Ahad, 14 April 2013

Keris warisan Melayu

 


ABDUL Mazin bersama dua bilah keris yang ditempah oleh pelancong Amerika dan Jepun di bengkelnya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.



KUALA KANGSAR 11 Mac - Keris merupakan warisan atau lambang keberanian dan perjuangan masyarakat Melayu yang telah wujud sejak zaman berzaman.

Hakikatnya, kehebatan pahlawan Melaka, Hang Tuah juga dikenali berikutan kesaktian keris bernama Taming Sari.

Biarpun kini kedudukan keris tidak lagi terlalu istimewa dalam masyarakat Melayu, namun ia masih menjadi simbol paling penting.

Fungsinya bukan sebagai senjata bagi mempertahankan diri, tetapi lambang adat dan budaya dalam masyarakat itu sendiri.

Di sebalik sejarah kehebatannya, tidak ramai mengenali golongan yang bertanggungjawab menghasilkan keris.

Salah seorang pembuat keris, Abdul Mazin Abdul Jamil, 58, berkata, untuk menghasilkan keris yang menarik, seseorang itu harus mempunyai jiwa seni tersendiri.

Mula berkecimpung dalam bidang itu sejak lebih 40 tahun lalu, Abdul Mazin bangga dengan usaha yang dilakukannya.

''Antara keris yang pernah saya hasilkan termasuklah keris Panca Warisan yang menjadi lambang perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO," katanya di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Menurut Abdul Mazin, membuat keris sememangnya merupakan antara kerja yang agak rumit malah jauh lebih sukar daripada menghasilkan golok atau parang.

Ini kerana katanya, untuk mendapatkan keris yang bermutu tinggi, seseorang itu mesti pandai melebur besi dan mencampurkannya dengan bahan-bahan lain.

''Saya belajar membuat keris daripada bapa saya setelah jemu membuat parang dan golok sahaja," katanya.

Bapa kepada l2 anak itu berkata, untuk menyiapkan sebilah keris mengikut saiz termasuk ulu dan sarungnya, ia memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga minggu.

Selain menempa keris Panca Warisan, Abdul Mazin juga terlibat menghasilkan keris untuk pihak istana. Antara negeri yang mendapatkan khidmatnya selain Perak ialah Kedah dan Selangor.
Malah Sultan Brunei dan beberapa pembesar negara lain turut tertarik dengan keaslian keris yang dihasilkannya.

''Saya juga menjadi rujukan kepada siswazah dari universiti tempatan yang mengikuti kursus seni warisan yang ingin mendalami pelajarannya. Bengkel saya sering menjadi tumpuan ramai khususnya pada musim cuti persekolahan.

''Saya bersyukur dengan segala kemudahan yang diberikan oleh kerajaan dan semua pihak terbabit, saya dapat meneruskan kerja dalam pembuatan keris dan bidang pandai besi," ujarnya.

Abdul Mazin turut melahirkan harapannya untuk membimbing golongan muda yang berminat mendalami kemahiran membuat keris bagi memastikan ada generasi pewaris pada masa akan datang.


Sumber Artikel : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan