Selasa, 16 April 2013

Sulaman kelingkan seni lama

 

Kerja-kerja sulaman kelingkan memerlukan pemerhatian yang khusus.
 
SENI sulaman kelingkan atau keringkam mungkin satu nama baru bagi mereka yang tidak pernah mengenali sulaman ini. Namun seni kemahiran tangan ini hakikatnya telah lama wujud dan begitu dikenali dalam kalangan wanita yang begitu komited dengan hiasan sulaman seperti di hujung selendang, pakaian, barangan hantaran dan sebagainya.

Begitu juga Robitah Hashim, yang mewarisi seni kemahiran tangan ini dan seterusnya mendapat kepercayaan daripada pihak kraf Malaysia membuka bengkelnya sendiri bagi mengembangkan lagi seni warisan yang begitu sinonim dengan golongan wanita pada satu ketika dahulu.

Wanita berusia 49 tahun ini mempunyai kemahiran dalam seni kemahiran sulaman berkenaan yang diperturunkan oleh gurunya yang dikenali sebagai Nik Rahimah Nik Idris sewaktu dihantar untuk mempelajari seni kemahiran ini oleh pihak Kraf Malaysia.

Baginya, peluang seni yang diwarisi ini bukan sekadar melayakkannya memasuki dunia perniagaan, tetapi lebih kepada tanggungjawabnya untuk menurunkan ilmu ini kepada generasi muda.

Seni sulaman kelingkan antara kemahiran menghias kain yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini pada masa dahulu.

"Dikatakan pada awalnya, seni hiasan tangan ini dipercayai telah bertapak di Johor, Selangor dan Sarawak.

"Seni ini merupakan seni yang dipertanggungjawabkan oleh wanita istana yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan seni sulaman ini.

"Sulaman ini selalunya dipakai oleh golongan wanita ketika menghadiri majlis kebesaran di istana atau ke majlis-majlis perkahwinan," katanya sewaktu ditemui di Promosi Kraf Malaysia 2012 di Plaza Angsana, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sulaman ini menggunakan kepingan logam berwarna emas sebagai asas utama dan sulaman unik turut menuntut ketelitian yang sangat tinggi menjadikannya mengambil masa yang agak lama bagi menyiapkan sesuatu sulaman hiasan.

"Bagi sehelai selendang biasa bersaiz satu meter, sekurang-kurangnya tiga minggu diperlukan dan juga bergantung pada cuaca persekitaran ketika proses sulaman dijalankan," katanya.

Menurut Robitah, cuaca panas membuatkan kepingan logam atau benang kelingkan tersebut mudah bergulung dan ini menyukarkan kerja sulaman.

"Proses yang diperlukan bagi menyiapkan hiasan sulaman kelingkan ini adalah dengan menggunakan sejenis jarum berupa jarum emas atau suasa yang mempunyai dua lubang.

"Fungsi kedua-dua lubang pada jarum tersebut adalah bagi memasukkan dan mematikan kepingan logam di hujung kerana benang kelingkan tersebut bersifat agak berat dan licin," katanya.

Robitah menggunakan beberapa motif seperti cakar kaki ayam, bunga tanjung, kelopak bunga mawar dan dedaun tulip dalam hiasan sulamannya.

Hasil kerjanya juga pernah menarik minat salah seorang pembesar negara dan juga golongan di raja bagi dijadikan koleksi peribadi mereka.

Sementara itu, beliau turut mendapat banyak tempahan untuk menghasilkan hiasan untuk pameran di beberapa buah muzium negeri seperti Muzium Negeri Pahang.

Menurut Robitah, sulaman kelingkan ini boleh bertahan sehingga 50 tahun namun ia menuntut penjagaan yang sangat rapi.

Selendang cantik yang dihasilkan oleh Robitah mampu mencecah harga ribuan ringgit bergantung pada corak motif, hiasan dan saiz bagi hiasan yang dilakukan.

Namun, bagi peminat sulaman ini, harga bukan menjadi satu masalah kerana kepuasan mendapatkan sulaman unik ini telah menjadi satu harga yang tidak ternilai.

Robitah menambah, tempahan yang terima ketika ini banyak kepada tempahan untuk hiasan pakaian perkahwinan dan hiasan hantaran yang dikatakan mampu mempamerkan hasil yang tampak mewah dan cantik ini.

Beliau yang menjalankan perniagaan dari mulut ke mulut ini berharap agar lebih ramai lagi generasi muda yang berminat bagi meneruskan warisan nenek moyang negara ini.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan tempahan atau mempelajari seni kemahiran tangan sulaman kelingkan ini, hubungi Robitah di talian 016-9368352 atau emel zintatrading_05@yahoo.com.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan