Khamis, 1 Ogos 2013

Tenun Nenda, kain warisan


Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Zaharah Ibrahim sanggup bersusah payah untuk memperkenalkan semula kain tenun.
 

TENUNAN adalah jalinan benang pakan dan loseng yang disusun mengikut aturan tertentu dengan menggunakan alat menenun atau dipanggil kek.

Benang sutera atau benang kapas digunakan bagi membuat tenunan. Kadang-kala benang emas diselitkan untuk mengimbangi motif jalur atau garis kecil dan ini memperlihatkan keindahan tenunan bercorak.

Kain tenunan bercorak biasanya bercorak melintang, memanjang, beragi, corak Bugis dan corak Muar. Corak ini terdapat di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Seni tenunan tekstil giat diusahakan di negara ini sejak 200 tahun yang lalu. Pada awalnya, kain tenun menjadi pakaian larangan yang hanya boleh dipakai oleh kerabat dan pembesar istana sahaja.

Namun kini, kain tenun telah diberi sentuhan inovasi dan sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui mengenai kain warisan tradisi tinggalan nenek moyang kita ini.

Oleh kerana sayangnya beliau kepada kain warisan tradisi atau kain tenun, Zaharah Ibrahim, 57, sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan bersusah payah memperkenalkan semula kain tenun.

Amat berminat
Zaharah yang menamakan koleksi kain tenun yang dihasilkannya sebagai Tenun Nenda menceritakan idea untuk menghasilkan kain tenun ini tercetus apabila teringat arwah neneknya yang pernah membuat kain tenun di rumahnya.

Walaupun ketika itu Zaharah masih kecil, beliau sering membantu arwah neneknya membuat apa yang disuruh.

Bagaimanapun, setelah neneknya meninggal dunia, tiada siapa yang mengambil alih atau berminat untuk meneruskan usaha tersebut.

"Daripada muda lagi saya memang amat berminat dengan kain tenun dan suka membeli kain tenun di Sutera Semai, sebuah pusat produk tradisional di Terengganu.

"Tetapi setelah Sutera Semai ditutup, susah hendak mendapatkan kain tenun lagi. Kebanyakan orang hanya fokus kepada kain songket namun songket tidak boleh dipakai hari-hari.
 
"Berbeza dengan tenun, tekstil ini boleh dijadikan baju untuk dipakai ke pejabat, majlis orang kahwin, majlis formal dan sebagainya,'' ujar Zaharah yang datang sendiri ke pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.

Oleh kerana minat yang mendalam kepada kain tenun warisan tradisi ini kerana mempunyai nilai kesenian yang tinggi, Zaharah yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini berusaha mendalami ilmu mengenai seni tenun dengan mengikuti program yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Nur Zahirah.

Beliau menambah, di Terengganu sendiri kain tenun dianggap seperti sudah pupus. Jika ada pun, ia bukan ditenun tangan sebaliknya ditenun mesin.

Menurut bekas setiausaha syarikat di AAJ Management Services Sdn Bhd ini, kain tenun dibuat daripada benang sutera dan benang kapas poliester.

Terdapat beberapa corak yang dihasilkan, iaitu jalur dan petak selain kosong tanpa corak. Kini beliau menghasilkan pula corak moden kontemporari yang boleh dijadikan jaket, seluar dan skirt.

Istimewanya, setiap sepasang kain hanya mempunyai satu corak sahaja.

"Namun bagi mereka yang suka dengan rekaan fesyen tradisional boleh membuat baju kurung, kebaya, baju kedah, baju Melayu dan samping.

"Tenun Nenda ini boleh diperoleh dalam beberapa potongan, iaitu dua meter suku, dua meter setengah, empat meter setengah dan lima meter.

"Jika dahulu kain tenun dihasilkan dengan warna-warna lembut namun sesuai dengan era moden, Tenun Nenda mempelbagaikan keluaran dengan menghasilkan warna-warna terang dan lebih garang.

"Kain tenun ini dijual daripada harga RM1,200 sehingga RM4,000. Kebanyakan pembeli adalah pelancong asing. Orang tempatan yang membeli adalah mereka yang betul-betul berminat dengan seni warisan,'' ujar ibu kepada dua orang anak berumur 24 dan 18 tahun ini.

Jelas beliau lagi, kain tenun ini banyak keistimewaannya dan boleh dijadikan warisan keluarga jika dijaga dengan elok.
 
Mengenai cabaran yang dihadapi untuk menghidupkan semula kain tenun, kata Zaharah, sukar untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai keistimewaan kain tenun.

Katanya, ramai yang lebih berminat membeli kain yang diimport dari luar negara walaupun berharga ribuan ringgit sedangkan kain tenun merupakan seni warisan bangsa Melayu sendiri.

Beliau juga merancang untuk melatih lebih ramai penenun yang boleh menenun kain tenun supaya lebih banyak kain tenun boleh dihasilkan.

Kepada anda yang berminat untuk membeli kain tenun, boleh menghubungi Zaharah di talian 019-3854885 untuk temujanji atau emel zaharah.ibrahim@tenunnenda.com


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan