KerisWarisan
Setiap ahli KerisWarisan bertekad akan terus martabatkan warisan Melayu hingga ke akhirnya.
Himpunan keris
Himpunan keris ketika pameran di dewan Tan Sri Haji Ghazali Jawi, Slim River, Perak yang dianjurkan komuniti KerisWarisan.

TIDAK ramai yang ingin mengenakan busana Melayu lengkap bersamping dan bersongkok sepanjang masa.

Ujar mereka, malu bila memakainya apatah lagi tiada sebab untuk mereka menggayakannya jika bukan pada majlis yang berkaitan.

Namun, sejak akhir-akhir ini, kelihatan sudah ramai yang berani bersiar-siar dengan memakai lengkap baju Melayu siap bertanjak tanpa segan silu atau dipandang serong oleh masyarakat.

Bagi golongan ini, apa yang dipakai adalah lambang kepada warisan orang Melayu yang perlu dijaga sebaik mungkin. Jika bukan kita yang memulakan dahulu, siapa lagi yang akan mulakannya.

Bertanyakan akan hal itu, pengasas KerisWarisan, Johan Iskandar berkata, perkembangan tersebut sangat positif memandangkan bukan perkara mudah untuk lelaki memakai baju Melayu di tempat awam.

Menurut Johan, untuk mengekalkan budaya berpakaian Melayu itu, sesebuah pihak perlu tampil ke hadapan dalam memastikan budaya itu menjadi ikutan semua orang.

“Justeru, komuniti Melayu yang dikenali KerisWarisan ditubuhkan sebagai melahirkan rasa tanggungjawabnya untuk mendidik, mengajar, membantu dan memberi ruang kepada ahlinya supaya dapat menjadi orang Melayu yang sebenar dan tahu asal-usulnya.

“KerisWarisan memartabatkan semua warisan Melayu seperti kebudayaan, kesenian, muzik, pakaian, perhiasan, peralatan, permainan, perubatan tradisional dan lain-lain sebagai cara hidup orang Melayu dan bukan sebagai hiburan, pelancongan, seni persembahan, hobi atau gurauan,” ujarnya.

Secara peribadi, Johan berkata, ramai pihak termasuk jabatan kerajaan menganggap warisan Melayu itu sebagai seni persembahan dan hiburan.

Oleh itu, banyak warisan Melayu seperti busana, cara pemakaian, adat istiadat, peralatan, tarian dan muzik diubah sesuka hati mengikut cita rasa mereka.

“KerisWarisan akan cuba sedaya upaya mengekalkan keaslian warisan Melayu terutama yang terikat dengan adat istiadat atau protokol walau dianggap sudah tidak penting lagi.

“Ini kerana kami percaya bahawa hanya Himpunan keris ketika pameran di dewan Tan Sri Haji Ghazali Jawi, Slim River, Perak yang dianjurkan komuniti KerisWarisan. dengan cara ini dapat melatih orang Melayu menunjukkan keikhlasan mereka menghormati bangsa sendiri,“ kata beliau.

Dikenali serata dunia
“KerisWarisan bukanlah sebuah portal, sebaliknya ia adalah komuniti Melayu yang dihimpunkan melalui portal www.keriswarisan.com

“Setakat ini keahliannya telah mencecah 1,092 orang yang bukan sahaja datang dari Malaysia malah beberapa negara seperti Jepun, Perancis, Belanda, Singapura, Indonesia dan Thailand turut mendaftarkan diri menyertai KerisWarisan,” katanya gembira.

Tambah Johan, portal www.keriswarisan.com mempunyai fungsi yang sama seperti facebook, myspace dan friendster.

Setiap ahli diberi peluang berkongsi ilmu, meluahkan pendapat, merancang sesuatu, membuat kajian dan sebagainya, kata Johan yang mengguna pakai nama Nakhoda Hitam dalam portal tersebut.

Beritahu jejaka dari Taiping, Perak itu, menubuhkan KerisWarisan bukanlah senang. Bermacam-macam cabaran ditempuh, antaranya tidak dipandang mana-mana pihak untuk dibantu disamping turut diperlekeh-lekehkan oleh banyak pihak termasuk persatuan Melayu lain yang menidakkan keupayaan mereka untuk memartabatkan warisan Melayu.

Namun begitu, cabaran berjaya ditangani oleh KerisWarisan dan kini, kata Johan, semua pihak sudah mula menerima kehadiran komuniti itu.

Masing-masing tidak sabar menyertainya sehinggakan ada yang sudah berani membeli busana Melayu dan keris sebagai pelengkap syarat sebagai orang Melayu.

Sambung Johan, KerisWarisan banyak menganjurkan beberapa aktiviti berkaitan.

Antaranya, bengkel destar, tengkolok dan tanjak seminar pakaian orang Melayu, bengkel seni tari (silat pengantin), seminar keris dan banyak lagi.

“Untuk tahun ini, beberapa aktiviti sudah dirancang seperti pameran alam Melayu, bengkel rahsia makanan tradisional Melayu, bengkel asas mengenali keris dan senjata tradisional, bengkel tengkolok wanita dan banyak lagi.

“Di harap aktiviti ini mendapat sambutan luar biasa kerana KerisWarisan menganjurkannya bukan kerana ingin mencipta nama tetapi mahu masyarakat mengetahui dan menghargai warisan yang mereka ada agar tidak lupus ditelan dek zaman,” akhirinya.

Sumber Artikel : http://www.sinarharian.com.my