Minat ukir kayu jadi kerjaya
TELOSAN - Ketika berusia 11 tahun, Elias Shafie, 32, gemar mengukir kayu yang ada di sekitar rumahnya di Kampung Gong Anak Nyor di sini, untuk dijadikan sarung keris.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, pada awalnya dia hanya gemar membuat ukiran yang terlintas di fikirannya.

“Tetapi hari ke hari setiap ukiran sarung keris yang dibuat mendapat pujian daripada rakan-rakan sehingga selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mengambil keputusan untuk menjadikan minat itu sebagai sumber pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya yang sudah berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang membuat sarung keris, golok dan pedang itu, dia tidak pernah mengikuti atau mempelajari seni ukiran berkenaan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Elias berkata, kemahiran yang ada adalah anugerah daripada Allah SWT dan bersyukur kerana dengan bakat itu dia dapat mencari rezeki halal untuk menyara keluarganya.

Menurutnya, kerja berkenaan dilakukan di sebuah pondok khas yang dibina di hadapan rumahnya.

“Saya hanya bekerja pada sebelah malam sahaja kerana pada waktu itu dengan suasana sunyi dan saya mendapat ilham untuk mengukir serta membuat sarung keris yang cantik serta unik.

“Tambahan pula, semasa mengukir saya tidak suka diganggu,” katanya.

Elias berkata, tempahan yang diterima tidak pernah putus dan sehingga kini harga ukiran sarung yang paling murah dijualnya ialah RM50 dan paling mahal RM300.

"Jenis kayu yang digunakan untuk membuat sarung ialah kayu halban, pokok setar, kemuning dan sena.

“Tetapi kebanyakan pelanggan saya membawa kayu mereka sendiri kerana setiap daripada mereka mempunyai citarasa masing-masing dan boleh dikatakan kesemua mereka adalah pencinta seni ukiran dan barangan antik,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah bertahun mengusahakan kerjanya itu di rumah, sehingga kini dia tidak pernah terfikir untuk membuka kedai mahupun keluar dari kampungnya.

“Apa yang saya ada sekarang sudah cukup dan kebanyakan mereka mengenali saya melalui promosi yang dilakukan oleh pelanggan sebelum ini,” katanya.

Sumber Artikel: http://www.sinarharian.com.my