Isnin, 12 Ogos 2013

Lima Dekad Hidup Dengan Bertukang

 




LELAKI yang hampir mencecah usia satu abad itu khusyuk menggergaji beberapa bilah kayu. Selepas beberapa kali memberi salam, barulah dia tersentak lalu tersenyum-simpul di pondok usangnya.

Urat kaki dan tangannya jelas kelihatan dengan pandangan mata kasar. Mata yang cengkung, wajahnya penuh dengan seribu kedutan dan tubuh badan yang kurus langsung tidak menterjemahkan kekuatan dan kegigihannya untuk terus bertukang.

Ali Jamuk yang kini meniti umur 95 tahun memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan kesihatan, pendengaran dan penglihatan yang baik sehingga sekarang.

Berbicara mengenai pekerjaannya, Ali dengan nada perlahan berkata: “Walau sehari pun, saya tidak mampu meninggalkan kerja membuat sarung parang kerana kerja dan pondok inilah yang banyak berjasa membantu saya menyara keluarga sejak tahun 1965.”

Ali atau mesra dengan panggilan Tok Ali segera meninggalkan gergajinya lalu mencapai rokok paipnya. Katanya, dia mahu bersembang lanjut dalam keadaan santai.

“Nak buat kerja ini perlukan ketelitian dan kena banyak sabar, tak boleh terburu-buru, hanya orang yang betul-betul minat saja mampu melakukannya.

“Kalau nak ikutkan memang dah hampir lima dekad Tok Ali buat benda ini, kalau makan gaji dengan kerajaan, dah dua kali Tok Ali pencen rasanya,” selorohnya sambil sesekali memicit betisnya yang barangkali lenguh disebabkan terlalu lama duduk bersila.

Warga emas ini mendongak ke langit seketika. Sambil tersenyum dia berkongsi cerita tentang zaman kegemilangannya.

Ujarnya, sewaktu zaman remaja ketika otot masih kental dan tenaga masih kuat, dia berupaya menghasilkan 20 bilah sarung parang sekali gus dalam sehari.

Harga sarung parang pada ketika itu antara RM80 hingga RM350 bergantung kepada bentuk dan saiz.
Bercerita tentang harga, Tok Ali memberitahu, sekitar tahun 1960-an, dia hanya diberi sekotak rokok dan setin susu cair sebagai upah. Namun, itu sudah cukup untuknya. Bagi lelaki itu paling penting ialah pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja tangannya.

“Itu cerita dulu, tapi sekarang dah berubah, ada yang bayar Tok Ali sampai RM500 untuk satu sarung parang.

“Sesuailah dengan umur Tok Ali yang mampu buat antara tiga hingga lima bilah sarung sehari saja. Namun Tok Ali bersyukur kerana mendapat tempahan tidak putus-putus dari Johor, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu termasuk Indonesia,” katanya.

Warisi bakat datuk
Namun, memori paling manis sepanjang menjadi tukang membuat sarung parang ini ialah apabila dia menerima tempahan dari Majlis Daerah Labis untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar sewaktu program Kembara Mahkota Johor beberapa tahun lalu.

Kepakaran Tok Ali membuat sarung parang sebenarnya diwarisi daripada arwah datuk dan bapanya.
Bezanya pembuatan zaman dahulu dan kini ialah gam yang digunakan.

KERJA-KERJA membuat lubang pada kayu hulu parang dilakukan oleh Tok Ali menggunakan pengerudi tangan.

“Dulu, kami guna beras pulut yang ditanak selama enam jam atas dapur kayu. Gam yang diperbuat daripada pulut itu pula hanya bertahan selama sebulan sebelum basi, menjadi keras dan tidak lagi melekat pada kayu,” imbaunya yang juga mahir membuat perahu kolek dan mata parang.

Pada hari ini, Tok Ali lebih selesa mengguna gam kayu yang dijual di pasaran.

Sedang rancak berbual, bekas peneroka itu meminta izin untuk meneruskan kerjanya dan sekali-sekala berbual mengenai pembuatan sarung parang.

Prosesnya amat rumit. Ia bermula dengan mencari pelbagai jenis kayu seperti sepetir, kayu arang, penaga, sena, ciku, kemuning atau limau.

Kemudian, kayu-kayu itu dibelah dengan saiz dua inci tebal, empat inci lebar dan 24 inci panjang setiap satu.

Kayu-kayu berkenaan kemudiannya disimpan di bawah teduhan matahari selama beberapa bulan untuk mengeringkannya dan mengelakkan kayu daripada pecah dan bengkok.

“Selepas itu, barulah kita membuat kerja-kerja membentuk bahagian hulu, pemegang dan badan.
“Bila hulu dah siap, tanduk atau tembaga yang berbentuk cincin dipanggil temin disarungkan di pangkalnya,” jelas Tok Ali sambil memberitahu, gergaji yang digunakan merupakan hasil ciptaannya sendiri.

Kemudian ia disusuli dengan kerja-kerja mengukir dan mengilat sebelum sarung parang tersebut disapu minyak supaya urat-urat kayu jelas kelihatan.

Kata Tok Ali, dalam banyak jenis kayu, kayu arang dan kayu sepetir antara kayu yang paling disukai pelanggan kerana warna dan coraknya yang cantik.

Seperti sedang merenung masa depan, warga emas yang sudah selayaknya berehat sepenuh masa itu hiba kerana tiada seorang pun generasi muda termasuk cahaya mata dan cucu-cicitnya mahu mewarisi pekerjaannya.

“Demi kelangsungan pekerjaan sebagai seorang pembuat sarung parang, saya sanggup mengajar sesiapa sahaja yang berminat asalkan dia ikhlas,” luah Tok Ali.

Sementara itu, Talib Yaacob, 54, menantu Tok Ali mengakui dia tidak sanggup melihat bapa mertuanya, bersendirian melakukan kerja-kerja berat.

Justeru, Talib bertanggungjawab untuk membantu bapa mertuanya menghasilkan mata parang yang memerlukan seseorang menempa dan membentuk besi di dapur yang mencecah kepanasan melebihi 100 darjah Celcius.

Bantu bapa mertua
Di samping mempelajari ilmu membuat mata parang daripada Tok Ali, lelaki ini memberitahu, dia berusaha ke sana ke mari untuk mempelajari membuat mata parang daripada tukang besi di sekitar Labis.


TOK ALI pernah menerima tempahan sarung parang untuk dihadiahkan kepada Sultan Ibrahim ketika baginda membuat lawatan di sekitar Johor sempena program Kembara Mahkota Johor beberapa tahun lalu.


“Sebenarnya saya memang tak minat buat kerja-kerja ini sebab saya merupakan peneroka yang mengusahakan kebun getah, tapi sedar tak sedar sudah 15 tahun saya menolong bapa mertua,” katanya ketika ditemui di dapur pembakaran yang terletak berdekatan dengan pondok Tok Ali bertukang.

Bercerita serba sedikit tentang mata parang buatannya, Talib menjelaskan, dia menggunakan besi spring lori sebagai bahan asas.

“Parang yang diperbuat daripada besi spring lori lebih keras berbanding besi lain.

“Selain itu, ia lebih tajam dan tahan lasak untuk kerja-kerja seperti berkebun,” jelas Talib yang boleh menyiapkan tiga bilah parang dalam masa sehari.

Talib mengakui, meskipun mampu membuat mata parang, tetapi sehingga ke hari ini, dia masih belum menguasai cara membuat sarung parang.

“Memang sukar tapi saya mesti menggagahkan diri mempelajarinya kerana tidak ada sesiapa yang minat mewarisinya kecuali saya,” kata Talib.

Menurut Talib, mereka sekeluarga sering menasihati Tok Ali supaya berehat di rumah. Bagaimanapun, keghairahan bapa mertuanya menghasilkan sarung parang sentiasa membara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan