Isnin, 17 Februari 2014

Martabatkan warisan songket

sebahagian Kerja-kerja menenun songket giat dilakukan di Yayasan Tuanku Nur Zahirah di Kawasan Perindustrian Cendering, Kuala Terengganu. - utusan/Azlan Bahrum


KUALA TERENGGANU 28 Jun - Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) akan terus menjalankan pelbagai aktiviti secara berterusan dalam usahanya memastikan industri songket di negeri ini dipertahan sejajar dengan kedudukannya sebagai seni warisan agung sepanjang zaman.

Antara langkah diperkenalkan ialah membantu golongan terbabit khususnya ibu tunggal dalam usaha meningkatkan pendapatan dan kehidupan.

Yayasan juga bersedia menjual produk yang dihasilkan bagi membolehkan ia berada di pasaran.

Pengurus Besar YTNZ, Tengku Ahmad Shabirin Awaludin berkata, pihaknya mengesan 2,000 penenun songket yang bertaburan di sekitar negeri ini setakat ini.

Katanya, buat permulaan 20 penenun ibu tunggal akan dibantu di bawah program khidmat masyarakat di Jalan Pasir Panjang di sini esok.

"Peruntukan RM40,000 disediakan untuk program ini dan ia akan ditambah jika ada peruntukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tengku Ahmad Shabirin berkata, selain program pembangunan, pihaknya giat memperkenalkan pelbagai reka bentuk songket sejajar dengan hasrat mengangkat martabat seni warisan agung zaman berzaman.

Katanya, pelbagai jenis rekaan kontemporari yang diperkenalkan sesuai dengan selera terkini selain terus mengekalkan keaslian serta keindahan corak dan tenunannya.

YTNZ yang beralamat di Lot D4-D6, Kompleks Kilang SME Bank Bhd, Kawasan Perindustrian Chendering di sini, mula beroperasi di Terengganu sejak Mei tahun lepas.

Pusat tersebut bukan saja berfungsi sebagai pusat latihan tenunan songket malah turut mengenal pasti bidang baru yang boleh diteroka oleh industri songket.

Tengku Ahmad Shabirin menambah, yayasan tidak semata-mata memfokuskan penghasilan songket untuk kain samping dan busana pengantin sebaliknya ia menghasilkan songket kontemporari untuk keperluan pereka fesyen dan penghasilan selendang bahu.

Katanya, songket yang dihasilkan yayasan itu juga adalah untuk pembuatan hiasan rumah dan kraf tangan.
"Setakat ini, tempahan cenderamata daripada songket yang kita pernah terima adalah daripada syarikat-syarikat korporat, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Istana Negara," katanya.

Setiap corak yang dihasilkan adalah eksklusif yang direka oleh dua pereka tetap, tiga pereka sambilan dan dua pereka dari Sarawak dengan 25 hingga 30 rekaan dihasilkan sebulan.

Apa yang dilakukan oleh YTNZ ialah memberi pendedahan kepada masyarakat tentang nilai artistik songket supaya industri ini dapat diperkembangkan.

YTNZ berupaya menghasilkan 20 hingga 26 helai selendang songket dalam tempoh sebulan setengah bergantung kepada corak dan bahan yang digunakan.

YTNZ juga membekalkan selendang songket sempena promosi kraf tangan Malaysia di gedung ternama Harrods di London dan bagi projek seterusnya yayasan sedang berusaha meneroka pasaran Asia Barat dalam segmen busana muslimah.

Pada masa ini, terdapat 40 pelatih menerima latihan di YTNZ dan mereka didedahkan dengan kemahiran menenun songket dari peringkat pratenunan hingga peringkat akhir menenun.

Antara proses yang diajar ialah menerai, mengarak dan menyampak selama tiga bulan pertama sebelum disambung lagi tiga bulan sehingga pelatih mahir menenun songket.

Apabila sudah mahir, mereka dikekalkan sementara waktu di yayasan itu sebagai tenaga pengajar sebelum diberi pilihan untuk kekal atau menjadi usahawan songket.


Sumber Artikel Dari : http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan