Rabu, 2 Januari 2013

Sulaman Hiasan Kelingkan




Jasni tekun menjahit sulaman kelingkan.


SULAMAN ini telah dihasilkan di dunia Melayu seawal abad ke-14 Masihi sewaktu Tanah Melayu terkenal sebagai pusat perdagangan.
 
Pada waktu itu tekstil dari India dan China yang berhias sulaman telah mempengaruhi perkembangan sulaman kelingkan di dunia Melayu.
 
Antara kerajaan yang mewarisi seni sulaman kelingkan ialah Melayu, Jambi, Siak, Langkat, Riau, Bentan, Brunei, Sulu dan Sulawesi.
 
Pakaian Melayu yang sering mendapat sentuhan sulaman kelingkan ialah selendang, pakaian tradisi atau persalinan raja sehari.
 
Di Selangor, ini merupakan seni yang diwarisi oleh golongan wanita kerabat di raja.
 
Golongan wanita istana dikatakan mula mempelajari seni sulaman kelingkan sejak mereka berusia 11 tahun.
 
Bagi meneruskan kesinambungan seni sulaman kelingkan ini, pemilik butik tudung dan pakaian, J&R Collections, Jasni Termizi Abdullah telah mempelajari seni sulaman itu daripada seorang kerabat di raja Selangor.

 
Dia yang telah mahir dengan seni tersebut mula menerima tempahan sejak enam bulan lalu terutama tempahan selendang untuk dipakai di majlis pernikahan.
 
Menurut Jasni, hanya mereka yang mengetahui keindahan dan keunikan sulaman kelingkan yang sanggup menempah.
 
Ini kerana harga sehelai selendang yang telah dijahit sulaman kelingkan ialah di antara RM500 sehingga RM5,000 bergantung pada ketebalan motif.
 
Terdapat beberapa motif, iaitu sembilu kasih, teratai, cempaka, bunga cengkih, cempaka hitam, bunga semangat, bunga matahari, semalu, bunga ros bersegi dan banyak lagi.
 
Corak yang ingin disulam di atas kain akan dilukis di atas kertas dan diletakkan di bawah kain bagi tujuan menyulam. Teknik jahitan sulaman dikenali sebagai tikam tembus.
 
''Untuk siapkan sehelai selendang mengambil masa siapkan satu bulan ke atas bergantung kepada motif.
 
''Sulaman akan dijahit di atas kain syifon, kain kapas atau voile kerana kain jenis ini lembut.
 
Pelanggan akan menempah selendang panjang hingga ke paras pinggang, selendang pendek yang menutupi bahu atau tudung berbentuk empat segi,'' jelas Jasni.
 
Dia menambah, oleh kerana keistimewaan sulaman ini daripada jenis benang yang digunakan, jarum khas dan tempoh masa yang lama untuk disiapkan, oleh itu cara penjagaannya juga rumit.
 
Selendang kelingkan katanya, tidak boleh dibasuh dengan air atau cucian kering. Apabila menyimpan, ia perlu dilipat seperti melipat songket, dimasukkan kertas dalam lipatannya dan disimpan di dalam kotak. Jangan dibiarkan terdedah pada udara kerana benang sulaman akan berkarat. - MERAN ABU BAKAR


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan