Ahad, 14 April 2013

‘Pandai besi’ tiada pengganti

 

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
DULU, titisan keringat mereka dihargai berikutan kemahiran yang ada menentukan kualiti senjata dihasilkan. Jika diimbau sejarah sejak bertapaknya Tanah Melayu, mereka antara individu paling penting dan dicari semua orang. Lebih hebat hasil kerja tangan dilakukan, lebih ramai datang mendapatkan khidmat mereka.

Malah, bukti hebatnya kerja tangan dihasilkan apabila mereka dipilih oleh pihak istana dan tidak kurang juga pendekar handalan bagi menghasilkan senjata paling ampuh melawan musuh dan sebagai lambang serta status pihak berkenaan.
Itu antara keistimewaan individu yang berkemahiran membuat senjata atau pembuat keris pada zaman dulu.

Buktinya, sehingga kini nama keris seperti Taming Sari terus kekal menjadi simbolik kegagahan legenda Hang Tuah dan kemegahan orang Melayu.
Foto

Bagaimanapun, itu dulu. Kini, pembuat keris atau turut dikenali sebagai orang ‘pandai besi’ semakin dilupakan.

Pekerjaan yang satu ketika dulu sungguh hebat dan paling dicari orang ramai kini umpama ‘hidup segan, mati tidak mahu’.

Bukan tiada sambutan atau permintaan untuk menghasilkan senjata tangan versi klasik ini, sebaliknya kerana tidak ada lagi pelapis yang berkemahiran dan mampu menghasilkannya mengikut cara dulu.

Yang tinggal menghasilkannya hanya membabitkan generasi lama berusia 40 tahun ke atas dan itupun boleh dihitung dengan jari.

Malah, dalam tempoh 20 tahun akan datang, pekerjaan ini juga dikhuatiri bakal lenyap dan bukti halus seni pertukangan senjata masyarakat Melayu ini mungkin hanya bakal dilihat di dalam simpanan arkib atau muzium mahupun sebagai koleksi peribadi individu tertentu.

Ketiadaan pelapis dan pewaris dalam seni yang terpahat sebagai khazanah negara ini berikutan remaja masa kini melihatnya sebagai pekerjaan yang tiada masa depan, tidak popular, susah, berbahaya dan tidak menguntungkan.

Wajah Kehidupan yang menyelami proses pembuatan senjata ini mendapati pekerjaan ini sememangnya memerlukan minat dan kemahiran sebagai elemen utama menghasilkan senjata berkualiti dan terbaik.

Tanpa dua elemen ini, senjata dihasilkan ‘kaku’ dan hanya kelihatan sebagai senjata biasa di mata individu yang mengenali kualiti serta keindahan khazanah warisan bangsa ini.

Walaupun menggunakan teknologi moden sekalipun, ada antara teknik yang memerlukan kehalusan seni tangan berkenaan tidak akan mampu ditiru.

Ini sama seperti teknik asas mencampur besi bagi membuat bilah keris, iaitu bahagian utama senjata yang akan rosak tanpa teknik yang betul.

Teknik asas mencampur besi bagi menghasilkan bilah ini perlu dilakukan sendiri oleh tukang besi yang mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan.

Malah, terdetik di hati penulis betapa sukar dan mencabarnya pekerjaan berkenaan.

Mana tidaknya, pada peringkat awal lagi pekerjaan itu memang sukar berikutan pembuat keris perlu bermain dengan api dan besi panas.

Jika tidak kena dengan teknik betul, besi yang ingin dicanai boleh patah dan serpihan besi yang membara itu pasti akan ‘terbang’ ke muka, sekali gus mendatangkan kecederaan.

Setiap campuran pula mesti mengikut sukatan betul, di mana bahan asas besi pertama perlu dicanai dan diperkukuhkan terlebih dulu. Kemudian, campuran besi kedua dilakukan dan perlu dicanai berulang kali.

Apabila siap, bilah senjata berkenaan tidak terus diasah atau ditajamkan. Sebaliknya, tiba masa untuk mencari bahan utama untuk menghasilkan hulu keris.

Bahan untuk membuat hulu keris ini juga tidak dipilih sembarangan kerana bagi pemilik keris yang akan bertindak menggunakannya, bahagian hulu keris adalah penentu kebolehan, kecekapan dan kekuatan keris, selain simbol status pemiliknya.

Kerana itu juga, ada antara hulu keris berkenaan bukan saja diperbuat daripada kayu bermutu tinggi, sebaliknya diukir daripada bahan khas seperti gading,
tulang atau gigi gajah, tulang ikan paus, batu bulan dan batu tahi bintang.

Nilai barangan ini pula ada antaranya boleh mencecah puluhan ribu ringgit berikutan kesukaran mendapatkannya selain membentuk dan mengukirnya.

Tempoh menyiapkannya memakan masa sekitar dua minggu dan sebaik siap, baru bilah keris dipertajamkan dan dilekatkan bersama.

Namun, sebagai pelengkap keris, jangka masa hampir seminggu pula diambil untuk membuat sarung keris berserta ‘pamur’.

Keseluruhannya, tempoh masa hampir empat minggu diambil untuk menghasilkan sebuah keris yang sempurna. Memang cukup lama bagi menghasilkan sebilah senjata itu.

Sebagaimana pekerjaan berkenaan yang sukar, ramai tidak tahu ia membawa hasil lumayan. Sebilah keris lengkap yang hanya menggunakan besi biasa tanpa lok boleh dijual sekitar RM400 hingga RM600.

Keris yang menggunakan campuran besi seperti besi hitam dan dilengkapi sekurang-kurangnya tanduk atau gading haiwan pula mampu dijual antara RM1,000 hingga RM2,000 sebilah.

Malah, berdasarkan maklumat diterima, ada pembuat keris kadangkala memperoleh pendapatan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan dengan hanya menjual dan menghasilkan senjata, sekali gus menepis persepsi ia tidak menjamin masa depan.

Ini kerana ia bukan saja dijual kepada peminat senjata di negara ini semata-mata, sebaliknya turut diminati pengumpul koleksi senjata dari luar negara.

Sejujurnya, perlu ada usaha bagi melatih golongan remaja dalam bidang ini berikutan ia khazanah negara yang hanya ditemui di nusantara saja.

Jika hilang seni ini, pastinya ia satu kerugian kepada negara.

Sumber Artikel : http://www.hmetro.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan