Ahad, 14 April 2013

Seni buat keris terus diminati

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my
Zailani Mohammad mencanai sebilah keris yang ditempah pelanggan di bengkelnya di Kampung Morten, Melaka.
 
MELAKA 21 Jan. - Seni pembuatan keris di negeri ini masih kekal dipertahankan para peminatnya termasuk generasi muda disebabkan faktor kehalusan seni serta keunikan yang terdapat dalam setiap proses penghasilannya.

Walaupun negara semakin jauh meniti arus kemodenan, namun senjata tradisional kebanggaan Melayu itu masih dilihat relevan digunakan bagi pelbagai fungsi termasuk tujuan mempertahankan diri, koleksi, demonstrasi silat bersenjata mahupun bahan pameran.

Kegunaannya yang masih meluas serta nilai kesenian keris yang tak lekang dek zaman ini menjadikannya terus diminati dan mendapat perhatian tidak kira golongan tua mahupun generasi muda.

Menyedari nilai kesenian Melayu yang perlu dipertahankan itu, seorang pengukir kayu di Kampung Morten di sini, Zailani Mohammad, 37, mengambil peluang daripada kemahiran yang dimilikinya mendalami seni pembuatan dan penghasilan keris.

Mengakui dirinya sekadar 'bidan terjun' dalam bidang pembuatan keris, Zailaini atau lebih dikenali sebagai Jai mula menceburi bidang itu sejak 2009 didorong minat mendalam terhadap seni pembuatan senjata terutamanya keris.

Dia yang mahir mengukir kayu mengambil masa tidak sampai sehari mempelajari asas membakar dan membentuk bilah keris seterusnya menghasilkan sebilah keris yang lengkap.

Usaha dan kesungguhannya mendalami seni pembuatan keris yang turut mendapat tunjuk ajar daripada pengamal seni bela diri serta individu berpengalaman sehingga membolehkan dia menghasilkan lebih 30 bilah keris yang kebanyakannya ditempah penggemar senjata tradisional itu sejak 2009.

Hasil seninya itu dijual kepada orang ramai dengan harga antara RM250 hingga RM6,000 bergantung kepada jenis dan ketelitian sebilah keris.

Menceritakan tentang pembuatannya, Zailani berkata, sebilah keris mampu dihasilkan dalam tempoh dua hingga empat minggu bergantung kepada jenis dan tahap kehalusan seni keris itu.

Antara jenis keris yang dihasilkan termasuklah keris Melela, keris Pandai Sarah, keris Bugis, keris Sepukal, keris Tanjung, keris Badik dan keris Tumbuk Lada.

Sebilah keris yang lengkap mempunyai tiga komponen utama yang perlu disiapkan iaitu bilah atau mata keris, hulu dan sarung.

Ketiga-tiga komponen keris itu pula mempunyai jenis berbeza menggunakan bahan mentah berbeza dan pelbagai.

Contohnya bagi komponen bilah keris, bahan mentah atau besi yang digunakan perlulah bersesuaian dengan jenis keris itu sendiri seperti besi hitam, besi kurau dan besi baja.

Proses membuat bilah keris yang memakan masa antara satu hingga dua minggu untuk disiapkan itu pula merangkumi proses menempa, membentuk dan mencanai besi mengikut jenis bilah yang dikehendaki sama ada mata lurus atau luk (lekuk mata bilah).

Jenis luk juga pelbagai dan dibuat mengikut kehendak pelanggan yang kebiasaannya memilih bilah luk tiga, luk lima, luk tujuh dan luk sembilan. Namun ia boleh dibuat hingga luk 99.

Bercerita lebih lanjut berkenaan teknik pembuatannya, Zailani memberitahu, mata keris akan mula terbentuk apabila besi dibakar dan diketuk secara bertalu-talu sebelum dipotong dan dipanaskan semula berulang-ulang kali.

Untuk pembuatan hulu keris pula, kayu terpilih seperti kemuning, arang bunga dan sena digunakan kerana dipercayai mempunyai ketahanan lebih lama selain mampu menyimpan 'keserian' keris tersebut walaupun sudah lama disimpan.

Proses membuat hulu keris itu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk disiapkan mengikut jenis hulu iaitu Jawa Demam, ayam teleng, patah tiga dan pekaka.

Proses terakhir pula ialah membuat sarung keris juga menggunakan jenis kayu sama seperti hulu keris.

Terdapat dua jenis sarung keris yang dihasilkan Zailani iaitu sarung sari bulan dan sarung sampir Semenanjung.

Setelah siap kesemuanya, tiga komponen itu akan digabungkan seterusnya diperkemaskan dengan kertas halus sebelum disapukan cat pengilat.

Sebahagian kayu yang digunakan untuk membuat keris itu diperoleh dari luar Melaka iaitu Pahang dan Kelantan begitu juga besi yang kebanyakannya diperoleh dari Kelantan.

Zailani berkata, usahanya memartabatkan kesenian senjata tradisional Melayu itu adalah untuk memastikan warisan bangsa tersebut tidak dilupakan generasi masa kini yang semakin kurang mendalami kemahiran membuat keris.


Sumber Artikel: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan