan bangsawan ini memang sukar dicari kerana ia di tempah dari Indonesia. Kelebihannya ia diperbuat daripada tangan dan menggunakan cat emas," katanya.

Pesara kerajaan itu berkata, dia merancang untuk membina sebuah galeri kecil di kampungnya sebagai tatapan penduduk setempat dan pelancong luar yang berkunjung ke daerah itu.

"Khazanah ini harus dipelihara untuk generasi akan datang supaya mereka lebih mengenali serta menghargai barangan lama yang wujud sebelum adanya barangan ciptaan moden hari ini," katanya.


Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pasaran tinggi barang antik

Che Omar Hamid menunjukkan bekas lilin dan seterika antik yang dijual di Pasar Sehari Kampung Berjaya di Alor Setar, baru-baru ini. – utusan/ Kamal Basir


ALOR SETAR 14 Feb. – Bagi sesetengah barangan, semakin tua usianya maka semakin tinggi harganya dan disebabkan itu tidak hairanlah bahawa peminat barangan antik di negara kita semakin bertambah saban tahun.

Mencari barangan antik tidaklah sukar jika tahu di mana pusat barang-barang tersebut dijual dan bagi peminat barangan antik di sekitar utara tanah air, Pasar Sehari Kampung Berjaya yang beroperasi setiap Jumaat adalah pasar yang ditunggu-tunggu.

Pelbagai barangan antik yang bermula dari harga serendah RM5 dan menjangkau ribuan ringgit boleh dibeli di pasar sehari ini.

Antara barangan antik yang dijual di pasar berkenaan ialah lampu pada tahun 1950-an dan 60-an, seterika lama, keris, pedang, peralatan basikal atau gerek tua, kamera, alat muzik dan aksesori termasuk jam tangan klasik, duit syiling dan sebagainya.

Walaupun kelihatan lama dan ada yang berkarat namun barangan tersebut ternyata masih menjadi tumpuan ramai, malah ada yang dijual sehingga mencecah ribuan ringgit kerana kesukaran untuk mendapatkannya, keunikan serta keaslian barangan tersebut.

Seorang peniaga barangan antik, Che Omar Hamid, 51, berkata, beliau telah berhenti menjadi pegawai kerajaan empat tahun lalu kerana ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan barangan antik yang semakin menguntungkan.

“Saya memang berminat dengan barangan antik sejak dari muda lagi kerana bagi saya, semakin lama barangan tersebut semakin banyak kisah yang tersimpan.

“Sepanjang terlibat dengan perniagaan ini, banyak tempat telah saya pergi semata-mata untuk mendapatkan barangan antik yang diidamkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Sehari Kampung Berjaya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, peminat barangan antik ini tidak terhad kepada satu kaum sahaja kerana sejak menjadi peniaga barangan antik dia mempunyai ramai kenalan pelbagai kaum yang terdiri daripada peminat barangan antik.

“Ada juga peminat barangan antik yang terdiri daripada mereka yang berpangkat Datuk dan mereka sering meluangkan masa untuk membeli barangan antik di pasar ini.

“Ada juga barangan yang saya tidak jual namun dipamerkan di gerai saya untuk ditatap bersama dengan peminat barangan antik,” ujarnya.

Che Omar memberitahu, dia memulakan perniagaan ini dengan modal pusingan sendiri sebanyak RM10,000 dan tidak pernah mendapatkan pinjaman daripada mana-mana pihak.

“Saya tidak sangka barangan antik ini mempunyai ramai peminat dan sambutan yang diterima begitu hebat.

“Barangan yang saya jual pula adalah barangan asli dan diperoleh daripada pengumpul barangan antik di seluruh negara dan Indonesia,” katanya.

Tambahnya, selain berniaga di Pasar Sehari Kampung Berjaya dia turut berniaga barangan antik itu di pasar sehari sekitar Pendang dan Kangar.


Sumber Artikel Dari: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Berhenti kerja kumpul barang antik





























ROM bersama sebahagian daripada koleksi mesin taip antik miliknya.

ASALNYA, jejaka berusia 27 tahun ini mencari barang-barang lama seperti mesin taip, kamera dan peti kayu lama bagi menghiasi rumahnya yang berkonsepkan gabungan vintaj dan moden.

Mendapat inspirasi dekorasi daripada rumah-rumah di luar negara seperti di England dan Amerika Syarikat melalui blog-blog yang diikutinya, barangan antik itu bukan sekadar dijadikan perhiasan malah diubah suai untuk pelbagai kegunaan seperti peti kayu lama diletakkan kusyen di atasnya lalu menjadi tempat duduk merangkap kotak menyimpan barang.

Keterujaan Mohd. Romaizie Muhammad Mustapha atau mesra disapa Rom membawanya hingga ke kawasan pedalaman demi memburu barang-barang lama.

Mesin-mesin taip lama diletakkan di penjuru rumah melengkapkan citarasanya dalam seni hiasan dalaman vintaj dan moden.

"Lama-kelamaan barang-barang yang saya dapatkan itu terlalu banyak lantas mencetuskan idea untuk menjadi 'orang tengah' dalam mendapatkan barang antik.

"Sekarang ini, semakin ramai orang muda yang mempunyai minat terhadap barang lama seperti saya kerana nilai seni serta sejarahnya

"Kenyataan kononnya barang antik hanya dikumpul oleh orang lama tidak boleh dipakai lagi kerana kini anak muda juga tahu menghargainya," kata Rom yang sanggup meninggalkan kerjaya tetap sebagai pereka grafik untuk membuka kedai barang antik Outdated yang terletak di Publika, Solaris Dutamas.

Antara barang kegemarannya mesin taip antik yang berusia berpuluh-puluh tahun malah sehingga ratusan tahun kerana teknologi awalnya yang mencetus kepada peralatan wajib ada sekarang iaitu komputer.

Mesin taip Underwood Standard 5 yang berusia 111 tahun antara koleksi kesayangannya termasuk beberapa jenama lain yang terkenal iaitu Royal, Olympia, Remmington dan Adler.

Ceritanya, koleksi mesin taipnya itu berusia 60 hingga 100 tahun dan kebanyakannya boleh digunakan lagi.

Penjelajahannya bagi memburu barangan antik tersebut membawa Rom ke kawasan pedalaman di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, malah hingga ke Johor dan Kedah.

Selain koleksi mesin taip yang mengagumkan itu, Rom turut mengumpul pelbagai barangan antik lain daripada kamera TLR berusia 70 tahun hinggalah topi tentera ketika Perang Dunia Kedua.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Amzah miliki 15,000 barang antik

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


AMZAH Ahmad tidak pernah jemu mengumpul dan menjaga barangan antik yang disimpan sejak 51 tahun lalu di rumahnya di Serdang Permai, Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Ipoh, Perak. - utusan/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

IPOH - Menjejakkan kaki di rumah milik seorang pesara tentera di Serdang Permai, Kampung Kepayang, dekat sini umpama berada di sebuah muzium mini yang menempatkan pelbagai barangan antik.

Saat kaki melangkah masuk, objek pertama menjadi tumpuan tetamu pastinya kepada susunan ribuan botol pelbagai saiz di segenap sudut dan ruang kediaman berkenaan.

Malah, apabila mata dialihkan ke suatu sudut, jangan terkejut melihat beg pelbagai bentuk dan saiz disusun bertingkat walaupun ada antaranya sudah pudar warnanya.

Pandangan di sudut lain pula terletaknya pelbagai pedang ala Samurai, lembing, sumpit, dan parang yang ditempatkan di dalam satu bekas di sudut dinding.

Di tengah-tengah ruang tamu pula ditempatkan congkak, talam, seterika serta bekas-bekas kecil yang diisi pelbagai jenis duit syiling, cincin, batu dan majalah lama.

Apabila melalui laluan dari ruang tamu utama ke bahagian dapur, hati pasti terdetik kagum melihat usaha Amzah Ahmad, 67, yang cukup meminati hobi mengumpul barangan tersebut.

Menurutnya, minat mengumpul barang-barang antik itu bermula daripada ibunya yang mempunyai minat yang sama sehingga kini dia telah mempunyai lebih 15,000 himpunan pelbagai jenis barangan antik.

"Koleksi botol saya sendiri sudah melebihi 8,000 botol dan itu belum lagi dicampur dengan beg, cincin, jam, duit syiling, talam, congkak, radio dan motosikal lama.

"Rumah ini sendiri pun sudah kelihatan seperti muzium kerana terdapat banyak sangat barang-barang antik sehingga memenuhi setiap sudut rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi Amzah, hobi mengumpul barang-barang antik dan purba merupakan satu aktiviti yang tinggi nilai seninya, selain memberi kepuasan yang maksimum terhadap setiap penggemar.

Katanya, minat mendalam terhadap barangan tersebut membuatkan dia tidak pernah 'gelap mata' terhadap pelbagai tawaran lumayan yang ditawarkan pembeli yang mahu mendapatkan barangan tersebut.

Ini kerana katanya, barang-barang itu mempunyai nilai tersendiri yang sukar untuk dibayangkan.

"Barang-barang antik ini saya kumpul sejak dari zaman muda hingga kini dan saya sama sekali tidak akan menjualnya biarpun ada tawaran harga yang tinggi," ujarnya.

Menurutnya, kebanyakan koleksinya itu diperoleh daripada warisan kedua ibu bapanya serta keluarga dan rakan-rakan yang mengetahui minat mendalamnya terhadap hobi unik itu.

Malah katanya, ada antara barangan tersebut didapati dari seluruh negara semasa dia berkhidmat sebagai anggota tentera.

Antara barang-barang antik lain yang dimilikinya adalah seperti jongkong perak dan emas, batu petir, katak Sang Kelembai, kitab lama, cincin, pedang, buluh, seterika, sumpit, parang dan sebagainya.

"Kebanyakan barang-barang ini berusia ratusan tahun dan diperoleh dari merata tempat. Setiap barang-barang antik ini mempunyai ceritanya yang tersendiri. Contohnya, katak Sang Kelembai yang dikatakan disumpah menjadi batu.
Barangan antik termasuk keperluan dapur masih menjadi khazanah cukup berharga buat Amzah Ahmad.

"Malah, cincin perkahwinan ibu dan botol susu yang saya gunakan sejak kecil menjadi antara barangan antik kesayangan yang memberi nilai sentimental tersendiri," ujarnya.

Ditanya perancangannya untuk semua barang antik tersebut, Amzah berkata, dia berhasrat menempatkannya di sebuah muzium khas yang boleh menempatkan kesemua 'khazanah' berkenaan.

"Harapan saya besar supaya semua barang-barang antik ini dapat dipamerkan kepada umum untuk tontonan generasi akan datang.

"Sayang jika barang yang bernilai ini dibiarkan begitu saja. Saya juga berharap Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dapat meluangkan masa untuk datang sendiri melihat semua barang-barang antik ini," katanya.

Bukan setakat rumah dijadikan muzium, Amzah turut menjadikan halaman rumahnya sebuah taman mini yang dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok bonsai berusia hampir 32 tahun.

Menyentuh mengenai jenis pokok bonsai tanamannya, Amzah berkata, kebanyakan bonsai yang berada dalam simpanannya kini termasuk pokok jenis ara, kemuning dan jeliti.

"Pokok-pokok ini jenis menjalar dan mudah dibentuk," katanya.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kegilaan barang antik


Habib Mohd. Kassim bersama sebahagian koleksi barangan antik seperti pinggan mangkuk dan peti radio lama yang menjadi tarikan di Kedai Antik Taliban, Pedas, Rembau.
- Gambar ABD. RAZAK AID


REMBAU 14 Dis. - Jika anda berkunjung ke Pedas di sini, mata pasti tidak terlepas memandang ke sebuah kedai barangan antik yang terletak di tepi jalan.

Biarpun kelihatan usang dari luar, Kedai Antik Taliban itu nyata mencuri perhatian mereka yang lalu lalang untuk singgah sebentar bagi melihat apa yang dipamerkan di dalamnya.

Deretan pinggan mangkuk tembikar yang kental gaya oriental, lampu minyak tanah tembaga yang berukir halus, jam loceng dan mesin jahit lama sehingga ke basikal tua, adalah antara koleksi pembuka selera mata yang dipamerkan depan kedai tersebut.

Menjenguk ke dalam kedai tersebut pula, mata pasti tertumpu kepada ratusan barangan antik lain yang dipamerkan termasuk perhiasan tembaga, keris, jam dinding, pinggan mangkuk, almari dan perhiasan diri.

Tidak ketinggalan, ukiran kayu dari rumah lama yang dipercayai berusia lebih 100 tahun, pemain piring hitam keluaran 1921 dari Seri Menanti, pending tembaga berusia 200 tahun dan pelbagai jenis lampu minyak tanah yang menarik.

Pemiliknya yang juga merupakan penggemar barang antik, Habib Mohd. Kassim berkata, kebanyakan barangan lama yang dipamerkan di situ berusia lebih 100 tahun.

''Koleksi yang dipamerkan di situ adalah daripada koleksi peribadi dan ada juga yang kami dapat daripada hasil pencarian di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Habib, 44, yang cukup dikenali sebagai Pak Habib di kalangan penduduk setempat, beliau membuka kedai tersebut bersama sahabatnya, Mohd. Yazid Ahmad, 43, kira-kira lapan tahun lalu.

"Mulanya sekadar hobi saja dan kami berdua memang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini terutama mencari dan mengumpul barang antik.

"Lama kelamaan terfikir juga untuk berkongsi barangan yang ada dengan penggemar barang antik lain dan dari situ lahirlah kedai antik ini," katanya.

Bercerita tentang penglibatan awalnya dalam pengumpulan barangan antik, beliau berkata, ia bermula sejak dirinya berusia tujuh tahun dan minat itu diwarisi daripada bapa dan neneknya.

"Keluarga saya memang gemar mencari dan mengumpul barang lama terutama peninggalan keluarga. Siapa sangka hari ini barang tersebut jadi barang antik yang cukup bernilai," ceritanya lagi.

Habib berkata, antara koleksi peribadi yang terdapat di situ adalah pinggan mangkuk tembikar China yang menjadi milik keluarganya sejak 100 tahun lalu.

"Koleksi pinggan mangkuk ini pernah dimiliki oleh arwah bapa saya yang sebelum itu dimiliki oleh nenek saya. 

Oleh sebab itu, saya berani mengatakan ia berusia lebih 100 tahun kerana arwah bapa pun meninggal dunia pada usianya lebih 90 tahun.

"Lagipun koleksi ini unik kerana di dasar cawan tembikar terdapat bayangan lukisan wanita berketurunan Cina yang dipercayai Puteri Hang Li Po," katanya.

Lelaki yang berasal dari Seremban itu menambah, kedai itu juga menyimpan beratus biji pinggan mangkuk seperti itu yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit.

Antara koleksi lain yang cukup istimewa kata Habib, adalah pending perak berusia lebih 200 tahun dan pemain piring hitam keluaran 1921 yang diperoleh dari Seri Menanti yang kini dijual pada harga RM6,000.

"Kedua-dua koleksi ini sangat istimewa terutama pending ini yang pernah dipakai oleh golongan bangsawan dulu. Sesetengah barang yang istimewa memang kami tidak menjualnya," tambah beliau lagi.

Selain itu, kedai tersebut turut mempamerkan beberapa lampu minyak tanah termasuk daripada tembaga yang mempunyai ukiran menarik.

Katanya, satu daripada lampu minyak tanah ini unik kerana cuma terdapat dua unit sahaja di negara ini dan dijual pada harga RM19,700 sebuah.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jual barang antik sumber pendapatan Abu Bakar



Abu Bakar Mahmud menunjukkan barang tembaga yang sering menjadi tumpuan pelanggan di Bazar Johor, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 4 Jun - Barang lama jangan terus dibuang kerana ia mungkin memberi pulangan lumayan jika disimpan.

Sekiranya tidak dijual kerana peminat barangan antik, mungkin pisau, cawan, produk kraf tangan boleh disimpan untuk kenangan.

Namun, jika anda seorang yang meminati pelbagai barangan lama, Pasar Karat, Johor Bharu destinasi 'wajib' untuk dikunjungi.

Seorang penggemar dan penjual barangan antik, Abu Bakar Mahmud, 58, berkata, dia mula menyimpan pelbagai jenis barangan lama sejak di bangku sekolah dan kini menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

"Saya meminati barang antik dan berusaha mendapatkannya di mana-mana sejak zaman persekolahan hinggalah telah beranak cucu sekarang," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, sejak dia bersara dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 1993, dia mula menjual barangan antik di beberapa tempat.

Antara barang antik yang dijual adalah seterika lama yang dibuat pada 1800 dan dijual dengan harga antara RM380 dan RM650.

Selain itu, dulang tembaga bersaiz 31 cm hingga 51 cm pula dijual secara tawar-menawar.

Terdapat barang lain seperti wang kertas serta duit siling lama, kacip sireh, lampu kapal, loceng sekolah lama, kamera lama dan baju pengantin zaman dahulu dijual oleh Abu Bakar.

"Benda menarik yang sering menjadi tumpuan pelanggan adalah sebuah patung Mesir milik saya yang berharga RM240," katanya.

Menurutnya, para pelanggannya datang dari Muar, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Anak jati Johor Bahru yang dilahirkan pada 19 Disember 1992 ini akan keluar mencari barangan antik di sekitar daerah Kota Tinggi, Muar, Batu Pahat dan Melaka pada setiap tiga minggu sekali.

Dia yang menetap di Taman Seri Pulai memulakan perniagaannya di Bazar Johor setiap hari mulai pukul 5 petang hingga 2 pagi.

Abu Bakar memberitahu cara-cara atau petua untuk memelihara keindahan barangan antik seperti tembaga yang telah pudar adalah dengan merendam barang itu ke dalam air asam jawa semalaman dan kemudian dicuci dengan air bersih dan dikilatkan.

Justeru, mereka yang ingin memiliki pelbagai barangan antik boleh menemuinya di Bazar Johor setiap hari.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ahad, 23 Februari 2014

Tradisi popular zaman-berzaman





PERBANDINGAN secara lahiriah sudah memadai untuk dijadikan ukuran terhadap ketinggian nilai klasik sepasang baju Melayu berbanding pakaian tradisional lain. Bukan cuba bersikap etnosentrik iaitu semangat patriotik dan bangga, namun siapa pun pasti terpesona dengan lelaki yang menyarung persalinan tradisi itu.
Menyingkap titik permulaan baju Melayu, sejarah menyatakan bahawa ia diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah yang merupakan sultan ketiga memerintah empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1424 hingga 1444.
Sejarah Melayu turut mendedahkan bahawa pada asalnya baju Melayu direka dengan potongan sendat dan singkat. Usaha seorang pembesar memanjang dan membesarkan pesak baju Melayu akhirnya kekal menjadi ikutan hingga ke hari ini.
Selepas hampir 600 tahun menjadi persalinan kebanggaan kaum Adam berdarah Melayu, pakaian tradisi itu telah melalui pengolahan fungsi dan ciri praktikal sejajar arus semasa.
Bermula sebagai busana golongan diraja, ia kemudiannya menjadi pakaian harian ringkas orang kebanyakan. Tidak lama kemudian golongan lelaki menjadikan baju Melayu untuk ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat. Pengaruh besar pakaian tradisional itu akhirnya menjadikan ia persalinan rasmi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Jika dahulu, rekaan baju Melayu lebih ringkas dan bersifat ala kadar, hari ini prinsip itu telah mengalami anjakan drastik. Baju Melayu pelbagai motif, warna dengan menggunakan material berbeza mula menjadi pilihan lelaki-lelaki Melayu di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Fabrik kapas atau kapas campuran yang menjadi material asli pakaian itu kini ditukar kepada satin, organza dan pelbagai seleksi fabrik moden. Rekaan polos tanpa cantuman motif atau corak pula ditambah dengan jalur atau cetakan sederhana bagi memberi suntikan moden.
“Konsep baju Melayu sekarang masih mengekalkan ciri tradisional. Bagi membentuk elemen moden, saya tambahkan lapisan pada bahagian lengan dengan corak berjalur.
“Seluar direka polos dan ditambah perincian pada poket dari segi alur. Potongan baju dan seluar pula lebih langsing agar tampak melekap cantik pada tubuh si pemakai,” luah pereka fesyen busana lelaki tempatan, Fairuz Ramdan, ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Cita rasa
Menurut Fairuz, kapas satin menjadi pilihan untuk koleksi baju Melayu Bespoke cekak musang. Bagaimanapun pelanggan masih boleh memilih material mengikut cita rasa masing-masing. Beliau menawarkan 22 pilihan warna untuk baju Melayu ini termasuk merah pic, merah tembikai, hijau dan kuning.
Berbeza daripada kebiasaan, kemeja kasual berilhamkan baju Melayu turut disediakan kepada mereka yang mahukan gaya santai pada pagi Syawal. Elemen tradisional masih dikekalkan Fairuz pada bahagian potongan kolar.

FAIRUZ (kiri) menawarkan 22 pilihan rona menarik untuk koleksi baju Melayu Bespoke.



