Khamis, 27 Disember 2012

Busana Melayu Lambang Identiti Bangsa

GURU silat wanita berbusana kebaya diapit murid silat berbaju pahlawan Melayu
pada Program Busana Pahlawan, baru-baru ini.


 
MELAKA 24 Dis. - Pemakaian busana Melayu telah mula diperkenalkan lebih 500 tahun dahulu sewaktu zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1424-1444) yang merupakan sultan ketiga daripada empayar Kesultanan Melayu Melaka.
 
Dunia pemakaian Melayu itu telah berkembang pesat pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka hasil daripada kreativiti dan kehalusan seni orang Melayu yang kekal hingga ke hari ini.
Keindahan serta keunikan seni pemakaian Melayu dapat dilihat dalam pelbagai aspek pemakaian tanjak, baju, seluar dan samping yang dapat membezakan identiti mahupun darjat golongan tertentu pada masa dahulu.
 
 
Keunikan inilah yang mahu dilestarikan oleh peminat busana Melayu serta pengamal seni kepahlawanan Melayu pada masa kini dalam usaha mereka memperjuangkan identiti bangsa agar tidak luput ditelan zaman.

Ini kerana, orang Melayu pada hari ini dilihat lebih gemar mengikut budaya luar terutamanya dari Barat kerana malu untuk menggayakan busana tradisi kecuali pada majlis keramaian seperti perkahwinan.
 
 
Jika dilihat kembali sejarah silam, pelbagai perkara menarik dapat kita pelajari hanya melalui busana Melayu tradisi contohnya pemakaian baju sikap atau baju layang.
 
 
Kedua-dua pakaian tradisi ini hanya boleh dipakai oleh golongan bangsawan berdarah raja dan orang yang dianugerahkan gelaran seperti Datuk, Tun dan sebagainya.
 
 
Baju Melayu pula pada asalnya dicipta dengan gaya leher teluk belanga untuk dipakai oleh rakyat jelata manakala baju Melayu cekak musang dikhaskan kepada golongan raja dan sultan sahaja.
 
 
Sama seperti pemakaian tanjak atau ikat kepala, pemakaiannya juga telah ditetapkan mengikut darjat dan pangkat masing-masing mengikut jenis kain yang digunakan sehingga cara ikatan dan lipatan.
 
 
Contohnya, puncak tanjak atau 'daun' yang dihalakan ke sebelah kiri menunjukkan si pemakainya adalah rakyat biasa manakala ke puncak yang dihala ke sebelah kanan atau di tengah adalah bagi golongan bangsawan dan raja.
 
 
Ekor tanjak yang disebut 'pucuk' pula perlu disimpan ke dalam bagi semua lapisan rakyat jelata kecuali golongan keluarga raja dan laksamana sahaja yang boleh mengeluarkan ekor tanjak itu sebagai lambang kuasa.
 
 
Begitu juga dengan lapisan tingkat lipatan tanjak, semakin besar darjat dan pangkat seseorang itu maka semakin tinggilah lipatan tanjaknya.
 
 
Selain itu, pemakaian samping juga mampu menunjukkan identiti seseorang. Bagi penduduk asal sesuatu kawasan, kebanyakan mereka mengenakan samping dengan cara 'berdagang dalam' iaitu kain samping dipakai di bawah baju Melayu atau baju di luar.
 
 
Ini memudahkan orang Melayu untuk membezakan golongan pedagang yang bukan berasal dari kawasan itu yang mengenakan samping dengan cara 'berdagang luar' iaitu bajunya diselit ke dalam kain samping.


© Utusan Melayu (M) Bhd
Sumber Artikel : http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan