Katil tradisional masih digemari
PULAU KERENGGA - Penggunaan katil kayu yang mempunyai corak ukiran awan larat masih menjadi pilihan sesetengah orang walaupun wujud pelbagai jenis katil moden biasanya diperbuat daripada pelbagai jenis logam ketika ini.

Seorang pengukir, Ismail Yunus, 48, berkata, permintaan tinggi terhadapnya menjadikan perusahaan membuat katil ukiran kayu itu masih dilaksanakan sebilangan penduduk, meskipun aktiviti itu semakin malap kerana saingan katil rekaan moden.

“Saya terpaksa melakukan kerja-kerja ini kerana permintaannya masih ada. Lagipun orang muda masa kini tidak mahir dan enggan bergiat dalam kerja-kerja sebegini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di bengkel ukirannya di Pulau Kerengga di sini.

Malah, bagi bapa enam anak ini, katil kayu seperti itu mempunyai nilai komersial tersendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Ismail adalah antara pengusaha kecil-kecilan di negeri ini yang masih betah membuat katil tradisional Melayu lama itu di bengkel berdekatan rumahnya di Kampung Pulau Kerengga, Marang di sini.

Katanya, pada waktu dahulu, bagaikan satu kelaziman dan kebanggaan bagi masyarakat Melayu untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah katil di bilik utama yang mempunyai corak ukiran pelbagai motif seperti awan larat, bunga-bungaan dan geometri.

“Namun disebabkan harganya tinggi, permintaan jadi semakin berkurang walaupun masih ada yang berhajat untuk memilikinya. Ditambah pula kerja-kerja membuat perabot tersebut bukanlah mudah kerana kayu perlu dipotong dengan cermat.

“Kayu jenis tembusu, cengal dan pelbagai jenis kayu lain yang digunakan itu juga perlu diketam dengan teliti tetapi jika peralatan mencukupi, kerja-kerja menyiapkan sebuah katil bersaiz ‘double bed’ hanya mengambil masa selama seminggu,” katanya.

Menurutnya, dia menjual sebuah katil dengan harga antara RM1,800 hingga RM4,000 bergantung kepada saiz dan mutu pembuatan termasuk jenis kayu yang digunakan untuk membuat perabot itu.

Sumber Artikel : http://www.sinarharian.com.my