“Ia menggunakan kolar Mandarin dan bagi menyesuaikan dengan tema raya, rekaan asasnya diambil daripada baju Melayu manakala perinciannya dipinjam daripada kemeja,” tambah Fairuz.
Menggunakan kain kapas dan linen, kemeja tersebut sempurna dipadankan bersama seluar panjang fabrik kapas twil. Agar tidak kekok, Fairuz menyarankan ia disatukan dengan seluar khaki agar gaya santai itu dapat diselaraskan.
“Jean perlu dielakkan kerana ia boleh mengubah penampilan menjadi kasar dan tidak sesuai untuk hari raya. Tamat musim perayaan, barulah anda boleh memadankan kemeja ini dengan seluar pendek bagi membentuk gaya resort.
“Kelebihan kemeja ini, ia boleh mengalami transisi musim dan kekal relevan sepanjang masa,” jelas Fairuz.
Pilih kolar
Pemilihan kolar baju Melayu pula antara pertimbangan dangkal yang sering dibuat lelaki. Rata-rata kaum Adam tidak tahu perbezaan antara cekak musang dan teluk belanga. Bagi mereka, kedua-duanya sama dan tidak mendatangkan sebarang perubahan kepada penampilan.
Tanggapan itu perlu dikikis jika mahu kelihatan bijak dan segak dalam baju Melayu. Baju Melayu cekak musang menceritakan bahawa ia menjadi pakaian rasmi raja dan golongan bangsawan.
Bilangan butang juga dikisahkan mengandungi tafsiran tertentu. Baju Melayu tujuh butang khas untuk kerabat diraja dan baju berbutang lima pula dikaitkan segelintir ulama sebagai perlambangan rukun Islam.

CONTOH lakaran baju rekaan Fairuz.


Bilangan poket
Baju Melayu teluk belanga kebanggaan negeri Johor pula hadir dengan satu kancing sahaja. Berpandukan ceritera asal, ia mula diperkenalkan Almarhum Sultan Abu Bakar (Sultan Johor ke-21) ketika pusat pemerintahan Johor di Teluk Belanga, Singapura berpindah ke Tanjung Puteri, Johor Bahru pada tahun 1866.
Begitu juga dengan bilangan poket. Baju Melayu teluk belanga dua kocek kemudiannya ditambah menjadi tiga pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim (Sultan Johor ke-22) atas cadangan Menteri Besar Johor pertama, Allahyarham Jaafar Muhammad.
Disebabkan itu, baju Melayu pada masa kini dihasilkan dengan tiga poket. Dua pada bahagian bawah dan satu di dada kiri.
Seorang lagi pereka pakaian lelaki negara, Waridi Hamdan tampil berbeza dengan baju Melayu teluk belanga berpoket satu. Katanya: “Saya hapuskan dua poket pada bahagian bawah kerana pada pandangan saya, ia membuatkan penampilan tampak serabut apabila dikenakan dengan samping.
“Apabila baju dimasukkan ke dalam samping, dua poket bawah sering terkeluar. Jadi tidak salah ia dibuang untuk kesempurnaan gaya malah ia lebih praktikal untuk kaum Adam moden yang gemar mengisi barang keperluan di dalam beg kepit.
“Poket atas pula saya sembunyikan agar selaras dengan keseluruhan baju.”
Menyentuh koleksi baju Melayu rekaan Waridi, moden kontemporari menjadi pilihan pereka berusia 33 tahun itu sempena Aidilfitri tahun ini. Biarpun moden, potongannya masih kekal tradisional lengkap dengan pesaknya.
Penggunaan rona-rona terang dengan gabungan polos dan motif berjalur menghidupkan penampilan kreatif si pemakai. Gaya menjadi sempurna apabila dipadankan bersama seluar berjalur dan polos pada bahagian bawah.
“Saya menggunakan material kapas Pakistan kerana ia ringan dan sesuai dengan cuaca Malaysia. Ia sedikit jarang dan pemakai disarankan menyarungkan singlet atau baju T kosong pada bahagian dalam.
“Kaki seluar yang polos pula saya terapkan fabrik kapas sutera dan dipadankan samping sama jenis fabrik dan tona. Untuk baju Melayu ini, hanya samping polos sesuai dikenakan agar penampilan dapat diseimbangkan dengan baju Melayu yang berat motifnya,”


Sumber Artikel Dari : http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara