Ahad, 14 April 2013

Sentuhan Tengku Ismail

 

Cintanya pada warisan kraftangan dan permata menyebabkan Tengku Ismail Tengku Su terus mempertahankan seni ini.




LEWAT ruang tamu pangsapuri kediamannya yang berhias moden dan santai, lelaki berdarah raja tapi berjiwa seni ini menyambut kami dengan senyuman lebar. Bertanya khabar sambil mempersilakan kami duduk, beliau kembali terpaku di depan skrin komputer.

Pandangan terus ditawan oleh visual-visual menarik dan mengujakan yang tertera pada skrin. Pendek kata, setengah jam berikutnya kami dihidangkan dengan halwa mata yang menakjubkan.

Ikuti sesi temu bual Elemen Fesyen bersama Tengku Ismail Tengku Su, kerabat Diraja Terengganu tentang seni tenun songket dan seni rekaan perhiasan emas yang begitu dekat di jiwanya serta mengapa seni warisan Melayu ini harus dipertahankan.


SEBAHAGIAN daripada hasil kerja Tengku Ismail Tengku Su dalam menghasilkan rekaan barang kemas.



Kami memulakan bicara hanya lebih kurang setengah jam kemudian.

"I believe, when you're passionate about what you do, it reflects on the objects you touched. Bukan segalanya yang kita buat harus menjurus kepada hal wang saja. Saya percaya apabila jiwa kita benar-benar dekat dan ikhlas dengan kerja itu, agak sukar bagi kita untuk melakukan kesilapan. Penting sekali kita berasa berada di landasan yang betul."

Kata-kata beliau itu benar-benar menyentuh perasaan dan membuat kita berfikir lebih jauh dan dalam. Prinsip tersebut seolah-olah jelas terpancar pada setiap produk seni yang beliau hasilkan daripada barang kemas dan perhiasan permata, buku salasilah yang beliau kumpulkan sendiri mengenai kerabat diraja Terengganu hinggalah ke karya tenunan songketnya.





Sambil menunjukkan buku Sulalatus Salatin yang beliau hasilkan yang mencatatkan salasilah kaum kerabat diraja Terengganu itu, mulutnya tidak henti-henti menyentuh tentang sikap masyarakat kita yang semakin melupai untuk menyimpan dan mendokumentasikan bahan sejarah.

"Kalau saya tak buat saya bimbang tiada orang yang akan melakukannya dan melihat sikap generasi muda hari ini saya takut semua bahan sejarah termasuk salasilah asal usul kita akan hilang begitu sahaja," tegas beliau.

Tindakan tersebut juga katanya, adalah atas dasar tanggungjawab terhadap kerabatnya. Beliau tidak mahu satu hari nanti semua fakta sejarah itu hilang begitu saja.


PUSAT peranginan Tanjung Pura Saptu di Kuala Terengganu ini memartabat seni tenun songket.



Sebagai contoh katanya, hari ini ada bahan sejarah terutamanya bahan bertulis seperti salasilah kerabat diraja dan kesultanan telah disalahfaktakan oleh segelintir masyarakat terpelajar tetapi tidak memahami dan tahu sejarah yang sebenar.

Beliau mempunyai minat yang mendalam terhdap bidang rekaan dalaman. Malah, terkenal dengan pusat peranginan eksklusif Tanjung Pura Saptu yang terletak di Kuala Terengganu miliknya, Tengku Ismail boleh digelar kerabat diraja berjiwa seni.

Berkelulusan dalam bidang pengurusan hotel dan pernah mengikuti pengajian dalam jurusan rekaan dalaman di London, tidak hairanlah mengapa Tengku Ismail pernah bertugas sebagai pengurus di pusat peranginan Tanjung Jara pada tahun 80-an. Khidmatnya juga sering diperlukan untuk menghias dalaman istana.
TENGKU ISMAIL TENGKU SU

"Antara hasil kerja yang amat saya suka dan berasa puas ialah menghias balai pertabalan untuk istana kala pertabalan Sultan Mizan. Satu lagi ialah menghasilkan songket untuk majlis perkahwinan Raja Zarith Sofiah. Beliau juga merupakan antara kerabat diraja yang mempunyai beberapa hasil kerja seni saya termasuk pakaian dan selendang," katanya.

Namun, kami lebih bertumpu kepada hasil seni pembuatan, rekaan barang kemas dan tenunan songket eksklusif yang beliau hasilkan.

Kata orang jika mahu mengukur bagus atau tidaknya sesuatu produk, ukurlah kepada siapa yang memakainya.

Senarai pelanggannya yang terdiri daripada golongan istana, ternama dan korporat, sudah cukup untuk memberi gambaran mutu hasil karyanya yang eksklusif.





Sebagai contoh, setiap barang kemas yang beliau hasilkan mempunyai nilai estetika yang tersendiri. Ini kerana setiap butir permata yang digunakan bukan sahaja dipilih beliau dengan begitu hati-hati, malah ada di antaranya adalah simpanan berharga yang beliau himpun selama bertahun-tahun.

"I think I'm, spoilt," katanya ketawa. "Sejak kecil saya memang tertarik bila melihat batu permata dan saya memang suka membelek dan bermain dengannya. Bila dewasa dan saya ke mana-mana, batu permata adalah salah satu objek yang menarik minat," cerita Tengku Ismail tentang hobi tersebut sambil menunjukkan kami pada sebentuk cincin delima bertatah berlian yang baru siap beliau cipta.


Permata katanya, hanya tinggal nilainya sahaja jika ia tidak diikat dan dipamerkan. Sebutir permata yang diikat akan memantulkan keindahan yang tersendiri dan tiada ternilai berbanding dengan sebutir permata yang mahal tetapi hanya disimpan di dalam peti.

Walaupun kadangkala beliau berasa agak sedih 'berpisah' dengan batu permata kesayangannya apabila permata tersebut ingin dibeli pelanggan tetapi bangga dan puas melihat ia dipamerkan kepada diri seseorang membuat beliau lega.

Kerana begitu dekatnya setiap hasil karya beliau dengan jiwanya, kadangkala dalam proses pembuatan, beliau sering menggambarkan orang yang bakal memakainya. Tambahan pula, proses pembuatan barang kemas yang begitu rumit dan cerewet membuat setiap rekaan begitu istimewa dan mendorong beliau supaya berhati-hati kepada siapa karya tersebut bakal dijual.

"Melihat produk yang sudah siap memang mudah tetapi untuk menghasilkannya perlu melalui beberapa proses penting.
Contohnya, proses memilih dan mengatur butiran permata di atas acuan tanah liat dan mengikat," jelas Tengku Ismail yang masih menggunakan kaedah tradisi dan manual.
Bagaimana Tengku Ismail meletakkan masa depan bidang yang beliau ceburi ini?

"Bagi saya, hasil kerja saya amat istimewa dan eksklusif jadi sekiranya saya belum lagi menemui pelanggan yang sesuai, ia akan terus berada dalam simpanan saya," pintasnya sambil menunjukkan kami kepada sebentuk gelang emas bertatah berlian yang diukir dan direka bermotif ukiran klasik.

Sambil menoleh dan menunjukkan kepada kami beberapa gambar himpunan keluarga yang berpakaian lengkap tradisional yang dilukis menggunakan cat minyak, beliau berkata, itulah salah satu lagi cara beliau berusaha menyimpan bahan sejarah tentang pakaian dan perhiasan orang dulu-dulu.

"Kadangkala orang keliru tentang kekayaan kebendaan dan kekayaan jiwa. If you can have both its great. Tapi kalau kita tak kaya duit dan harta, kaya dengan jiwa yang penuh kebanggaan terhadap seni dan warisan bangsa, itupun sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu, insan yang lengkap.
Hari ini beliau boleh menarik nafas lega dan bersyukur kerana masih boleh berdiri sendiri di tengah kepesatan perkembangan industri barang kemas dan fesyen tanah air.

Ini berlaku kerana ada sesetengah yang masih menghargai hasil karya seni dan mahu menyimpannya.
Sedang jenama-jenama lain terus bersaing menghasilkan rekaan untuk kelas bawahan dan menengah, bagi Tengku Ismail pasaran amat kecil tetapi arah tujunya amat jelas dan begitu fokus
"Saya seronok lakukan apa yang sedang saya buat sekarang ini walaupun saya tidak dikenali tetapi cukup sekadar tahu ada yang benar-benar menghargai dan bangga kerana memiliki hasil karya saya."


Sumber Artikel : http://www.kosmo.com.my/
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan