Jumaat, 4 Januari 2013

Parang Hiasan Lebih Susah

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my


Bermula dengan hanya melihat jirannya membuat parang, Anizam akhirnya kini menjadi seorang pembuat parang terkenal di Kuala Pilah.



ANIZAM melihat parang yang sudah siap sebelum diberikan kepada pelanggannya.




KEMODENAN yang dikecapi negara ini tidak pernah menghalang masyarakat Melayu untuk terus menggunakan parang melakukan pelbagai kerja seharian terutama di kawasan desa.

Kegunaan parang banyak membantu masyarakat Melayu melakukan kerja seharian seperti memotong kayu, membelah kelapa, melapah daging sewaktu majlis kenduri dan pelbagai lagi kerja seharian.

Tampak senang digunakan tetapi pembuatannya bukan satu perkara mudah lebih-lebih lagi ia dibuat secara tradisional.

Paling cepat membuat sebilah parang yang lengkap dengan sarung dan hulunya mengambil masa selama sehari.

Malah, pembikinnya juga harus mempunyai sikap penyabar untuk menghasilkan parang bermutu tinggi dan cantik selain mempunyai pengalaman serta daya kreativiti tinggi.



TEKUN membuat ulu parang agar kemas dan cantik.




Kelebihan ini dimiliki seorang pembikin parang di Rumah Rakyat Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Anizam Mohd Deris, 38, kerana kemampuannya menghasilkan parang bermutu tinggi.

Menurut Anizam, beliau mula menunjuk minat dalam seni pembuatan parang pada tahun 2000 apabila melihat pembikin parang yang tersohor berdekatan kawasan rumahnya begitu mahir serta penyabar dalam menghasilkan sebilah parang.

"Saya banyak memerhatikan seni pembuatan parang sebelum mula berjinak-jinak membuat parang untuk kegunaan sendiri serta ahli keluarga yang lain.

"Pada waktu itu, saya tidak mempunyai masa kerana terikat dengan tugas sebagai pemandu lori dan menjadikan pembuatan parang sebagai hobi pada masa lapang," katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau nekad berhenti daripada menjadi pemandu lori pada tahun 2006 untuk meneruskan minatnya dalam pembuatan parang dengan lebih serius agar khazanah tradisional itu tidak luput ditelan dek zaman.

"Semua orang boleh membuat parang tetapi membuat parang yang baik dan
tahan lama adalah tugas yang memerlukan kesabaran, minat mendalam serta kemahiran tinggi kerana jika tidak memiliki ciri-ciri ini kita akan cepat bosan sehingga melakukan kerja dengan sambil lewa.

"Untuk menghasilkan sebilah parang yang berkualiti, saya bekerja tanpa menentu masa di bengkel setiap hari apabila menerima tempahan daripada pelanggan," katanya.
SENI membuat parang memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi.


Katanya, terdapat kira-kira 20 hingga 30 tempahan bilah parang yang diperoleh dalam masa sebulan dan ia akan meningkat setiap kali menjelang musim perayaan terutama pada Hari Raya dan juga Hari Raya Korban.

Namun begitu, katanya, disebabkan kekurangan masa dan hanya membuat parang seorang diri beliau hanya mampu menyiapkan 20 bilah parang dalam masa sebulan.

"Walaupun mempunyai pengalaman membuat parang tetapi saya tidak mampu menyiapkan lebih sebilah sehari kerana banyak perkara rumit lain terpaksa dilakukan seperti membuat sarung dan hulunya.

"Caj yang dikenakan pula berbeza-beza antara RM70 hingga RM150 mengikut kualiti kayu serta hasil rekaan dikehendaki oleh pelanggan-pelanggan," katanya.

Ujarnya lagi, untuk membuat hulu dan sarung parang, beliau akan menggunakan kayu kemuning, kemuning hitam, sepetir, angsana dan pokok rhu.

Katanya, pelanggan-pelanggan yang menempah bukan sahaja datang dari negeri ini tetapi ada juga yang datang dari Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Selain daripada membuat parang sembelih dan melapah daging, beliau turut mendapat tempahan parang hiasan daripada pelanggan-pelanggannya.

Tambah beliau, membuat parang hiasan lebih rumit kerana memerlukan daya kreativiti yang tinggi serta kesabaran kerana untuk menyiapkannya ia mengambil masa dalam dua hari bergantung kepada kehalusan seni ukiran dikehendaki.

Katanya, pemilihan kayu juga memerlukan pemerhatian yang baik untuk melihat 'bunga' kayu berkenaan sesuai dijadikan sebilah parang cantik serta berkualiti tinggi.

"Paling merumitkan dalam pembikinan sebilah parang adalah semasa hendak menghaluskan hulu dan sarung parang berkenaan kerana mengambil masa yang lama untuk melakukannya.

"Kadangkala saya terpaksa juga berjaga malam untuk menyiapkan parang hiasan kerana kekangan masa," katanya.

Walaupun, membuat parang mengambil masa, beliau tidak pernah jemu dengan kerja itu kerana ia adalah mata pencariannya untuk menyara isteri serta dua anak.

"Saya minat serta seronok dengan pekerjaan yang dilakukan ditambah pula dengan sokongan keluarga, apatah lagi apabila dapat menyiapkan tempahan mengikut tarikh dijanjikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap suatu hari nanti dapat mengembangkan lagi perniagaan membuat parang yang selama ini menjadi sumber rezeki kepada keluarganya.

"Selagi terdaya saya akan terus melakukan pekerjaan yang diminati ini kerana tidak ramai generasi muda ingin menceburi bidang pembuatan parang.

"Saya juga berharap kerajaan akan membantu serta memberi sokongan kepada pembuat-pembuat parang di negara ini agar generasi baru tidak terlupa tentang keindahan seni pembuatan parang," katanya.


Sumber Artikel: http://www.kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan